Ahad, 12 April 2009

soalan 4:Bincangkan hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada abad ke-19 dan nyatakan perbezaan di antara Adat Perpatih dan Adat Temenggun

Pengenalan
Pada dasarnya undang-undang dibentuk dengan tujuan untuk memelihara keamanan, keselamatan dan ketertiban masyarakatnya. Walaupun kini undang-undang Malaysia berdasarkan undang-undang British, namun undang-undang tradisional telah memainkan peranan tersendiri di kalangan masyarakat Melayu. Undang-undang tradisional tidak dianggap sebagai undnag-undang bertulis, namun ia diamalkan dan diterima pakai. Ia dibentuk berdasarkan kepercayaan serta adat-istiadat dan amalan hidup orang Melayu.

Isi
· Hukum adat merupakan satu bentuk amalan dan peraturan yang diwarisi sejak turun-temurun.
· Masyarakat Melayu sangat kuat berpegang kepada hukum adat sehingga lahirnya pepatah “biar mati anak, jangan mati adat”.
· Hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu mempunyai pengaruh keagamaan yang sangat jelas, misalnya pengaruh Hindu-Buddha dan pengaruh Islam.
· Antara hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu adalah berdasarkan kepada Adat Perpatih dan Adat Temenggung.
· Adat Perpatih merupakan amalan masyarakat Melayu keturunan Minangkabau.
· Adat Temenggung mula dikesan sejak zaman Melaka dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan.
· Adat khusus merupakan amalan yang diamalkan dalam sesuatu majlis atau upacara tertentu seperti adat melenggang perut, adat bersalin, adat perkahwinan, adat pertabalan raja dan sebagainya.

Perbezaan Adat Perpatih dengan Adat Temenggung
· Adat Perpatih disusun oleh Dato Perpatih Nan Sebatang, sementara Adat Temenggung disusun oleh Dato Ketemenggungan.
· Adat Perpatih diamalkan khusus oleh orang Melayu keturunan Minangkabau dan boleh dilihat dibeberapa kawasan terutamanya di Negeri Sembilan dan Naning. Sementara itu, Adat Temenggung diamalkan disemua negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan dan Naning.
· Dalam sistem pemerintahan, Adat Perpatih mementingkan prinsip demokrasi iaitu kuasa pemerintahan tidak berada di tangan seorang sahaja dan kerjasama di dalam masyarakat keseluruhannya. Pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak di mana ketua pelbagai peringkat dipilih dari peringkat bawah ke atas. Contohnya, anak buah memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yamtuan Besar. Sementara itu, Adat Temenggung lebih mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Mengikut Adat Temenggung, raja adalah pemerintah tertinggi dan berkuasa mutlak atau autokratik. Tempat baginda akan diwarisi oleh putero sulung atau adik lelaki selepas kemangkatan baginda. Raja mempunyai kuasa melantik pembesar untuk membantu mengendalikan tugas baginda.
· Dalam sistem kekeluargaan, Adat Perpatih mementingkan pihak sebelah perempuan. Hal ini dapat dilihat dalam soal pembahagian harta dan jurai keturunan yang merujuk kepada golongan sebelah perempuan. Perempuan menjadi ketua keluarga dan harta pusaka akan diturunkan daripada ibu kepada anak perempuan. Suami dikehendaki tinggal bersama keluarga isterinya. Perkahwinan sesama suku adalah dilarang. Sementara itu, Adat Temenggung pula mementingkan pihak sebelah lelaki dalam soal pembahagian harta, pemegang kuasa dan lain-lain. Gelaran dan pangkat akan disalurkan daripada ayah kepada anak lelaki. Lelaki menjadi ketua dan keturunan keluarga. Dalam soal perkahwinan, isteri dikehendaki tinggal bersama dengan keluarga lelaki. Dalam Adat Temenggung, perkahwinan dibenarkan selagi tidak melanggar hukum syarak.
· Pembahagian harta mengikut Adat Perpatih, harta daripada sesebuah keluarga akan diwarisi oleh anak perempuan sahaja. Tanah hanya dimiliki oleh anak perempuan. Harta akan diwarisi oleh ibu kepada anak perempuan. Harta pusaka turun-temurun adalah milik suku. Sementara itu, dalam Adat Temenggung, pewarisan harta pusaka lebih kepada mengikut hukum syarak. Di dalam hukum syarak, harta yang diwarisi oleh anak lelaki lebih banyak daripada harta yang diwarisi oleh anak perempuan.
· Dari segi jenayah, hukuman yang dilaksanakan oleh Adat Perpatih adalah bersifat timbang rasa dan peri kemanusiaan. Undang-undang jenayah berunsur pemulihan atau memperbaiki keadaan dan berdasarkan kerjasama serta jalinan kekeluargaan yang rapat. Adat Perpatih percaya bahawa orang yang melakukan jenayah boleh memperbaiki perangainya dan pulih menjadi seorang yang baik. Sementara undang-undang jenayah Adat Temenggung sangat ketat dan keras serta berpegang kepada prinsip pembalasan. Undang-undangnya bertujuan untuk menghukum.
· Adat Perpatih tidak dipengaruhi oleh unsur pengaruh luar. Sementara itu, Adat Temenggung mempunyai unsur pengaruh agama Hindu-Buddha dan kemudiannya agama Islam.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...