Selasa, 20 Januari 2009

Peranan badan Eksekutif dalam sistem pentadbiran selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.(Excel 1)

Sistem pentadbiran di Malaysia dilaksanakan oleh Badan Eksekutif yang terdiri daripada Yang Di Pertuan Agong, Perdana Menteri dan jemaah Menteri. Badan ini menjalankan kerja-kerja pentadbiran kerajaan mengikut perlembagaan dan undang-undang. Di Malaysia terdapat tiga peringkat pentadbiran kerajaan iaitu peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan

Pentadbiran Peringkat Persekutuan
Mengikut perkara 39 Perlembagaan Persekutuan, kuasa pentadbiran kerajaan Persekutuan terletak di tangan Yang Di pertuan Agong. Tetapi kuasa ini dijalankan oleh Kabinet atau Jemaah Menteri. Menteri berperanan sebagai badan pengurusan tertinggi negara yang membentuk segala dasar kerajaan. Dasar-dasar yang dibentuk ini kemudiannya diluluskan oleh Kabinet.
Bagi tujuan melaksanakan arahan dasar kerajaan tersebut Jabatan Perdana Menteri akan menyelaraskan peranan mana-mana kementeriannya yang berkenaan bagi melaksanakan kerja.
Peranan utama jemaah Menteri ialah menggubal dasar-dasar kerajaan dalam semua perkara di samping memberi arahan untuk melaksanakan dasar tersebut. Jemaah Menteri diketuai oleh Perdana Menteri dengan dianggotai oleh menteri-menteri yang lain. Perdana Menteri biasanya ialah seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti daripada anggota Dewan rakyat. Perdana Menteri dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri serta menteri lain dalam kalangan ahli Dewan Rakyat. Perdana Menteri bertanggungjawab mengetuai barisan kabinet, memimpin dan menjalankan tugas pentadbiran negara. Perdana Menteri juga bertanggungjawab terhadap semua kementerian serta dasar kerajaan. Jemaah Menteri bertanggungjawab secara kolektif atas keputusan-keputusan yang dibuat oleh parlimen. Bagi menjalankan tugas-tugas Eksekutif kerajaan persekutuan, beberapa buah kementerian, jabatan dan badan-badan berkanun telah diwujudkan. Bilangan kementerian, jabatan dan badan berkanun telah ditambah dari semasa ke semasa untuk melaksanakan rancangan kerajaan. Setiap kementerian diketuai oleh seorang Menteri yang dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik. Setiap kementerian bertanggungjawab menggubal dasar-dasar, merancang, menyelaras dan melaksanakan rancangan pembangunan ekonomi dan sosial. Antara tugas-tugas Perdana Menteri ialah membentuk dan merancang dasar-dasar kerajaan serta menyelaras dan mengawal semua kementerian, jabatan dan badan berkanun. Terdapat juga menteri yang tidak mengetuai mana-mana kementerian tetapi diberi tugas khas. Biasanya mereka menjalankan tugas khas di bawah kementerian tertentu, beberapa badan berkanun dan agensi kerajaan.
Badan berkanun merupakan agensi separuh kerajaan yang ditubuhkan di bawah akta parlimen. Tujuannya ialah untuk membolehkan kerajaan bergiat dalam pembangunan sosial dan ekonomi. Di samping itu terdapat juga beberapa jabatan kerajaan serta agensi berkanun lain yang membantu melaksanakan dasar sesebuah kementerian, contohnya FELDA.

Pentadbiran Peringkat Negeri
Kuasa Eksekutif di peringkat negeri terletak pada Sultan atau Yang DiPertuan Besar atau Yang Dipertuan Negeri mengikut perlembagaan negeri masing-masing . Ketua pentadbiran Menteri terletak pada Menteri Besar atau Ketua Menteri. Beliau dibantu oleh seorang Timbalan dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Menteri Besar atau Ketua Menteri dan ahli majlis mesyuarat bertindak sebagai penggubal dasar pentadbiran kerajaan negeri dan tertakluk kepada Senarai Negeri dan Senarai Bersama yang terdapat dalam Perlembagaan. Pentadbiran peringkat negeri meliputi tanggungjawab tentang hal ehwal tanah dan galian, air, agama, pertanian, perhutanan dan sebagainya. Semua dasar kerajaan negeri diluluskan di Dewan Undangan Negeri dan dipertanggungjawab kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menyelaraskannya. Pejabat ini akan menyelaraskan kuasa kepada Pejabat Daerah yang akan menentukan pembangunan daerah. Di Sarawak, pentadbiran diketuai oleh Ketua Menteri dan dibantu oleh Timbalan serta beberapa orang Ahli Majlis Tertinggi. Struktur pentadbirannya terbahagi kepada empat iaitu bahagian ditadbir oleh Residen, daerah ditadbir oleh pegawai daerah, daerah kecil ditadbir oleh Pegawai Anak Negeri dan di peringkat kampung ditadbir oleh Ketua Kampung.
Di Sabah, terdapat dua peringkat pentadbiran iaitu daerah dan kampung. Pentadbiran di peringkat daerah dibantu oleh Ketua Anak Negeri manakala di peringkat kampung oleh Ketua Kampung.

Pentadbiran Kerajaan Tempatan
Kerajaan tempatan dikenali sbagai Pihak Berkuasa Tempatan. Ia mengandungi Majlis Daerah dan majlis Perbandaran Peranan utama pentadbiran Kerajaan Tempatan ialah untuk melaksanakan pembangunan sosio-ekonomi di kawasan pekan atau bandar. Pentadbiran Kerajaan Tempatan terdiri daripada dua majlis iaitu Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah. Pentadbiran Majlis Perbandaran diketuai oleh seorang Yang Dipertua dan sebuah majlis yang dilantik oleh kerajaan negeri. Pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa autonomi sendIri, antaranya ialah berkuasa membentuk undang-undang kecil sendiri dan melantik kakitangan seperti penguatkuasa. Pihak berkuasa tempatan menguruskan sumber kewangan sendiri. Majlis Tempatan berperanan memajukan kawasan pekan atau bandar, mengutip cukai, meluluskan pembelian premis perniagaan, memberikan permit perniagaan dan sebagainya. Sabah dan Sarawak pula mempunyai bentuk pentadbiran yang berbeza. Pentadbiran di Sabah dibahagikan kepada daerah dan kampung. Setiap daerah ditadbir oleh seorang Pegawai Daerah dan dibantu oleh Ketua Anak Negeri. Di peringkat kampung, Ketua Kampung dipertanggungjawab bagi mengurus kampung masing-masing. Di Sarawak, pentadbiran dipecahkan kepada daerah, daerah kecil dan kampung. Setiap bahagian ditadbir oleh Residen yang kemudiannya dibantu oleh seorang ketua masyarakat yang bergelar Temenggung. Manakala daerah ditadbir oleh Pegawai Daerah. Daerah-daerah dalam setiap daerah ditadbir oleh Pegawai-pegawai Perkhidmatan Tadbir Sarawak. Sementara pentadbiran di kampung pula diketuai oleh seorang Penghulu.

Jelas membuktikan bahawa Badan Eksekutif telah memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi di Malaysia selepas mencapai kemerdekaan.
Malah ianya juga dianggap sebagai nadi dan penggerak kepada kemajuan negara.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...