Ahad, 12 April 2009

Soalan 1:Peranan pembesar dalam sistem politik, ekonomi dan sosial. Bincangkan.

Sehingga pertengahan abad ke-19, para pembesar merupakan aset penting dalam sistem politik di Tanah Melayu. Setiap orang pembesar mempunyai peranannya dalam ekonomi, politik dan sosial masyarakat Melayu.

Dari segi politik, di negeri-negeri Melayu, pembesar merupakan pentadbir tempatan sebelum kewujudn sistem kerajaan dan institusi kesultanan. Misalnya, pembesar bergelar Tun Derma Dewa dan Tun Perkasa telah mentadbir negeri Kedah sebelum kewujudan Kerajaan Kedah. Datuk Am, Tok Penggawa Permatang, Tok Klang dan Tok Naga serta Datuk Menteri telah mentadbir jajahan-jajahan Selangor sebelum Raja Lumu dilantik sebagai rajanya. Empat orang penghulu telah mengetuai pentadbiran Luak Sungai Ujong, Luak Rembau, Luak Johol dan Luak Jelebu di Negeri Sembilan.

Selepas institusi kesultanan wujud, para pembesar dilantik untuk membantu raja menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negeri untuk melaksanakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka. Pembesar ini mempunyai cop mohor sendiri. Pembesar-pembesar seperti Pembesar Empat Lipatan semasa Kesultanan Melayu Melaka membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan pusat. Mereka merupakan golongan yang memonopoli segala kuasa politik dalam kerajaan. Sistem Pembesar Empat Lipatan Kerajaan Melayu Melaka telah menjadi model bagi pengurusan dan pentadbiran pusat kerajaan-kerajaan awal seperti Perak, Johor dan sebagainya. Di Kelantan, Jemaah Menteri membantu Sultan dalam pentadbiran kerajaan pusat. Di Negeri Sembilan, Undang-undang, Lembaga, Buapak membantu di dalam pentadbiran kerajaan pusat.

Pembesar-pembesar pusat memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Sebagai contoh, Bendahara dalam Kesultanan Melayu Melaka memimpin angkatan bersenjata semasa menghadapi peperangan, Laksamana menjaga keselamatan negara di perairan dan Temenggung menjaga keselamatan dalam negeri. Di negeri Kelantan, Jemaah Menteri bertanggungjawab mengurus hal ehwal peperangan, ketenteraan dan sebagainya.

Para pembesar juga menjadi ahli dalam Jemaah Penasihat Sultan. Sebagai contoh, Bendahara menasihati Sultan dalam soal pentadbiran negara dan perhubungan luar. Pembesar-pembesar yang lain pula bertanggungjawab dalam bidang masing-masing.

Para pembesar juga membantu raja untuk mentadbir di luar wilayah yang dipanggil pegangan yang merupakan anugerah Sultan kerana jasa dan perkhidmatan cemerlang mereka. Bendahara Melaka telah memegang kawasan Muar dan Bintan merupakan salah satu contoh daripadanya. Di tanah jajahan atau daerah, pembesar yang bergelar Mandulika memainkan peranan penting dalam pentadbiran. Di peringkat kampung pula, Penghulu atau Penggawa pula mentadbir peringkat kampung. Pembesar ini akan memastikan penduduk di bawah jajahannya sentiasa taat setia terhadap Sultan dan kerajaan. Mereka membekalkan tenaga ketenteraan untuk mempertahankan negara dan untuk ekspedisi memperluaskan empayar jika perlu. Mereka ini ibarat “jambatan menghubungkan rakyat jelata dengan pemerintah”.

Adakalanya, pembesar-pembesar ini juga mempengaruhi pentadbiran raja ataupun Sultan. Sebagai contoh, di Melaka, peranan Bendahara Tun Perak sebagai “The King Maker” dan di negeri Perak, pembesar memainkan peranan penting dalam perlantikan Sultan mengikut sistem penggantian raja.

Pembesar seterusnya juga memainkan peranan dalam menentukan perhubungan antarabangsa, contohnya Bendahara Melaka memainkan perana penting dalam hal ini.

Dari segi ekonomi, pembesar memainkan peranan penting dalam pengutipan cukai. Sebagai contoh, Syahbandar mengutip cukai dari pedagang-pedagang dan pembesar daerah atau penggawa memungut cukai di kawasan pemakanannya. Pembesar pusat pula mengutip cukai dari kawasan pegangannya. Daripada hasil tersebut, sebahagiannya akan diserahkan kepada raja yang memerintah.

Pembesar-pembesar bertanggungjawab memastikan urusan perdagangan berjalan dengan licin. Sebagai contoh, Temenggung bertanggungjawab menentukan timbangan dan sukatan yang betul dan mengawasi saudagar-saudagar daripada kepulauan Melayu. Laksamana pula menjaga pencerobohan orang asing ke kawasan perairan kerajaannya. Syahbandar pula bertanggungjawab menjaga pelabuhan, hal ehwal pedagang asing serta mengaturkan tempat perniagaan dan menyediakan gudang untuk menyimpan barang.

Dari segi sosial, pembesar memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan anak buahnya. Di kawasan pegangannya, pembesar ini bertanggungjawab membina balai raya, pondok dan segala kemudahan awam yang akan digunakan oleh semua anak buahnya. Semasa pembinaan benda berkenaan, pembesar ini akan mengarah anak buahnya untuk melakukan kerja tersebut.

Pembesar juga memainkan peranan penting dalam mengawasi keamanan dan kesejahteraan di kawasan pentadbirannya. Sebagai contoh, pembesar ini telah menjadi hakim dalam perbicaraan di kawasan pegangannya. Seseorang yang bersalah akan dijatuhkan hukuman yang selaras dengan kesalahan yang dilakukan. Namun begitu, hukuman mati perlu mendapat keizinan daripada Sultan yang memerintah terlebih dahulu.

Pembesar juga bertanggungjawab mengetuai kerja-kerja sosial seperti pembinaan surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya. Semasa pembinaan bangunan ini dilakukan, pembesar ini akan mengarahkan anak buahnya melakukannya dan menetapkan seseorang yang bertanggungjawab mengetuai pembinaan sesuatu bahagian bangunan tersebut.

Selain itu, pembesar juga bertanggungjawab mengawasi adat dan tradisi supaya dapat diteruskan dari saru generasi ke generasi yang lain. Seseorang yang didapati melanggar adat akan dijatuhkan hukuman. Tujuannya adalah supaya adat dan tradisi dapat dijalankan tanpa gangguan dan sebagainya.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...