Sabtu, 28 Februari 2009

Institusi Pemerintahan di Asia

Institusi Pemerintahan

Pengenalan

Institusi pemerintahan di Asia secara umumnya berasaskan sistem beraja atau sistem bermaharaja. Di negara-negara Asia Tenggara, sistem berajanya dipengaruhi oleh negeri China khasnya bagi Laos, Vietnam dan Kampuchea dan negeri India bagi Indonesia. Menjelang abad ke-18 dan 19, hampir semua negara di rantau ini masih mengamalkan sistem ini. Sistem ini telah meletakkan raja sebagai ketua negara. Baginda berkuasa mutlak dan dalam menjalankan pemerintahan dan pentadbiran, baginda dibantu oleh segolongan pembesar.

Asia Tenggara

Sistem beraja di Asia Tenggara berasaskan pengaruh dan sistem politik di India. Sistem ini digelar kerajaan bercorak keindiaan. Ia merupakan gabungan unsur-unsur tempatan dan unsur-unsur keindiaan tetapi unsur-unsur keindiaan telah mengatasi unsur-unsur tempatan. Mengikut kepercayaan Hindu-Buddha, konsep orde kosmos diumpamakan kepada satu negara : satu negara itu melambangkan satu alam semesta dan pusatnya adalah ibu kota dan raja sendiri menjadi pusat alam. Raja akan membina masyarakat selaras dengan peraturan-peraturan alam semesta atau dharma. Raja juga dianggap sebagai dewa raja. Mengikut kepercayaan, raja itu dianggap sebagai wakil tuhan di bumi atau god shadow on earth, rakyat tidak boleh mempersoalkan tindak-tanduk raja-raja.

1. Myanmar

Kanun India Manu meletakkan taraf separuh ketuhanan ke atas raja, tiada seorangpun yang berani mencabar manu. Mengikut Cady dalam bukunya “South East Asia : Its Historical Development” : tidak ada orang Myanmar yang berani mempersoalkan hak raja bagi menguasai kehidupan, harta dan kewajipannya kecuali kalau orang itu sanggup dikatakan sebagai penderhaka. Sifat ketuhanan ini diberi kepada raja-raja apabila sami-sami Brahmin memegang payung putih yang menunjukkan simbol kedaulatan dan ketuhanan dan mengurniakan raja-raja dengan alat-alat kebesaran yang mempunyai sifat-sifat sakti. Raja dianggap pelindung ketidakadilan dan pencerobohan. Baginda juga merupakan pelindung penganjur agama Buddha. Bilangan gajah albino yang dimiliki oleh raja merupakan satu tanda pasti kuasa raja Myanmar. Istana pula menjadi satu simbol yang mewakili Gunung Meru – iaitu tempat kediaman tuhan-tuhan dan pusat alam menurut kosmologi orang India. Prinsip kosmologi ini memberi kuasa yang sungguh besar kepada raja dan juga menolong meninggikan anggapan diri mereka dan kebanggan mereka. Kegagalan raja mempertahankan ibu negeri daripada ditawan bermakna kehilangan takhta kerajaan. Bagi mempertahankan istana dan ibu negeri, tombak telah dibina.

Dalam pentadbiran negara, raja dan permaisuri pertama adalah penting. Di bawahnya, terdapat sami-sami Brahmin. Tugas-tugas sami-sami Brahmin ialah memberi penghormatan rakyat kepada raja, mengadakan upacara adat-istiadat dan mengetuai semua amalan-amalan yang penuh tahyu. Selain itu, Raja Muda (Einshemin) juga menduduki tempat yang sama. Einshemin ini mempunyai istananya dan pegawainya sendiri serta pengawal peribadi. Kaum bangsawan pula terdiri daripada keluarga diraja yang mempunyai hak turun-temurun. Kuasa mereka adalah dari kuasa mutlak raja. Mereka memegang jawatan di pentadbiran awam. Pendapatan mereka adalah cukai-cukai yang dikumpulkan di kawasan Myosa. Selepas bangsawan, terdapat 4 orang Wungyi (menteri-menteri raja). Mereka menguasai pusat pentadbiran Hlutdaw (Dewan Kerja). Mereka terdiri daripada orang yang cekap dan boleh dipercayai. Mereka dibantu oleh menteri-menteri kelas dua (Wundauk). Selepas Wungyi, terdapat 4 atau 8 orang Atwinwun yang menjalankan pentadbiran dalam istana. Myowun yang berkuasa tentera pula menjadi gabenor di wilayah. Terdapat 4 orang Myowun di Myanmar. Akunwun pula merupakan pengutip cukai dan penyelia. Cukai yang dikutip oleh beliau akan diserah 60-80% kepada raja. Bakinya disimpan olehnya. Pengawai polis pula dikenali sebagai sitke. Myothugyi pula menjadi ketua bandar dan bertanggungjawab di peringkat kampung dan daerah juga.

2. Thailand

Rakyat di Thailand tidak boleh melihat muka raja dan adat menyembah bersujut atau menyiarap mesti dilakukan semasa mengadap raja. Seseorang yang hendak mengadap raja harus merangkap masuk dan berada dalam keadaan menyiarap. Apabila rombongan diraja tiba di suatu tempat, rakyat jelata terpaksa melarikan diri dari tempat tersebut.

Dalam pentadbiran, ia terbahagi kepada 2 bentuk iaitu pentadbiran pusat dan pentadbiran wilayah. Kedua-dua peringkat pentadbiran menguasai tenaga menusia sepenuhnya. Di Thailand, terdapat 3 jenis wilayah, iaitu :

a. Wilayah Kelas I

Kawasan strategik keselamatan, Bandar-bandar besar yang mampu mengancam keselamatan.

b. Wilayah Kelas II dan III

Kawasan Bandar agak besar, tidak termasuk di bawah kuasa penyeliaan kerajaan pusat.

c. Wilayah Kelas IV

Bandar-bandar kecil di sekitar ibu kota di bawah penguasaan kerajaan pusat.

Setiap wilayah diserah kepada pembesar digelar Chao Phraya. Beliau dibantu oleh Naib Gabenor (Yok-Krabat). Yok-Krabat ini boleh menjadi pengganti Chao Phraya apabila Chao Phraya mati. Pegawai ini dilantik melalui surat tauliah dan biasanya dilantik dari keluarga Kunnang. Dalam pentadbiran Thailand juga, terdapat 3 buah krom (jabatan) iaitu :

a. Krom Mahatthai

Ia merupakan Jabatan Hal Ehwal Pentadbiran Awam. Ketuanya digelar Samuha Nayok. Ia bertanggungjawab mengawal wilayah utara Thai.

b. Krom Kalahon

Krom ini merupakan Jabatan Pertahanan. Ketuanya ialah Samuha Phra Kalahon dan beliau bertanggungjawab dalam aspek pertahanan. Beliau mengawal kawasan selatan Thai.

c. Krom Khlang

Ia juga dikenali sebagai Jabatan Kewangan dan Hubungan Luar. Ketuanya dipanggil Chao Phraya Phra Khlang. Jabatan ini bertanggungjawab untuk mengawal kawasan pesisiran pantai dan Teluk Siam.

Di bawah krom ini, terdapat mahkamah yang mendengar kes-kes rayuan mahkamah Bandar. Selepas krom, terdapat 4 Jabatan kanan iaitu Krom Maung (Jabatan Ibu Kota), Krom Na (Jabatan Tanah), Krom Wang (Jabatan Istana) dan Krom Khlang (Jabatan Kewangan, Perniagaan dan Hubungan Luar).

3. Vietnam

Pada teorinya, seseorang maharaja itu mempunyai kuasa mutlak. Konsep maharaja digunakan. Tugas maharaja sering dipenuhi dengan upacara amal resam (tradisional). Kesejahteraan rakyat dan negara bergantung kepada kebijaksanaan maharajanya. Pengabaian upacara amal resam menyebabkan negara ditimpa kecelakaan. Seseorang maharaja memberikan contoh yang baik terhadap rakyatnya. Mengikut Confucius, “Seseorang maharaja samalah seperti angin. Sifat rakyat seperti rumput. Rumput akan tunduk mengikut arah angin bertiup.” Andaikata kalau maharaja tidak adil, mandat dari alam kudus yang dimilikinya akan lenyap sendirinya. Penentangan rakyat terhadap maharaja yang sedemikian dikatakan sangat wajar.

Dalam pentadbiran, maharaja dianggap puncak kekuasaan, mempunyai kuasa mutlak. Pembesar Mandarin merupakan pegawai yang terdiri daripada orang yang paling alim, menjalankan kehendak raja. Mereka merupakan sekumpulan orang yang mendapat kuasa dari raja. Peluang yang besar dimiliki oleh mereka untuk mempengaruhi maharaja. Jawatan ini tidak boleh diwarisi. Tidak mempunyai bangsawan yang menguasai tanah. Dalam kesusasteraan Vietnam, ada dinyatakan bahawa kaum Mandarin dan raja melakukan penyeksaan : “Raja paksa rakyat bekerja tanpa makan dan bayar gaji. Kaum ini mencuri, merampas seberapa banyak yang dapat.”

Asia Timur

1. China

Maharaja dianggap sebagai “son of heaven” (anak tuhan). Baginda mendapat mandat dari tuhan untuk memerintah. Kalau negara maju, rakyat menganggap maharaja masih mendapat mandat tuhan dan disebaliknya, maka boleh menggulingkannya sehingga dapat mandat tuhan. Rakyat tidak boleh memandang wajah maharaja. Sesiapa yang pandang wajah maharaja akan ditimpa kecelakaan. Rakyat jelata haruslah kowtow sebanyak 9 kali semasa mengadap maharaja.

Untuk melaksanakan mandat dari syurga, maharaja dibantu oleh Jabatan Setiausaha Tinggi dan Majlis Tertinggi terdiri daripada 6 orang pembesar kanan. Terdapat beberapa jabatan seperti Jabatan Awam, Jabatan Dalam Negeri, Jabatan Upacara dan Adat Istiadat, Jabatan Perang, Jabatan Pengadilan, Jabatan Pengangkutan dan sebagainya. Setiap jabatan itu diketuai oleh seorang pegawai yang dilantik. Ada sati jabatan khas dipanggil Jabatan Penapis. Jabatan ini terdiri daripada 24 orang di Peking dan 56 orang di wilayah menjadi mata-mata dan telinga bagi maharaja untuk mengintip tingkah laku pegawai wilayah. Ibu kota dan kawasan sekitar terletak di bawah kawalan kerajaan pusat. Manakala kawasan lain dibahagikan dan dikuasai oleh seorang pembesar feudal. Kuasanya seperti seorang raja tetapi dasar umum dibentuk di Peking, tetapi pembesat-pembesar wilayah boleh membubarkan dasar umum dengan kebenaran adat-istiadat dan keadaan tempatan. Wilayah-wilayah merupakan kerajaan sendiri yang diketuai oelh Gabenor. Tanggungjawab gabenor ialah mengekalkan keamanan, mewujudkan ketenteraman dan memastikan kemakmuran wilayah masing-masing. Gabenor ini dibantu oleh pembesar wilayah seperti Bendahari, Hakim dan Pengawal Garam, Pengurus Bijirin, Pegawai Pentadbiran Khas (Tao Tai). Semua pembesar kerajaan dilantik dan wajib lulus peperiksaan awam. Ini adalah dikecualikan daripada kemasukan tentera.

2. Jepun

Sistem beraja di Jepun dipengaruhi oleh fahaman Shintoisme (kesetiaan rakyat kepada raja dan maharaja). Mengikut fahaman ini, maharaja adalah ketua agama, ketua negara dan rakyat perlu selalu taat setia pada negara dan maharaja.

Maharaja Jepun dibantu oleh 2 jabatan iaitu Jabatan Pemujaan (Jingikan) dan Jabatan Negara (Dajokan). Kerajaan dibahagikan kepada kerajaan-kerajaan wilayah dipanggil Kuni, ditadbir oleh gabenor (Kami). Pegawai ini dilantik mengikut kelahiran dan keturunan. Selepas maharaja ialah Shogun. Shogun dibantu oleh Tairo (Majlis Penasihat Agung) dan Roju (Majlis Tertua). Tairo bertanggungjawab menasihati raja dalam dasar-dasar negara penting dan Roju bertugas membentuk Majlis Negara menguruskan perkara-perkara berhubung dengan istana raja, golongan bangsawan iaitu Damyo. Damyo pula dibantu oleh Samurai dan Karo (orang suruhan pentadbir tanah). Terdapat 3 kumpulan Damyo iaitu Shimpon (ahli keluarga Tokugawa), Fudali (orang yang menerima kepimpinan Tokugawa Iyeyasu) dan Tozama (bangsawan yang setanding dengan Iyeyasu).

Selepas Maharaja Meiji menjalankan pemodenan, sistem pentadbiran Jepun telah berubah. Maharaja kini dibantu oleh 3 orang pembesar iaitu Ketua Yang Agung (putera mahkota), Majlis Kelas Pertama (Gijo) dan Majlis Kelas Kedua (terdiri daripada 5 orang Kuge iaitu pembesar istana dan 15 orang samurai) (Sanyo). Maharaja Meiji juga menubuhkan satu dewan yang dikenali sebagai Daijokwan. Daijokwan dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Dewan Pertuanan yang dibantu oleh 8 lembaga pentadbir dan ahlinya terdiri daripada golongan pembesar serta diketuai oleh Ketua Menteri yang bertanggungjawab terhadap maharaja dan Dewan Rakyat yang juga dikenali sebagai Dewan Perhimpunan.

Asia Selatan – India

Raja-raja mengikut panduan Arthasastra : Raja dinasihati oleh Mantri Parishad (badan penasihat bukan badan pemerintah). Mantri Parishad pada awal dilantik kemudian menjadi hak warisan pada akhirnya. Ada kalanya, ia lebih berkuasa daripada raja. Di Kerajaan Maratha (pengasasnya Sivaji), terdapat satu golongan pembesar yang dipanggil Peshwa yang lebih berkuasa. Di bawahnya ada Mantrin. Purohita sangat berpengaruh, rapat dengan raja, raja menerima nasihat darinya dalam segala hal. Purohita ini adalah seperti tukang tilik. Selepasnya ada satu barisan menteri-menteri. Dalamnya ini terdapat Sanidhatar (kewangan), Sumahartar (ketua pemungut cukai), Sandhivigrahika (menteri perang), Pradvivaka (hakim), Mahasapatalika (penyimpan rekod).

Selepas kedatangan Islam, pembesar kanan ialah Mansabdar. Sistem pemerintahannya dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu Pengurusan Kerajaan (istana), Pengurusan Tentera dan Pengurusan Empayar. Setiap bahagian mempunyai ketuanya masing-masing. Pentadbiran awam diketuai oleh Perdana Menteri (Wakil). Pengurusan cukai diserahkan kepada Wazir. Setiap wilayah di India diketuai oleh Subahdar. Qazi menjadi hakim.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...