Ahad, 12 April 2009

soalan 5:Golongan pembesar dikatakan memonopoli segala kuasa politik dalam kerajaan sebelum campur tangan British di negeri-negeri Melayu. Bincangkan

Pengenalan
· Sistem pembesar di negeri-negeri Melayu adalah warisan Kesultanan Melayu Melaka.
· Sistem pembesar empat lipatan Kesultanan Melayu Melaka telah menjadi model bagi pengurusan dan pentadbiran kerajaan-kerajaan di negeri-negeri Melayu.
· Sehingga pertengahan abad ke-19, para pembesar merupakan aset terpenting dalam sistem politik di Tanah Melayu.
· Setiap orang pembesar mempunyai peranannya dalam politik, ekonomi dan sosial dalam masyarakat Melayu.

Politik
· Peranan utama pembesar ialah dalam bidang politik.
· Mereka merupakan golongan yang memonopoli segala kuasa politik dalam kerajaan.
· Ada kalanya, golongan pembesar mempunyai kuasa untuk melantik raja. Misalnya, empat orang Undang (Undang Jelebu, Undang Sungai Ujong, Undang Rembau dan Undang Hohol) akan melantik Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
· Dalam keadaan biasa, pembesar membantu raja dalam menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negeri.
· Untuk melaksanakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka, para pembesar ini mempunyai cop mohornya sendiri.
· Para pembesar menjadi penasihat atau menjadi ahli Jemaah Penasihat Sultan.
· Misalnya, pada tahun 1800, Sultan Muhammad I (Sultan Kelantan) telah melantik seramai 7 orang pembesar untuk memudahkan dan melicinkan lagi jentera pentadbirannya.
· Sultan Muhammad II telah melantik 8 orang Jemaah Menteri.
· Sultan Abu Bakar (1862-1895) telah melantik Jemaah Menteri untuk menasihati Sultan (Johor).
· Pembesar juga membantu raja mentadbir kawasan-kawasan tertentu di luar wilayah dipanggil “pegangan” yang merupakan anugerah Sultan kerana jasa dan perkhidmatan semerlang mereka atau menjadi pentadbir daerah/jajahan. Misalnya, Dato’ Bahaman menguasai kawasan Semantan dengan gelaran Orang Kaya Semantan; Tok Gajah mentadbir Pulau Tawar; Ngah Ibrahim menguasai Larut.
· Para pembesar juga memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Misalnya, Jemaah Menteri Peperangan di Kelantan menguruskan hal-ehwal peperangan, ketenteraan, pertahanan dan keamanan; Lembaga di Negeri Sembilan menjaga keselamatan dan keamanan.
· Sebagai pentadbir kawasan atau daerah/jajahan, para pembesar memastikan penduduk di bawah jagaannya taat setia kepada pemerintah.
· Menyediakan dan membekalkan tenaga ketenteraan untuk mempertahankan negara dan juga untuk ekspedisi memperluaskan empayar (jika ada).
· Para pembesar ibarat “jambatan” menghubungkan rakyat jelata dengan pemerintah.

Ekonomi
· Para pembesar memainkan peranan penting dalam pengutipan cukai.
· Pembesar di pelabuhan (Shah Bandar) mengutip cukai daripada pedagang-pedagang.
· Pembesar daerah/jajahan mengutip cukai daripada rakyat di kawasannya dengan bantuan Penghulu.
· Pembesar menguasai sumber ekonomi seperti lombong bijih timah dan juga hasil eksport lain.
· Menggunakan sistem kerah dan sistem serah untuk dapatkan hasilan.
· Hasil pendapatannya lebih lumayan dan ini kadang-kala menyebabkan mereka lebih kaya daripada Sultan. Contoh: Long Jaafar dan Ngah Ibrahim yang menguasai Larut.
· Pembesar juga melibatkan diri dalam perdagangan.
· Mereka menjadi pengeluar modal.
· Perniagaan dan perdagangan pembesar diuruskan oleh wakil-wakilnya.
· Para pembesar juga memastikan urusan perdagangan dalam negeri berjalan licin.
· Menentukan timbangan dan sukatan yang betul.
· Menjaga perairan daripada pencerobohan lanun.
· Mengawasi pedagang-pedagang; menjaga hal-ehwal pedagang asing; mengaturkan tempat perniagaan dan menyediakan gudang untuk menyimpan barang-barang.

Sosial
· Kebajikan anak buahnya adalah tanggungjawab para pembesar.
· Memastikan kewujudan keamanan.
· Menjadi hakim dalam sesuatu perbicaraan dan meleraikan perselisihan.
· Mengetuai kerja-kerja sosial seperti pembinaan surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya.

Kesimpulan
· Golongan pembesar memainkan peranan penting sebagai “penggerak” dalam sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British.
· Cmapur tangan British dan pengenalan Sistem Residen menjelang tahun 1870-an, menjejaskan kedudukan politik, ekonomi dan sosial pembesar Melayu.
· Perkhidmatan sebahagian para pembesar Melayu, kemudiannya digunakan oleh British untuk membantu pegawai-pegawai British.

soalan 4:Bincangkan hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada abad ke-19 dan nyatakan perbezaan di antara Adat Perpatih dan Adat Temenggun

Pengenalan
Pada dasarnya undang-undang dibentuk dengan tujuan untuk memelihara keamanan, keselamatan dan ketertiban masyarakatnya. Walaupun kini undang-undang Malaysia berdasarkan undang-undang British, namun undang-undang tradisional telah memainkan peranan tersendiri di kalangan masyarakat Melayu. Undang-undang tradisional tidak dianggap sebagai undnag-undang bertulis, namun ia diamalkan dan diterima pakai. Ia dibentuk berdasarkan kepercayaan serta adat-istiadat dan amalan hidup orang Melayu.

Isi
· Hukum adat merupakan satu bentuk amalan dan peraturan yang diwarisi sejak turun-temurun.
· Masyarakat Melayu sangat kuat berpegang kepada hukum adat sehingga lahirnya pepatah “biar mati anak, jangan mati adat”.
· Hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu mempunyai pengaruh keagamaan yang sangat jelas, misalnya pengaruh Hindu-Buddha dan pengaruh Islam.
· Antara hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu adalah berdasarkan kepada Adat Perpatih dan Adat Temenggung.
· Adat Perpatih merupakan amalan masyarakat Melayu keturunan Minangkabau.
· Adat Temenggung mula dikesan sejak zaman Melaka dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan.
· Adat khusus merupakan amalan yang diamalkan dalam sesuatu majlis atau upacara tertentu seperti adat melenggang perut, adat bersalin, adat perkahwinan, adat pertabalan raja dan sebagainya.

Perbezaan Adat Perpatih dengan Adat Temenggung
· Adat Perpatih disusun oleh Dato Perpatih Nan Sebatang, sementara Adat Temenggung disusun oleh Dato Ketemenggungan.
· Adat Perpatih diamalkan khusus oleh orang Melayu keturunan Minangkabau dan boleh dilihat dibeberapa kawasan terutamanya di Negeri Sembilan dan Naning. Sementara itu, Adat Temenggung diamalkan disemua negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan dan Naning.
· Dalam sistem pemerintahan, Adat Perpatih mementingkan prinsip demokrasi iaitu kuasa pemerintahan tidak berada di tangan seorang sahaja dan kerjasama di dalam masyarakat keseluruhannya. Pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak di mana ketua pelbagai peringkat dipilih dari peringkat bawah ke atas. Contohnya, anak buah memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yamtuan Besar. Sementara itu, Adat Temenggung lebih mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Mengikut Adat Temenggung, raja adalah pemerintah tertinggi dan berkuasa mutlak atau autokratik. Tempat baginda akan diwarisi oleh putero sulung atau adik lelaki selepas kemangkatan baginda. Raja mempunyai kuasa melantik pembesar untuk membantu mengendalikan tugas baginda.
· Dalam sistem kekeluargaan, Adat Perpatih mementingkan pihak sebelah perempuan. Hal ini dapat dilihat dalam soal pembahagian harta dan jurai keturunan yang merujuk kepada golongan sebelah perempuan. Perempuan menjadi ketua keluarga dan harta pusaka akan diturunkan daripada ibu kepada anak perempuan. Suami dikehendaki tinggal bersama keluarga isterinya. Perkahwinan sesama suku adalah dilarang. Sementara itu, Adat Temenggung pula mementingkan pihak sebelah lelaki dalam soal pembahagian harta, pemegang kuasa dan lain-lain. Gelaran dan pangkat akan disalurkan daripada ayah kepada anak lelaki. Lelaki menjadi ketua dan keturunan keluarga. Dalam soal perkahwinan, isteri dikehendaki tinggal bersama dengan keluarga lelaki. Dalam Adat Temenggung, perkahwinan dibenarkan selagi tidak melanggar hukum syarak.
· Pembahagian harta mengikut Adat Perpatih, harta daripada sesebuah keluarga akan diwarisi oleh anak perempuan sahaja. Tanah hanya dimiliki oleh anak perempuan. Harta akan diwarisi oleh ibu kepada anak perempuan. Harta pusaka turun-temurun adalah milik suku. Sementara itu, dalam Adat Temenggung, pewarisan harta pusaka lebih kepada mengikut hukum syarak. Di dalam hukum syarak, harta yang diwarisi oleh anak lelaki lebih banyak daripada harta yang diwarisi oleh anak perempuan.
· Dari segi jenayah, hukuman yang dilaksanakan oleh Adat Perpatih adalah bersifat timbang rasa dan peri kemanusiaan. Undang-undang jenayah berunsur pemulihan atau memperbaiki keadaan dan berdasarkan kerjasama serta jalinan kekeluargaan yang rapat. Adat Perpatih percaya bahawa orang yang melakukan jenayah boleh memperbaiki perangainya dan pulih menjadi seorang yang baik. Sementara undang-undang jenayah Adat Temenggung sangat ketat dan keras serta berpegang kepada prinsip pembalasan. Undang-undangnya bertujuan untuk menghukum.
· Adat Perpatih tidak dipengaruhi oleh unsur pengaruh luar. Sementara itu, Adat Temenggung mempunyai unsur pengaruh agama Hindu-Buddha dan kemudiannya agama Islam.

soalan 3:Corak pemerintahan dan pentadbiran di negeri-negeri Melayu mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakatnya. Bincangkan susun lapis masyara

Sistem pemerintahan dan pentadbiran yang diamalkan oleh kerajaan awal di Tanah Melayu telah mempengaruhi kepada pembentukan susun lapis masyarakat. setiap lapisan masyarakat ini mempunyai peranannya yang masing-masing. Secara amnya, susun lapis masyarakat Melayu lama ini dapat dikategorikan kepada 2 kumpulan, iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah.

Golongan pemerintah menduduki bahagian teratas susun lapis masyarakat. raja atau Sultan merupakan orang yang menduduki tempat yang tertinggi dalam kategori ini. Baginda di pandang mulia. Baginda mempunyai kuasa mutlak bagi melakukan apa-apa sahaja. Sebagai contoh, baginda berkuasa menggubal undang-undang untuk memperkukuhkan kedudukannya. Baginda merupakan tunggak menyatupadukan rakyat. Mengikut konsep dewa raja, segala perintah haruslah diikuti oleh rakyat jelata tanpa dipersoalkan. Baginda juga berhak memiliki hak-hak keistimewaan seperti penggunaan bahasa dalaman, penggunaan warna kuning dan sebagainya. Baginda juga dianggap sebagai seorang yang daulat dan apabila baginda mangkat, tempatnya akan diwarisi oleh puteranya melalui adat pertabalan.

Kerabat diraja pula menduduki tempat selepas raja. Mereka merupakan ahli daripada keluarga di raja yang mempunyai pertalian darah dengan raja yang sedang memerintah. Golongan kerabat diraja ini dibenarkan menggunakan bahasa dalaman, warna kuning dan sebagainya. Semuanya ini merupakan hak istimewa mereka tetapi hak istimewa yang dimiliki oleh mereka, tidak boleh melebihi hak istimewa yang dimiliki oleh raja yang sedang memerintah.

Golongan bangsawan, pembesar dan ulama menduduki tempat selepas golongan kerabat diraja. Golongan ini dikenali sebagai anak baik-baik. mereka boleh terdiri daripada kerabat diraja dan juga kerabat raja. Taraf mereka adalah sentiasa kekal. Mereka mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan pembesar dan rakyat. Mereka juga memainkan peranan yang penting dalam bidang pemerintahan dan pentadbiran. Bagi mengekalkan identiti mereka, golongan bangsawan dibenarkan menggunakan bahasa dalaman.

Pembesar pula merupakan orang yang memainkan peranan yang penting dalam sektor pemerintahan dan pentadbiran kerajaan. Mereka merupakan golongan yang paling menghampiri raja atau Sultan yang memerintah. Jawatan pembesar ini biasanya diwarisi secara turun-temurun. Sebagai contoh, Bendahara Melaka di negeri Melaka diwarisi oleh keluarga Tun Perak secara turun-temurun.

Golongan ulama pula merupakan orang yang menjadi pemimpin agama. Mereka merupakan orang mahir atau pakar dalam bidang keagamaan, kesenian, kesusasteraan dan sebagainya. Mereka juga menjadi penasihat atau perujuk kepada Sultan khasnya dalam soal keagamaan. Biasanya, golongan ulama ini menjadi penulis atau perawi diraja juga. Mereka dikenali sebagai khatib, mufti dan kadi dan memakai gelaran yang dianugerahkan oleh Sultan seperti Maharaja Kadi dan sebagainya.

Golongan diperintah pula terdiri daripada 2 golongan utama manusia. Salah satunya ialah rakyat. Golongan rakyat ini pula dapat dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu rakyat biasa dan orang asing. Rakyat biasa merupakan rakyat yang bermastautin secara tetap dalam kerajaan itu. Mereka terlibat dalam aktiviti perniagaan dan perdagangan. Biasanya, aktiviti perniagaan atau perdagangan yang dijalankan oleh mereka merupakan milikan para pembesar. Mereka yang terlibat ini dikenali sebagai orang kiwi. Selain itu, terdapat juga orang yang mahir dalam sesuatu bidang seperti tukang kayu, tukang jahit dan mereka dikenali sebagai orang menderhaka. Golongan rakyat biasa ini juga menjadi pengikut atau penyokong kepada seseorang pembesar yang memegang kawasan mereka menetap.

Orang asing pula merupakan sebahagian daripada golongan rakyat. Mereka ini lebih dikenali sebagai orang dagang. Selain itu, penerokawan juga merupakan orang asing. Biasanya, orang asing datang ke sini untuk menuntut, berniaga dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga mereka yang menjadi tentera upahan di kerajaan-kerajaan Melayu awal. Orang asing ini dapat dibahagikan kepada 2 golongan, iaitu mereka yang mengunjungi sekali-sekala dan mereka yang menetap terus di kawasan kerajaan tersebut. Dari golongan yang menetap terus, ada kalangan mereka telah menukarkan identiti mereka supaya sama dengan masyarakat tempatan; ada juga dikalangan mereka yang masih mengekalkan identiti asal mereka. Walaupun begitu, mereka tetap tidak terlepas daripada hukum adat seperti Hukum Kanun Melaka.

Golongan hamba pula merupakan golongan yang menduduki tempat paling rendah dalam hierarki organisasi sosial. Golongan hamba ini juga dapat dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu hamba diraja, hamba berhutang dan hamba biasa. Hamba diraja ini merupakan orang yang secara sukarela menjadi hamba bagi raja yang memerintah. Mereka bertanggungjawab melakukan apa-apa saja yang dititah oleh Sultan. Mereka juga mempunyai status yang lebih tinggi daripada golongan hamba yang lain.

Hamba berhutang pula terdiri daripada mereka yang tidak mampu membayar hutang kepada pemiutangnya dalam tempoh masa yang ditetapkan. Mereka ini disebut sebagai masuk hulan. Mereka ini terpaksa bersama isteri dan anak-anaknya tinggal dengan si pemiutang dan bekerja sehingga hutangnya dibayar. Mereka boleh diperjual beli kepada/daripada pembesar-pembesar lain. Walau bagaimanapun, mereka boleh menjadi rakyat biasa semula apabila ia setelah selesai berkhidmat kepada si pemiutang dalam tempoh yang dijanjikan.

Hamba biasa pula menjadi hamba seumur hidup kepada pemiliknya secara turun-temurun. Mereka ini dapat digolongkan kepada 3 jenis iaitu hamba abdi yang membuat kerja-kerja berat dan kasar, dengan yang merupakan hamba yang dibeli dan biduanda yang merupakan orang suruhan yang selalunya dimiliki oleh raja.

Setelah British hadir ke Tanah Melayu, struktur/organisasi sosial telah mengalami perubahan yang mendadak. Kini, golongan raja tidak lagi berkuasa seperti dahulu, kuasa mereka telah diambilalih oleh Residen. Sistem perhambaan juga mengalami kemerosotan dan akhirnya pupus. Akhirnya, satu struktur organisasi sosial yang lebih unik telah diwujudkan dan hak-hak setiap orang telah diperakui dan dilindungi.

soalan 2:Bincangkan pengaruh agama Islam dalam masyarakat Melayu tradisional.

Agama Islam mula tersebar di Asia Tenggara pada abad ke-7. Walau bagaimanapun, pernyataan ini tidak mempunyai bukti yang sahih. Menurut Sejarah Melayu, negeri Champa mulai menerima Islam pada abad ke-15 tetapi dalam Sejarah China, Islam dikatakan wujud di Sumatera pada abad ke-13. Namun begitu, Islam mula dibawa masuk ke Tanah Melayu khasnya Melaka hanya selepas penghujung abad ke-14. Pemerintah Melaka yang pertama menganuti Islam ialah Sultan Mahkota Iskandar Syah. Penerimaan agama Islam oleh masyarakat tradisional bukan sahaja membawa pengaruh kepada akidah, tetapi ia juga membawa pengaruh terhadap aspek kehidupan yang lain.

Dari segi pentadbiran, Islam telah mempengaruhi pentadbiran Kerajaan Melayu Melaka, kerajaan-kerajaan lain seperti Kedah, Johor dan Terengganu. Ciri-ciri kerajaan ini berubah menjadi sama seperti ciri-ciri pentadbiran kerajaan di Timur Tengah seperti Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Konsep dewaraja telah diambil alih oleh konsep Sultan yang menganggap Sultan sebagai zul-illahi-fil-alam iaitu pegangan bahawa Sultan itu adalah amanah Allah s.w.t. di muka bumi. Sultan juga dianggap sebagai Aminul Mukminin iaitu ketua kepada umat Islam. Dalam sektor agama, Sultan menjadi ketua agama Islam dan baginda bertanggungjawab memerintah dengan adil dan menjaga kebajikan rakyat jelatanya. Selain daripada peranan Sultan, ahli-ahli sufi dan ulama-ulama juga menjadi penasihat tentang agama Islam kepada raja. Kini, agama Islam telah dijadikan sebagai agama rasmi.

Dari segi undang-undang, undang-undang Islam memainkan peranan dalam kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Para ulama memainkan peranan yang penting dalam perundangan Islam. Perundangan Islam telah menjadi tunjang kepada undang-undang bertulis seperti Hukum Kanun Melaka. Hal ini pula diwarisi oleh negeri-negeri Melayu yang lain pada hari kemudian. Sebagai contoh, Undang-undang 99 Perak dan Undang-undang Pahang. Selain itu, undang-undnag syariah yang meliputi pelbagai perkara seperti hukum kesalahan jenayah (mencuri, membunuh dan sebagainya), jual beli, hal-ehwal perkahwinan dan pembahagian harta pusaka juga diperkenalkan. Tokoh-tokoh yang akan memelihara undang-undang ini terdiri daripada hakim dan kadi. Walaupun hakim dan kadi menjadi tokoh yang memelihara undang-undang, tetapi rajalah yang akan menjatuhkan hukuman. Baginda akan menjatuhkan hukuman mengikut hukum adat dan bukan hukum Islam.

Dari segi kehidupan masyarakat, kehadiran agama Islam telah mengubah cara hidup mereka. Kepercayaan asal iaitu animisme, Hindu dan Buddha telah berubah menjadi agama Islam. Agama Islam telah mengubah cara pemikiran orang Melayu. Mengikut agama Islam, ia menyuruh umatnya berfikir untuk menerapkan unsur-unsur rasionalisme dalam pemikiran mereka. Selain itu, unsur-unsur metafizik telah terterap ke dalam nilai hidup msyarakat tempatan. Kini, masyarakat Melayu mempunyai pandangan dan falsafah hidup yang berkaitan dengan unsur-unsur Islam seperti mencari rezeki yang halal, kewajipan mencari ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Islam juga membawa pengaruh kepada adat resam masyarakat tempatan. Agama Islam telah membawa sistem nilai sosial yang berbeza dengan sebelumnya. Masyarakat Melayu telah membuat penyesuaian antara unsur-unsur Hindu dan Islam untuk mengelakkan amalan yang diamalkan pada dahulu kala bertentangan dengan ajaran Islam. Agama Islam telah menghapuskan sistem nilai sosial yang berasaskan perbezaan taraf atau sistem kasta. Mengikut agama Islam, semua umat Islam merupakan stu gagasan. Mereka haruslah sentiasa beriman dan bersaudara dan menjadikannya sebagai prinsip ke arah perpaduan masyarakat. mereka juga menganggap orang asing yang beragama Islam adalah saudara mereka. Antara adat resam yang banyak dipengaruhi oleh Islam ialah adat bercukur, adat perkahwinan dan sebagainya. Selain itu, aspek Islam yang baru juga diamalkan, contohnya membayar zakat, bekerjasama, bergotong-royong dan kekeluargaan.

Islam juga memberi pengaruh yang kuat dari segi pendidikan masyarakat Melayu tradisional. Pendidikan formal mula wujud sejak Kesultanan Melayu Melaka dengan kedatangan pada pendakwah dan alim ulama agama Islam. Istana telah dijadikan pusat pendidikan, pusat kegiatan intelektual dan menjadi tumpuan alim ulama dari negara-negara Arab, India dan Parsi. Di sini, mereka akan berbincang tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Istana juga menjadi khazanah hikayat yang memberi pengajaran agama bertemakan kisah para nabi, contohnya, Hikayat Abu Samah dan Hikayat Nabi Yusof. Mereka mengadakan pendidikan Islam dengan tujuan melahirkan pelajar-pelajar yang tahu tentang agama Islam, memupuk akhlak mulia dan sebagainya.

Para ibu bapa sangat mementingkan pendidikan anak-anak mereka. Mereka menghantar anak-anak mereka ke rumah tok guru untuk menerima pelajaran agama. Pada peringkat pertama, mereka akan belajar tentang muqaddam dan al-Quran mengikut tajwid yang betul. Pada peringkat kedua, mereka akan belajar tentang fardu ain dan akhlak mulia. Pelajar-pelajar ini tidak dikenakan bayaran tetapi ibu bapa akan memberi penghargaan dengan menghantar padi, beras, ubi sebagai membalas budi tok guru. Selepas peringkat ini, mereka akan melanjutkan pelajaran ke masjid atau surau untuk melanjutkan pelajaran tentang ilmu agama. Di sini, mereka terus mempelajari tentang al-Quran, mendalami fardu ain pada siang pagi. Kaedah hafalan digunakan dalam pembelajaran, iaitu seseorang itu menghadapi kesulitan untuk memahami sesuatu kitab, mereka akan hafalkannya sahaja. Walaupun pendidikan ini berbentuk formal, namun ia adalah kurang teratur kerana bilangan murid yang tidak terhad dan gurunya berkhidmat secara sukarela.

Selain itu, sistem pengajian madrasah juga merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan di Tanah Melayu selepas kedatangan Islam. Ia merupakan lanjutan daripada sistem pendidikan di masjid dan surau. Di madrasah, kitab bahasa Arab atau kitab bahasa Melayu yang ditulis ikut struktur Bahasa Arab digunakan. Kitab mereka dipegang atau diletak di atas lantai dan kemudian tok gurulah yang akan menjelaskan pengertiannya dengan menggunakan kaedah menadah kitab.

Seterusnya, sekolah pondok merupakan pusat pengajian tertinggi di Tanah Melayu. Ramai ibu bapa tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah pondok kerana kesempitan wang. Sekolah pondok ini amat terkenal di negeri Kelantan sehingga negeri ini digelar sebagai “Serambi Mekah”. Sekolah pondok juga wujud di Kedah, Perlis, Terengganu dan Melaka. Sekolah ini didirikan oleh seorang guru atau ulama yang kepakaran dalam ilmu agama yang dipelajari dari Mekah. Sebuah sekolah madrasah akan dibina dan pondok-pondok kecil akan dibina juga oleh Pelajar. Mereka tinggal secara berkongsi. Guru besar sekolah pondok dipanggil Mudir dan ketokohannya amat dihormati oleh masyarakat. Mereka menekankan aspek agama dan matapelajaran seperti saraf, tafsir, wujudiah diajar. Selepas 10 tahun, pelajar boleh melanjutkan pelajarannya di Mekah atau berkhidmat sebagai guru dipondoknya juga sekiranya ia lulus.

Walaupun pengaruh Islam memberi kesan yang kuat dalam pelbagai aspek kehidupan, namun setelah kedatangan British, pengaruh Islam semakin luntur. British telah menggantikan atau memperkenalkan kaedah baru dala pentadbiran dan perundangan, kehidupan seharian dan pendidikan. Semuanya ini telah menjadi asas kehidupan masyarakat sehinggalah apa yang wujud pada hari ini.

Soalan 1:Peranan pembesar dalam sistem politik, ekonomi dan sosial. Bincangkan.

Sehingga pertengahan abad ke-19, para pembesar merupakan aset penting dalam sistem politik di Tanah Melayu. Setiap orang pembesar mempunyai peranannya dalam ekonomi, politik dan sosial masyarakat Melayu.

Dari segi politik, di negeri-negeri Melayu, pembesar merupakan pentadbir tempatan sebelum kewujudn sistem kerajaan dan institusi kesultanan. Misalnya, pembesar bergelar Tun Derma Dewa dan Tun Perkasa telah mentadbir negeri Kedah sebelum kewujudan Kerajaan Kedah. Datuk Am, Tok Penggawa Permatang, Tok Klang dan Tok Naga serta Datuk Menteri telah mentadbir jajahan-jajahan Selangor sebelum Raja Lumu dilantik sebagai rajanya. Empat orang penghulu telah mengetuai pentadbiran Luak Sungai Ujong, Luak Rembau, Luak Johol dan Luak Jelebu di Negeri Sembilan.

Selepas institusi kesultanan wujud, para pembesar dilantik untuk membantu raja menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negeri untuk melaksanakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka. Pembesar ini mempunyai cop mohor sendiri. Pembesar-pembesar seperti Pembesar Empat Lipatan semasa Kesultanan Melayu Melaka membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan pusat. Mereka merupakan golongan yang memonopoli segala kuasa politik dalam kerajaan. Sistem Pembesar Empat Lipatan Kerajaan Melayu Melaka telah menjadi model bagi pengurusan dan pentadbiran pusat kerajaan-kerajaan awal seperti Perak, Johor dan sebagainya. Di Kelantan, Jemaah Menteri membantu Sultan dalam pentadbiran kerajaan pusat. Di Negeri Sembilan, Undang-undang, Lembaga, Buapak membantu di dalam pentadbiran kerajaan pusat.

Pembesar-pembesar pusat memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Sebagai contoh, Bendahara dalam Kesultanan Melayu Melaka memimpin angkatan bersenjata semasa menghadapi peperangan, Laksamana menjaga keselamatan negara di perairan dan Temenggung menjaga keselamatan dalam negeri. Di negeri Kelantan, Jemaah Menteri bertanggungjawab mengurus hal ehwal peperangan, ketenteraan dan sebagainya.

Para pembesar juga menjadi ahli dalam Jemaah Penasihat Sultan. Sebagai contoh, Bendahara menasihati Sultan dalam soal pentadbiran negara dan perhubungan luar. Pembesar-pembesar yang lain pula bertanggungjawab dalam bidang masing-masing.

Para pembesar juga membantu raja untuk mentadbir di luar wilayah yang dipanggil pegangan yang merupakan anugerah Sultan kerana jasa dan perkhidmatan cemerlang mereka. Bendahara Melaka telah memegang kawasan Muar dan Bintan merupakan salah satu contoh daripadanya. Di tanah jajahan atau daerah, pembesar yang bergelar Mandulika memainkan peranan penting dalam pentadbiran. Di peringkat kampung pula, Penghulu atau Penggawa pula mentadbir peringkat kampung. Pembesar ini akan memastikan penduduk di bawah jajahannya sentiasa taat setia terhadap Sultan dan kerajaan. Mereka membekalkan tenaga ketenteraan untuk mempertahankan negara dan untuk ekspedisi memperluaskan empayar jika perlu. Mereka ini ibarat “jambatan menghubungkan rakyat jelata dengan pemerintah”.

Adakalanya, pembesar-pembesar ini juga mempengaruhi pentadbiran raja ataupun Sultan. Sebagai contoh, di Melaka, peranan Bendahara Tun Perak sebagai “The King Maker” dan di negeri Perak, pembesar memainkan peranan penting dalam perlantikan Sultan mengikut sistem penggantian raja.

Pembesar seterusnya juga memainkan peranan dalam menentukan perhubungan antarabangsa, contohnya Bendahara Melaka memainkan perana penting dalam hal ini.

Dari segi ekonomi, pembesar memainkan peranan penting dalam pengutipan cukai. Sebagai contoh, Syahbandar mengutip cukai dari pedagang-pedagang dan pembesar daerah atau penggawa memungut cukai di kawasan pemakanannya. Pembesar pusat pula mengutip cukai dari kawasan pegangannya. Daripada hasil tersebut, sebahagiannya akan diserahkan kepada raja yang memerintah.

Pembesar-pembesar bertanggungjawab memastikan urusan perdagangan berjalan dengan licin. Sebagai contoh, Temenggung bertanggungjawab menentukan timbangan dan sukatan yang betul dan mengawasi saudagar-saudagar daripada kepulauan Melayu. Laksamana pula menjaga pencerobohan orang asing ke kawasan perairan kerajaannya. Syahbandar pula bertanggungjawab menjaga pelabuhan, hal ehwal pedagang asing serta mengaturkan tempat perniagaan dan menyediakan gudang untuk menyimpan barang.

Dari segi sosial, pembesar memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan anak buahnya. Di kawasan pegangannya, pembesar ini bertanggungjawab membina balai raya, pondok dan segala kemudahan awam yang akan digunakan oleh semua anak buahnya. Semasa pembinaan benda berkenaan, pembesar ini akan mengarah anak buahnya untuk melakukan kerja tersebut.

Pembesar juga memainkan peranan penting dalam mengawasi keamanan dan kesejahteraan di kawasan pentadbirannya. Sebagai contoh, pembesar ini telah menjadi hakim dalam perbicaraan di kawasan pegangannya. Seseorang yang bersalah akan dijatuhkan hukuman yang selaras dengan kesalahan yang dilakukan. Namun begitu, hukuman mati perlu mendapat keizinan daripada Sultan yang memerintah terlebih dahulu.

Pembesar juga bertanggungjawab mengetuai kerja-kerja sosial seperti pembinaan surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya. Semasa pembinaan bangunan ini dilakukan, pembesar ini akan mengarahkan anak buahnya melakukannya dan menetapkan seseorang yang bertanggungjawab mengetuai pembinaan sesuatu bahagian bangunan tersebut.

Selain itu, pembesar juga bertanggungjawab mengawasi adat dan tradisi supaya dapat diteruskan dari saru generasi ke generasi yang lain. Seseorang yang didapati melanggar adat akan dijatuhkan hukuman. Tujuannya adalah supaya adat dan tradisi dapat dijalankan tanpa gangguan dan sebagainya.

Kemerdekaan Siam

Pengenalan
Abad ke-19 terutamanya sejak pertengahan abad ke-19 merupakan zaman imperialisme kuasa-kuasa Barat yang berlumba-lumba untuk mendapatkan tanah jajahan di Asia, khususnya di Asia Tenggara. Akibat dasar imperialisme ini, British telah menjajah Burma dan Tanah Melayu, Perancis di Indo-China, Belanda di Indonesia, Sepanyol dan kemudiannya Amerika di Filipina. Siam merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidka dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Sejak Perang Dunia Kedua, Siam juga terselamat daripada penjajahan Jepun walaupun semua negeri di Asia Tenggara dikuasai oleh Jepun. Ahli-ahli sejarah berpendapat kejayaan Siam mengekalkan kemerdekaannya disebabkan oleh kebijaksanaan raja-rajanya sejak Mongkut, kesediaan mereka untuk bertindak sewajrnya dan perkembangan yang menguntungkan Siam.

Faktor-faktor
1. Dasar buka pintu
Sejak Mongkut, Siam menamatkan dasar isolasi dan seterusnya mengamalkan dasar buka pintu kepada orang-orang asing terutamanya pedagang-pedagang. Langkah ini diambil kerana Mongkut menyedari sekiranya Siam meneruskan dasar isolasi, kuasa-kuasa Barat akan membuka Siam secara paksa seperti yang berlaku ke atas Burma, Vietnam dan China. Dalam usaha untuk melaksanakan dasar buka pintu, Siam telah menandatangani beberapa perjanjian dengan kuasa-kuasa Barat. Perjanjian pertama ditandatangani dengan British pada 18 April 1855 yang dikenali sebagai Perjanjian Bowring. Seterusnya Siam menandatangani perjanjian dengan Amerika (1856), Perancis (1856), Portugal (1859), Holand (1860), Prusia (1862), Norway, Belgium, Itali, Sweden (1868), Jerman (1872), Perancis (1893), British (1909) dan sebagainya. Mengikut perjanjian-perjanjian tersebut, kuasa-kuasa Barat telah diberi pelbagai keistimewaan di Siam. Selain kebenaran berdagang, kuasa-kuasa Barat juga dibenarkan menempatkan konsul, menyebar agama Kristian, membeli/menyewa tanah di Siam, mendapat hak wilayah asingan, berlabuh di pelabuhan Siam dan sebagainya.
Siam telah menerima perwakilan asing yang dihantar ke Siam sejak pemerintahan Mongkut. Antara perwakilan itu ialah Perwakilan British yang diketuai oleh Harry Parkes dan James Brooke serta perwakilan Amerika yang diketuai oleh Joseph Ballestier. Selain itu, Siam juga telah menghantar perwakilan ke Eropah. Misalnya, pada Ogos 1857, perwakilan Siam yang diketuai oleh Chao Phraya Montri Sri Suryawongse telah dihantar ke Eropah.
Semasa Chulalongkorn, hubungan Siam dengan kuasa-kuasa Barat bertambah erat kerana Chulalongkorn juga mneruskan dasar buka pintu yang dimulai oleh Mongkut. Semasa Chulalongkorn bukan sahaja konsul asing terdapat di Siam, tetapi kedutaan-kedutaan Siam juga didirikan di negara-negara Barat seperti di New York, London, Paris, Brussels, Tokyo dan sebagainya. Chulalongkorn juga telah mengadakan hubungan peribadi dengan pemimpin-pemimpin Barat seperti Raja William II (Jerman), Tzar Nicholas II (Rusia), Prince of Wales (England) dan Presiden Lawbet (Perancis). Chulalongkorn juga mengadakan lawatan ke Eropah dan beliau merupakan Raja Siam yang pertama melawat ke Eropah sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1897 dan 1907.
Dasar buka pintu yang dimulai oleh Mongkut telah diteruskan oleh raja-raja Siam selepasnya. Akibatnya, Siam bukan sahaja berjaya mewujudkan hubungan perdagangan tetapi juga hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa Barat. D.G.E. Hall dalam bukunya “A History of South East Asia” menegaskan Siam terhutang budi kepada Mongkut daripada raja-raja lain kerana dasar buka pintu yang dimulainya telah menyelamatkan kemerdekaan Siam.
2. Pembaharuan
Sejak Mongkut, Siam telah melaksanakan pembaharuan-pembaharuan politik, ekonomi dan sosial berdasarkan idea Barat. Mongkut menyedari pembaharuan ini bukan sahaja dapat meninggikan taraf hidup orang Siam tetapi juga dapat mengurangkan campur tangan asing dalam hal-ehwal Siam.
a. Pembaharuan politik
Dalam usaha untuk menyusun semula pentadbiran Siam mengikut sistem Barat, Mongkut telah mengambil orang-orang Barat dan mereka berasal dari pelbagai negara serta ditempatkan di pelbagai jabatan. Secara umumnya, British diberi tugas untuk menguruskan pendidikan, kewangan, polis dan pelabuhan; Amerika dalam perkhidmatan kastam dan Perancis serta Itali dalam ketenteraan. Tindakan Mongkut ialah supaya tidak ada sebuah kuasa yang mempunyai pengaruh yang kuat di Siam.
Semasa Chulalongkorn, lebih ramai pegawai Barat yang diambil bagi memodenkan pentadbiran Siam. Secara umumnya, British telah ditugaskan dalam pendidikan dan kewangan, Perancis dalam undnag-undang, Jerman dalam perkhidmatan keretapi, Denmark dalam angkatan laut dan polis wilayah, manakala Itali dalam kerja-kerja pembinaan. Selain itu, Chulalongkorn juga menubuhkan 2 buah majlis pada tahun 1874 untuk menasihatinya dalam pentadbiran. Majlis-majlis itu ialah Majlis Penasihat Tertinggi Negeri dan Majlis Penasihat Rendah Negeri. Chulalongkorn telah berjaya mewujudkan sistem pentadbiran pusat yang moden pada 1 April 1892. Sistem pentadbiran lama telah duhapuskan dan digantikan dengan 12 kementerian. Setiap kementerian akan diketuai oleh seorang menteri.
b. Pembaharuan ekonomi
Dasar buka pintu oleh Mongkut telah memajukan ekonomi Siam. Kedatangan orang Barat telah membuka Siam kepada perdagangan antarabangsa. Perkembangan ekonomi telah meruntuhkan ekonomi sara diri dan mewujudkan sistem ekonomi komersil. Selain itu, sistem tukar barang juga digantikan dengan sistem ekonomi wang. Beras, gula dan kayu jati menjadi eksport utama. Perkembangan ekonomi berlaku akibat daripada penetapan cukai import sebanyak 3% dan cukai eksport 5%. Dalam masa yang singkat, Siam telah menikmati imbangan pembayaran yang memuaskan (contoh). Dalam usaha untuk menyusun semula sistem kewangan Siam mengikut sistem kewangan Barat, Mongkut telah menubuhkan Royal Mint pada tahun 1861.
Semasa Chulalongkorn pula, baginda telah mewujudkan perbendaharaan Siam yang moden dengan bantuan pegawai-pegawai British. Jabata kastam dan hasil dalam negeri telah ditubuhkan pada tahun 1875. Kementerian Kewangan telah diwujudkan pada tahun 1892 dan mulai tahun tersebut, sistem cukai secara langsung dilaksanakan. Jabatan kastam dan hasil dalam negeri tersebut telah disusun semula pada tahun 1892. Pada tahun 1896, Chulalongkorn mengeluarkan arahan untuk membaiki perkhidmatan pelabuhan Siam. Sistem audit dan akaun yang teratur telah dilaksanakan dan pada tahun 1901, belanjawan Siam yang pertama dikeluarkan. Selain itu, Chulalongkorn juga menggalakkan perkembangan ekonomi moden di Siam. Bank-bank British mula didirikan antara tahun 1888-1894 dan sebuah bank Perancis didirikan pada tahun 1897. Di samping itu, baginda juga menggalakkan perdagangan asing di Siam serta pembukaan tanah-tanah baru untuk penanaman padi bagi tujuan eksport.
c. Pembaharuan sosial
Dari segi sosial pula, pelajaran Barat telah diperkenalkan di Siam. Semasa Mongkut, ia hanya diadakan di istana dan hanya untuk golongan bangsawan. Semasa Chulalongkorn, pelajaran Barat bukan sahaja diadakan di istana tetapi juga di luar istana dan bukan sahaja untuk anak-anak golongan bangsawan tetapi juga anak-anak rakyat jelata biasa selepas penubuhan sekolah harian sejak tahun 1884. Selain itu, semasa Chulalongkorn pelajar-pelajar Siam juga mendapat pelajaran Barat di sebarang laut.
Semasa Mongkut, sistem buruh paksa atau corvee telah mula dihapuskan dan digantikan dengan sistem buruh bergaji. Sistem ini hanya dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1873. Pada tahun 1874, sistem penghambaan mula dihapuskan dan berjaya dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1905.
Di samping itu, pemerintah-pemerintah Siam juga berusaha menghapuskan adat yang dapat menghalang kemajuan Siam. Rakyat biasa dilarang melarikan diri apabila bertembung dengan raja. Adat yang melarang rakyat melihat muka raja juga dihapuskan. Semasa Mongkut, orang-orang asing tidak dipaksa sujud di hadapan raja. Mereka diberi kebebasan untuk menghormati raja mengikut cara sendiri. Semasa Chulalongkorn, adat sujud di hadapan raja dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1873.
Mubaligh-mubaligh juga diberi kebebasan untuk menyebarkan agama Kristian. Banyak sekolah Kristian dan gereja mula didirikan di Siam. Sistem perhubungan juga diperbaiki di mana lebih banyak jalan raya dan jalan keretapi dibina. Perkhidmatan yang lebih moden seperti telegraf, telefon dan pos mula diperkenalkan.
Dasar liberal raja-raja Siam telah menghapuskan sebab-sebab yang memungkinkan campur tangan kuasa-kuasa Barat ke atas Siam.
3. Perjanjian British-Perancis
Donald E. Neuchterlein dalam bukunya “Thailand and the Struggle for South East Asia” mendakwa persaingan British-Perancis juga merupakan faktor penting yang menyelamatkan kemerdekaan Siam. British dan Perancis bukan sahaja bermusuhan di Eropah tetapi juga di Timur. Bagi mengelakkan perbalahan, kedua-dua kuasa tersebut bersetuju supaya tidak mempunyai tanah jajahan yang bersempadan. Dewasa itu, British menjajah Burma dan Tanah Melayu manakala Perancis menjajah Indo-China. Mereka mahu menjadikan Siam sebagai negara penampan (Buffer State) antara pengaruh British di Burma serta Tanah Melayu dan pengaruh Perancis di Indo-China. Pada 15 Januari 1896, mereka telah menandatangani penyisytiharaan British-Perancis yang mengiktiraf Siam sebagai negara yang merdeka. Tindakan British dan Perancis menyelamatkan kemerdekaan Siam.
4. Tolak ansur
Raja-raja Siam sejak Mongkut mengamalkan dasar bertolak ansur dengan kuasa-kuasa Barat. Mereka sanggup menyerahkan wilayah-wilayah Siam bagi mengelakkan perbalahan serta menyelamatkan kemerdekaan Siam pada 15 Julai 1867. Mongkut menandatangani perjanjian dengan Perancis yang menyerahkan pertuanan Siam ke atas Kemboja kepada Perancis. Semasa Chulalongkorn, lebih banyak wilayah Siam diserahkan kepada kuasa-kuasa Barat dalam usaha untuk mengelakkan perbalahan dan menyelamatkan kemerdekaan Siam kepade Perancis, diserahkan Tongking Utara, Wilayah Sip Song Chu Thai (1888), daerah Timur Sungai Mekong (1893), sempadan Laos-Siam (1904) dan Battambang dan Seam Reap (1907). Kepada British pula diserahkan Kentung dan Mong Pan (1897) serta Negeri-negeri Melayu Utara (1909). Dasar tolak ansur tersebut telah menyebabkan Siam kehilangan 90 ribu batu persegi wilayah. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut telah berjaya menyelamatkan kemerdekaan Siam.
5. Dasar abad ke-20
Semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918), Vajiravudh yang memerintah Siam telah memihak kepada pihak Berikat walaupun terdapat tentangan tenteranya yang pro-Jerman. Tindakan Vajiravudh menguntungkan Siam kerana peperangan tersebut dimenangi oleh pihak Berikat. Perjanjian Versailles 1919 telah mengiktiraf Siam sebagai negara merdeka dan diterima sebagai anggota Liga Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1922. Mulai tahun tersebut juga, kuasa-kuasa Barat mula menghapuskan hak wilayah asingan mereka di Siam kerana mengenangkan jasa Siam memihak kepada pihak Berikat dalam Perang Dunia Pertama.
Semasa Perang Dunia Kedua (1939-1945), Pribun Songkram yang menjadi Perdana Menteri bersikap pro-Jepun. Pada 11 Disember 1940, Siam menandatangani perjanjian kerjasama dengan Jepun. Pribun Songkram telah membenarkan Jepun menggunakan Siam sebagai pangkalan untuk menyerang Indo-China, Burma dan Tanah Melayu. Akibatnya, Siam terselamat daripada penjajahan Jepun sedangkan negeri-negeri lain di Asia Tenggara telah dikuasai oleh Jepun.
Pada Julai 1944, kerajaan Pribun Songkram yang pro-Jepun telah digulingkan oleh Khuang Aiphaiwong yang pro-Berikat. Akibatnya, pihak Berikat yang kembali ke Asia Tenggara selepas Perang Dunia Kedua tidak dapat mengambil tindakan ke atas Siam kerana dewasa itu, Siam diperintah oleh kerajaan yang pro pihak Berikat. Pada September 1945, kerajaan Khuang Aiphaiwong digulingkan oleh Seni Pramoj. Akibat desakan British dan Perancis, Seni Pramoj tanpa bantahan telah menyerahkan kembali wilayah-wilayah yang dirampas oleh Siam semasa Perang Dunia Kedua kepada kuasa-kuasa tersebut. Akibatnya, British dan Perancis tidak perlu bertindak secara kekerasan ke atas Siam.
6. Kedudukan negeri Siam
Kedudukan Siam sedikit sebanyak juga memberi kesa ke atas kemerdekaan Siam. Secara amnya, Siam terletak lebih jauh ke Utara dan kedudukannya seumpama ini telah menyebabkan ia terkeluar dari jalan perdagangan ke Timur khususnya ke China. Akibatnya, kuasa-kuasa Barat tidak begitu berminat untuk menjajah Siam.
7. Bahan mentah
Dari segi sumber alam, Siam merupakan sebuah negara yang kekurangan bahan mentah. Ekonomi Siam hanya bergantung kepada sektor pertanian. Dewasa itu, Revolusi Perindustrian telah berlaku di negara-negara Eropah dan perkembangan ini telah meningkatkan keperluan terhadap bahan mentah. Akibatnya, kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba untuk mendapatkan tanah jajahan di Asia terutamanya Asia Tenggara bagi mendapatkan bekalan bahan mentah. Dalam hal ini, kuasa-kuasa Barat memang tidak berminat terhadap Siam kerana Siam tidak mempunyai sumber alam tersebut.

Kesimpulan
Pada keseluruhannya, kejayaan Siam mengekalkan kemerdekaannya adalah disebabkan oleh kebijaksanaan raja-rajanya yang memahami perkembangan politik antarabangsa. Dengan itu, tidak dapat dinafikan berpendapat D.E.G. Hall yang menyatakan bahawa Siam terhutang budi kepada Mongkut mempunyai kebenarannya memandangkan dasar yang dimulai oleh Mongkut telah berjaya mengekalkan kemerdekaan Siam. Di samping itu, persaingan di antara Perancis dan British juga mempunyai peranannya dalam kemerdekaan Siam.

Nasionalisme Siam

Pengenalan
Nasionalisme Siam bergerak mengikut haluan yang berbeza daripada negeri-negeri lain di Asia Tenggara. Nasionalisme Siam tidak bercorak anti-koloniah kerana Siam tidak dijajah. Ianya lebih bercorak anti-monarki, anti-Cina dan nasionalisme ekonomi serta kebudayaan. Pembaharuan yang dilaksanakan di Siam terutamanya sejak pemerintahan Chulalongkorn menjadi faktor yang mengakibatkan kebangkitan dan perkembangan nasionalisme Siam. Perkembangan tersebut telah menyedarkan rakyat Siam untuk bangun mempertahankan kemerdekaan mereka.

Nasionalisme
1. Kemerosotan sistem monarki
Kemerosotan sistem monarki mutlak sejak pemerintahan Vajiravudh menjadi faktor utama yang mengakibatkan kebangkitan dan perkembangan nasionalisme Siam. Vajiravudh dan Prajadhipok merupakan pemerintah yang lemah jika dibandingkan dengan Mongkut dan Chulalongkorn. Perkembangan semasa pemerintahan mereka telah mendedahkan kelemahan sistem monarki mutlak dan menggoncangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan golongan bangsawan.
a. Vajiravudh
Beliau pernah berada di seberang laut selama 9 tahun. Oleh sebab itu, beliau tidak mengetahui perkembangan yang berlaku di Siam dalam tempoh tersebut. Walaupun beliau berpelajaran tinggi, Vajiravudh tidak berminat dalam pentadbiran. Dalam menjalankan pentadbiran, beliau telah menyerahkannya kepada pegawai-pegawainya. Oleh sebab beliau tidak mengawal kegiatan pegawai-pegawai menyebabkan berlaku penyelewengan dan rasuah. Untuk mengisi jawatan-jawatan kerajaan, beliau mengamalkan dasar pilih kasih di mana beliau telah mengutamakan sahabat-sahabatnya. Menjelang tahun 1915, kebanyakan pegawai termasuk menteri yang dilantik oleh Chulalongkorn telah dipecat. Selain itu, Vajiravudh juga jarang mengadakan mesyuarat kabinet dan majlis-majlis yang ditubuhkan semasa Chulalongkorn tidak berfungsi. Vajiravudh juga seorang pemerintah yang boros dan banyak menghabiskan wang untuk hal-hal kesenian, perayaan-perayaan di istana dan sebagainya. Contohnya, beliau telah menggaji 3000 pekerja istana. Di samping itu, beliau juga menubuhkan pasukan tentera peribadi, iaitu pasukan Harimau Liar. Pasukan ini mendapat pelbagai keistimewaan jika dibandingkan dengan tentera biasa. Akibat daripada dasar-dasar yang diamalkan tersebut, perasaan tidak puas hati telah timbul sehingga berlakunya 2 kali percubaan membunuh Vajiravudh. Pecubaan pertama berlaku pada tahun 1912 diketuai oleh adiknya sendiri Putera Pitsanulok. Percubaan membunuh pada tahun 1917 pula dilakukan oleh tentera. Walau bagaimanapun, kedua-dua percubaan tersebut berjaya dipatahkan.
b. Prajadhipok
Ahli-ahli sejarah menganggap Prajadhipok tidak bersedia menjadi raja kerana beliau banyak menghabiskan masanya di seberang laut. Semasa pemerintahan Prajadhipok, pelbagai usaha telah diambil untuk mengembalikan kepentingan golongan bangsawan. Contohnya, semasa Vajiravudh, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bukan bangsawan tetapi semasa pemetintahan Prajadhipok, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bangsawan. Dalam usaha untuk mengatasi masalah ekonomi pula, beliau telah mengambil beberapa langkah tegas. Misalnya, beliau telah mengurangkan gaji serta kakitangan, menyekat kenaikan pangkat dan gaji, mengenakan cukai yang tinggi ke atas barang keperluan, menghapuskan jabatan-jabatan dan jawatan-jawatan yang tidak penting, membubarkan “Pasukan Harimau Liar” dan sebagainya. Tindakan tersebut telah mendapat tentangan orang ramai, terutamanya golongan yang berkepentingan. Selain itu, langkah-langkah yang diambil oleh Prajadhipok juga dianggap sebagai kelemahan beliau. Justeru itu, ia membangkitkan semangat nasionalisme.
2. Perkembangan pelajaran Barat
Perkembangan pelajaran Barat terutamanya sejak pemerintahan Chulalongkorn telah melahirkan golongan intelek di Siam. Mereka yang mendapat pelajaran Barat terutamanya di seberang laut telah terdedah kepada idea-idea Barat seperti kerajaan berperlembagaan, demokrasi, liberal, sosialisme, komunisme dan sebagainya. Usaha-usaha mereka untuk melaksanakan idea-idea tersebut di Siam mendapat tentangan golongan bangsawan yang menguasai pentadbiran Siam. Mereka yang dapat pelajaran di Jerman dan Perancis dianggap lebih radikal kerana golongan ini menentang sistem monarki mutlak dan menganggapnya sebagai sistem lapuk yang menghalang kemajuan Siam. Antara golongan intelek ini ialah Pridi Panomyong, Pribun Songkram, Khuang Aiphaiwong, Phya Bahol, Phya Manopakorn dan lain-lain lagi. Donald E. Nuechterlein dalam bukunya “Thailand and the Struggle for South East Asia” mendakwa punca utama kebangkitan nasionalisme ialah keazaman golongan intelek untuk memodenkan struktur politik dan mengadakan pembaharuan ekonomi yang radikal.
3. Anti-Cina
Walaupun bilangan orang Cina kecil, tetapi mereka telah menguasai ekonomi Siam. Peranan orang Cina sebagai peminjam wang telah menyebabkan banyak tanah orang Siam jatuh ke tangan orang Cina. Peranan orang Cina sebagai orang tengah pula menghimpitkan lagi kehidupan orang Siam. Orang-orang Cina dianggap sebagai “Yahudi Timur” dan masih menumpukan taat setia terhadap negara asal mereka. Kemarahan orang Siam bertambah kerana semua pertubuhan yang diwujudkan oleh orang-orang Cina hanya terbuka kepada orang Cina. Kemarahan orang Siam terhadap kerajaan kerana kerajaan tidak mengambil langkah untuk menyekat kegiatan orang-orang Cina menindas orang Siam. Malah orang Cina diberi peluang ekonomi yang lebih luas seperti monopoli eksais ke atas perjudian, loteri, minuman keras dan ganja.
Selepas revoludi, usaha-usaha dijalankan untuk menyekat kepentingan orang Cina di Siam. Orang-orang Cina tidak lagi bebas masuk ke Siam. Setiap orang Cina yang masuk ke Siam dikenakan cukai 100 baht. Perusahaan-perusahaan orang Cina dikenakan cukai yang tinggi dan 26 jawatan dalam perkhidmatan kerajaan diharamkan bagi orang Cina. Sekolah-sekolah dan akhbar-akhbar Cina juga ditutup.
4. Nasionalisme ekonomi
Dalam usaha untuk mengelakkan ekonomi Siam dikuasai oleh orang-orang asing, kerajaan telah menjalankan beberapa langkah ke arah melaksanakan nasionalisme ekonomi. Kerajaan mula melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti pengeluaran getah, kilang memproses getah, minyak dan kertas serta perkhidmatan keretapi. Kerajaan juga telah memberi subsidi kepada orang-orang Siam dan syarikat-syarikat Siam dalam kegiatan ekonomi. Orang-orang Siam digalakkan untuk melibatkan diri dalam perdagangan dan perusahaan. Arahan telah dikeluarkan supaya syarikat-syarikat asing memiliki 70% modal dan 75% kakitangan Siam. Kerajaan juga telah ambilalih perusahaan asing untuk diserahkan kepada orang-orang Siam atau syarikat-syarikat Siam. Contohnya: perusahaan kayu jati yang selama ini dikuasai oleh Syarikat British “Bombay Burma Trading Company” (BBTC) telah diambilalih dan diserahkan kepada syarikat Siam. Dalam kegiatan ekonomi, kerajaan mengutamakan orang-orang Siam dan syarikat-syarikat siam. Langkah-langkah diskriminasi juga dijalankan di mana perusahaan-perusahaan orang asing dikenakan cukai yang lebih tinggi daripada perusahaan orang-orang Siam.
5. Perubahan selepas Perang Dunia Pertama
Perubahan yang berlaku selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918) telah mengakibatkan kebangkitan nasionalisme Siam. Perjanjian Versailles 1919 telah mengiktiraf Siam sebagai negara merdeka dan diterima sebagai anggota Liga Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1922. Mulai tahun tersebut juga, kuasa-kuasa Barat mula menghapuskan “Hak Wilayah Asingan” mereka di Siam. Perkembangan ini menyedarkan rakyat Siam untuk bangun mempertahankan kemerdekaan mereka.
6. Nasionalisme kebudayaan
Nasionalis-nasionalis telah berjaya membangkitkan semangat kemegahan bangsa dan kebudayaan Siam. Pendidikan Siam dan penggunaan bahasa Siam digalakkan. Agama Buddha telah dijadikan lambang penyatuan orang-orang Siam. Mereka mendakwa hanya penganut agama Buddha boleh menjadi pejuang bangsa dan negara. Mengabuti agama Buddha dianggap sebagai tanda taat setia terhadap negara Siam. Perkembangan ini telah menyebabkan ramai orang Siam-Kristian kembali kepada ajaran Buddha sejak tahun 1930-an.
7. Pribun Songkram
Semasa Pribun Songkram menjadi Perdana Menteri sejak Disember 1938, langkah-langkah yang tegas telah diambil untuk menanamkan semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme bukan sahaja ditanam di kalangan orang-orang Siam di Siam tetapi juga di kalangan orang-orang Siam di Laos dan Kemboja. Pada tahun 1939, nama Siam ditukar menjadi Thailand yang bermaksud negeri atau tanah yang bebas. Tujuannya ialah untuk menimbulkan semangat nasionalisme bangsa di kalangan orang-orang Siam kerana negeri Siam merupakan satu-satunya negeri di Asia Tenggara yang tidak dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Pribun Singkram juga menubuhkan Pasukan Pemuda Militan dan merangka tatasusila kebangsaan yang dikenali sebagai wiratham. Usaha-usaha juga dijalankan bagi mendapatkan kembali wilayah-wilayah Siam yang telah dikuasai oleh British dan Perancis. Usaha ini berjaya dilaksanakan sejak tahun 1941 dengan kerjasama Jepun. Antara wilayah yang berjaya dikuasai semula oleh Siam ialah Batambang, Seam Reap, Laos, Kentung, Negeri-negeri Meleyu Utara dan sebagainya.

Kesimpulan
Gerakan nasionalisme di Siam merupakan percubaan orang-orang Siam untuk meminda perlembagaan negeri dan perjuangan rakyat untuk mendapatkan hak mereka. Gerakan nasionalisme di Siam adalah sesuatu yang unik kerana ia hanya melibatkan golongan elit dan tentera dan tidak melibatkan rakyat. Keadaan ini telah membezakan Siam dengan negara-negara lain di Asia Tenggara.

Penerimaan dan Pengubahsuaian di Thailand

Pengenalan
Thailand ialah negera di Asia Tenggara yang tidak dijajahi oleh mana-mana imperialis barat. Walau bagaimanapun, masih terdapat pengaruh dari barat yang berjaya meresap masuk ke dalam bidang pentadbiran, sosial dan ekonomi.

Dari segi pentadbiran
Pihak pemerintah Siam telah berusaha memodenkan pentadbiran Kerajaan Siam. Beberapa orang penasihat berbangsa barat telah dilantik oleh Siam seperti penasihat dari British, Brazil, Perancis dan Amerika Syarikat. Satu Majlis Negeri turut ditubuhkan dan ia terdiri daripada Majlis Mesyuarat Tertinggi dan Majlis Penasihat Rendah pada tahun 1874. Badan Penasihat Raja pula digantikan dengan Menteri-menteri Kabinet. Pelbagai kementerian ditubuhkan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Keadilan dan sebagainya. Semua kementerian ini diketuai oleh putera-putera raja dan dibantu oleh pakar asing. Mengikut sistem pentadbiran British di Myanmar, Siam membahagikan wilayahnya kepada 18 bulatan. Setiap bulatan ini diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi Residen. Bulatan ini kemudian dibahagikan kepada wilayah (maunt) dan wilayah ini dibahagikan kepada daerah (Ampur). Seterusnya, daerah-daerah ini dibahagikan kepada kampung (Tambol) dan kampung-kampung ini pula dibahagikan kepada desa (Hamlet) dan ia diketuai oleh seorang ketua desa.
Pihak Siam telah menubuhkan Kementerian Kehakiman Khas yang dibantu oleh seorang Peguam. Pada tahun 1894, sistem pentadbiran kehakiman disusun semula. Pada tahun 1904, mahkamah jenayah dan awam ditubuhkan. Mahkamah ini mempunyai undang-undang jenayah sendiri. Kemudian, Kanun Hukuman telah diperkenalkan oleh Peguam Perancis pada tahun 1908. Sistem penjara dan angkatan polis turut disusun semula.

Dari segi ekonomi
Pihak Siam telah menghapuskan sekatan perdagangan dengan kuasa asing. Selain itu, pelbagai kemudahan asas seperti jalan raya dan jalan keretapi turut disediakan.

Dari segi sosial
1. Pendidikan
Pelajaran barat telah dititkberatkan. Sekolah-sekolah rendah dan menengah telah didirikan. Maktab-maktab bagi kaum bangsawan turut ditubuhkan. Pihak Siam telah memaksa rakyat jelatanya untuk mendapatkan pendidikan Inggeris. Jabatan Pelajaran turut ditubuhkan oleh pihak Siam.
2. Adat
Dari segi adat, sistem perhambaan mula dihapuskan. Di samping itu, istiadat sujut semasa manghadap raja turut dihapuskan. Sistem buruh paksa pula digantikan dengan sistem buruh dibayar. Amalan golongan Prai dan hamba yang terpaksa berkhidmat dalam ketenteraan dan polis turut di hapuskan. Sejak masa ini, raja juga sering menghadap khalayak ramai.

Campur Tangan Kuasa Asing di Thailand

Pengenalan
Abad ke-19 merupakan zaman peluasan wilayah kuasa Barat. Mereka berlumba-lumba mencari tanah jajahan terutama di sebelah Timur. Hal ini disebabkan mereka memerlukan bahan-bahan mentah untuk keperluan perusahaan di negara mereka akibat revolusi perusahaan. Selain itu, mereka memerlukan pasaran bagi barang-barang kilang mereka. Selanjutnya, sebagai kuasa tentera, kuasa-kuasa Barat memerlukan pangkalan angkatan laut untuk menjamin kedudukan mereka. Akibatnya, banyak negeri di Asia Tenggara yang telah jatuh ke tangan kuasa-kuasa Barat. British bertapak di Myanmar dan Tanah Melayu, Balanda di Indonesia dan Sepanyol di Filipina.

Wilayah yang hilang kepada British dan kepentingannya
Hubungan Chulalongkorn dengan British dalam keadaan yang tidak memuaskan. Hal ini disebabkan adanya campur tangan British di Negeri-negeri Melayu Utara. Memandangkan pengaruh Siam yang mengalami kejatuhan di Negeri-negeri Melayu tersebut dan Siam memerlukan bantuan dari pihak British menyebabkan Raja Chulalongkorn menandatangani satu perjanjian iaitu Perjanjian Bangkok pada tahun 1909. Berdasarkan perjanjian itu, pihak berkuasa Siam menyerahkan 4 negeri Melayu Utara iaitu, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada pengawalan British. Sebagai balasan, pihak British berjanji tidak akan campur tangan di wilayah-wilayah Siam yang lain dan memberi pinjaman untuk pembinaan jalan keretapi.
Bagi pihak British, British ingin menggabungkan 4 negeri Melayu tersebut dengan Negeri-negeri Melayu yang telah diletakkan di bawah pengawalan British iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Dengan gabungan ini bermakna lengkaplah penubuhan Tanah Melayu. Dengan pengambilan 4 negeri Melayu itu bermakna British dapat menghalang campur tangan asing di negeri-negeri tersebut. Ketika ini, kuasa Barat yang menjadi ancaman kepada British ialah Jerman. Sejak penyatuan Jerman pada tahun 1871, negara tersebut telah berusaha untuk menandingi British dalam penguasaan angkatan laut. Selanjutnya, Jerman telah berusaha mendapat wilayah di Asia Tenggara untuk dijadikan pangkalan angkatan laut. Pada tahun 1899, terdengar berita mengatakan bahawa Jerman telah cuba mendapatkan Pulau Langkawi dari pemerintahan Siam. Keadaan ini juga mempengaruhi British mengadakan persahabatan dengan Perancis pada tahun 1904 (Ententi Cordiale) yang mana pihak British membenarkan Perancis bertindak di Kampuchea.

Wilayah yang hilang kepada Perancis dan kepentingannya
Sungguhpun ketika Raja Chulalongkorn menjadi raja (1868-1910) menjalankan dasar “buka pintu” dengan mengadakan persahabatan dengan Barat, Negeri Siam masih mendapat tekanan dari Perancis. Perancis telah bergiat di Indo-China dengan mengadakan tuntutan wilayah. Oleh sebab hubungan Siam dengan Perancis dalam keadaan yang genting maka Chulalongkorn telah menyerahkan wilayah-wilayah yang dituntut oleh Perancis. Misalnya, wilayah tebing Sungai Mekong (1886), wilayah di Tongking Utara (1888), wilayah sebelah Timur Sungai Mekong termasuk Luang Prabang (1893), wilayah sepanjang sempadan Laos-Siam (1904) dan wilayah Battambang dan Siemreap (1907). Dengan ini bermakna seluruh Indo-China jatuh ke tangan Perancis.
Perancis menuntut wilayah di Indo-China dari negeri Siam kerana ingin menubuhkan Empayar Perancis di Indo-China. Tujuan ini perlu dilaksanakan memandangkan adanya persaingan pengaruh British yang kuat terutama di negeri Siam. Hal ini bermakna pengaruh British boleh berkembang di mana-mana bahagian Indo-China. Oleh itu, dengan penaklukan Indo-China bermakna pihak Perancis dapat menghalang kemungkinan merebaknya pengaruh British itu. Selain itu, ia juga menjamin perjalanan darat ke Yunnan yang terletak di Selatan China. Perjalanan darat ini dianggap penting kerana Perancis boleh mengadakan hubungan perdagangan dengan China. Pihak Perancis menganggap negeri China mempunyai potensi yang baik untuk menjadi pasaran bagi barang-barang buatan Perancis.

Kesimpulan
Dengan penyerahan wilayah-wilayah kepada Perancis dan British, negeri Siam telah kehilangan wilayah seluas kira-kira 90000 batu persegi. Namun demikian, tindakan itu merupakan satu tindakan bijak untuk menghalang ancaman dari kedua-dua kuasa Barat itu. Ternyata tindakan ini dapat menyelamatkan Siam dari ditawan oleh Perancis atau British. Negeri Siam kekal sebagai negara yang berdaulat dan merdeka di tengah-tengah dasar perluasan wilayah kuasa-kuasa Barat.

Revolusi Siam 1932

Pengenalan
Revolusi tanpa pertumpahan darah telah berlaku di Siam pada 24 Jun 1932. Revolusi tersebut telah menamatkan sistem monarki mutlak dan digantikan dengan sistem monarki berperlembagaan. Ahli-ahli sejarah tidak menganggapnya sebagai revolusi massa kerana tidak disertai oleh orang ramai. Revolusi tersebut hanya disertai oleh pegawai-pegawai awam dan tentera bukan golongan bangsawan. Revolusi 1932 dipimpin oleh Pridi Panomyong yang mendapat bantuan pegawai-pegawai tentera seperti Phya Bahol, Pribun Songkram, Khuang Aiphaiwong dan Phya Manapakorn. Revolusi ini menandakan permulaan kepada berlakunya pergolakan dalam politik Siam hingga hari ini.

Sebab-sebab
1. Kemerosotan sistem monarki mutlak
Kemerosotan sistem monarki mutlak menjadi faktor utama mengakibatkan meletusnya Revolusi 1932. Kemerosotan tersebut telah menimbulkan kebencian dan menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan golongan bangsawan. Kemerosotan sistem monarki mutlak bermula semasa pemerintahan Vajiravudh disebabkan oleh dasar pentadbirannya. Dalam menjalankan pentadbiran, baginda telah menyerahkannya kepada pegawai-pegawainya. Oleh sebab baginda tidak mengawasi kegiatan pegawai-pegawainya, menyebabkan rasuah dan penyelewengan berleluasa. Selain itu, baginda juga mengamalkan dasar pilih kasih dalam mengisi jawatan kerajaan. Baginda jarang mengadakan mesyuarat kabinet majlis-majlis yang ditubuhkan oleh Chulalongkorn. Dalam menjalankan pentadbiran, baginda lebih mengutamakan golongan bukan bangsawan. Misalnya, 8 daripada 12 kementerian di Siam diketuai oleh golongan bukan bangsawan. Akibatnya, pemerintahan Vajiravudh mendapat tentangan golongan bangsawan.
Baginda juga menubuhkan pasukan tentera peribadi yang dikenali sebagai “Pasukan Harimau Liar”. Pasukan ini mendapat pelbagai keistimewaan berbanding dengan tentera biasa. Tindakan Vajiravudh ini ditentang pula oleh tentera biasa. Akibat dari perasaan tidak puas hati berlaku 2 percubaan membunuh baginda, iaitu tahun 1912 dan 1917. Walau bagaimanapun, kedua-dua percubaan itu berjaya dipatahkan.
Sistem monarki mutlak menjadi semakin lemah semasa pemerintahan Prajadhipok. Baginda cuba mengembalikan kepentingan golongan bangsawan. Sebagai contoh, semasa Vajiravudh, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bukan bangsawan tetapi semasa pemerintahan Prajadhipok, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bangsawan. Tindakan baginda telah ditentang oleh pegawai-pegawai awam dan tentera bukan golongan bangsawan.
Dalam usaha untuk menghadapi kemelesetan ekonomi, Prajadhipok telah mengambil langkah ke arah mengurangkan perbelanjaan, misalnya mengurangkan gaji serta kakitangan, memecat pegawai yang dilantik atas dasar pilih kasih oleh Vajiravudh dan menghapuskan jawatan tidak penting. Walaupun langkah ini sedikit sebanyak dapat memulihkan ekonomi, tetapi pemulihan tersebut tidak kekal lama disebabkan kemelesetan ekonomi yang lebih teruk pada tahun 1929. Akibatnya, Prajadhipok terpaksa mengambil langkah yang lebih tegas, misalnya menyekat kenaikan pangkat dan gaji serta membubarkan “Pasukan Harimau Liar”. Langkah-langkah ini telah menambahkan ketidakpuasan di kalangan pegawai awam dan tentera.
2. Perkembangan pelajaran
Perkembangan pelajaran Barat terutamanya sejak pemerintahan Chulalongkorn telah melahirkan golongan intelek di Siam. Mereka yang mendapat pelajaran Barat terutamanya di seberang laut telah terdedah kepada idea-idea Barat seperti kerajaan berperlembagaan, demokrasi, liberal, sosialisme, komunisme dan sebagainya. Usaha-usaha mereka untuk melaksanakan idea-idea tersebut di Siam mendapat tentangan golongan bangsawan yang menguasai pentadbiran Siam. Mereka yang dapat pelajaran di Jerman dan Perancis dianggap lebih radikal kerana golongan ini menentang sistem monarki mutlak dan menganggapnya sebagai sistem lapuk yang menghalang kemajuan Siam. Antara golongan intelek itu ialah Pridi Panomyong, Pribun Songkram, Phya Bahol, Phya Manapakorn, Khuang Aiphaiwong dan lain-lain lagi. Donald E. Nuechterlein dalam bukunya “Thailand and the Struggle for South East Asia” mendakwa punca utama berlakunya revolusi ialah keazaman golongan intelek untuk memodenkan struktur politik dan mengadakan pembaharuan yang radikal.
3. Kemelesetan ekonomi
Pentadbiran yang tidak cekap, rasuah serta penyelewengan dan pemborosan Vajiravudh telah membebankan ekonomi Siam. Masalah ekonomi semakin runcing apabila berlaku kemelesetan ekonomi dunia 1920-an dan 1930-an. Pada tahun 1931, Siam mengalami kekurangan sebanyak 11 juta bath. Prajadhipok telah mengambil beberapa langkah tegas dalam usaha untuk mengatasi masalah ekonomi. Antaranya ialah mengurangkan gaji serta kakitangan, menyekat kenaikan pangkat serta gaji, mengenakan cukai yang tinggi ke atas barang keperluan, menghapuskan jabatan-jabatan dan jawatan-jawatan yang tidak penting, membubarkan “Pasukan Harimau Liar” dan sebagainya. Tindakan tersebut telah mendapat tentangan ramai, terutamanya daripada mereka yang kepentingannya terjejas. Selain itu, langkah-langkah tersebut dianggap sebagai kelemahan Prajadhipok.
4. Krisis politik
Kemelesetan ekonomi telah menyebabkan peruntukan kewangan kepada jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian dikurangkan. Langkah tersebut telah menimbulkan perbalahan antara Menteri Pertahanan Putera Bovaradej dengan Menteri Perdagangan Putera Purachatra. Krisis politik yang berlaku pada Oktober 1931 telah mengoncangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan golongan bangsawan.
5. Kebebasan akhbar
Kebebasan akhbar telah lama dilaksanakan di Siam. Pada tahun 1931, Prajadhipok telah mengeluarkan arahan supaya semua berita perlu ditapis sebelum disiarkan. Arahan tersebut telah dapat tentangan ramai kerana ianya memperlihatkan kecurigaan kerajaan dalam kebebasan akhbar.
6. Anti Cina
Walaupun bilangan orang Cina kecil, tetapi mereka telah menguasai ekonomi Siam. Peranan orang Cina sebagai peminjam wang telah menyebabkan banyak tanah orang Siam jatuh ke tangan orang Cina. Peranan orang Cina sebagai orang tengah telah menghimpitkan lagi kehidupan orang Siam. Orang-orang Cina dianggap sebagai “Yahudi Timur” dan masih menumpukan taat setia terhadap negara asal mereka. Kemarahan orang Siam bertambah kerana semua pertubuhan yang diwujudkan oleh orang-orang Cina hanya terbuka kepada orang Cina. Kemarahan orang Siam terhadap kerajaan kerana kerajaan tidak mengambil langkah untuk menyekat kegiatan orang-orang Cina menindas orang Siam. Malah orang Cina diberi peluang ekonomi yang lebih luas seperti monopoli eksais ke atas perjudian, loteri, minuman keras dan ganja.
7. Agama
Kegiatan mubaligh-mubaligh menyebarkan agama Kristian mendapat tentangan orang ramai terutamanya daripada golongan sami. Akibat kegiatan mubaligh, ramai orang Siam terutamanya golongan muda telah memeluk agama Kristian dan mereka ini telah meninggalkan budaya Siam. Orang ramai telah mendesak kerajaan supaya menyekat kegiatan mubaligh-mubaligh menyebarkan agama Kristian. Keengganan kerajaan telah menambahkan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan pimpinan golongan bangsawan.

Kesan-kesan
1. Menamatkan sistem monarki mutlak
Revolusi 1932 telah menamatkan sistem monarki mutlak dan digantikan dengan sistem monarki berperlembagaan. Keistimewaan golongan bangsawan dan perkhidmatan kerajaan dihapuskan mereka tidak dibenarkan memegang jawatan-jawatan penting seperti menteri, timbalan menteri, ketua jabatan dan sebagainya. Selepas revolusi mereka yang bukan golongan bangsawan memainkan peranan penting dalam pentadbiran.
2. Perubahan ekonomi dan sosial
Revolusi 1932 bukan sahaja membawa perubahan politik, tetapi juga perubahan ekonomi dan sosial. Pelbagai perubahan telah berlaku seperti pendidikan yang universal, kebebasan akhbar, sistem cukai pendapatan yang gratitude, iaitu yang bergantung kepada pendapatan dan sebagainya. Langkah-langkah juga dijalankan untuk meninggikan taraf hidup orang Siam. Antara langkah tersebut ialah memberi subsidi, mengutamakan orang-orang Siam serta syarikat-syarikat Siam dan mengambilalih perusahaan asing untuk diserahkan kepada orang-orang Siam atau syarikat Siam.
3. Tentera
Selepas revolusi, golongan tentera memainkan peranan penting dalam pentadbiran Siam. Perdana Menteri yang dilantik terdiri daripada pegawai-pegawai tentera. Antara mereka ialah Phya Manapakorn (1932), Phya Bahol (1933), Pribun Songkram (1938), Khuang Aiphaiwong (1944), Seni Pramoj (1945) dan lain-lain lagi. Perbalahan sering berlaku terutamanya di antara pegawai-pegawai awam dan tentera.
4. Nasionalisme
Revolusi 1932 telah mengakibatkan kebangkitan semangat nasionalisme di Siam. Walaupun nasionalisme Siam tidak bercorak anti-kolonial kerana Siam tidak dijajah, tetapi nasionalisme Siam bercorak anti-monarki, anti-Cina dan nasionalisme ekonomi serta kebudayaan. Orang-orang Siam mahu melaksanakan perubahan politik, ekonomi dan sosial bagi mengekalkan kemerdekaan Siam.
5. Revolusi lain
Revolusi 1932 menandakan permulaan kepada berlakunya revolusi lain dalam politik Siam seterusnya. Contohnya, Revolusi Phya Bahol Jun 1933, Revolusi Putera Bovaradej Oktober 1933, Revolusi Pribun Songkram Disember 1938, Revolusi Khuang Aiphaiwong Julai 1944, Revolusi Seni Pramoj September 1945, Revolusi Khuang Aiphaiwong Januari 1946, Revolusi Pridi Panamyong Mac 1946, Revolusi Thamrong Nawasawad Ogos 1946, Revolusi Khuang Aiphaiwong November 1947, Revolusi Pribun Songkram Ogos 1948 dan sebagainya.
6. Thailand
Pada Jun 1939, nama Siam ditukar menjadi Thailand atau Maung Thai yang bermaksud tanah/negeri yang bebas. Penukaran nama ini dilaksanakan semas aPribun Songkram menjadi Perdana Menteri Siam. Tujuannya ialah untuk menimbulkan semangat kemegahan bangsa di kalangan orang Siam kerana negeri Siam merupakan satu-satunya negeri yang tidak dijajah oleh kuasa-kuasa Barat.
7. Langkah terhadap orang Cina
Selepas revolusi, usaha-usaha dijalankan untuk menyekat kepentingan orang-orang Cina di Siam. Orang-orang Cina tidak lagi bebas masuk ke Siam. Tiap-tiap orang Cina yang masuk ke Siam dikenakan cukai 100 baht. Perusahaan-perusahaan orang Cina dikenakan cukai yang tinggi dan 26 jawatan dalam perkhidmatan kerajaan diharamkan bagi orang Cina. Sekolah-sekolah dan akhbar-akhbar Cina ditutup.
8. Wilayah Siam
Usaha-usaha juga dijalankan bagi mendapatkan kembali wilayah-wilayah Siam yang telah dikuasai oleh British dan Perancis. Usaha ini dijalankan oleh Pribun Songkram. Dengan kerjasama Jepun, Siam telah merampas kembali beberapa wilayahnya seperti Laos, Batambang, Seam Reap, Maung Pan, Kentung dan Negeri-negeri Melayu Utara.
9. Perlembagaan baru
Revolusi 1932 telah membawa kepada perlaksanaan perlembagaan baru yang menentukan hak rakyat, raja dan Dewan Perundangan.
a. Hak rakyat
· Rakyat mendapat hak dan peluang yang sama dalam politik, ekonomi dan sosial.
· Kemantapan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk kepentingan rakyat.
· Kemerdekaan yang tidak akan menjejaskan kepentingan rakyat.
· Kerajaan bertanggungjawab mewujudkan keamanan, peraturan dan ketenteraman untuk kesejahteraan rakyat.
b. Hak raja
· Sistem monarki mutlak dihapuskan dan digantikan dengan sistem monarki berperlembagaan.
· Raja diberi kuasa pengampunan.
· Raja berkuasa membubarkan Dewan Perundangan walaupun tanpa persetujuan kabinet.
· Raja berkuasa membatalkan undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Perudangan tetapi Dewan Perundangan berkuasa untuk menolak pembatalan tersebut.
· Raja berkuasa mengisytiharkan Darurat tetapi mesti ditandatangani oleh sekurang-kurangnya seorang menteri.
c. Hak Dewan Perundangan
· Demokrasi berparlimen akan diwujudkan di mana sebuah Dewan Perundangan akan diwujudkan.
· Dewan Perundangan akan mempunyai 156 orang ahli dan raja berkuasa untuk melantik ½ daripada ahli dewan sehingga pilihanraya diadakan.
· Parti Rakyat Pimpinan Pridi Panamyong diberi kuasa menubuhkan kerajaan sementara sehingga kerajaan berdasarkan perlembagaan beru dibentuk.
· Pilihanraya umum akan diadakan 4 tahun sekali. Calon-calon yang bertanding mesti berbangsa Siam, berumur 23 tahun ke atas, tinggal di kawasan mengundi dan mempunyai tingkat pelajaran yang ditetapkan.

Kesimpulan
Revolusi Siam 1932 telah menamatkan pemerintahan sistem monarki mutlak. Politik Siam yang seterusnya telah memperlihatkan persaingan antara golongan tentera dan parlimen (ahli-ahli politik) untuk memegang teraju kerajaan. Revolusi Siam 1932 merupakan peristiwa penting dalam sejarah Siam kerana ia telah membawa banyak perubahan. Revolusi Siam 1932 juga menunjukkan kecenderungan golongan nasionalis untuk mengubah institusi pemerintahan yang ada kepada institusi pemerintahan yang lebih membawa keuntungan kepada negara dan rakyat.

Politik Siam 1910-1941

Pengenalan
Mongkut menaiki takhta sebagai Raja Rama IV pada 3 April 1851. Pemerintahanya membawa kepada permulaan pembaharuan berdasarkan idea Barat dilaksanakan di Siam. Baginda mangkat pada 1 Oktober 1868 selepas memerintah selama 18 tahun dan digantikan oleh puteranya Chulalongkorn sebagai Raja Rama V. Pemerintahan Chulalongkorn memperlihatkan pembaharuan yang lebih luas dilaksanakan di Siam. Ahli-ahli sejarah menganggap Chulalongkorn bertanggungjawab dalam melaksanakan pembaharuan dalam erti kata yang sebenarnya. Baginda telah mempercepat dan memperluaskan pembaharuan yang dimulai oleh Mongkut. Chulalongkorn mangkat pada 23 April 1910 selepas memerintah selama 42 tahun. Pemerintah-pemerintah Siam selepas Chulalongkorn ialah Vajiravudh, Prajadhipok dan Ananda Mahidol.

Vajiravudh 1910-1925
Selepas kemangkatan Chulalongkorn pada 23 April 1910, puteranya Vajiravudh dilantik sebagai Raja Rama VI. Baginda merupakan putera raja Siam yang pertama mendapat pelajaran di seberang laut, khususnya di Universiti Oxford. Baginda berada di seberang laut selama 9 tahun dan pernah berkhidmat dalam angkatan tentera British. Oleh sebab terlalu lama berada di seberang laut, maka hubungannya dengan keluarga menjadi renggang dan baginda tidak mengetahui perkembangan yang berlaku di Siam dalam tempoh tersebut.
Ahli-ahli sejarah menganggap Vajiravudh merupakan seorang pemerintah yang lemah jika dibandingkan dengan Mongkut ataupun Chulalongkorn. Walaupun baginda berpelajaran tinggi di seberang laut, Vajiravudh tidak berminat dalam pentadbiran. Baginda lebuh menumpukan perhatian dalam hal-hal kesenian, kesusasteraan, kebudayaan, penulisan, seni lukis, lakonan dan sebagainya. Baginda telah menulis 200 artikel dalam akhbar-akhbar Siam terutamanya yang berkaitan dengan sejarah dan kesusasteraan Siam. Baginda juga telah menterjemah karya-karya Barat terutamanya karya Shakespear dan Moliere ke dalam Bahasa Siam.
Dalam menjalankan pentadbiran, baginda menyerahkannya kepada pegawai-pegawainya. Oleh sebab baginda tidak mengawasi kegiatan pegawai-pegawainya menyebabkan mereka melakukan rasuah dan penyelewengan untuk kepentingan diri sendiri. Untuk mengisi jawatan-jawatan kerajaan, Vajiravudh mengamalkan sikap pilih kasih di mana baginda mengutamakan sahabat-sahabatnya terutamanya yang sama-sama belajar dengannya di England. Menjelang tahun 1915, kebanyakan pegawai yang dilantik semasa Chulalongkorn telah dipecat dan digantikan dengan sahabat-sahabatnya. Vajiravudh jarang mengadakan mesyuarat kabinet dan majlis-msjllis yang ditubuhkan semasa Chulalongkorn seperti Majlis Penasihat Tertinggi Negeri dan Majlis Penasihat Rendah Negeri tidak berfungsi. Semasa Chulalongkorn, golongan bangsawan memainkan peranan penting dalam pentadbiran. Semasa Vajiravudh, mereka yang bukan golongan bangsawan telah dilantik memegang jawatan-jawatan penting. Sebagai contoh, semasa Chulalongkorn, semua kementerian diketuai oleh golongan bangsawan tetapi semasa Vajiravudh, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bukan bangsawan. Akibatnya, pemerintahan Vajiravudh mendapat tentangan golongan bangsawan kerana dasar pentadbirannya menjejaskan kepentingan golongan bangsawan.
Vajiravudh merupakan seorang pemerintah yang boros dan banyak menghabiskan wang untuk hal-hal kesenian, perayaan-perayaan di istana dan sebagainya. Sebagai contoh, baginda telah menggaji 3000 pekerja istana. Selain itu, baginda juga telah menubuhkan pasukan tentera peribadi yang dikenali sebagai “Pasukan Harimau Liar”. Pasukan ini mendapat pelbagai keistimewaan jika dibandingkan dengan tentera biasa. Pentadbiran yang tidak cekap, rasuah serta penyelewengan dan pemborosan Vajiravudh telah membebankan ekonomi Siam. Masalah ekonomi semakin runcing apabila berlaku kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1920-an.
Akibat perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan Vajiravudh, menyebabkan berlaku percubaan membunuhnya sebanyak dua kali. Percubaan membunuh tahun 1912 diketuai oleh adiknya sendiri, Putera Pitsanulok kerana dasar pentadbiran Vajiravudh menjejaskan kepentingan golongan bangsawan. Percubaan membunuh tahun 1917 dilakukan oleh tentera akibat tindakan baginda menyebelahi Pihak Berikat dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918). Majoriti tentera Siam bersikap pro-Jerman lebih-lebih yang mendapat latihan dari pegawai-pegawai Jerman. Walau bagaimanapun, kedua-dua percubaan membunuh tersebut berjaya dipatahkan oleh tentera-tentera yang masih setia terhadap Vajiravudh. Tindakan Vajiravudh menyebelahi Pihak Berikat menguntungkan Siam kerana peperangan tersebut dimenangi oleh Pihak Berikat. Selepas Perang Dunia Pertama, Siam berjaya merampas kembali perkhidmatan keretapi yang dikuasai oleh Jerman sebelum Perang Dunia Pertama. Perjanjian Versailles 1919 telah mengiktiraf Siam sebagai negara merdeka dan diterima sebagai anggota Liga Bangsa-bangsa (LBB) pada tahun 1922. Mulai tahun tersebut juga, kuasa-kuasa Barat mula menghapuskan hak wilayah asingan mereka di Siam kerana mengenangkan jasa Siam menyebelahi Pihak Berikat dalam Perang Dunia Pertama.
Walau pemerintahan Vajiravudh menimbulkan pelbagai masalah, terutamanya masalah ekonomi, tetapi beberapa tindakan baginda telah memberi sumbangan ke arah pembaharuan Siam. Baginda telah berjaya menubuhkan pasukan pengangkap dan pertolongan cemas terutamanya di sekolah-sekolah, mendirikan Universiti Chulalongkorn (1917), mendirikan sekolah Vajiravudh (1921) dan melaksanakan rakan pelajaran rendah wajib sejak tahun 1921. Baginda juga melaksanakan undang-undang monogami dan mengadakan pembaharuan ke atas pakaian wanita tradisional Siam terutamanya pakaian wanita supaya kelihatan kemas. Penyuntikan wajib dan kalendar mengikut cara Barat juga dilaksanakan oleh baginda. Baginda mangkat pada tahun 1925 dan digantikan oleh adik bongsunya Prajadhipok.

Prajadhipok 1925-1935
Selepas kemangkatan Vajiravudh pada tahun 1925, adiknya Prajadhipok dilantik sebagai Raja Rama VII kerana Vajiravudh tidak mempunyai putera. Ahli-ahli sejarah menganggap Prajadhipok tidak bersedia menjadi raja kerana baginda banyak menghabiskan masa di seberang laut. Oleh sebab baginda mendapat pelajaran Barat di seberang laut, Prajadhipok telah terdedah kepada idea-idea Barat seperti liberal, demokrasi, kerajaan berpelembagaan dan sebagainya. Baginda berusaha melaksanakan idea-idea tersebut di Siam. Walau bagaimanapun, tindakan baginda dapat tentangan golongan bangsawan kerana perlaksanaan idea-idea tersebut akan menjejaskan kepentingan golongan bangsawan.
Prajadhipok berusaha memulihkan kembali majlis-majlis yang diabaikan semasa pemerintahan Vajiravudh. Pada tahun 1927, baginda menubuhkan Majlis Tertinggi yang dianggotai oleh 5 orang golongan bangsawan. Pemerintahan Prajadhpok memperlihatkan usaha untuk mengembalikan kepentingan golongan bangsawan. Sebagai contoh, semasa Vajiravudh, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh bukan golongan bangsawan tetapi semasa Prajadhipok, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bangsawan. Akibatnya, pemerintahan Prajadhipok mendapat tentangan pegawai-pegawai awam dan tentera bukan golongan bangsawan.
Pentadbiran yang tidak cekap, rasuah serta penyelewengan dan pemborosan Vajiravudh telah membebankan ekonomi Siam. Masalah ekonomi semakin runcing apabila berlaku kemelesean ekonomi dunia tahun 1920-an. Untuk mengatasi masalah ini, beberapa langkah telah dijalankan oleh Prajadhipok. Antaranya ialah memecat pegawai-pegawai yang dilantik atas dasar pilih kasih semasa Vajiravudh, mengenakan cukai yang tinggi ke atas barang-barang keperluan, mengurangkan gaji serta kakitangan, menghapuskan jawatan-jawatan dan jabatan-jabatan yang tidak penting dan mengurangkan pekerja istana dari 3000 menjadi 300. Langkah-langkah yang dijalankan sedikit sebanyak telah memulihkan ekonomi Siam. Walau bagaimanapun, pemulihan itu tidak kekal lama akibat kemelesetan ekonomi dunia seterusnya sejak tahun 1929. Pada Mac 1931, Siam mengalami kekurangan wang sebanyak 11 juta bath. Kegagalan mendapat pinjaman negara-negara Barat, terutamanya Perancis dan Amerika Syarikat menyebabkan Prajadhipok mengambil langkah-langkah yang lebih tegas ke arah mengatasi masalah ekonomi. Baginda telah mengurangkan gaji serta kakitangan, menyekat kenaikan pangkat serta gaji dan membubarkan “Pasukan Harimau Liar”.
Walaupun langkah-langkah yang dijalankan oleh Prajadhipok amat penting untuk memulihkan ekonomi Siam, tetapi langkah tersebut mendapat tentangan terutamanya daripada mereka yang kepentingannya terjejas. Selain itu, langkah-langkah tersebut dianggap sebagai kelemahan Prajadhipok. Golongan yang menentang pemerintahan Prajadhipok ialah pegawai-pegawai awam dan tentera bukan golongan bangsawan mereka yang mendapat pelajaran Barat di seberang laut telah terdedah kepada idea-idea Barat seperti demokrasi, liberal dan sosialisme, komunisme, kerajaan berpelembagaan dan sebagainya. Mereka yang mendapat pelajaran di Jerman dan Perancis dianggap lebih radikal. Golongan ini menentang sistem monarki mutlak dan menganggapnya sebagai sistem lapuk yang menghalang kemajuan Siam. Akibat dari perasaan tidak puas hati menyebabkan berlakunya Revolusi tanpa pertumpahan darah pada 24 Jun 1932. Revolusi ini dipimpin oleh Pridi Panomyong yang mendapat bantuan pegawai-pegawai tentera iaitu Pribun Songkram, Phya Bahol, Phra Manopakorn dan Khrung Aiphaiwang. Golongan revolusi telah berjaya mengusai istana dan ketika itu Raja Prajadhipok berada di seberang laut. Apabila kembali baginda terpaksa menerima cadangan-cadangan “Perlembagaan Rakyat” yang dikemukakan oleh Pridi Panomyong.
1. Sistem monarki mutlak dihapuskan dan digantikan dengan sistem monarki berpelembagaan.
2. Demokrasi berparlimen akan dilaksanakan dan sebuah Dewan Perundangan akan ditubuhkan
3. Pilihanraya Umum akan diadakan 4 tahun sekali untuk memilih ahli-ahli Dewan Perundangan.
4. Kepentingan golongan bangsawan dalam perkhidmatan kerajaan dihapuskan. Mereka dilarang memegang jawatan-jawatan penting seperti menteri, timbalan menteri dan ketua jabatan.
5. Rakyat dapat hak dan peluang yang sama dalam politik, ekonomi dan sosial.

1932-1941
Selepas revolusi, Phya Manapakorn dilantik sebagai Perdana Menteri memandangkan hubungannya yang amat rapat dengan raja. Revolusi 1932 menandakan permulaan kepada berlakunya pergolakan dalam politik Siam seterusnya. Sebagai contoh, perbalahan pertama berlaku antara Perdana Menteri Manapakorn dengan Pridi Panomyong kerana rancanga ekonomi. Pridi dianggap bercorak komunis. Akibatnya, Pridi telah dibuang negeri. Phya Manapakorn telah berusaha untuk menjadi seorang dictator. Dengan kerjasama Prajadhipok, beliau telah menggantung Dewan Perundangan. Pemerintahan Phya Manapakorn yang bertentangan dengan prinsip demokrasi telah mendapat tentangan ramai. Akibatnya, satu revolusi telah berlaku pada 20 Jun 1933 di bawah pimpinan Phya Bahol. Revolusi tersebut telah berjaya menggulingkan kerajaan Phya Manapakorn dan Phya Bahol dilantik sebagai Perdana Menteri baru. Beliau telah memanggil pulang Pridi dan melantiknya sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri. Pemerintahan Phya Bahol yang menjejaskan kepentingan golongan bangsawan telah mendapat tentangan golongan tersebut. Akibatnya, satu revolusi golongan bangsawan yang dipimpin oleh bekas Menteri Pertahanan Putera Bovaradej telah berlaku pada 12 Oktober 1933. Walau bagaimanapun, revolusi tersebut berjaya dipatahkan oleh tentera pimpinan Pribun Songkram. Dalam usaha untuk mewujudkan demokrasi berparlimen, Pilihanraya Umum pertama telah diadakan pada 13 November 1933. Dalam pilihanraya tersebut, golongan pro-Pridi telah mencapai kemenangan. Perbalahan kemudiannya berlaku antara Pribun Songkram dengan Pridi Panomyong kerna rancangan ekonomi Pridi dianggap terlalu radikal. Walau bagaimanapun, perbalahan itu berjaya diredakan oleh Perdana Menteri, Phya Bahol.
Raja Prajadhipok yang masih berselisih faham dengan kerajaan Phya Bahol telah meletakkan jawatan pada 21 Mac 1935. Baginda digantikan oleh anak saudaranya Anando Mahidol yang berumur 10 tahun dan masih menuntut di Switzerland. Akibatnya, sebuah Jemaah Pemangku Raja yang terdiri daripada 3 anggota telah dibentuk.
Walaupun pemerintahan Prajadhipok telah menimbulkan pelbagai masalah, tetapi beberapa tindakan baginda telah memberi sumbangan ke arah pembaharuan Siam. Antara sumbangan baginda ialah mengadakan perkhidmatan wireless pertama di Siam, membina lapangan terbang Don Maung, menubuhkan institut kesusasteraan di raja, muzium serta perpustakaan negara dan mengeluarkan undang-undang kesihatan orang awam yang berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan.
Pada tahun 1928, beliau mengeluarkan arahan perkhidmatan yang membolehkan rakyat biasa dilantik untuk memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Beliau juga telah memperluaskan kuasa Lembaga Mata Wang dan untuk kepentingan ekonomi, kerajaan diberi kuasa penuh dalam perkhidmatan bank dan insurans.
Pilihanraya Umum kedua diadakan pada tahun 1937. Dalam pilihanraya tersebut, parti pimpinan Phya Bahol telah mencapai kemenangan dan beliau sekali lagi dilantik menjadi Perdana Menteri. Perbalahan kemudiannya berlaku antara Phya Bahol dengan golongan tentera pimpinan Pribun Songkram. Akibat daripada undi tidak percaya dalam Dewan Perundangan, Phya Bahol terpaksa meletak jawatan pada Disember 1938 dan digantikan oleh Pribun Songkram sebagai Perdana Meneri baru.
Pemerintahan Pribun Songkram membawa banyak perubahan yang memperlihatkan semangat nasionalisme yang keterlaluan. Beliau telah berusaha untuk meninggikan taraf hidup orang Siam. Bantuan-bantuan telah diberi kepada orang-orang Siam terutamanya golongan petani bagi membebaskan mereka daripada belenggu hutang, ceti dan peminjam-peminjam wang Cina. Kerajaan juga telah mengambil langkah untuk membantu perusahaan-perusahaan orang Siam. Langkah-langkah juga dijalankan untuk menyekat kebebasan kegiatan ekonomi orang-orang asing terutamanya orang-orang Cina. Kemasukan orang-orang Cina ke Siam telah disekat. Tiap-tiap orang Cina yang masuk ke Siam dikenakan cukai sebanyak 100 baht. Perusahaan-perusahaan orang-orang Cina dikenakan cukai yang tinggi dan 26 jawatan dalam perkhidmatan awam diharamkan kepada orang-orang Cina. Sekolah-sekolah dan akhbar-akhbar Cina telah ditutup. Kerajaan Pribun Songkram telah menggalakkan orang-orang Siam melibatkan diri dalam perdagangan dan perusahaan. Arahan telah dikeluarkan supaya syarikat-syarikat asing memiliki 70% modal dan 75% kakitangan Siam. Kerajaan juga telah mengambilalih perusahaan asing untuk diserahkan kepada orang-orang Siam atau syarikat-syarikat Siam. Sebagai contoh, perusahaan kayu jati yang selama ini dikuasai oleh syarikat British iaitu Bombay Burma Trading Cooperation (BBTC) telah diambilalih dan diserahkan kepada syarikat Siam.
Pada Jun 1939, nama Siam ditukarkan menjadi Maung Thai/Thailand yang bermaksud tanah atau negeri yang bebas. Tujuannya ialah untuk menimbulkan semangat kemegahan bangsa di kalangan orang-orang Siam kerana Siam merupakan stu-satunya negeri di Asia Tenggara yang tidak dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Pribun Songkram juga berusaha untuk mendapat kembali wilayah-wilayah Siam yang telah dikuasai oleh British dan Perancis. Tindakan telah menyebabkan berlakunya pertempuran di antara Siam dan Perancis di Sempadan Laos-Siam. Pada 11 Disember 1940, Phibun Songkram menandatangani perjanjian kerjasama dengan Jepun. Akibat tekanan Jepun, Perancis terpaksa menyerahkan Laos, Battambang dan Siem Reap kepada Siam pada Mac 1941. Pendudukan Jepun di Indo-China pada Julai 1941 sedikit sebanyak menjejaskan usaha Phibun Songkram untuk mendapat kembali wilayah-wilayah Siam.

Kesimpulan
Semasa Perang Dunia Kedua, semua negeri di Asia Tenggara telah dijajah oleh Jepun kecuali Siam. Negeri Siam terselamat daripada penyerangan Jepun kerana kerjasama Phibun Songkram dengan Jepun. Semasa Perang Dunia Kedua juga, Siam telah mendapat kembali wilayah-wilayahnya seperti Mongpan, Kentung dan Negeri-negeri Melayu Utara. Pada Julai 1944, Kerajaan Phibun Songkram yang pro-Jepun telah digulingkan oleh Khuang Aiphaiwong yang pro-pihak Berikat. Akibatnya, pihak berikat yang kemabli ke Asia Tenggara selepas Perang Dunia Kedua tidak dapat mengambil tindakan ke atas Siam kerana pada dewasa itu, Siam diperintah oleh kerajaan yang pro-pihak Berikat. Pada September 1945, Khuang Aiphaiwong digulingkan oleh Seni Pramoj. Tekanan British dan Perancis menyebabkan Seri Pramoj tanpa bantahan menyerahkan kembali wilayah-wilayah yang dirampas oleh Siam semasa Perang Dunia Kedua. Akibatnya, British dan Perancis tidak perlu bertindak secara kekerasan ke atas Siam.

Chulalongkorn

Pengenalan
Somdeth Phra Paraminda Maha Chulalongkorn adalah putera Mongkut yang dilahirkan pada 20 September 1853. Baginda dilantik sebagai Raja Rama V selepas kemangkatan Mongkut pada 1 Oktober 1868 semasa berumur 15 tahun. Oleh sebab baginda terlalu muda, maka pentadbiran dipangku oleh Chao Phraya Montri Sri Suryawongse. Chulalongkorn mengambil kesempatan ini untuk mengadakan lawatan ke India, Myanmar, Singapura dan Jawa bagi mempelajari sistem pentadbiran Barat. Baginda mendapat pendidikan Barat daripada Anna Leonowens serta Robert Marnant dan terpengaruh dengan idea Anna Leonowens yang menekankan pembaharuan yang lebih luas perlu dilaksanakan di Siam. Chulalongkorn mengambilalih pentadbiran daripada Chao Phraya Montri Sri Suryawongse pada tahun 1873.

Pembaharuan
1. Politik
Seperti Mongkut, Chulalongkorn menaiki takhta pada zaman imperialisme kuasa-kuasa Barat yang berlumba-lumba untuk mendapatkan tanah jajahan di Asia khususnya di Asia Tenggara. Sebagai contoh, British di Myanmar dan Tanah Melayu, Belanda di Indonesia, Sepanyol di Filipina dan Perancis di Indo-China. Chulalongkorn menyedari pembaharuan berdasarkan idea Barat perlu dilaksanakan di Siam dalam usaha untuk mengekalkan kemerdekaan Siam. Ahli-ahli sejarah seperti Stainberg, Wilson dan Tate mendakwa Chulalongkorn bertanggungjawab dalam melaksanakan pembaharuan dalam erti kata yang sebenarnya. Baginda telah mempercepatkan dan memperluaskan pembaharuan yang dimulai oleh Mongkut.
Chulalongkorn juga melaksanakan dasar buka pintu kepada orang-orang Barat. Selain mematuhi syarat-syarat perjanjian yang ditandatangani semasa Mongkut, Chulalongkorn juga menandatangani beberapa perjanjian dengan kuasa-kuasa Barat. Sebagai contoh, perjanjian dengan Jerman (1872), Perancis (1893), British (1909) dan sebagainya. Seperti Mongkut, baginda telah memberi pelbagai keistimewaan kepada orang-orang Barat. Dalam menjalankan pentadbiran, Chulalongkorn mengamalkan dasar bertolak ansur dengan kuasa-kuasa Barat. Bagi mengelakkan perbalahan dengan kuasa Barat, Chulalongkorn sanggup menyerahkan wilayah-wilayah Siam kepada mereka. Sebagai contoh, Perancis diserahkan Tongking Utara/Wilayah Sip Song Chu Thai pada tahun 1888, daerah Timur Sungai Mekong (1893), sempadan Laos-Siam (1904) dan Battambang serta Siem Reap (1907). Kepada British pula diserahkan Mongpan dan Kentung (1897) dan Negeri-negeri Melayu Utara (Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu – 1909). Walaupun tolak ansur Chulalongkorn menyebabkan Siam kehilangan 90000 batu persegi wilayahnya tetapi langkah tersebut telah menyelamatkan kemerdekaan Siam.
Dalam usaha untuk mewujudkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa Barat, Chulalongkorn telah mengadakan hubungan dengan pemimpin-pemimpin Barat, contohnya Raja William II (Jerman), Tzar Nicholas II (Rusia), Prince of Wales (England) dan Presiden Lawbet (Perancis). Selain itu, Chulalongkorn juga mengadakan lawatan ke Eropah dan baginda merupakan Raja Siam yang pertama melawat Eropah sebanyak 2 kali, iaitu tahun 1897 dan 1907.
Chulalongkorn meneruskan amalan Mongkut mengambil pegawai-pegawai bagi memodenkan pentadbiran Siam. Secara umumnya, British ditugaskan dalam hal kewangan dan pentadbiran, Perancis dalam undang-undang, Jerman dalam perkhidmatan keretapi, Denmark dalam angkatan laut dan polis wilayah manakala Itali dalam kerja-kerja pembinaan. Tokoh utama yang banyak membantu Chulalongkorn melaksanakan pembaharuan di Siam ialah penasihat amnya berbangsa Belgium, iaitu Rollin Jacquemins.
Bagi memodenkan pentadbiran, Chulalongkorn telah menubuhkan 2 buah majlis pada tahun 1874, untuk menasihatinya dalam pentadbiran. Majlis-majlis tersebut ialah Majlis Penasihat Tertinggi Negeri (MPTN) yang dianggotai oleh golongan bangsawan dan Majlis Penasihat Rendah Negeri (MPRN) yang dianggotai oleh pegawai kerajaan. Chulalongkorn telah berjaya mewujudkan sistem pentadbiran pusat yang moden pada 1 April 1892. Struktur pentadbiran lama dihapuskan dan digantikan dengan 12 kementerian. Tiap-tiap kementerian diketuai oleh seorang menteri. Antara menterinya ialah Putera Rabi, Putera Damrong dan Putera Dewawongse. Kementerian-kementerian yang ditubuhkan ialah Kementerian Hal-Ehwal dalam Negeri, Kementerian Hal-Ehwal Luar Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Keadilan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Istana, Kementerian Kerajaan Tempatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Tanah dan Kementerian Pertanian. Mulai tahun 1892, semua hal ehwal pentadbiran diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang diketuai oleh Putera Damrong. Langkah tersebut telah menamatkan autonomi daerah yang dijalankan sejak turun-temurun. Bagi memudahkan pentadbiran juga, negeri Siam telah dipecahbelahkan kepada 18 Monthons, Cangurat, Amphoe dan Tambun.
2. Sosial
a. Keadilan
Chulalongkorn telah berusaha untuk menyusun semula sistem keadilan Siam berdasarkan sistem keadilan Barat dengan bantuan pegawai-pegawai Perancis. Antara tokoh yang bantu Chulalongkorn memodenkan sistem keadilan Siam ialah Rollin Jacquemins Stroebell. Kementerian Keadilan telah ditubuhkan pada tahun 1892 dan diletakkan di bawah Putera Rabi. Pada tahun 1894, sistem Mahkamah Awam dan Jenayah berdasarkan sistem Mahkamah Barat mula dilaksanakan di Siam. Pada tahun 1897, sebuah Suruhanjaya telah dibentuk untuk mengkaji semula sistem keadilan Siam. Pada tahun tersebut juga, sekolah latihan peguam telah didirikan di Bangkok untuk melatih peguam-peguam Siam. Pada tahun 1904, Kod Jenayah berdasarkan Kod Jenayah Barat mula dilaksanakan di Siam. Pada tahun 1908, sebuah mahkamah yang akan melaksanakan sepenuhnya undang-undang Barat telah didirikan di Bangkok. Tujuannya ialah untuk mendesak kuasa-kuasa Barat menghapuskan hak wilayah asingan mereka di Siam.
b. Pelajaran
Pelajaran Barat semakin berkembang semasa pemerintahan Chulalongkorn. Pada tahun 1878, arahan telah dikeluarkan mendesak anak-anak golongan bangsawan dihantar ke istana untuk mendapat pelajaran Barat. Semasa Chulalongkorn, pelajaran Barat bukan sahaja terbuka kepada anak-anak golongan bangsawan tetapi juga anak-anak rakyat biasa, terutamanya selepas penubuhan sekolah harian sejak tahun 1884. selain itu, pelajar-pelajar Siam bukan sahaja mendapat pelajaran Barat di Siam, tetapi juga di seberang laut. Kira-kira 300 pelajar Siam dihantar ke seberang laut tiap-tiap tahun. Untuk memajukan pelajaran, Jabatan Pelajaran telah ditubuhkan pada tahun 1887 dengan bantuan pegawai pelajaran British iaitu Cangbell. Kementerian Pelajaran telah ditubuhkan pada tahun 1892 dan mulai tahun tersebut, maktab-maktab latihan pengurusan didirikan. D.G.E. Hall dalam bukunya “A History of South East Asia” menegaskan perkembangan pelajaran Barat berlaku kerana terdapat 3 bentuk sekolah yang dikuasai sepenuhnya guru-guru British pada tahun 1890-an. Sekolah-sekolah tersebut ialah Maktab Raja 1878 untuk anak-anak lelaki golongan bangsawan, Sunandalaya 1883 untuk anak perempuan golongan bangsawan dan sekolah harian 1884 untuk anak lelaki kelas pertengahan.
c. Adat
Chulalongkorn telah berusaha menghapuskan adat-adat yang dianggap boleh menghalang kemajuan Siam. Adat sujud di hadapan raja telah dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1873. Sistem buruh paksa atau corvee telah dihapuskan pada tahun 1873 dan digantikan dengan sistem buruh bergaji. Sistem penghambaan mula dihapuskan pada tahun 1874. Mulai tahun tersebut, tidak ada orang yang dilahirkan sebagai hamba. Anak-anak hamba akan jadi rakyat bebas apabila mencapai umur 21 tahun. Sistem penghambaan dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1805.
d. Agama
Walaupun Chulalongkorn beragama Buddha, baginda bersikap liberal terhadap agama-agama lain. Baginda membenarkan penyebaran agama Kristian dan Islam. Akibatnya berlaku perkembangan agama Kristian di sekitar Bangkok dan perkembangan agama Islam di Selatan Siam.
e. Sistem perhubungan
Sistem perhubungan semakin berkembang semasa Chulalongkorn. Banyak jalanraya, terusan dan terusan telah dibina. Jalan keretapi yang pertama dibina pada tahun 1893 untuk menghubungkan Bangkok dengan Paknam. Seterusnya dibina jalan keretapi menghubungkan Bangkok-Ayuthia pada tahun 1897, Bangkok-Korat 1900, Bangkok-Lupburi 1901. Perkhidmatan telegraf bermula pada tahun 1875 dan perkhidmatan pos serta telefon pada tahun 1881.
f. Kesihatan
Chulalongkorn telah mengambil langkah untuk memajukan perkhidmatan kesihatan di Siam. Doktor-doktor dari Barat telah ditugaskan di klinik-klinik dan hospital-hospital yang didirikan oleh Chulalongkorn. Kementerian Kesihatan telah ditubuhkan pada tahun 1892. Sebuah sekolah latihan doctor telah didirikan di Bangkok. Seterusnya didirikan sekolah latihan perbidaan 1897 dan sekolah latihan jururawat 1898.
g. Penjara dan polis
Chulalongkorn telah menyusun semula sistem penjara dan perkhidmatan polis. Usaha-usaha ini dijalankan dengan bantuan pegawai-pegawai British dan Jabatan Polis Imperial Myanmar dan India.
3. Ekonomi
Ekonomi Siam berkembang maju semasa pemerintahan Chulalongkorn. Beras, gula dan kayu jati menjadi eksport utama Siam. Chulalongkorn telah berjaya mewujudkan perbendaharaan Siam yang moden dengan bantuan pegawai-pegawai British. Jabatan Kastam dan Hasil Dalam Negeri telah ditubuhkan pada tahun 1875. Kementerian Kewangan telah diwujudkan pada tahun 1892 dan mulai tahun tersebut, sistem cukai secara langsung telah dilaksanakan. Jabatan Kastam dan Hasil Dalam Negeri telah disusun semula pada tahun 1892. Pada tahun 1896, Chulalongkorn mengeluarkan arahan untuk membaiki perkhidmatan pelabuhan Siam. Sistem audit dan akaun yang teratur telah dilaksanakan dan pada tahun 1901, belanjawan Siam yang pertama berjaya dikeluarkan.
Chulalongkorn menggalakkan perkembangan ekonomi moden di Siam. Bank-bank British mula didirikan antara tahun 1888-1894 dan sebuah bank Perancis didirikan pada tahun 1897. Chulalongkorn juga menggalakkan perdagangan asing di Siam. Akibatnya ramai pedagang Barat datang ke Siam dan semasa Chulalongkorn, perdagangan asing Siam dikuasai oleh pedagang-pedagang British. Chulalongkorn telah menggalakkan pembukaan tanah-tanah baru untuk tanaman padi bagi tujuan eksport. Dalam usaha untuk menjayakan rancangan ini, baginda telah mengurangkan atau menggantung buat sementara cukai ke atas sawah padi, membina projek-projek pengairan serta membina jalan raya dan jalan keretapi.

Kesimpulan
Chulalongkorn merupakan seorang pemerintah yang bijak dan berpandangan jauh. Baginda telah berjaya menyelamatkan kemerdekaan Siam dalam zaman imperialisme kuasa-kuasa Barat yang berlumba-lumba untuk mendapat tanah jajahan di Asia terutamanya di Asia Tenggra. Dasar buka pintu, keistimewaan-keistimewaan yang diberi dan dasar tolak ansur baginda telah mengurangkan campur tangan asing dalam hal ehwal Siam. Pemerintahan baginda selama 42 tahun (1868-1910) telah memperlihatkan pelbagai perubahan berlaku di Siam sama ada dalam politik, sosial ataupun ekonomi. Baginda dikenali sebagai “Raja Teragung dan Tercinta”. Chulalongkorn mangkat pada 23 April 1910 dan digantikan oleh puteranya Raja Vajiravudh sebagai Raja Rama VI.

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...