Sabtu, 28 Februari 2009

Dasar Etika

Pengenalan
Dasar Liberal seperti Sistem Kultur gagal meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Mengikut Geertz, Dasar Liberal merupakan cara yang berlainan untuk mencapai matlamat yang sama, iaitu mengangkut hasil Indonesia ke Belanda. Akibatnya, Dasar Liberal bukan sahaja ditentang oleh rakyat Indonesia, tetapi juga orang-orang Belanda, terutamanya golongan sosialis yang memperjuangkan konsep “Hindia Timur untuk Hindia Timur”. Mereka mahukan segala keuntungan di Indonesia dibelanjakan untuk kebajikan rakyat Indonesia. Golongan ini mendakwa Belanda mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga kebajikan rakyat Indonesia. Penentangan terhadap Dasar Liberal bertambah selepas terbitnya risalah “Ons Program” oleh Dr. Abraham Kayper dan “A Debt of Hanour” oleh Van Deventer. Apabla parti campuran Neo Calvinist dan Katholik yang dapat sokongan sosialis memerintah di Belanda di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr. Abraham Kayper dan Menteri Tanah Jajahan Alexander Idenberg, maka Dasar Liberal dihapuskan dan digantikan dengan Dasar Etika mulai tahun 1901. Dasar Etika mempunyai 3 prinsip utama, iaitu pendidikan, penghijrahan dan pengairan.

Sebab-sebab
1. Keburukan Dasar Liberal
Dasar Liberal gagal meninggikan taraf hidup Indonesia dan dasar ini tidak mengutamakan kebajikan rakyat Indonesia. Kemudahan-kemudahan sosial amat terhad dan mempunyai tujuan ekonomi. Dasar Liberal hanya menuntungkan kapitalis-kapitalis Belanda dan Cina. Sistem ekonomi bebas di bawah Dasar Liberal menyebabkan rakyat tempatan tidak dapat bersaing dengan kapitalis kerana kekurangan modal dan pengetahuan. Fungsi ekonomi mereka hanya sebagai buruh bergaji di ladang-ladang dan lombong-lombong milik kapitalis. Mereka dibayar gaji yang rendah dan bekerja dalam suasana yang menyedihkan. Daya pembelian rakyat Indonesia merosot. Selain itu, mereka telah dibebankan dengan pelbagai cukai terutamanya cukai tanah. Akibatnya, Dasar Liberal bukan sahaja ditentang oleh rakyat Indonesia tetapi juga orang Belanda. Di negeri Belanda, kritikan terhadap Dasar Liberal bermula pada tahun 1880-an diketuai oleh golongan sosialis. Golongan ini memperjuangkan konsep-konsep “Hindia Timur untuk Hindia Timur”. Mereka mahukan segala keuntungan di Hindia Timur dibelanjakan untuk kepentingan rakyat Hindia Timur. Golongan ini juga mendakwa Belanda bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat Hindia Timur.
2. Pengaruh Van Deventer dan Dr. Abraham Kayper
Ahli-ahli Sejarah mendakwa pengaruh Van Deventer dan Dr. Abraham Kayper juga bertanggungjawab terhadap perlaksanaan Dasar Etika. Van Deventer merupakan seorang peguam dan reformis kolonial. Pada tahun 1899, beliau menerbitkan sebuah artikel berjudul “A Debt of Honour” dalam Journal Belanda “De Gids”. Beliau mendakwa segala keuntungan yang diperolehi oleh Belanda dari Hindia Timur sebagai hutang kehormat yang perlu dijelaskan dengan cara meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Beliau mendesak sekurang-kurangnya 187 juta guilders yang diperolehi oleh Belanda dari Indonesia sejak tahun 1867 perlu dibayar balik. Pembayaran balik tersebut dianggap sebagai menjelaskan hutang kehormat. Van Deventer juga mendesak Belanda melaksanakan dasar pengagihan kuasa pusat, iaitu memindahkan kuasa pentadbiran Indonesia dari Belanda ke Indonesia. Beliau juga mahukan kerajaan menambahkan bilangan pegawai-pegawai Indonesia dalam perkhidmatan kerajaan di Indonesia. J.S. Farnival dalam bukunya “Netherlands India: A Study of Plural Economy” menegaskan artikel Van Deventer “was a thunderbolt which cleared the atmosphere and in the fresher air colonial problems assumed a new aspect”. Pada tahun 1880, Dr. Abraham Kayper menerbitkan risalah berjudul “Ons Program”. Dalam risalah tersebut, beliau mendakwa Belanda mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga kebajikan rakyat Hindia Timur khususnya meninggikan taraf sosial dan ekonomi mereka. Idea-idea Van Deventer dan Dr. Abraham Kayper telah membangkitkan sentimen orang Belanda terhadap Dasar Liberal. Selain itu, terdapat kepercayaan umum bahawa Belanda bertanggungjawab untuk meninggikan taraf hidup Indonesia lebih-lebih lagi Indonesia telah banyak membantu Belanda menyelesaikan masalah ekonomi.
3. Tuntutan pengagihan kuasa
Kapitalis-kapitalis dan pegawai-pegawai Belanda di Indonesia menuntut autonomi yang lebih daripada Kerajaan Belanda. Mereka mahukan kuasa pentadbiran Indonesia dipindahkan dar negeri Belanda ke Indonesia. Tuntutan-tuntutan mereka disokong oleh Parti Sosialis pimpinan Van Kohl. Golongan sosialis dalam Parlimen Belanda mengutuk Dasar Liberal dan memperjuangkan kondep “Hindia Timur untuk Hindia Timur”

Kesan-kesan
1. Politik
a. Majlis
Di bawah Dasar Etika, langkah-langkah yang dijalankan bertujuan untuk memberi latihan dan pengalaman dalam pentadbiran kepada rakyat Hindia Timur sebagai persiapan ke arah berkerajaan sendiri. Pada tahun 1903, Kerajaan Belanda melaksanakan dasar pengagihan kuasa pusat, iaitu memindahkan kuasa pentadbiran Hindia Timur dan negeri Belanda ke Hindia Timur. Pada tahun 1905, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Awam Belanda De Graaf telah mengemukakan cadangan untuk “mengindonesiakan” jawatan-jawatan kerajaan. Walau bagaimanapun, tidak banyak langkah tegas diambil ke arah melaksanakannya. Sejak tahun 1905, Belanda menubuhkan majlis-majlis bandaran, kampung dan daerah yang dianggotai oleh orang Belanda, Indonesia dan Cina. Majlis Bandaran (Tempatan) yang pertama ditubuhkan pada tahun 1905 di Bandung, Betawi dan Jati Negara. Peraturan kampung De Graaf tahun 1906 telah membuka kepada penubuhan majlis kampung yang tediri daripada ketua kampung, pembesar-pembesar kampung serta satu perhimpunan kampung. Majlis daerah yang pertama ditubuhkan pada tahun 1909 di kawasan penanaman tembakau di Sumatera Timur. Menjelang tahun 1918, sudah terdapat 32 majlis bandaran, 25 majlis daerah. Walau bagaimanapun, majlis-majlis ni gagal mencapai matlamatnya akibat campur tangan Belanda. Selain itu, Belanda mempunyai kuasa mutlak ke atas keputusan majlis. 2/3 dari ahlinya dicalonkan dan hanya ahli-ahli Belanda yang dipilih. Akibatnya, majlis-majlis ini hanya bertindak sebagai badan penasihat yang mempunyai kuasa amat terhad. Majlis-majlis ini hanya berkuasa ke atas perkara-perkara yang kurang penting seperti jalan raya, kerja raya, taman dan sebagainya. Perkara-perkara penting seperti polis, kewangan, kesihatan, pelajaran dan sebagainya masih lagi di bawah kekuasaan Belanda.
b. Volksraad
Pada tahun 1916, Belanda menubuhkan majlis rakyat yang dikenali sebagai “Volksraad”. Persidangan pertama telah diadakan pada Mei 1918. Walau bagaimanapun, Volksraad juga gagal mencapai matlamatnya akibat campur tangan Belanda. Pihak Belanda masih lagi mempunyai kuasa mutlak ke atas keputusan Volksraad. Sehingga tahun 1928, majoriti anggota Volksraad terdiri daripada orang-orang Belanda. Buktinya pada tahun 1928, anggota Volksraad ialah 30 orang Belanda, 25 orang Indonesia dan 5 bangsa lain (Cina). J.S. Farnival dalam bukunya. “Netherlands India: A Study of Plural Economy” menegaskan apa yang dilakukan oleh Belanda sebagai “let me help you, let me show you how to do it, and let me do it for you”.
c. Nasionalisme
Perlaksanaan Dasar Etika telah mengakibatkan kebangkitan dan perkembangan nasionalisme Indonesia. Perkembangan pelajaran Barat telah melahirkan elit-elit politik yang telah terpengaruh dengan idea liberal Barat seperti demokrasi, sosialisme, komunisme dan sebagainya. Golongan ini tidak berpuas hati dengan pentadbiran Belanda yang mengamalkan diskriminasi dan gagal menyediakan pekerjaan yang sesuai untuk mereka. Golongan ini telah membekalkan pimpinan dalam gerakan nasionalisme Indonesia. Antara mereka ialah Sukarno, Hatta, Syahrir, Amir Syarifuddin dan Semaun. Di bawah Dasar Etika, Belanda bertoleransi terhadap pergerakan nasionalisme Indonesia. Toleransi Belanda telah membolehkan nasionalis-nasionalis mengatur kegiatan mereka. Akibatnya lahirlah parti-parti politik seperti Budi Utomo di bawah Dr. Wahidin Sudiro Usodo, Sarekat Islam di bawah Omar Said Tjokroaminoto, Parti Komunis Indonesia (PKI) di bawah Semaun. Kemajuan sistem perhubungan telah memudahkan perhubungan dan penyebaran idea-idea nasionalisme ke seluruh Indonesia.
2. Ekonomi
a. Langkah meninggikan taraf hidup
Dalam bidang ekonomi, langkah-langkah yang dijalankan bertujuan untuk meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia yang tertindas akibat perlaksanaan Sistem Kultur dan Dasar Etika. Pada tahun 1905, Belanda menubuhkan Jabatan Pertanian di Betawi. Penubuhan Jabatan Pertanian telah menubuhkan hasil tanaman tempatan khususnya tanaman makanan. Walau bagaimanapun, pertambahan hasil tanaman tersebut tidak seimbang dengan pertambahan penduduk, terutamanya di Jawa. Sebagai contoh, penduduk Jawa yang berjumlah 29.9 juta orang pada tahun 1905 telah meningkat kepada 40.9 juta orang pada tahun 1930. Kerajaan juga menggalakkan perhutanan, perikanan, tanaman baru dan menambahkan kemudahan pengairan. Antara tahun 1900-1940, sebanyak 270 juta guilders dibelanjakan untuk kemudahan pengairan di seluruh Indonesia. Kerajaan juga menggalakkan pembukaan tanah baru untuk pertanian. Langkah tersebut telah menambahkan kawasan pertanian di Indonesia. Sebagai contoh, pada tahun 1900, terdapat sawah padi seluas 2.7 juta hektar dan pada tahun 1940, keluasannya meningkat 3.4 juta hektar. Pada tahun 1905, 40 juta guiders dibelanjakan untuk memajukan ekonomi Jawa san Madura. Banyak jalan raya dan jalan keretapi dibina di seluruh Indonesia untuk kepentingan ekonomi khususnya untuk membuka kawasan ladang serta perlombongan dan mengangkut hasil. Pada tahun 1903, Akta Perkilangan dilaksanakan dengan tujuan untuk melindungi industri tempatan. Pada tahun 1904, dilaksanakan Akta Buruh bertujuan untuk mengelakkan penindasan majikan. Pada tahun 1909, Akta Pengambilan Buruh dilaksanakan dengan tujuan untuk mengelakkan penipuan, percukaian dan sebagainya.
b. Perkembangan ekonomi
Perlaksanaan Dasar Etika telah mengakibatkan perkembangan ekonomi terutamanya sektor peladangan dan perlombongan di pulau-pulau luar. Perkembangan ekonomi berlaku akibat penglibatan modal kerajaan dan kapitalis. Dasar Etika telah mengakibatkan pertambahan hasil Indonesia. Sebaagi contoh, pada tahun 1922, Indonesia menghasilkan 25% getah dunia dan pada tahun 1928, Indonesia mengeluarkan 40% getah dunia. J.F. Cady dalam bukunya “South-East Asia: It’s Historical Development” menegaskan Indonesia mencapai kemakmuran ekonomi yang tiada tolok bandingnya semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918). Walau bagaimanapun, kemakmuran ekonomi hanya dinikmati oleh kapitalis-kapitalis Belanda dan Cina yang menguasai ekonomi Indonesia.
c. Kemudahan kredit
Sejak tahun 1904, Kerajaan Belanda menyediakan kemudahan kredit dengan menubuhkan Bank Padi dan Bank Tunai Desa. Tujuannya ialah untuk mengelakkan rakyat Indonesia daripada dieksploitasikan oleh peminjam-peminjam wang Cina serta kedai pajak orang Cina. Menjelang tahun 1912, terdapat 12 ribu wang padi dan 1161 Bank Tunai Desa. Kerajaan juga mengarahkan kedai pajak Cina menurunkan kadar bunga yang dikenakan. Selain itu, kerajaan telah mengambil alih beberapa kedai pajak Cina dan menubuhkan kedai pajak kerajaan di seluruh Indonesia. Walau bagaimanapun, kemudahan kredit tersebut mencapai kejayaan yang terhad. Sehingga 1940, hanya terdapat 500 kedai pajak kerajaan di seluruh Indonesia. Masalah pentadbiran dan jarak yang jauh menyebabkan rakyat Indonesia mendapati sukar untuk mendapat kemudahan kredit kerajaan. Akibatnya, mereka masih berurusan dengan peminjam-peminjam wang Cina dan kedai pajak Cina.
d. Kedudukan rakyat Indonesia
Dasar Etika seperti dasar-dasar sebelumnya gagal meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Dasar ini hanya menguntungkan kapitalis-kapitalis Belanda dan Cina. Sistem ekonomi bebas menyebabkan rakyat tempatan tidak dapat bersaing dengan kapitalis kerana kekurangan modal dan pengetahuan. Fungsi ekonomi mereka hanya sebagai buruh di ladang-ladang dan lombong-lombong milik kapitalis. Ahli-ahli Sejarah mendakwa Belanda tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan revolusi teknik, perindustrian secara besar-besaran yang dapat meninggikan taraf hidup Indonesia. J.M. Kahin dalam bukunya “Nationalism and Revolution in Indonesia” menegaskan kehidupan rakyat Indonesia amat terhimpit pada tahun-tahun 1913-1923 dan 1926-1932.
3. Sosial
a. Pelajaran
Perkembangan pelajaran merupakan kesan sosial yang penting akibat perlaksanaan Dasar Etika. Pada tahun 1913, terdapat 7 ribu buah sekolah dengan jumlah pelajar seramai 227 ribu orang. J.F. Cady dalam bukunya “South-East Asia: It’s Historical Development” menegaskan perkembangan pelajaran di desa telah meningkat 3.5 kali ganda pada tahun 1909-1912. Pelajaran tinggi yang berkembang di Indonesia sejak 1920-an bercorak teknikal seperti penubuhan maktab pertanian, perubatan, kejuruteraan dan undang-undang. Peluang pelajaran tinggi amat terhad kerana bilangan sekolah menengah agak kecil. Selain itu, Belanda lebih mengutamakan orang-orang Belanda dan Indo-Belanda. Peluang melanjutkan pelajaran ke seberang laut juga terhad akibat diskriminasi Belanda.
b. Kesihatan
Di bawah Dasar Etika, kemudahan kesihatan bukan sahaja diadakan di bandar tetapi juga di luar bandar. Kemudahan kesihatan yang disediakan dapat mengawal beberapa jenis penyakit teknikal seperti beri-beri, malaria dan kolera.
c. Penghijrahan
Sejak perlaksanaan Dasar Etika, Belanda menggalakkan penghijrahan rakyat Jawa ke pulau-pulau luar. Tujuannya ialah untuk mengatasi masalah kepadatan penduduk Jawa dan kekurangan tenaga buruh di pulau-pulau luar. Usaha ini hanya berjaya dilaksanakan sejak tahun 1930-an akibat propaganda Belanda, cara-cara pemilihan dan langkah persediaan awal yang berkesan. Perangkaan berikut menunjukkan bilangan penduduk Jawa yang berhijrah ke pulau-pulau luar antara tahun 1936-1940:
1936 13152
1937 19152
1938 32259
1939 45339
1940 50622
d. Masyarakat majmuk
Perlaksanaan Dasar Etika telah mengakibatkan wujudnya masyarakat majmuk yang ditentukan oleh faktor ras dan ekonomi. J.S. Farnival dalam bukunya “Netherlands India: A Study of Plural Economy” mendefinasikan masyarakat majmuk sebagai “a society or social comprising two or more elements or social orders which live side by side, yet without mingling in one political unit”. Orang-orang Belanda sebagai pentadbiran dan menguasai ekonomi moden yang dibina melalui modal mereka sendiri. Orang-orang Cina sebagai peniaga, orang tengah dan peminjam wang. Orang-orang Indonesia pula menjadi petani, nelayan dan buruh. Masyarakat majmuk telah mengakibatkan berlakunya pengeseran terutamanya di antara masyarakat Indonesia dengan orang Cina.

Kesimpulan
Dsar Etika memberi sumbangan yang besar kepada kebangkitan dan pergerakan gerakan nasionalisme di Indonesia. Ia juga bertanggungjawab kepada pembahagian dalam gerakan nasionalisme kepada beberapa golonga, misalnya nasionalisme Islam, golongan Komunis dan golongan Sekular. Golongan berpendidikan Barat hasil dari Dasar Etika telah memainkan peranan penting dalam gerakan nasionalisme selepas tahun-tahun 1920-an sedangkan tahun sebelumnya dipegang oleh golongan berpendidikan Islam di Timur Tengah.

Tiada ulasan: