Ahad, 12 April 2009

Politik Siam 1910-1941

Pengenalan
Mongkut menaiki takhta sebagai Raja Rama IV pada 3 April 1851. Pemerintahanya membawa kepada permulaan pembaharuan berdasarkan idea Barat dilaksanakan di Siam. Baginda mangkat pada 1 Oktober 1868 selepas memerintah selama 18 tahun dan digantikan oleh puteranya Chulalongkorn sebagai Raja Rama V. Pemerintahan Chulalongkorn memperlihatkan pembaharuan yang lebih luas dilaksanakan di Siam. Ahli-ahli sejarah menganggap Chulalongkorn bertanggungjawab dalam melaksanakan pembaharuan dalam erti kata yang sebenarnya. Baginda telah mempercepat dan memperluaskan pembaharuan yang dimulai oleh Mongkut. Chulalongkorn mangkat pada 23 April 1910 selepas memerintah selama 42 tahun. Pemerintah-pemerintah Siam selepas Chulalongkorn ialah Vajiravudh, Prajadhipok dan Ananda Mahidol.

Vajiravudh 1910-1925
Selepas kemangkatan Chulalongkorn pada 23 April 1910, puteranya Vajiravudh dilantik sebagai Raja Rama VI. Baginda merupakan putera raja Siam yang pertama mendapat pelajaran di seberang laut, khususnya di Universiti Oxford. Baginda berada di seberang laut selama 9 tahun dan pernah berkhidmat dalam angkatan tentera British. Oleh sebab terlalu lama berada di seberang laut, maka hubungannya dengan keluarga menjadi renggang dan baginda tidak mengetahui perkembangan yang berlaku di Siam dalam tempoh tersebut.
Ahli-ahli sejarah menganggap Vajiravudh merupakan seorang pemerintah yang lemah jika dibandingkan dengan Mongkut ataupun Chulalongkorn. Walaupun baginda berpelajaran tinggi di seberang laut, Vajiravudh tidak berminat dalam pentadbiran. Baginda lebuh menumpukan perhatian dalam hal-hal kesenian, kesusasteraan, kebudayaan, penulisan, seni lukis, lakonan dan sebagainya. Baginda telah menulis 200 artikel dalam akhbar-akhbar Siam terutamanya yang berkaitan dengan sejarah dan kesusasteraan Siam. Baginda juga telah menterjemah karya-karya Barat terutamanya karya Shakespear dan Moliere ke dalam Bahasa Siam.
Dalam menjalankan pentadbiran, baginda menyerahkannya kepada pegawai-pegawainya. Oleh sebab baginda tidak mengawasi kegiatan pegawai-pegawainya menyebabkan mereka melakukan rasuah dan penyelewengan untuk kepentingan diri sendiri. Untuk mengisi jawatan-jawatan kerajaan, Vajiravudh mengamalkan sikap pilih kasih di mana baginda mengutamakan sahabat-sahabatnya terutamanya yang sama-sama belajar dengannya di England. Menjelang tahun 1915, kebanyakan pegawai yang dilantik semasa Chulalongkorn telah dipecat dan digantikan dengan sahabat-sahabatnya. Vajiravudh jarang mengadakan mesyuarat kabinet dan majlis-msjllis yang ditubuhkan semasa Chulalongkorn seperti Majlis Penasihat Tertinggi Negeri dan Majlis Penasihat Rendah Negeri tidak berfungsi. Semasa Chulalongkorn, golongan bangsawan memainkan peranan penting dalam pentadbiran. Semasa Vajiravudh, mereka yang bukan golongan bangsawan telah dilantik memegang jawatan-jawatan penting. Sebagai contoh, semasa Chulalongkorn, semua kementerian diketuai oleh golongan bangsawan tetapi semasa Vajiravudh, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bukan bangsawan. Akibatnya, pemerintahan Vajiravudh mendapat tentangan golongan bangsawan kerana dasar pentadbirannya menjejaskan kepentingan golongan bangsawan.
Vajiravudh merupakan seorang pemerintah yang boros dan banyak menghabiskan wang untuk hal-hal kesenian, perayaan-perayaan di istana dan sebagainya. Sebagai contoh, baginda telah menggaji 3000 pekerja istana. Selain itu, baginda juga telah menubuhkan pasukan tentera peribadi yang dikenali sebagai “Pasukan Harimau Liar”. Pasukan ini mendapat pelbagai keistimewaan jika dibandingkan dengan tentera biasa. Pentadbiran yang tidak cekap, rasuah serta penyelewengan dan pemborosan Vajiravudh telah membebankan ekonomi Siam. Masalah ekonomi semakin runcing apabila berlaku kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1920-an.
Akibat perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan Vajiravudh, menyebabkan berlaku percubaan membunuhnya sebanyak dua kali. Percubaan membunuh tahun 1912 diketuai oleh adiknya sendiri, Putera Pitsanulok kerana dasar pentadbiran Vajiravudh menjejaskan kepentingan golongan bangsawan. Percubaan membunuh tahun 1917 dilakukan oleh tentera akibat tindakan baginda menyebelahi Pihak Berikat dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918). Majoriti tentera Siam bersikap pro-Jerman lebih-lebih yang mendapat latihan dari pegawai-pegawai Jerman. Walau bagaimanapun, kedua-dua percubaan membunuh tersebut berjaya dipatahkan oleh tentera-tentera yang masih setia terhadap Vajiravudh. Tindakan Vajiravudh menyebelahi Pihak Berikat menguntungkan Siam kerana peperangan tersebut dimenangi oleh Pihak Berikat. Selepas Perang Dunia Pertama, Siam berjaya merampas kembali perkhidmatan keretapi yang dikuasai oleh Jerman sebelum Perang Dunia Pertama. Perjanjian Versailles 1919 telah mengiktiraf Siam sebagai negara merdeka dan diterima sebagai anggota Liga Bangsa-bangsa (LBB) pada tahun 1922. Mulai tahun tersebut juga, kuasa-kuasa Barat mula menghapuskan hak wilayah asingan mereka di Siam kerana mengenangkan jasa Siam menyebelahi Pihak Berikat dalam Perang Dunia Pertama.
Walau pemerintahan Vajiravudh menimbulkan pelbagai masalah, terutamanya masalah ekonomi, tetapi beberapa tindakan baginda telah memberi sumbangan ke arah pembaharuan Siam. Baginda telah berjaya menubuhkan pasukan pengangkap dan pertolongan cemas terutamanya di sekolah-sekolah, mendirikan Universiti Chulalongkorn (1917), mendirikan sekolah Vajiravudh (1921) dan melaksanakan rakan pelajaran rendah wajib sejak tahun 1921. Baginda juga melaksanakan undang-undang monogami dan mengadakan pembaharuan ke atas pakaian wanita tradisional Siam terutamanya pakaian wanita supaya kelihatan kemas. Penyuntikan wajib dan kalendar mengikut cara Barat juga dilaksanakan oleh baginda. Baginda mangkat pada tahun 1925 dan digantikan oleh adik bongsunya Prajadhipok.

Prajadhipok 1925-1935
Selepas kemangkatan Vajiravudh pada tahun 1925, adiknya Prajadhipok dilantik sebagai Raja Rama VII kerana Vajiravudh tidak mempunyai putera. Ahli-ahli sejarah menganggap Prajadhipok tidak bersedia menjadi raja kerana baginda banyak menghabiskan masa di seberang laut. Oleh sebab baginda mendapat pelajaran Barat di seberang laut, Prajadhipok telah terdedah kepada idea-idea Barat seperti liberal, demokrasi, kerajaan berpelembagaan dan sebagainya. Baginda berusaha melaksanakan idea-idea tersebut di Siam. Walau bagaimanapun, tindakan baginda dapat tentangan golongan bangsawan kerana perlaksanaan idea-idea tersebut akan menjejaskan kepentingan golongan bangsawan.
Prajadhipok berusaha memulihkan kembali majlis-majlis yang diabaikan semasa pemerintahan Vajiravudh. Pada tahun 1927, baginda menubuhkan Majlis Tertinggi yang dianggotai oleh 5 orang golongan bangsawan. Pemerintahan Prajadhpok memperlihatkan usaha untuk mengembalikan kepentingan golongan bangsawan. Sebagai contoh, semasa Vajiravudh, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh bukan golongan bangsawan tetapi semasa Prajadhipok, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bangsawan. Akibatnya, pemerintahan Prajadhipok mendapat tentangan pegawai-pegawai awam dan tentera bukan golongan bangsawan.
Pentadbiran yang tidak cekap, rasuah serta penyelewengan dan pemborosan Vajiravudh telah membebankan ekonomi Siam. Masalah ekonomi semakin runcing apabila berlaku kemelesean ekonomi dunia tahun 1920-an. Untuk mengatasi masalah ini, beberapa langkah telah dijalankan oleh Prajadhipok. Antaranya ialah memecat pegawai-pegawai yang dilantik atas dasar pilih kasih semasa Vajiravudh, mengenakan cukai yang tinggi ke atas barang-barang keperluan, mengurangkan gaji serta kakitangan, menghapuskan jawatan-jawatan dan jabatan-jabatan yang tidak penting dan mengurangkan pekerja istana dari 3000 menjadi 300. Langkah-langkah yang dijalankan sedikit sebanyak telah memulihkan ekonomi Siam. Walau bagaimanapun, pemulihan itu tidak kekal lama akibat kemelesetan ekonomi dunia seterusnya sejak tahun 1929. Pada Mac 1931, Siam mengalami kekurangan wang sebanyak 11 juta bath. Kegagalan mendapat pinjaman negara-negara Barat, terutamanya Perancis dan Amerika Syarikat menyebabkan Prajadhipok mengambil langkah-langkah yang lebih tegas ke arah mengatasi masalah ekonomi. Baginda telah mengurangkan gaji serta kakitangan, menyekat kenaikan pangkat serta gaji dan membubarkan “Pasukan Harimau Liar”.
Walaupun langkah-langkah yang dijalankan oleh Prajadhipok amat penting untuk memulihkan ekonomi Siam, tetapi langkah tersebut mendapat tentangan terutamanya daripada mereka yang kepentingannya terjejas. Selain itu, langkah-langkah tersebut dianggap sebagai kelemahan Prajadhipok. Golongan yang menentang pemerintahan Prajadhipok ialah pegawai-pegawai awam dan tentera bukan golongan bangsawan mereka yang mendapat pelajaran Barat di seberang laut telah terdedah kepada idea-idea Barat seperti demokrasi, liberal dan sosialisme, komunisme, kerajaan berpelembagaan dan sebagainya. Mereka yang mendapat pelajaran di Jerman dan Perancis dianggap lebih radikal. Golongan ini menentang sistem monarki mutlak dan menganggapnya sebagai sistem lapuk yang menghalang kemajuan Siam. Akibat dari perasaan tidak puas hati menyebabkan berlakunya Revolusi tanpa pertumpahan darah pada 24 Jun 1932. Revolusi ini dipimpin oleh Pridi Panomyong yang mendapat bantuan pegawai-pegawai tentera iaitu Pribun Songkram, Phya Bahol, Phra Manopakorn dan Khrung Aiphaiwang. Golongan revolusi telah berjaya mengusai istana dan ketika itu Raja Prajadhipok berada di seberang laut. Apabila kembali baginda terpaksa menerima cadangan-cadangan “Perlembagaan Rakyat” yang dikemukakan oleh Pridi Panomyong.
1. Sistem monarki mutlak dihapuskan dan digantikan dengan sistem monarki berpelembagaan.
2. Demokrasi berparlimen akan dilaksanakan dan sebuah Dewan Perundangan akan ditubuhkan
3. Pilihanraya Umum akan diadakan 4 tahun sekali untuk memilih ahli-ahli Dewan Perundangan.
4. Kepentingan golongan bangsawan dalam perkhidmatan kerajaan dihapuskan. Mereka dilarang memegang jawatan-jawatan penting seperti menteri, timbalan menteri dan ketua jabatan.
5. Rakyat dapat hak dan peluang yang sama dalam politik, ekonomi dan sosial.

1932-1941
Selepas revolusi, Phya Manapakorn dilantik sebagai Perdana Menteri memandangkan hubungannya yang amat rapat dengan raja. Revolusi 1932 menandakan permulaan kepada berlakunya pergolakan dalam politik Siam seterusnya. Sebagai contoh, perbalahan pertama berlaku antara Perdana Menteri Manapakorn dengan Pridi Panomyong kerana rancanga ekonomi. Pridi dianggap bercorak komunis. Akibatnya, Pridi telah dibuang negeri. Phya Manapakorn telah berusaha untuk menjadi seorang dictator. Dengan kerjasama Prajadhipok, beliau telah menggantung Dewan Perundangan. Pemerintahan Phya Manapakorn yang bertentangan dengan prinsip demokrasi telah mendapat tentangan ramai. Akibatnya, satu revolusi telah berlaku pada 20 Jun 1933 di bawah pimpinan Phya Bahol. Revolusi tersebut telah berjaya menggulingkan kerajaan Phya Manapakorn dan Phya Bahol dilantik sebagai Perdana Menteri baru. Beliau telah memanggil pulang Pridi dan melantiknya sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri. Pemerintahan Phya Bahol yang menjejaskan kepentingan golongan bangsawan telah mendapat tentangan golongan tersebut. Akibatnya, satu revolusi golongan bangsawan yang dipimpin oleh bekas Menteri Pertahanan Putera Bovaradej telah berlaku pada 12 Oktober 1933. Walau bagaimanapun, revolusi tersebut berjaya dipatahkan oleh tentera pimpinan Pribun Songkram. Dalam usaha untuk mewujudkan demokrasi berparlimen, Pilihanraya Umum pertama telah diadakan pada 13 November 1933. Dalam pilihanraya tersebut, golongan pro-Pridi telah mencapai kemenangan. Perbalahan kemudiannya berlaku antara Pribun Songkram dengan Pridi Panomyong kerna rancangan ekonomi Pridi dianggap terlalu radikal. Walau bagaimanapun, perbalahan itu berjaya diredakan oleh Perdana Menteri, Phya Bahol.
Raja Prajadhipok yang masih berselisih faham dengan kerajaan Phya Bahol telah meletakkan jawatan pada 21 Mac 1935. Baginda digantikan oleh anak saudaranya Anando Mahidol yang berumur 10 tahun dan masih menuntut di Switzerland. Akibatnya, sebuah Jemaah Pemangku Raja yang terdiri daripada 3 anggota telah dibentuk.
Walaupun pemerintahan Prajadhipok telah menimbulkan pelbagai masalah, tetapi beberapa tindakan baginda telah memberi sumbangan ke arah pembaharuan Siam. Antara sumbangan baginda ialah mengadakan perkhidmatan wireless pertama di Siam, membina lapangan terbang Don Maung, menubuhkan institut kesusasteraan di raja, muzium serta perpustakaan negara dan mengeluarkan undang-undang kesihatan orang awam yang berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan.
Pada tahun 1928, beliau mengeluarkan arahan perkhidmatan yang membolehkan rakyat biasa dilantik untuk memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Beliau juga telah memperluaskan kuasa Lembaga Mata Wang dan untuk kepentingan ekonomi, kerajaan diberi kuasa penuh dalam perkhidmatan bank dan insurans.
Pilihanraya Umum kedua diadakan pada tahun 1937. Dalam pilihanraya tersebut, parti pimpinan Phya Bahol telah mencapai kemenangan dan beliau sekali lagi dilantik menjadi Perdana Menteri. Perbalahan kemudiannya berlaku antara Phya Bahol dengan golongan tentera pimpinan Pribun Songkram. Akibat daripada undi tidak percaya dalam Dewan Perundangan, Phya Bahol terpaksa meletak jawatan pada Disember 1938 dan digantikan oleh Pribun Songkram sebagai Perdana Meneri baru.
Pemerintahan Pribun Songkram membawa banyak perubahan yang memperlihatkan semangat nasionalisme yang keterlaluan. Beliau telah berusaha untuk meninggikan taraf hidup orang Siam. Bantuan-bantuan telah diberi kepada orang-orang Siam terutamanya golongan petani bagi membebaskan mereka daripada belenggu hutang, ceti dan peminjam-peminjam wang Cina. Kerajaan juga telah mengambil langkah untuk membantu perusahaan-perusahaan orang Siam. Langkah-langkah juga dijalankan untuk menyekat kebebasan kegiatan ekonomi orang-orang asing terutamanya orang-orang Cina. Kemasukan orang-orang Cina ke Siam telah disekat. Tiap-tiap orang Cina yang masuk ke Siam dikenakan cukai sebanyak 100 baht. Perusahaan-perusahaan orang-orang Cina dikenakan cukai yang tinggi dan 26 jawatan dalam perkhidmatan awam diharamkan kepada orang-orang Cina. Sekolah-sekolah dan akhbar-akhbar Cina telah ditutup. Kerajaan Pribun Songkram telah menggalakkan orang-orang Siam melibatkan diri dalam perdagangan dan perusahaan. Arahan telah dikeluarkan supaya syarikat-syarikat asing memiliki 70% modal dan 75% kakitangan Siam. Kerajaan juga telah mengambilalih perusahaan asing untuk diserahkan kepada orang-orang Siam atau syarikat-syarikat Siam. Sebagai contoh, perusahaan kayu jati yang selama ini dikuasai oleh syarikat British iaitu Bombay Burma Trading Cooperation (BBTC) telah diambilalih dan diserahkan kepada syarikat Siam.
Pada Jun 1939, nama Siam ditukarkan menjadi Maung Thai/Thailand yang bermaksud tanah atau negeri yang bebas. Tujuannya ialah untuk menimbulkan semangat kemegahan bangsa di kalangan orang-orang Siam kerana Siam merupakan stu-satunya negeri di Asia Tenggara yang tidak dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Pribun Songkram juga berusaha untuk mendapat kembali wilayah-wilayah Siam yang telah dikuasai oleh British dan Perancis. Tindakan telah menyebabkan berlakunya pertempuran di antara Siam dan Perancis di Sempadan Laos-Siam. Pada 11 Disember 1940, Phibun Songkram menandatangani perjanjian kerjasama dengan Jepun. Akibat tekanan Jepun, Perancis terpaksa menyerahkan Laos, Battambang dan Siem Reap kepada Siam pada Mac 1941. Pendudukan Jepun di Indo-China pada Julai 1941 sedikit sebanyak menjejaskan usaha Phibun Songkram untuk mendapat kembali wilayah-wilayah Siam.

Kesimpulan
Semasa Perang Dunia Kedua, semua negeri di Asia Tenggara telah dijajah oleh Jepun kecuali Siam. Negeri Siam terselamat daripada penyerangan Jepun kerana kerjasama Phibun Songkram dengan Jepun. Semasa Perang Dunia Kedua juga, Siam telah mendapat kembali wilayah-wilayahnya seperti Mongpan, Kentung dan Negeri-negeri Melayu Utara. Pada Julai 1944, Kerajaan Phibun Songkram yang pro-Jepun telah digulingkan oleh Khuang Aiphaiwong yang pro-pihak Berikat. Akibatnya, pihak berikat yang kemabli ke Asia Tenggara selepas Perang Dunia Kedua tidak dapat mengambil tindakan ke atas Siam kerana pada dewasa itu, Siam diperintah oleh kerajaan yang pro-pihak Berikat. Pada September 1945, Khuang Aiphaiwong digulingkan oleh Seni Pramoj. Tekanan British dan Perancis menyebabkan Seri Pramoj tanpa bantahan menyerahkan kembali wilayah-wilayah yang dirampas oleh Siam semasa Perang Dunia Kedua. Akibatnya, British dan Perancis tidak perlu bertindak secara kekerasan ke atas Siam.

Tiada ulasan: