Ahad, 12 April 2009

Kemerdekaan Siam

Pengenalan
Abad ke-19 terutamanya sejak pertengahan abad ke-19 merupakan zaman imperialisme kuasa-kuasa Barat yang berlumba-lumba untuk mendapatkan tanah jajahan di Asia, khususnya di Asia Tenggara. Akibat dasar imperialisme ini, British telah menjajah Burma dan Tanah Melayu, Perancis di Indo-China, Belanda di Indonesia, Sepanyol dan kemudiannya Amerika di Filipina. Siam merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidka dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Sejak Perang Dunia Kedua, Siam juga terselamat daripada penjajahan Jepun walaupun semua negeri di Asia Tenggara dikuasai oleh Jepun. Ahli-ahli sejarah berpendapat kejayaan Siam mengekalkan kemerdekaannya disebabkan oleh kebijaksanaan raja-rajanya sejak Mongkut, kesediaan mereka untuk bertindak sewajrnya dan perkembangan yang menguntungkan Siam.

Faktor-faktor
1. Dasar buka pintu
Sejak Mongkut, Siam menamatkan dasar isolasi dan seterusnya mengamalkan dasar buka pintu kepada orang-orang asing terutamanya pedagang-pedagang. Langkah ini diambil kerana Mongkut menyedari sekiranya Siam meneruskan dasar isolasi, kuasa-kuasa Barat akan membuka Siam secara paksa seperti yang berlaku ke atas Burma, Vietnam dan China. Dalam usaha untuk melaksanakan dasar buka pintu, Siam telah menandatangani beberapa perjanjian dengan kuasa-kuasa Barat. Perjanjian pertama ditandatangani dengan British pada 18 April 1855 yang dikenali sebagai Perjanjian Bowring. Seterusnya Siam menandatangani perjanjian dengan Amerika (1856), Perancis (1856), Portugal (1859), Holand (1860), Prusia (1862), Norway, Belgium, Itali, Sweden (1868), Jerman (1872), Perancis (1893), British (1909) dan sebagainya. Mengikut perjanjian-perjanjian tersebut, kuasa-kuasa Barat telah diberi pelbagai keistimewaan di Siam. Selain kebenaran berdagang, kuasa-kuasa Barat juga dibenarkan menempatkan konsul, menyebar agama Kristian, membeli/menyewa tanah di Siam, mendapat hak wilayah asingan, berlabuh di pelabuhan Siam dan sebagainya.
Siam telah menerima perwakilan asing yang dihantar ke Siam sejak pemerintahan Mongkut. Antara perwakilan itu ialah Perwakilan British yang diketuai oleh Harry Parkes dan James Brooke serta perwakilan Amerika yang diketuai oleh Joseph Ballestier. Selain itu, Siam juga telah menghantar perwakilan ke Eropah. Misalnya, pada Ogos 1857, perwakilan Siam yang diketuai oleh Chao Phraya Montri Sri Suryawongse telah dihantar ke Eropah.
Semasa Chulalongkorn, hubungan Siam dengan kuasa-kuasa Barat bertambah erat kerana Chulalongkorn juga mneruskan dasar buka pintu yang dimulai oleh Mongkut. Semasa Chulalongkorn bukan sahaja konsul asing terdapat di Siam, tetapi kedutaan-kedutaan Siam juga didirikan di negara-negara Barat seperti di New York, London, Paris, Brussels, Tokyo dan sebagainya. Chulalongkorn juga telah mengadakan hubungan peribadi dengan pemimpin-pemimpin Barat seperti Raja William II (Jerman), Tzar Nicholas II (Rusia), Prince of Wales (England) dan Presiden Lawbet (Perancis). Chulalongkorn juga mengadakan lawatan ke Eropah dan beliau merupakan Raja Siam yang pertama melawat ke Eropah sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1897 dan 1907.
Dasar buka pintu yang dimulai oleh Mongkut telah diteruskan oleh raja-raja Siam selepasnya. Akibatnya, Siam bukan sahaja berjaya mewujudkan hubungan perdagangan tetapi juga hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa Barat. D.G.E. Hall dalam bukunya “A History of South East Asia” menegaskan Siam terhutang budi kepada Mongkut daripada raja-raja lain kerana dasar buka pintu yang dimulainya telah menyelamatkan kemerdekaan Siam.
2. Pembaharuan
Sejak Mongkut, Siam telah melaksanakan pembaharuan-pembaharuan politik, ekonomi dan sosial berdasarkan idea Barat. Mongkut menyedari pembaharuan ini bukan sahaja dapat meninggikan taraf hidup orang Siam tetapi juga dapat mengurangkan campur tangan asing dalam hal-ehwal Siam.
a. Pembaharuan politik
Dalam usaha untuk menyusun semula pentadbiran Siam mengikut sistem Barat, Mongkut telah mengambil orang-orang Barat dan mereka berasal dari pelbagai negara serta ditempatkan di pelbagai jabatan. Secara umumnya, British diberi tugas untuk menguruskan pendidikan, kewangan, polis dan pelabuhan; Amerika dalam perkhidmatan kastam dan Perancis serta Itali dalam ketenteraan. Tindakan Mongkut ialah supaya tidak ada sebuah kuasa yang mempunyai pengaruh yang kuat di Siam.
Semasa Chulalongkorn, lebih ramai pegawai Barat yang diambil bagi memodenkan pentadbiran Siam. Secara umumnya, British telah ditugaskan dalam pendidikan dan kewangan, Perancis dalam undnag-undang, Jerman dalam perkhidmatan keretapi, Denmark dalam angkatan laut dan polis wilayah, manakala Itali dalam kerja-kerja pembinaan. Selain itu, Chulalongkorn juga menubuhkan 2 buah majlis pada tahun 1874 untuk menasihatinya dalam pentadbiran. Majlis-majlis itu ialah Majlis Penasihat Tertinggi Negeri dan Majlis Penasihat Rendah Negeri. Chulalongkorn telah berjaya mewujudkan sistem pentadbiran pusat yang moden pada 1 April 1892. Sistem pentadbiran lama telah duhapuskan dan digantikan dengan 12 kementerian. Setiap kementerian akan diketuai oleh seorang menteri.
b. Pembaharuan ekonomi
Dasar buka pintu oleh Mongkut telah memajukan ekonomi Siam. Kedatangan orang Barat telah membuka Siam kepada perdagangan antarabangsa. Perkembangan ekonomi telah meruntuhkan ekonomi sara diri dan mewujudkan sistem ekonomi komersil. Selain itu, sistem tukar barang juga digantikan dengan sistem ekonomi wang. Beras, gula dan kayu jati menjadi eksport utama. Perkembangan ekonomi berlaku akibat daripada penetapan cukai import sebanyak 3% dan cukai eksport 5%. Dalam masa yang singkat, Siam telah menikmati imbangan pembayaran yang memuaskan (contoh). Dalam usaha untuk menyusun semula sistem kewangan Siam mengikut sistem kewangan Barat, Mongkut telah menubuhkan Royal Mint pada tahun 1861.
Semasa Chulalongkorn pula, baginda telah mewujudkan perbendaharaan Siam yang moden dengan bantuan pegawai-pegawai British. Jabata kastam dan hasil dalam negeri telah ditubuhkan pada tahun 1875. Kementerian Kewangan telah diwujudkan pada tahun 1892 dan mulai tahun tersebut, sistem cukai secara langsung dilaksanakan. Jabatan kastam dan hasil dalam negeri tersebut telah disusun semula pada tahun 1892. Pada tahun 1896, Chulalongkorn mengeluarkan arahan untuk membaiki perkhidmatan pelabuhan Siam. Sistem audit dan akaun yang teratur telah dilaksanakan dan pada tahun 1901, belanjawan Siam yang pertama dikeluarkan. Selain itu, Chulalongkorn juga menggalakkan perkembangan ekonomi moden di Siam. Bank-bank British mula didirikan antara tahun 1888-1894 dan sebuah bank Perancis didirikan pada tahun 1897. Di samping itu, baginda juga menggalakkan perdagangan asing di Siam serta pembukaan tanah-tanah baru untuk penanaman padi bagi tujuan eksport.
c. Pembaharuan sosial
Dari segi sosial pula, pelajaran Barat telah diperkenalkan di Siam. Semasa Mongkut, ia hanya diadakan di istana dan hanya untuk golongan bangsawan. Semasa Chulalongkorn, pelajaran Barat bukan sahaja diadakan di istana tetapi juga di luar istana dan bukan sahaja untuk anak-anak golongan bangsawan tetapi juga anak-anak rakyat jelata biasa selepas penubuhan sekolah harian sejak tahun 1884. Selain itu, semasa Chulalongkorn pelajar-pelajar Siam juga mendapat pelajaran Barat di sebarang laut.
Semasa Mongkut, sistem buruh paksa atau corvee telah mula dihapuskan dan digantikan dengan sistem buruh bergaji. Sistem ini hanya dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1873. Pada tahun 1874, sistem penghambaan mula dihapuskan dan berjaya dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1905.
Di samping itu, pemerintah-pemerintah Siam juga berusaha menghapuskan adat yang dapat menghalang kemajuan Siam. Rakyat biasa dilarang melarikan diri apabila bertembung dengan raja. Adat yang melarang rakyat melihat muka raja juga dihapuskan. Semasa Mongkut, orang-orang asing tidak dipaksa sujud di hadapan raja. Mereka diberi kebebasan untuk menghormati raja mengikut cara sendiri. Semasa Chulalongkorn, adat sujud di hadapan raja dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1873.
Mubaligh-mubaligh juga diberi kebebasan untuk menyebarkan agama Kristian. Banyak sekolah Kristian dan gereja mula didirikan di Siam. Sistem perhubungan juga diperbaiki di mana lebih banyak jalan raya dan jalan keretapi dibina. Perkhidmatan yang lebih moden seperti telegraf, telefon dan pos mula diperkenalkan.
Dasar liberal raja-raja Siam telah menghapuskan sebab-sebab yang memungkinkan campur tangan kuasa-kuasa Barat ke atas Siam.
3. Perjanjian British-Perancis
Donald E. Neuchterlein dalam bukunya “Thailand and the Struggle for South East Asia” mendakwa persaingan British-Perancis juga merupakan faktor penting yang menyelamatkan kemerdekaan Siam. British dan Perancis bukan sahaja bermusuhan di Eropah tetapi juga di Timur. Bagi mengelakkan perbalahan, kedua-dua kuasa tersebut bersetuju supaya tidak mempunyai tanah jajahan yang bersempadan. Dewasa itu, British menjajah Burma dan Tanah Melayu manakala Perancis menjajah Indo-China. Mereka mahu menjadikan Siam sebagai negara penampan (Buffer State) antara pengaruh British di Burma serta Tanah Melayu dan pengaruh Perancis di Indo-China. Pada 15 Januari 1896, mereka telah menandatangani penyisytiharaan British-Perancis yang mengiktiraf Siam sebagai negara yang merdeka. Tindakan British dan Perancis menyelamatkan kemerdekaan Siam.
4. Tolak ansur
Raja-raja Siam sejak Mongkut mengamalkan dasar bertolak ansur dengan kuasa-kuasa Barat. Mereka sanggup menyerahkan wilayah-wilayah Siam bagi mengelakkan perbalahan serta menyelamatkan kemerdekaan Siam pada 15 Julai 1867. Mongkut menandatangani perjanjian dengan Perancis yang menyerahkan pertuanan Siam ke atas Kemboja kepada Perancis. Semasa Chulalongkorn, lebih banyak wilayah Siam diserahkan kepada kuasa-kuasa Barat dalam usaha untuk mengelakkan perbalahan dan menyelamatkan kemerdekaan Siam kepade Perancis, diserahkan Tongking Utara, Wilayah Sip Song Chu Thai (1888), daerah Timur Sungai Mekong (1893), sempadan Laos-Siam (1904) dan Battambang dan Seam Reap (1907). Kepada British pula diserahkan Kentung dan Mong Pan (1897) serta Negeri-negeri Melayu Utara (1909). Dasar tolak ansur tersebut telah menyebabkan Siam kehilangan 90 ribu batu persegi wilayah. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut telah berjaya menyelamatkan kemerdekaan Siam.
5. Dasar abad ke-20
Semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918), Vajiravudh yang memerintah Siam telah memihak kepada pihak Berikat walaupun terdapat tentangan tenteranya yang pro-Jerman. Tindakan Vajiravudh menguntungkan Siam kerana peperangan tersebut dimenangi oleh pihak Berikat. Perjanjian Versailles 1919 telah mengiktiraf Siam sebagai negara merdeka dan diterima sebagai anggota Liga Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1922. Mulai tahun tersebut juga, kuasa-kuasa Barat mula menghapuskan hak wilayah asingan mereka di Siam kerana mengenangkan jasa Siam memihak kepada pihak Berikat dalam Perang Dunia Pertama.
Semasa Perang Dunia Kedua (1939-1945), Pribun Songkram yang menjadi Perdana Menteri bersikap pro-Jepun. Pada 11 Disember 1940, Siam menandatangani perjanjian kerjasama dengan Jepun. Pribun Songkram telah membenarkan Jepun menggunakan Siam sebagai pangkalan untuk menyerang Indo-China, Burma dan Tanah Melayu. Akibatnya, Siam terselamat daripada penjajahan Jepun sedangkan negeri-negeri lain di Asia Tenggara telah dikuasai oleh Jepun.
Pada Julai 1944, kerajaan Pribun Songkram yang pro-Jepun telah digulingkan oleh Khuang Aiphaiwong yang pro-Berikat. Akibatnya, pihak Berikat yang kembali ke Asia Tenggara selepas Perang Dunia Kedua tidak dapat mengambil tindakan ke atas Siam kerana dewasa itu, Siam diperintah oleh kerajaan yang pro pihak Berikat. Pada September 1945, kerajaan Khuang Aiphaiwong digulingkan oleh Seni Pramoj. Akibat desakan British dan Perancis, Seni Pramoj tanpa bantahan telah menyerahkan kembali wilayah-wilayah yang dirampas oleh Siam semasa Perang Dunia Kedua kepada kuasa-kuasa tersebut. Akibatnya, British dan Perancis tidak perlu bertindak secara kekerasan ke atas Siam.
6. Kedudukan negeri Siam
Kedudukan Siam sedikit sebanyak juga memberi kesa ke atas kemerdekaan Siam. Secara amnya, Siam terletak lebih jauh ke Utara dan kedudukannya seumpama ini telah menyebabkan ia terkeluar dari jalan perdagangan ke Timur khususnya ke China. Akibatnya, kuasa-kuasa Barat tidak begitu berminat untuk menjajah Siam.
7. Bahan mentah
Dari segi sumber alam, Siam merupakan sebuah negara yang kekurangan bahan mentah. Ekonomi Siam hanya bergantung kepada sektor pertanian. Dewasa itu, Revolusi Perindustrian telah berlaku di negara-negara Eropah dan perkembangan ini telah meningkatkan keperluan terhadap bahan mentah. Akibatnya, kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba untuk mendapatkan tanah jajahan di Asia terutamanya Asia Tenggara bagi mendapatkan bekalan bahan mentah. Dalam hal ini, kuasa-kuasa Barat memang tidak berminat terhadap Siam kerana Siam tidak mempunyai sumber alam tersebut.

Kesimpulan
Pada keseluruhannya, kejayaan Siam mengekalkan kemerdekaannya adalah disebabkan oleh kebijaksanaan raja-rajanya yang memahami perkembangan politik antarabangsa. Dengan itu, tidak dapat dinafikan berpendapat D.E.G. Hall yang menyatakan bahawa Siam terhutang budi kepada Mongkut mempunyai kebenarannya memandangkan dasar yang dimulai oleh Mongkut telah berjaya mengekalkan kemerdekaan Siam. Di samping itu, persaingan di antara Perancis dan British juga mempunyai peranannya dalam kemerdekaan Siam.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...