Sabtu, 28 Februari 2009

Sistem Ekonomi Di Asia

Pengenalan
Sistem ekonomi di Asia sebelum kemasukan kuasa asing terdiri daripada 2 bentuk yang utama iaitu sistem ekonomi sara diri dan sistem ekonomi komersil.

Sara diri
Sistem ekonomi sara diri ialah kegiatan penanaman bahan makanan untuk keperluan diri untuk kewajipan cukai. Ia merupakan kegiatan ekonomi asas bagi kebanyakan penduduk di rantau Asia. Kebajikan dan ketenteraman masyarakat bergantung kepada kebolehan sesebuah negara mengeluarkan makanan yang cukup untuk keperluan rakyatnya.
1. Asia Tenggara
Sistem ekonomi sara diri di Asia Tenggara berasaskan penanaman padi sawah. Padi sawah di tanam di lembah dan dataran sungai yang subur contohnya Menam Chao Phraya, Lembah Irrawaddy dan Lembah Sungai Mekong. Selain itu, padi huma juga ditanam di Filipina dan Pulau Jawa. Kegiatan penanaman padi huma ini dikerjakan oleh suku-suku kaum pedalaman, sebagai contoh, suku Chin di Indo-China, Karen Kachin di Thailand dan Myanmar. Di kawasan kering seperti bahagian Minku, Myingyan Burma, kapas dan kacang tanah ditanam dengan meluas. Selain kegiatan penanaman, kegiatan memburu dan menternak ikan juga dijalankan. Di Vietnam, sara dirinya dijalankan di kawasan Sungai Songkoi dan kawasan Sungai Mekong serta Delta Sungai Merah (Tongkin). Kegiatan sara dirinya amat bergantung kepada sistem parit dan tali air seperti yang ada di Sungai Songkoi untuk mengawal banjir. Najis manusia dan binatang telah dijadikan sebagai baja.
2. Asia Timur
Kegiatan sara diri di Asia Timur dapat dilihat di negeri China. Ia dijalankan di sekitar Sungai Yang-tze Kiang dan Sungai Hwang Ho. Tanaman yang diusahakan adalah seperti sekoi, gandum, barli dan pelbagai jenis kacang. Selain itu, kegiatan penternakan juga dijalankan serentak dengan kegiatan pertanian. Binatang yang diternak adalah seperti ayam, itik dan khinzir. Di China, teknologi pengairan dan penanamannya adalah sangat baik tetapi ia hanya mampu mengeluarkan bahan makanan yang mencukupi sahaja kerana di China sentiasa berlaku bencana alam dan binatang penduduknya juga. Di China, kegiatan import amat kurang kerana apa yang diperlukan dapat dikeluarkan dalam negaranya sendiri.
3. Asia Selatan
Di India, padi merupakan tanaman utama. Ia ditanam di lembah sungai yang mempunyai ratusan cabang. Contohnya Sungai Ganges, wilayah Benggal pula menghasilkan kapas yang banyak dan bermutu tinggi. Di antara kain kapas ini yang paling terkenal ialah kain “calico” yang ditanam di Dataran Deccan. Industri kain kapas ini telah berkembang maju pada abad ke-19. Kain ini telah dieksport ke China dan Asia Tenggara

Sistem komersil
Kegiatan ekonomi komersil merupakan asas dalam pertukaran dan penjualan barangan dan penglibatan dalam perdagangan dan perlombongan. Kegiatan perdagangan ini memanglah tidak asing lagi di Asia Tenggara, Asia Timur dan Asia Selatan.
Di Asia Selatan, barang dagangan utama ialah hasil pertanian. Selain itu, kain “calico” dari Benggal juga sangat popular di seluruh dunia. Kain itu amat disukai oleh penduduk di Asia Tenggara dan penduduk di negeri China.
Di Asia Timur, barang dagangan utama ialah kain sutera dan tembikar.
Di Asia Tenggara, rempah ratus menjadi barang dagangan utama. Selain itu, padi dari Myanmar dan Thailand serta Vietnam juga diperdagangkan secara meluas. Padi di negeri-negeri ini dihasilkan secara intensif kerana permintaan terhadapnya tinggi. Teknologi yang digunakan juga meningkatkan lagi keluarannya. Peningkatan penduduk dan galakan dari pemerintah juga merangsangkan tanaman ini diusahakan secara besar-besaran. Selain negeri-negeri ini, Jawa juga membekalkan beras. Jawa Timur dan Bali merupakan pembekal kain manakala Luzon (Filipina), Sibu, Panay (Filipina) pula memasarkan kapas. Gula yang dikeluarkan di Jawa, Siam, Kampuchea, Vietnam dan Filipina pula dijual ke negeri China dan Jepun.
Kegiatan perdagangan di rantau ini berkembang pesat kerana terdapatnya sungai-sungai yang menjadi jalan perhubungan bagi memudahkan kegiatan komersil berjalan lancar, contohnya Sungai Ganges, Mekong, Menam Chao Phraya dan Sungai Yang-tze Kiang. Di China terdapat pelabuhan penting seperti Fukkien, Canton, Tien Sin, Peking dan Shanghai.
Selepas kedatangan pihak penjajah ke rantau ini, kegiatan komersil di rantau ini mulai berubah. Kini, tanah telah dijadikan elemen penting dalam pertanian dan ia boleh dijual beli. Sebelum ini seperti di Vietnam, tanah tidak boleh dijual dan ia merupakan milikan raja. Selain itu, kegiatan pertanian juga mulai dijalankan secara besar-besaran. Lading-ladang, estet-estet telah dibuka. Tanaman yang sudah ditanam di rantau ini juga telah diusahakan dengan besar-besaran, contohnya tebu. Pelbagai tanaman baru juga ditanam seperti getah dan kelapa sawit. Dalam perusahaan, modal yang besar diperlukan dan konsep buruh bergaji juga mula dijalankan. Dalam perlombongan, imperialis barat juga cuba menguasainya.

Dasar pintu tertutup dan pintu terbuka
1. Thailand
Sejak abad ke-17, dasar pintu tertutup diamalkan. Pada tahun 1818, Raja Rama II telah mengadakan perjanjian dengan Portugis. Namun demikian, baginda menolak segala utusan John Crawford dari Pulau Pinang. Penggantinya, Raja Rama III juga tidak berminat berhubung dengan kuasa barat dalam perdagangan kerana barang yang dikehendaki boleh diperolehi dari China. Selain itu, baginda takut akan kesan politik dan sosial akibat kemasukan kuasa barat. Pada tahun 1826, baginda terpaksa menandatangani Perjanjian Burney. Perjanjian ini membuka pintu perdagangan kepada British tetapi British tidak boleh mengimport candu dan mengeksport beras dari Thailand. Raja Rama III kemudian mengenakan cukai tinggi ke atas barangan barat. Utusan dihantar kepada Raja Rama III. Baginda tetap dengan pendiriannya iaitu meneruskan dasar pintu tertutup. Sebabnya baginda takut keadaan seperti di Myanmar akan berlaku terhadap negerinya iaitu British melalui Perjanjian Yandabo (1826) menguasai Myanmar.
Pada tahun 1852, Raja Mongkut menaiki takhta. Baginda menyaksikan pihak penjajah menggunakan kekerasan untuk menjajah negara Asia yang enggan membuka pintunya lalu menamatkan dasar pintu tertutup dan mulakan dasar pintu terbuka. Raja Mongkut menyambut baik kedatangan pihak penjajah dan sanggup mengadakan perjanjian dengannya. Pada tahun 1855, Perjanjian Bowring diadakan. Perjanjian ini menamatkan dasar pintu tertutup dan ia dipatuhi oleh Raja Chulalongkorn dan pengganti yang seterusnya.
2. China
Sejak dulu lagi, orang cina mengamalkan dasar pintu tertutup. Mereka mengganggap diri mereka lebih bertamadun dan negaranya ialah Middle Kingdom atau Kerajaan Tengah atau Zhung Guo. Mereka mengganggap orang asing ialah Barbarian (tidak bertamadun). Mereka juga mengganggap agama mereka suci, kebudayaan mereka tinggi. Selain itu, apa yang dikehendaki dapat dikeluarkan di negerinya sendiri, maka tidak perlu berhubung dengan kuasa luar. Dalam melancarkan dasar pintu tertutup, Maharaja Chien Lung telah mengeluarkan Lapan Peraturan. Dalam peraturan ini, kapal perang asing tidak boleh masuk ke Bogue; isteri orang asing dan senjata api tidak boleh dibawa masuk ke kilang; hubungan perdagangan mereka hanya boleh dijalankan dengan saudagar cohong dan sebagainya. Ini jelas dilihat mereka tidak berminat berhubung dengan orang asing. Sekatan ini menyebabkan kuasa barat berusaha lebih giat lagi untuk membuka pintu negeri China. Dalam usaha membuka pintu, beberapa usaha telah dijalankan tetapi gagal.
Pada tahun 1839, berlakunya Perang Candu. China ditewaskan dan terpaksa menandatangani Perjanjian Nanking. Melalui perjanjian ini, China terpaksa membuka 5 pelabuhan kepada pedagang asing, iaitu Ningpo, Shanghai, Canton, Amoy dan Foochow. Seterusnya Perjanjian Wanghia (1844) dan Perjanjian Whampoa juga ditermeterai. Perjanjian ini memaksa Chian membuka pintunya.
3. Jepun
Dasar pintu tertutup mula sejak Keshogunan Tokugawa (1638). Dasar ini diamalkan kerana Jepun mengganggap orang asing telah menimbulkan kekacauan di Jepun. Selain itu, agama yang dibawa oleh orang asing dikatakan mengingkari perintah Maharaja Jepun, maka agama ini perlu diharamkan dan orang asing dihalau. Menurut Richard Storry, dasar ini diamalkan kerana untuk memperkukuhkan kedudukan institusi Shogun dalam menghadapi anasir yang tidak puas hati di Jepun terutamanya Damyo Tozama. Shogun Tokugawa telah memerintahkan agar kapal-kapal asing yang menghampiri Jepun perlu diusir dan bagi orang asing yang mendarat haruslah ditawan dan dibunuh. Walaupun dasar pintu tertutup diamalkan tetapi pada tahun 1854, Jepun terpaksa menandatangani Perjanjian Kanagawa yang membuka pelabuhan Shimoda dan Hakodate kepada pedagang Amerika. Seterusnya perjanjian telah diadakan dengan Britain, Rusia dan Holland.
Semasa Meiji. Jepun mengamalkan dasar pintu terbuka. Jepun sedar kalau pintu masih tidak dibuka, nasibnya akan menjadi seperti negeri China dan Myanmar. Pada tahun 1868, hubungan diplomatik diadakan secara rasmi dengan kuasa barat.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...