Ahad, 12 April 2009

soalan 2:Bincangkan pengaruh agama Islam dalam masyarakat Melayu tradisional.

Agama Islam mula tersebar di Asia Tenggara pada abad ke-7. Walau bagaimanapun, pernyataan ini tidak mempunyai bukti yang sahih. Menurut Sejarah Melayu, negeri Champa mulai menerima Islam pada abad ke-15 tetapi dalam Sejarah China, Islam dikatakan wujud di Sumatera pada abad ke-13. Namun begitu, Islam mula dibawa masuk ke Tanah Melayu khasnya Melaka hanya selepas penghujung abad ke-14. Pemerintah Melaka yang pertama menganuti Islam ialah Sultan Mahkota Iskandar Syah. Penerimaan agama Islam oleh masyarakat tradisional bukan sahaja membawa pengaruh kepada akidah, tetapi ia juga membawa pengaruh terhadap aspek kehidupan yang lain.

Dari segi pentadbiran, Islam telah mempengaruhi pentadbiran Kerajaan Melayu Melaka, kerajaan-kerajaan lain seperti Kedah, Johor dan Terengganu. Ciri-ciri kerajaan ini berubah menjadi sama seperti ciri-ciri pentadbiran kerajaan di Timur Tengah seperti Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Konsep dewaraja telah diambil alih oleh konsep Sultan yang menganggap Sultan sebagai zul-illahi-fil-alam iaitu pegangan bahawa Sultan itu adalah amanah Allah s.w.t. di muka bumi. Sultan juga dianggap sebagai Aminul Mukminin iaitu ketua kepada umat Islam. Dalam sektor agama, Sultan menjadi ketua agama Islam dan baginda bertanggungjawab memerintah dengan adil dan menjaga kebajikan rakyat jelatanya. Selain daripada peranan Sultan, ahli-ahli sufi dan ulama-ulama juga menjadi penasihat tentang agama Islam kepada raja. Kini, agama Islam telah dijadikan sebagai agama rasmi.

Dari segi undang-undang, undang-undang Islam memainkan peranan dalam kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Para ulama memainkan peranan yang penting dalam perundangan Islam. Perundangan Islam telah menjadi tunjang kepada undang-undang bertulis seperti Hukum Kanun Melaka. Hal ini pula diwarisi oleh negeri-negeri Melayu yang lain pada hari kemudian. Sebagai contoh, Undang-undang 99 Perak dan Undang-undang Pahang. Selain itu, undang-undnag syariah yang meliputi pelbagai perkara seperti hukum kesalahan jenayah (mencuri, membunuh dan sebagainya), jual beli, hal-ehwal perkahwinan dan pembahagian harta pusaka juga diperkenalkan. Tokoh-tokoh yang akan memelihara undang-undang ini terdiri daripada hakim dan kadi. Walaupun hakim dan kadi menjadi tokoh yang memelihara undang-undang, tetapi rajalah yang akan menjatuhkan hukuman. Baginda akan menjatuhkan hukuman mengikut hukum adat dan bukan hukum Islam.

Dari segi kehidupan masyarakat, kehadiran agama Islam telah mengubah cara hidup mereka. Kepercayaan asal iaitu animisme, Hindu dan Buddha telah berubah menjadi agama Islam. Agama Islam telah mengubah cara pemikiran orang Melayu. Mengikut agama Islam, ia menyuruh umatnya berfikir untuk menerapkan unsur-unsur rasionalisme dalam pemikiran mereka. Selain itu, unsur-unsur metafizik telah terterap ke dalam nilai hidup msyarakat tempatan. Kini, masyarakat Melayu mempunyai pandangan dan falsafah hidup yang berkaitan dengan unsur-unsur Islam seperti mencari rezeki yang halal, kewajipan mencari ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Islam juga membawa pengaruh kepada adat resam masyarakat tempatan. Agama Islam telah membawa sistem nilai sosial yang berbeza dengan sebelumnya. Masyarakat Melayu telah membuat penyesuaian antara unsur-unsur Hindu dan Islam untuk mengelakkan amalan yang diamalkan pada dahulu kala bertentangan dengan ajaran Islam. Agama Islam telah menghapuskan sistem nilai sosial yang berasaskan perbezaan taraf atau sistem kasta. Mengikut agama Islam, semua umat Islam merupakan stu gagasan. Mereka haruslah sentiasa beriman dan bersaudara dan menjadikannya sebagai prinsip ke arah perpaduan masyarakat. mereka juga menganggap orang asing yang beragama Islam adalah saudara mereka. Antara adat resam yang banyak dipengaruhi oleh Islam ialah adat bercukur, adat perkahwinan dan sebagainya. Selain itu, aspek Islam yang baru juga diamalkan, contohnya membayar zakat, bekerjasama, bergotong-royong dan kekeluargaan.

Islam juga memberi pengaruh yang kuat dari segi pendidikan masyarakat Melayu tradisional. Pendidikan formal mula wujud sejak Kesultanan Melayu Melaka dengan kedatangan pada pendakwah dan alim ulama agama Islam. Istana telah dijadikan pusat pendidikan, pusat kegiatan intelektual dan menjadi tumpuan alim ulama dari negara-negara Arab, India dan Parsi. Di sini, mereka akan berbincang tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Istana juga menjadi khazanah hikayat yang memberi pengajaran agama bertemakan kisah para nabi, contohnya, Hikayat Abu Samah dan Hikayat Nabi Yusof. Mereka mengadakan pendidikan Islam dengan tujuan melahirkan pelajar-pelajar yang tahu tentang agama Islam, memupuk akhlak mulia dan sebagainya.

Para ibu bapa sangat mementingkan pendidikan anak-anak mereka. Mereka menghantar anak-anak mereka ke rumah tok guru untuk menerima pelajaran agama. Pada peringkat pertama, mereka akan belajar tentang muqaddam dan al-Quran mengikut tajwid yang betul. Pada peringkat kedua, mereka akan belajar tentang fardu ain dan akhlak mulia. Pelajar-pelajar ini tidak dikenakan bayaran tetapi ibu bapa akan memberi penghargaan dengan menghantar padi, beras, ubi sebagai membalas budi tok guru. Selepas peringkat ini, mereka akan melanjutkan pelajaran ke masjid atau surau untuk melanjutkan pelajaran tentang ilmu agama. Di sini, mereka terus mempelajari tentang al-Quran, mendalami fardu ain pada siang pagi. Kaedah hafalan digunakan dalam pembelajaran, iaitu seseorang itu menghadapi kesulitan untuk memahami sesuatu kitab, mereka akan hafalkannya sahaja. Walaupun pendidikan ini berbentuk formal, namun ia adalah kurang teratur kerana bilangan murid yang tidak terhad dan gurunya berkhidmat secara sukarela.

Selain itu, sistem pengajian madrasah juga merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan di Tanah Melayu selepas kedatangan Islam. Ia merupakan lanjutan daripada sistem pendidikan di masjid dan surau. Di madrasah, kitab bahasa Arab atau kitab bahasa Melayu yang ditulis ikut struktur Bahasa Arab digunakan. Kitab mereka dipegang atau diletak di atas lantai dan kemudian tok gurulah yang akan menjelaskan pengertiannya dengan menggunakan kaedah menadah kitab.

Seterusnya, sekolah pondok merupakan pusat pengajian tertinggi di Tanah Melayu. Ramai ibu bapa tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah pondok kerana kesempitan wang. Sekolah pondok ini amat terkenal di negeri Kelantan sehingga negeri ini digelar sebagai “Serambi Mekah”. Sekolah pondok juga wujud di Kedah, Perlis, Terengganu dan Melaka. Sekolah ini didirikan oleh seorang guru atau ulama yang kepakaran dalam ilmu agama yang dipelajari dari Mekah. Sebuah sekolah madrasah akan dibina dan pondok-pondok kecil akan dibina juga oleh Pelajar. Mereka tinggal secara berkongsi. Guru besar sekolah pondok dipanggil Mudir dan ketokohannya amat dihormati oleh masyarakat. Mereka menekankan aspek agama dan matapelajaran seperti saraf, tafsir, wujudiah diajar. Selepas 10 tahun, pelajar boleh melanjutkan pelajarannya di Mekah atau berkhidmat sebagai guru dipondoknya juga sekiranya ia lulus.

Walaupun pengaruh Islam memberi kesan yang kuat dalam pelbagai aspek kehidupan, namun setelah kedatangan British, pengaruh Islam semakin luntur. British telah menggantikan atau memperkenalkan kaedah baru dala pentadbiran dan perundangan, kehidupan seharian dan pendidikan. Semuanya ini telah menjadi asas kehidupan masyarakat sehinggalah apa yang wujud pada hari ini.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...