Selasa, 6 Disember 2011

Semporna Awal? Bilakah Bermula?

‘Tong Talun’ adalah merupakan nama asal bagi daerah Semporna yang bererti “Hujung Hutan” dalam istilah Suku Kaum Bajau. Orang yang bertanggungjawab untuk menamakan Tong Talun ialah Panglima Uddang, Panglima Sallehangni dan Panglima Sakti dari keturunan Bajau Kubang. Ini kerana pada ketika itu daerah Semporna diliputi/diselubungi oleh hutan belantara di awal penemuannya. Kemudian, Tong Talun telah ditukar dengan nama SEMPORNA yang membawa pengertian “Tempat Yang Aman atau Damai” sehinggalah sekarang.
Daerah Semporna berada dibawah jajahan takluk Kesultanan Sulu, sebuah kuasa politik yang dominan pada suatu masa dahulu. Jajahan takluknya meliputi sebahagian Filipina (sebelah selatan) dan Borneo Utara. Pada1876 kawasan yang dikenali dengan Borneo Utara ini telah diperintah oleh Syarikat ‘British North Borneo Chartered Company’ yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan British. Bermula dari itu, Sultan Sulu telah menyerahkan Sabah secara ” untuk selamanya dan berkekalan” kepada syarikat ini sebagai wilayah kuasa urus-tadbir mereka.
Kuasa lain yang pernah cuba menakluk Semporna termasuklah Belanda, namun mereka gagal berbuat demikian kerana kehadiran syarikat British disini. Pada tahun 1963, Sabah telah bersatu dengan Persekutuan Malaya untuk membentuk Malaysia.
Pulau Umaral (Omadal), sebuah pulau kecil di perairan Semporna merupakan titik penting sejarah Semporna. Ini kerana Pulau Omadal merupakan tempat asal suku kaum Bajau yang mendiami Semporna. Orang Bajau Pulau Omadal merupakan pelaut/ nelayan yang gigih dan aktif dalam perdagangan hasil laut dan seringkali berurusan dengan lain-lain kepulauan termasuklah tanah besar Semporna. Bukti-bukti terhadap kenyataan ini dapat diperhatikan menerusi ukiran/tulisan di batu nisan dan lain-lain artifak yang jelas menandakan mereka ini beragama Islam.
Daerah Semporna juga adalah kawasan kediaman suku kaum nomad (orang-asli) laut yang dikenali dengan ‘Palauh’. Kaum ini masih wujud di Semporna hingga kini dan boleh dilihat di perairan Semporna. Mereka tinggal di bot-bot tradisi di laut dan sentiasa berpindah-randah dari satu pulau ke pulau yang lain. Kaum palauh hanya akan singgah ke tanah besar Semporna jika memerlukan barangan harian atau sebab kematian. Kini sesetengah mereka telah berubah kepada kehidupan yang moden.
Daerah Semporna, Sabah dikenali dengan air laut jernih, cahaya matahari yang muncul disebalik horizon dan keputihan pepasir yang mengelilingi pulau-pulaunya. Terumbu karang, paya bakau dan lambaian pepohon kelapa menyerikan lagi panorama ini. Ia masih tidak terganggu, tidak terusik dan asli, bagaikan masa tidak pernah berdetik walau sesaat tatkala kebanyakkan tempat sudahpun membangun pesat.
Selamat Datang ke Semporna. Setanding maksudnya dalam bahasa Melayu dan Bajau, ianya ‘sungguh sempurna’ sekali. Daerah Semporna berada pada kedudukan pantai timur Sabah, lebihkurang 1 jam perjalanan udara daripada Bandaraya Kota Kinabalu dan anda akan sampai ke Lapangan Terbang Tawau. Dari situ, anda cuma perlukan 1 jam lagi untuk sampai ke daerah cantik ini.
Daerah Semporna mempunyai keluasan 442 batu persegi atau 113,412 hektar (282,880 ekar) dan terbahagi kepada dua kawasan iaitu Tanah Besar Semporna dan Kawasan Pulau yang dikenali sebagai Pulau Bum-Bum dan pulau-pulau sekitarnya. Daerah Semporna berhampiran dengan sempadan perairan antarabangsa iaitu Filipina dan Indonesia.
Anda mungkin bertanyakan apa istimewanya Semporna? Dan pertanyaan ini bagaikan terjawab sebaik sahaja anda menjejak kaki ke sini. Dari jauh kelihatan pulau-pulau peranginan yang berbalam seolah-olah terapung dipermukaan laut. Terdapat 49 pulau keseluruhannya yang menjadi tapak kepada 119 kampung orang-orang tempatan. Apabila anda mengalihkan pandangan ke arah samudera, ia bagaikan lukisan, kelihatan air laut sejernih kristal yang bertukar dari hijau zamrud ke hijau tua, dari biru muda ke biru tua. Dasar lautnya jelas kelihatan dengan terumbu karang, ikan-ikan berwarna-warni dan pasir halus memutih bagai melambai-lambai perasaan anda untuk sama-sama terjun menikmati keindahan alam semulajadinya.
Di sini terdapat sebuah pekan yang juga dikenali dengan Semporna. Pekan Semporna menyediakan segala kemudahan dari jabatan kerajaan ke syarikat swasta, dari kedai kecil ke gedung perniagaan besar. Bayu laut yang meniup lembut ke muka anda tatkala anda mundar-mandir di sini melengkapkan lagi suasana lawatan anda. Di pekan Semporna, anda akan melihat percampuran pelbagai budaya, bahasa dan bangsa – Bajau, Suluk, Melayu, Cina, Kadazan dan ‘Palauh’ hidup harmoni sejak dahulu lagi. Deretan bot-bot penambang, kapal-kapal besar dan perahu-perahu layar tradisional memenuhi ruang gigi airnya.
Daerah Semporna menempatkan Pulau Sipadan yang terkenal kepada penyelam dalam dan luar negeri. Ramai ahli samudera dan penyelam professional datang saban tahun untuk meneroka keindahan lantai lautnya. Kehidupan marin di sini adalah pelbagai, dari hidupan mikro ke kerang gergasi, dari ikan buran ke jerung harimau dan dari udang geragau ke ‘lobster’ menjadi sebab mengapa penyelam ini datang ke mari. Tarikan lain seperti dinding dan gua melengkapkan lagi penerokaan bawah laut anda. Pulau peranginan lain yang terkenal ialah Pulau Mabul, Kapalai, Mataking dan Sibuan.
sumber :www.sabah.gov.my
daripada: http://bilamasa.wordpress.com/2009/04/27/sejarah-awal-semporna/

Tiada ulasan: