Sabtu, 28 Februari 2009

Dasar Liberal

Pengenalan
Dasar Liberal bukan merupakan sistem ekonomi seperti Sistem Kultur. Ianya merupakan dasar pentadbiran dan perlaksanaannya merupakan langkah ke arah menghapuskan Sistem Kultur. Keburukan Sistem Kultur telah mendapat tentangan daripada rakyat Jawa dan juga orang-orang Belanda. Dasar Liberal dilaksanakan dengan tujuan untuk meninggikan taraf ekonomi dan sosial rekyat Hindia Timur terutamanya rakyat Jawa yang tertindas akibat perlaksanaan Sistem Kultur. Selain itu, Dasar Liberal bertujuan untuk memberi peluang kepada kapitalis-kapitalis melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Hindia Timur. Apabila Parti Liberal memerintah di Belanda pada tahun 1863, Dasar Liberal mula dilaksanakan di Hindia Timur.

Sebab-sebab
1. Keburukan Sistem Kultur
Perlaksanaan Sistem Kultur telah menyebabkan kedudukan rakyat Jawa terutamanya di Jawa Tengah seperti Tegal, Cheribon dan Priangan mengalami kemerosotan akibat penyelewengan dalam perlaksanaan sistem tersebut sejak tahun 1836. Petani-petani telah dipaksa untuk bekerja lebih dari 66 hari setahun untuk tanaman eksport. Mengikut Van de Kolf, terdapat petani-petani yang dipaksa bekerja untuk tanaman eksport sehingga 240 hari setahun. Selain itu, petani-petani juga dipaksa memperuntukkan lebih 1/5 tanah mereka untuk tanaman eksport. Mengikut Van de Kolf, terdapat petani-petani yang dipaksa memperuntukkan ¼, 1/3, ½ dan ¾ dan sebagainya untuk tanaman eksport. Malah terdapat petani-petani di beberapa kawasan Jawa Tengah yang dipaksa memperuntukkan semua tanah mereka untuk tanaman eksport. Keadaan bertambah buruk kerana adanya komisen berdasarkan sistem peratus yang dibayar kepada pembesar dan penyelia Belanda. Hal ini menyebabkan pembesar dan penyelia Belanda memaksa petani-petani memperuntukkan lebih masa dan tanah bagi menanam tanaman eksport untuk menambahkan pengeluaran. Petani-petani juga dipaksa melakukan kerja-kerja lain seperti membina jalan raya, jambatan, terusan dan sebagainya. Pada tahun 1830-an, arahan telah dikeluarkan oleh Kerajaan Belanda supaya petani-petani Jawa menjual hasil tanaman mereka kepada Kerajaan Belanda dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran sebagai sumbangan rakyat Jawa untuk membantu ekonomi Belanda. Sebagai contoh, pada tahun 1833, rakyat Jawa dipaksa menjual hasil kopi mereka kepada Kerajaan Belanda dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran. Pelbagai penyelewengan telah berlaku dalam perlaksanaan Sistem Kultur. Tanah yang diperuntukkan untuk tanaman eksport juga dikenakan cukai. Pengkhususan kerja tidak dilaksanakan menyebabkan petani-petani terpaksa bekerja untuk eksport untuk sepanjang tahun. Badan pelindung yang diharapkan dapat menjaga kebajikan petani tidak pernah ditubuhkan. J.S. Farnival dalam bukunya “Netherlands India: A Study of Plural Economy” menegaskan Sistem Kultur tidak memberi peluang pada wujudnya kelas perdagangan tempatan. Fungsi ekonomi rakyat Jawa hanya sebagai buruh pertanian kepada Belanda. Mereka tidak mempunyai pengalaman perdagangan dan terputus dari pasaran antarabangsa.
Perlaksanaan Sistem Kultur telah mengakibatkan berlakunya kebuluran di Jawa Tengah, terutamanya di Cheribon, Tegal dan Priangan. Pada tahun 1840-an, terutamanya 1843-1850. Kebuluran pertama berlaku di Cheribon pada tahun 1843. Kebuluran yang dashyat berlaku di Jawa Tengah pada 1849-1850 di mana 300 ribu nyawa terkorban. Punca utama berlakunya kebuluran ialah kekurangan pengeluaran tanaman makanan, iaitu padi akibat tumpuan yang lebih dalam tanaman eksport. Petani-petani telah dipaksa untuk memperuntukkan lebih masa dan tanah untuk tanaman eksport
Sistem Kultur gagal meninggikan taraf hidup rakyat Jawa dan sistem ini hanya menguntungkan Belanda. Kerajaan Belanda telah mengabaikan kebajikan umum rakyat Jawa. Tidak ada langkah-langkah yang diambil bagi meningikan taraf sosial terutamanya kesihatan dan pendidikan rakyat Jawa.
2. Kebangkitan fahaman Liberal
Sejak pertengahan abad ke-19, fahaman liberal telah merebak di Eropah termasuk di Belanda. Golongan liberal di bawah pimpinan Van Hoeval telah mengecam hebak Sistem Kultur dan menganggapnya sebagai sistem pemerasan dan ½ perhambaan. Mereka mendesak Belanda melaksanakan dasar yang lebih bertanggungjawab yang dapat meninggikan taraf ekonomi dan sosial rakyat Hindia Timur dan bukannya menindas mereka. Mereka juga menegaskan tanggungjawab penjajah ialah menjaga kebajikan rakyat yang dijajah. Sistem Kultur yang merupakan monopoli kerajaan dalam kegiatan ekonomi di Jawa amat bertentangan dengan prinsip ekonomi golongan liberal. Mereka mahukan kerajaan melaksanakan dasar ekonomi bebas/laissez faire yang membuka peluang kepada kapitalis melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Hindia Timur. Mereka menegaskan langkah ini akan menyebabkan perkembangan ekonomi yang pasti menguntungkan Belanda dan rakyat Hindia Timur. Apabila Parti Liberal memerintah Belanda pada tahun 1863, Dasar Liberal mula dilaksanakan di Hindia Timur. Antara tokoh golongan liberal ialah Van Hoeval, Van de Putte, Thorbecke dan Douwas Dekken.
3. Pindaan perlembagaan
Pindaan perlembagaan 1848 telah menetapkan raja Belanda melalui Menteri Tanah Jajahan mesti melaporkan hal ehwal tanah jajahan kepada Parlimen tiap-tiap tahun. Pindaan perlembagaan tersebut juga telah memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan kewangan tanah jajahan. Akta Akaun 1864 telah memberi kuasa kepada Parlimen untuk meluluskan belanjawan tanah jajahan. Akta tersebut juga telah menamatkan hak mutlak raja ke atas tanah jajahan. Tanggungjawab ke atas tanah jajahan telah diserahkan kepada Parlimen Belanda. Perkembangan ini membolehkan ahli-ahli liberal dalam Parlimen mengecam Sistem Kultur dan melaksanakan Dasar Liberal.
4. Desakan kapitalis
Kapitalis-kapitalis Belanda telah mengecam Sistem Kultur kerana ianya merupakan monopoli kerajaan dalam kegiatan ekonomi. Kapitalis-kapitalis tidak berpeluang untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di bawah Sistem Kultur. Mereka mendesak Kerajaan Belanda melaksanakan dasar ekonomi bebas/laissez faire yang membuka peluang kepada kapitalis melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Hindia Timur. Kapitalis-kapitalis yang terdiri daripada pedagang-pedagang, pengusaha-pengusaha industri, pemilik bank dan sebagainya mahu melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi bukan sahaja di Jawa, tetapi di seluruh Hindia Timur dan bukan sahaja dalam pertanian tetapi juga dalam kegiatan ekonomi lain. Mereka mahu memperolehi sebahagian keuntungan di Hindia Timur yang selama ini hanya dinikmati oleh kerajaan. Apabila Parti Liberal yang disokong kuat oleh golongan kapitalis memerintah Belanda sejak tahun 1863, maka dasar yang menguntungkan kapitalis, iaitu Dasar Liberal dilaksanakan di Hindia Timur. Desakan kapitalis juga menyebabkan Kerajaan Belanda melaksanakan undang-undang pertanian 1870 di Hindia Timur yang membolehkan kapitalis menyewa tanah rakyat tempatan dalam tempoh maksimum 35 tahun dan tanah kerajaan 75 tahun.
5. Faktor kemanusiaan
Faktor kemanusiaan juga bertanggungjawab terhadap perlaksanaan Dasar Liberal di Hindia Timur. Penderitaan rakyat Jawa tanah mendapat simpati orang-orang Belanda. Mereka mengutuk Sistem Kultur dan mendesak Belanda melaksanakan dasar yang lebih bertanggungjawab yang dapat meninggikan taraf ekonomi dan sosial rakyat Hindia Timur. Golongan ini menegaskan tanggungjawab Kerajaan Belanda ialah menjaga kebajikan mereka dan bukannya menindas mereka. Faktor kemanusiaan kemuncak dengan terbitnya novel “Max Havelaar” oleh Douwes Dukker pada tahun 1860. Novel tersebut telah mendedahkan penderitaan serta penyelewengan dalam perlaksanaan Sistem Kultur. C.L.M. Penders dalam bukunya “Indonesia: Selected Documents on Colonialism and Nationalism 1830-1842” dan D.G.E. Hall dalam bukunya “A History of South East Asia” menegaskan novel “Max Havelaar” telah membangkitkan penentangan rakyat Belanda terhadap Sistem Kultur. Faktor kemanusiaan diperkukuhkan lagi dengan terbitnya kisah “Regulation of Sugar Contract in Jawa” oleh Van de Putte pada tahun 1862. Risalah tersebut telah mendedahkan keterlaluan-keterlaluan dalam perlaksanaan Sistem Kultur.

Kesan-kesan
1. Ekonomi
a. Perkembangan ekonomi
Perlaksanaan Dasar Liberal telah mengakibatkan perkembangan ekonomi di seluruh Hindia Timur akibat penglibatan modal kerajaan dan kapitalis. Perkembangan ekonomi terbukti dengan pertambahan nilai eksport dan import. Antara tahun 1870-1900, eksport Hindia Timur meningkat 2 kali ganda dan import meningkat 4 kali ganda. Buktinya eksport Hindia Timur bernilai 107 juta guilders pada tahun 1870 telah meningkat 258 juta guilders pada tahun 1900, manakala import yang bernilai 44 juta guilders pada tahun 1870 telah meningkat 176 juta guilders pada tahun 1900. Tanaman baru seperti getah, kelapa sawit, kelapa dan koko diperkenalkan. Banyak kilang didirikan dan syarikat-syarikat perdagangan serta bank ditubuhkan. Satu sistem ekonomi yang berorientasikan pertanian ladang dan perlombongan mula dijalankan di Hindia Timur. J.F. Cady dalam bukunya, “South East Asia: Its Historical Development” menegaskan hasil pertanian ladang telah meningkat 10 kali ganda antara 1860-1885. Perlombongan bijih timah juga dijalankan di Bangka dan Belitung. Sebagai contoh, pengeluaran bijih timah Bangka sebanyak 2200 tan pada tahun 1870 telah meningkat 10 ribu tan pada tahun 1900
b. Ekonomi seluruh Hindia Timur
Di bawah Dasar Liberal, kegiatan ekonomi dijalankan di Jawa dan juga pulau-pulau luar yang sebelumnya diabaikan. Sebagai contoh, pengusaha-pengusaha Belanda telah membuka ladang tembakau di Sumatera Timur dan Selatan. Selain itu, kegiatan ekonomi bukan sahaja tertumpu dalam bidang pertanian, tetapi juga dalam bidang ekonomi lain. Sebagai contoh, pengeluaran arang dijalankan di Kalimantan Selatan dan Sumatera Barat. Pengeluaran minyak dijalankan di Sumatera dan Kalimantan mulai tahun 1883.
c. Kedudukan ekonomi rakyat Hindia Timur
Dasar Liberal meninggikan taraf ekonomi rakyat Hindia Timur dan dasar ini hanya menguntungkan kapitalis-kapitalis Belanda dan Cina. Sistem ekonomi bebas di bawah Dasar Liberal menyebabkan rakyat tempatan tidak dapat bersaing dengan kapitalis kerana kekurangan modal dan pengetahuan. Fungsi ekonomi mereka hanya sebagai buruh di ladang-ladang dan lombong-lombong milik kapitalis. Mereka dibayar gaji yang rendah dan bekerja dalam suasana yang menyedihkan. Daya pembelian rakyat Hindia Timur semakin merosot. Selain itu, mereka juga dibebankan dengan pelbagai cukai terutamanya cukai tanah. Sebagai contoh, 80% daripada hasil cukai di Jawa dibayar oleh orang-orang Jawa.
d. Merugikan kerajaan
Perlaksanaan Dasar Liberal menyebabkan kapitalis mengambil alih penguasaan kerajaan dalam kegiatan ekonomi di Hindia Timur. Kekuatan modal mereka telah membolehkan kapitalis membuka lebih banyak ladang dan lombong di seluruh Hindia Timur. Perangkaan berikut menunjukkan perbezaan keuntungan yang diperolehi oleh kerajaan dan kapitalis antara tahun 1865-1885:
Tahun Kerajaan (juta guilders) Kapitalis (juta guilders)
1865 64 34
1870 46 68
1875 41 130
1885 16 168
Perkembangan ini telah memberi bebanan ekonomi pada Kerajaan Belanda sedangkan sebelum ini masalah ekonomi telah dapat diatasi akibat perlaksanaan Sistem Kultur. Pada tahun 1897, Kerajaan Belanda berhutang sebanyak 18 juta guilders.
2. Sosial
a. Meruntuhkan sistem sosial tradisional
Perlaksanaan Dasar Liberal telah meruntuhkan sistem sosial tradisional akibat pengambilan rakyat Indonesia sebagai buruh bergaji di ladang-ladang dan lombong-lombong milik kapitalis. Peluasan kuasa dan perkhidmatan Kerajaan Belanda telah mempercepatkan proses keruntuhan sistem sosial tradisional. Kawalan sosial semakin merosot dan hubungan kekeluargaan semakin renggang.
b. Sistem perhubungan
Kemajuan sistem perhubungan merupakan kesan sosial yang penting akibat perlaksanaan Dasar Liberal. Banyak jalan raya dan jalan keretapi telah dibina di seluruh Hindia Timur. Tujuannya ialah untuk memudahkan usaha membuka kawasan pertanian dan perlombongan. Sebagai contoh, jalan keretapi sejauh 1600 km pada tahun 1890 telah meningkat 3500 km pada tahun 1900. Perkhidmatan telegraf kawasan pedalaman yang pertama telah diadakan pada tahun 1856. Perkhidmatan pos kawasan pedalaman yang pertama telah diadakan pada tahun 1866. Perkhidmatan telefon semakin berkembang dan syarikat telefon yang petama ditubuhkan pada tahun 1882.
c. Pelajaran
Di bawah Dasar Liberal, Belanda mula membina sekolah-sekolah untuk rakyat tempatan. Pada tahun 1871, terdapat 263 sekolah dan pada tahun 1898, jumlah sekolah meningkat menjadi 516 buah. Selain itu, maktab-maktab latihan perguruan dan institut-institut latihan khas telah ditubuhkan. Sebagai contoh, penubuhan Sekolah Latihan Doktor di Jawa pada tahun 1897.
d. Kelas menengah
Perlaksanaan Dasar Liberal telah melahirkan satu kelas baru dalam masyarakat Indonesia, iaitu kelas menengah yang ditentukan oleh faktor ras dan ekonomi. Majoriti kelas menengah terdiri daripada orang-orang Belanda, Indo-Belanda dan sebilangan kecil orang Indonesia.
e. Penghijrahan
Perkembangan ekonomi di bawah Dasar Liberal telah menggalakkan penghijrahan ramai orang Belanda ke Indonesia. Kebanyakan orang Belanda yang berhijrah ke Indonesia terdiri daripada golongan professional dan peniaga. Selepas tahun 1870, kebanyakan orang Belanda yang berada di Indonesia bukan lagi terdiri daripada pegawai kerajaan seperti sebelumnya. Pada tahun 1900, terdapat 67 ribu orang Belanda di Indonesia. Bilangan orang Cina yang berhijrah ke Indonesia juga meningkat. Sebagai contoh, bilangan orang Cina di Jawa seramai 150 ribu orang pada tahun 1850 telah meningkat menjadi 277 ribu orang pada tahun 1900. Kebanyakan orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar dan menjado pekedai runcit, orang tengah dan peminjam wang. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian orang Cina yang terlibat dalam pertanian komersil.
3. Politik
Perkembangan ekonomi di bawah Dasar Liberal yang berlaku di seluruh Indonesia telah menyebabkan Belanda mulai mengambil langkah untuk mengelakkan pulau-pulau luar jatuh ke tangan kuasa-kuasa Barat lain. Kepentingan ekonomi juga menyebabkan Belanda berusaha untuk menghapuskan kegiatan-kegiatan yang boleh mengancam kegiatan ekonomi seperti pelanunan, perang saudara serta kekacauan-kekacauan lain. Akibatnya, Belanda mula campur tangan dalam hal-ehwal pulau-pulau luar. Sebagai contoh, campur tangan Belanda di Bali dan Sumatera Utara.

Kesimpulan
Dasar Liberal seperti Sistem Kultur gagal meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Mengikut Goertz, Dasar Liberal merupakan cara yang berlainan untuk mencapai matlamat yang sama, iaitu mengangkut hasil Indonesia ke Belanda. Akibatnya, Dasar Liberal bukan sahaja ditentang oleh rakyat Indonesia, tetapi juga orang-orang Belanda, terutamanya golongan sosialis yang memperjuangkan konsep-konsep “Hindia Timur untuk Hindia Timur”. Mereka mahukan segala keuntungan di Indonesia dibelanjakan untuk kebajikan rakyat Indonesia. Golongan ini mendakwa Belanda mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga kebajikan rakyat Indonesia. Penentangan terhadap Dasar Liberal bertambah selepas terbitnya risalah “Ons Program” oleh Dr. Abraham Kayper dan “A Debt of Honour” oleh Ven Deventer. Apanila parti campuran Neo Calvinist dan Katholik yang dapat sokongan sosialis memerintah di Belanda di bawah Perdana Menteri Dr. Abraham Kayper dan Menteri Tanah Jajahan Alexander Idenberg, maka Dasar Liberal dihapuskan dan digantikan dengan Dasar Etika mulai tahun 1901. Dasar Etika mempunyai 3 prinsip utama, iaitu pendidikan, penghijrahan dan pengairan.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...