Sabtu, 28 Februari 2009

Nasionalisme di Indonesia

Pengenalan
Kebangkitan pergerakan nasionalisme di Indonesia bermula pada akhir abad ke-19 dan permulaan abad ke-20. Pergerakan nasionalisme Indonesia berlaku dikatakan sesudah orang Filipina berjuang menentang penjajah Sepanyol yang bermula pada tahun 1896 dan kemudian menentang penjajah Amerika pada tahun 1898 apabila didapati Amerika belum bersedia memberi kemerdekaan kepada mereka seperti yang dijanjikan apabila orang Filipina membantu Amerika. Sebenarnya, perjuangan mereka telahpun bermula sejak awal lagi, contohnya Perang Padri (1821) di Sumatera dan Perang Jawa (1825-1830). Para sarjana menyifatkan pergerakan ini bersifat sederhana. Ia tidak melibatkan seluruh rakyat. Maka ini tidak digolongkan sebagai gerakan nasionalisme. Walau bagaimanapun, memang tidak dapat dinafikan kegiatan pemberontak ini memberi inspirasi kepada generasi muda untuk bangun menentang penjajah Belanda.

Faktor-faktor kebangkitan nasionalisme
1. Kesamaan agama
Menurut G.M. Kahin, kesamaan agama merupakan faktor yang penting bagi perkembangan semangat nasionalisme di Indonesia. Lebih daripada 90% penduduk Indonesia beragama Islam. Agama Islam telah menyatukan segala lapisan rakyat Indonesia. Agama Islam membolehkan rakyat Indonesia melupakan perbezaan-perbezaan kebudayaan dan keturunan serta semangat kewilayahan mereka.
2. Bahasa Melayu
Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Indonesia telah membantu menyatukan penduduk Indonesia dan memupuk semangat kebangsaan di kalangan mereka. Malahan, Kerajaan Belanda telah menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan pentadbiran Indonesia. Bahasa Melayu muncul sebagai satu faktor integrasi yang penting.
3. Golongan intelektual
Pada mulanya, tujuan pemerintah Belanda mendirikan sekolah-sekolah bercorak Barat untuk anak-anak Eropah dan anak-anak Indonesia dari golongan “ningrat” dan “priyai”. Dengan pendidikan yang diberikan, pemerintah Belanda berharap anak-anak ningrat dan priyai itu akan menjadi golongan yang akan mengagung-agungkan dan membantu pihak Belanda.
Sungguhpun bilangan anak Indonesia dari golongan ningrat dan priyai serta anak-anak dari golongan biasa terhad dalam sekolah Eropah tetapi lama-kelamaan bilangan itu telah meningkat berlipat-ganda. Hakikat ini terpaksa diterima oleh Belanda dan sukar bagi mereka untuk menghalangnya. Malah, ada di antara mereka telah dihantar ke luar negeri terutamanya Belanda untuk melanjutkan pelajaran.
Ketika mereka berada di luar negeri, tidak sahaja dapat menambahkan pengetahuan mereka malah pengalaman dan pandangan mereka semakin luas. Semangat nasionalisme mereka semakin kuat melihat negara-negara Barat telah mencapai kemajuan yang pesat sedangkan Indonesia, negara ibunda mereka, masih dalam keadaan mundur dan ketinggalan dalam semua bidang. Oleh sebab itu, mereka mula bergiat dalam persatuan-persatuan bersifat sosial untuk membincangkan nasib masa depan Indonesia. Untuk tujuan itu, beberapa pertubuhan telah didirikan sama ada di Indonesia mahupun di negeri Belanda sendiri. Antara persatuan yang terkenal di negeri Belanda ialah Perhimpunan Indonesia yang mana anggotanya terdiri dari pelajar-pelajar seperti Sukarno, Muhammad Hatta, Sutan Syahrir dan lain-lain lagi. Mereka inilah kemudiannya menjadi tokoh nasionalis yang ulung.
Peranan mereka dalam gerakan nasionalisme Indonesia adalah besar. Setelah pengaruh Sarekat Islam mulai merosot dalam tahun-tahun 1920-an, golongan pendidikan Barat mulai mengambilalih tugas itu. Dengan semangat yang gigih seperti Sukarno maka ditubuhkan beberapa buah parti politik seperti Parti Nasional Indonesia pada tahun 1927.
4. Pengaruh luar
Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 telah berlaku beberapa pergerakan politik di negara-negara Asia. Pergerakan itu sedikit sebanyak mempengaruhi kebangkitan nasionalisme di Indonesia. Di antaranya ialah:
a. Penentangan orang Filipina terhadap penjajah
Orang Filipina telah bangun membenrontak terhadap Sepanyol dalam tahun 1896. Dalam tahun 1898, mereka telah bersatu dengan Amerika dan berjaya menggulingkan kekuasaan Sepanyol di Manila. Buat sementara waktu, Amerika telah mengambil alih kekuasaan di Filipina. Tetapi apabila orang-orang Filipina sedar bahawa orangAmerika tidak bermaksud untuk memberi kemerdekaan kepada Filipina, mereka telah menentang Amerika. Mereka menganggap Amerika sebagai penjajah dan dengan ini meletuslah Perang Kemerdekaan yang bermula pada 10 Oktober 1898. Sungguhpun Amerika Syarikat berjaya mematahkan pemberontakan orang Filipina tetapi akhirnya Amerika sendiri terpaksa tunduk dan memenuhi beberapa permintaan rakyat Filipina yang mahukan kepentingan negara mereka terjamin.
b. Revolusi China, 1911
Pada 10 Oktober 1911 telah bermula satu revolusi di negeri China untuk menggulingkan Dinasti Manchu. Orang Cina mensifatkan orang Manchu sebagai pendatang dan telah menjajah negeri China apabila mereka berjaya menggulingkan Dinasti Ming dan mengambil kekuasaan di negeri China pada tahun 1644. Sentimen anti-Manchu semakin kuat disebabkan sifat kejam orang Manchu terhadap orang Cina. Pihak revolusiner pimpinan Dr. Sun Yat Sen berjaya mendirikan sebuah republik di negeri China. Selain Manchu, Dr. Sun juga mempunyai satu matlamat iaitu menghapuskan tekanan Barat terhadap China.
c. Gerakan Kebangsaan India
Gerakan nasionalisme di India telah bermula dalam tahun 1885 dipelopori oleh Parti Kongres India. Penubuhan Parti Kongres India itu telah diputuskan dalam Kongres Nasional India di Bombay pada tahun 1885. Parti Kongres dengan pimpinan Surendranath Baneriji, Ghokala, Tilak dna Mahatma Gandhi telah memperjuangkan dengan gigihnya kemerdekaan India hingga India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947. Pengaruh perjuangan Parti Kongres juga besar terutama dalam gerakan nasionalisme Indonesia. Taktik yang digunakan oleh Parti Kongres seperti tidak bekerjasama telah menjadi ikutan beberapa buah parti di Indonesia seperti Sarekat Islam dan Parti Nasional Indonesia.
d. Perang Rusia-Jepun, 1904-1905
Perang Rusia-Jepun merupakan perang yang paling bersejarah kepada bangsa Asia. Perang ini ialah perang antara kuasa Barat dengan kuasa Asia. Dalam peperangan itu, Jepun dianggap negara kecil telah berjaya mengalahkan Rusia dengan kemenangan yang paling menakjubkan. Rusia akhirnya bersedia menandatangani Perjanjian Portsmouth. Kekalahan Rusia dianggap telah memalukan imej kuasa Barat dan sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan Rusia di mata dunia antarabangsa terutama kepada bangsa-bangsa Asia. Dengan kekalahan Rusia itu maka hancurlah anggapan “bangsa Barat adalah bangsa yang kuat dan tidak dapat dikalahkan oleh orang Asia”. Ini membuktikan kemanangan Jepun telah memberi perangsang yang kuat kepada bangsa Indonesia dan bangsa lainya untuk melakukan penentangan terhadap penjajah dan mereka boleh mencapai kejayaan jika mereka mempunyai keyakinan dan kesungguhan seperti yang dibuktikan oleh bangsa Jepun.
e. Gerakan Reformis Islam di Timur Tengah
Menurut Deliar Noer, nasionalisme di Indonesia telah bermula dengan nasionalisme Islam. Sebilangan orang Indonesia telah dipengaruhi oleh Gerakan Reformis Islam yang dipelopori oleh Sheikh Muhammad Abduh dan golongan al-Manar di Kaherah. Gerakan ini memperjuangkan konsep pan-Islamisme dan membebaskan agama Islam daripada kepercayaan kuno yang tiada kaitan dengan ajaran Islam. Gerakan Reformis Islam turut telah memberi inspirasi kepada orang Islam Indonesia untuk menghadapi ancaman sekularisme Barat dan agama Kristian. Parti-parti seperti Muhammadiah dan Sarekat Islam dipimpin oleh reformis-reformis Islam. Mereka menganggap Islam sebagai alat tunggal untuk memajukan kepentingan-kepentingan sosioekonomi penduduk Indonesia.
5. Penubuhan Volksraad
Pada tahun 1916, Kerajaan Belanda telah meluluskan penubuhan Volksraad (Majlis Rakyat) yang telah juga menyumbangkan kepada perkembangan nasionalisme Indonesia. Penubuhan Volksraad memungkinkan penemuan nasionalis-nasionalis dari seluruh Indonesia. Mereka dapat membincangkan masalah-masalah nasional Indonesia dan cara-cara mengatasinya. Hal ini telah mengukuhkan semangat perjuangan mereka.
6. Pemerintahan Belanda yang menekan
Sejak orang Belanda datang ke Indonesia, mereka terkenal dengan sifat menindas rakyat. Dari segi ekonomi, orang Indonesia terutama petani telah ditindas. Bukti yang paling jelas ialah perlaksanaan Sistem Kultur. Petani-petani dipaksa menyediakan sebahagian dari tanah sawahnya untuk ditanam tanaman kerajaan, bekerja di kilang-kilang kerajaan dengan mendapat upah yang rendah. Tenaga rakyat telah diperah sehabis-habisnya tetapi keuntungan yang diperolehi di bawa pulang ke Belanda. Nasib orang Indonesia diabaikan.
Kemudian pada tahun 1860, pemerintah Belanda mula melaksanakan Dasar Liberal. Perlaksanaan dasar ini bertujuan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat yang telah diabaikan. Tetapi malangnya dengan sistem ini, rakyat tidak dapat menikmati hasil keuntungan. Pengusaha-pengusaha persendirian yang mendapat faedahnya kerana memonopoli kegiatan ekonomi. Orang Indonesia tidak dapat bersaing dengan pengusaha asing kerana tiada modal dan kurang pengetahuan.
Dalam bidang sosial, timbul tidak puas hati terhadap tindakan Belanda yang tidak memberi pelajaran yang sempurna. Dalam perkhidmatan kerajaan terdapat sikap pilih kasih. Walaupun orang Indonesia mempunyai kelayakan dan berkebolehan tetapi mereka sukar mendapat pekerjaan. Jika dapat, gajinya pula rendah.
7. Kemajuan dalam sistem perhubungan
Kemajuan dalam sistem perhubungan seperti akhbar vernakular, radio dan kemudahan pengangkutan telah memudahkan pengaliran idea-idea kebangsaan di kalangan penduduk Indonesia. Hal ini menolong mengambangkan nasionalisme Indonesia.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...