Sabtu, 28 Februari 2009

Sarekat Islam

Pengenalan
Pada tahun 1905, ditubuhkan Sarekat Pedagang Batik Arab Indonesia di bawah pimpinan Raden Mas Tirtoadisurdjo. Pada tahun 1911, pertubuhan ini dikenali sebagai Sarekat Dagangan Islamiyah di bawah pimpinan Haji Samanhudi. Pada tahun 1912, pertubuhan ini ditukarkan menjadi Sarekat Islam di bawah pimpinan Omar Said Tjokroaminato. Pada tahun 1923, pertubuhan ini dikenali sebagai Partai Sarekat Islam di bawah pimpinan Haji Agoes Salim.

Tujuan
Dari segi politik, Sarekat Islam ditubuhkan dengan tujuan untuk memperjuangkan berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. Dari segi ekonomi dan sosial, tujuannya ialah meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Dari segi agama, tujuannya ialah menyebarkan ajaran Islam dan menyekat perkembangan agama Kristian yang dijalankan oleh Gerakan Mission dan Zending dan Mazhab Katolik dan Protestant. Ahli Sarekat Islam pada tahun 1912 ialah 60000 orang; 1916 – 366 ribu; 1917 – 800 ribu dan 1919 – 2.5 juta.

Perkembangan sehingga 1920
1. Islam
Sarekat Islam menggunakan agama Islam sebagai lambing penyatuan orang Indonesia dalam usaha untuk menentang orang asing, serta mengukuhkan kedudukan mereka di Indonesia. Pendekatan ini telah menarik sokongan ramai orang Islam terutamanya golongan reformis yang terpengaruh dengan gerakan pembaharuan Islam di Timur Tengah yang dipelopori oleh Muhammad Abduh. Malah orang-orang Islam di Kalimantan dan Sulawesi menganggap penubuhan Sarekat Islam sebagai langkah pertama ke arah melancarkan perang suci terhadap orang asing.
2. Program sosioekonomi
Program sosioekonomi Sarekat Islam yang bertujuan untuk meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia telah mendapat sokongan orang ramai. Ahli-ahli biasa dalam Sarekat Islam menganggap penyertaan mereka sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah sosioekonomi mereka. Program sosioekonomi Sarekat Islam mendapat sokongan ramai kerana kehidupan rakyat Indonesia amat terhimpit pada tahun-tahun 1913-1923 akibat Perang Dunia Pertama. Pada tahun 1916, Sarekat Islam telah mengkritik Belanda kerana gagal meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Keberanian Sarekat Islam telah menambahkan populariti parti tersebut. Dalam bidang pendidikan, Sarekat Islam mendesak Belanda menghapuskan langkah-langkah diskriminasi terhadap kemasukan pelajar-pelajar ke sekolah. Selain itu, Sarekat Islam mendesak Belanda melaksanakan program pelajaran wajib bagi mereka yang berumur 15 tahun ke bawah. Kerajaan Belanda juga didesak supaya mengadakan lebih banyak biasiswa untuk membolehkan lebih ramai belia Indonesia melanjutkan pelajaran ke seberang laut. Dalam bidang ekonomi, kerajaan didesak supaya memiliknegarakan industri-industri penting seperti besi, tekstil dan kertas. Sarekat Islam telah menuntut supaya dihapuskan buruh kanak-kanak serta buruh paksa dan mengadakan lebih banyak klinik yang memberi rawatan percuma kepada rakyat Indonesia. Idea nasionalisme yang diperjuangkan telah menarik sokongan ramai. Pada tahun 1918, Sarekat Islam mendesak Belanda menetapkan gaji minima dan tempoh masa kerja yang maksima bagi pekerja.
3. Program politik
Program politik Sarekat Islam telah menarik sokongan ramai terutamanya nasionalis-nasionalis yang sememangnya memperjuangkan kemerdekaan Indonesia. Sarekat Islam merupakan parti pertama yang memperjuangkan berkerajaan sendiri pada tahun 1916 dan menuntut kemerdekaan pada tahun 1917. Dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan, Sarekat Islam akan menggunakan kekerasan sekiranya perlu. Sarekat Islam juga mendesak Belanda mengadakan lebih banyak Majlis Daerah dan meluaskan kuasa majlis terutamanya Volksraad.
4. Ketokohan pemimpin
Ahli-ahli sejarah seperti Stainberg dan Penders mengatakan populariti Sarekat Islam berpunca daripada ketokohan pemimpin, khususnya Omar Said Tjokroaminato. Beliau merupakan orang yang lantang berpidato dan berkarisma. Beliau telah mendedahkan beberapa ketidakadilan di bawah pemerintahan Belanda yang perlu dihapuskan. Keberanian beliau telah menarik sokongan ramai. Malah beliau dianggap sebagai Ratu Adil iaitu kemunculan pemimpin yang akan menghapuskan penderitaan dan menghalau orang asing dari Indonesia. Selain itu, Sarekat Islam juga mempunyai pemimpin yang berkebolehan seperti Haji Agoes Salim, Abdul Muis, Semaun, Darsono dan lain-lain lagi.
5. Tolak ansur Belanda
Di bawah Dasar Etika, Belanda bertoleransi terhadap pergerakan nasionalisme Indonesia sehingga tahun 1926. Toleransi Belanda membolehkan Sarekat Islam berkembang dengan pesat. Pada tahun 1913, Belanda mengiktiraf cawangan-cawangan Sarekat Islam dan pada tahun 1916, Belanda mengiktiraf Sarekat Islam pusat sebagai pertubuhan nasional. Sebelum tahun 1926, Belanda tidak mempunyai pengalaman dan keupayaan dalam menghadapi parti-parti politik semasa perkembangan Sarekat Islam.
6. Parti pertama
Sarekat Islam merupakan parti pertama yang terbuka kepada semua lapisan rakyat Indonesia. Walaupun Budi Utomo ditubuhkan lebih awal iaitu 20 Mei 1908, tetapi parti tersebut hanya terbuka kepada golongan intelek, pegawai kerajaan dan bangsawan Jawa.
7. Penyertaan ISDV
Kelab Sosial Demokratik Hindia (Indischa Social Democratischa Vereeninginp – ISDV) telah ditubuhkan pada 5 Mei 1914 oleh Hendrick Sneeuliet. Pada tahun 1916, ISDV menyertai Sarekat Islam. Penyertaan ISDV telah menambahkan bilangan anggota Sarekat Islam lebih-lebih lagi ISDV menguasai kesatuan sekerja.

Kemerosotan selepas tahun 1920
Walaupun ahli Sarekat Islam berjumlah 2.5 juta orang pada tahun 1919, tetapi keahliannya merosot menjelang 1920-an. Pada tahun 1928, ahlinya hanya tinggal 12 ribu orang.
1. Persaingan dengan Komunis
Dalam Sarekat Islam terdapat 2 golongan iaitu golongan yang berorientasikan Islam dan golongan yang berorientasikan Komunis. Fahaman Komunis telah dibawa ke Indonesia oleh orang Belanda selepas penubuhan ISDV oleh Henderick Sneevliet pada 5 Mei 1914. Pada tahun 1916, ISDV menyertai Sarekat Islam. Ramai ahli Sarekat Islam terpengaruh dengan fahaman Komunis termasuk Semaun dan Darsono. Menjelang tahun 1916, banyak cawangan Sarekat Islam telah diresapi fahaman Komunis. Semaun dan Darsono telah berusaha untuk membawa aliran radikal ke dalam Sarekat Islam. Mereka mendapat tentangan daripada pemimpin yang berorientasikan Islam iaitu Haji Agoes Salim dan Abdul Muis. Persaingan ini telah mengakibatkan perpecahan dalam Sarekat Islam. Pada 10 Oktober 1920, Semaun dan Darsono telah menubuhkan Parti Komunis Indonesia (PKI). Mereka menjadikan Sarekat Islam cawangan Semarang sebagai pusat kegiatan PKI. Dalam kongres Sarekat Islam pada tahun 1921, Agoes Salim melarang ahli Sarekat Islam menjadi ahli parti ini. Arahan ini mengakibatkan golongan Komunis dan yang pro-Komunis keluar dari Sarekat Islam dan menyertai PKI. Di kawasan bandar mereka menubuhkan cawangan PKI dan di kawasan luar bandar, mereka menubuhkan Sarekat Islam Merah dan sejak tahun 1923 dikenali sebagai Sarekat Rakyat. PKI menjalankan propaganda memburukkan pemimpin Sarekat Islam di mana mereka dituduh menyalahgunakan wang parti. Selain itu, Sarekat Islam juga dituduh sebagai parti golongan kapitalis memandangkan majoriti pemimpinnya terdiri daripada kapitalis. Propaganda PKI telah menghilangkan keyakinan pengikut terhadap pemimpin Sarekat Islam. Fahaman Komunis semakin merebak dan PKI telah mengambil alih kepimpinan gerakan nasionalisme Indonesia sedangkan Sarekat Islam semakin merosot dari segi anggota dan pengaruh.
2. Pertentangan reformis/ortodoks
Pada tahun 1920-an, berlaku pertentangan antara golongan reformis dengan golongan ortodoks dalam Sarekat Islam. Golongan ortodoks tidak mahu Sarekat Islam memperjuangkan politik, mereka mahukan Sarekat Islam memperjuangkan agama, ekonomi dan sosial. Akibat pertentangan ini, golongan ortodoks keluar dari Sarekat Islam dan menyertai Nahdatul Ulama yang ditubuhkan pada September 1926. Selain itu, terdapat sebahagian dari golongan reformis yang tidak mahu Sarekat Islam menumpukan perjuangan dalam politik. Sejak tahun 1922, ramai antara mereka keluar dari Sarekat Islam dan menyertai Muhammadiah yang ditubuhkan pada 18 November 1912.
3. Cawangan B Sarekat Islam
Cawangan B Sarekat Islam yang radikal ditubuhkan di Jawa Barat pada tahun 1917 di bawah pimpinan Sosrokardono dan Haji Israel. Pada tahun 1919, mereka melancarkan pemberontakan terhadap Belanda di Jawa Barat. Walau bagaimanapun, pemberontakan tersebut berjaya dihancurkan oleh Belanda dan pemimpinnya ditangkap. Kegiatan cawangan B Sarekat Islam membimbangkan ahli-ahli sederhana dalam Sarekat Islam. Mereka mula menganggap keahlian Sarekat Islam sebagai paspot ke arah kekacauan. Bagi mengelakkan kekacauan dan tindakan Belanda, ramai antara mereka keluar dari Sarekat Islam.
4. Penubuhan Parti Nasional Indonesia (PNI)
Nasionalis-nasionalis sekular dalam Islam telah hilang keyakinan terhadap kemampuan Sarekat Islam dalam memperjuangkan kemerdekaan. Akibatnya ramai antara mereka keluar dari Sarekat Islam menyertai PNI yang ditubuhkan pada 4 Jun 1927 oleh Sukarno. Ketokohan Sukarno seperti program PNI telah menarik sokongan ramai. Sejak tahun 1927, PNI telah mengambilalih kepimpinan gerakan nasionalisme Indonesia.
5. Tekanan Belanda
Sebelum tahun 1926, Belanda bertoleransi terhadap pergerakan nasionalisme Indonesia. Pemberontakan PKI pada 1926-1927 di Jawa Barat dan Sumatera Tengah telah menyedarkan Belanda terhadap bahayanya parti politik ke atas pemerintahan Belanda. Akibatnya sejak tahun 1926, Belanda mula menekan parti-parti politik. Tindakan Belanda sudah tentu menjejaskan perkembangan Sarekat Islam.
6. Perpecahan tahun 1930-an
Perpecahan yang berlaku dalam Sarekat Islam pada tahun 1930-an telah menambahkan kemerosotan parti tersebut. Pada tahun 1932, seorang pemimpin Sarekat Islam, iaitu Dr. Sukirman telah keluar dari parti tersebut dan menubuhkan Parti Sarekat Islam Indonesia I. Pada tahun 1937, Dr. Sukirman menyertai semula Sarekat Islam. Pada tahun 1938, beliau sekali lagi keluar dari Sarekat Islam dan memperjuangkan Parti Sarekat Islam Indonesia I. Pada tahun 1940, sebarang pemimpin lagi keluar dari Sarekat Islam iaitu Kurtosuwirdjo dan menubuhkan Parti Sarekat Islam Indonesia II.

Kesimpulan
Sungguhpun pengaruh Sarekat Islam telah pudar dalam tahun-tahun 1920-an, namun tidak dapat diragukan bahawa Sarekat Islam telah memainkan peranan penting di peringkat awal pergerakan nasionalisme. Juga tidak dapat dinafikan bahawa Sarekat Islam menjadi popular kepada penubuhan parti-parti politik yang lain di Indonesia.

Tiada ulasan: