Ahad, 12 April 2009

Perjanjian Bowring 1855

Pengenalan
Mongkut yang manaiki takhta sebagai Raja Rama IV pada 3 April 1851 telah menamatkan dasar isolasi dan seterusnya mengamalkan dasar buka pintu kepada orang-orang asing. Dalam usaha mewujudkan hubungan dengan kuasa-kuasa Barat, Mongkut telah menandatangani beberapa perjanjian dengan mereka. Perjanjian pertama ditandatangani dengan British pada 18 April 1855 yang dikenali sebagai Perjanjian Bowring. British diwakili oleh Gabenor Hong Kong iaitu Sir John Bowring dan Siam diwakili oleh Mongkut. Daid A. Wilson dalam bukunya “Politics in Thailand” menegaskan Perjanjian Bowring merupakan titik peralihan antara Siam tradisional dengan Siam moden kerana selepas perjanjian tersebut, pelbagai perubahan telah berlaku di Siam sama ada dalam politik, ekonomi ataupun sosial.

Syarat-syarat
1. Cukai import ditetapkan sebanyak 3% dan cukai eksport sebanyak 5%
2. Eksport beras dibenarkan.
3. Kapal dagang British dibenarkan berlabuh di semua pelabuhan Siam.
4. British diberi kebenaran untuk menempatkan konsulnya di Bangkok.
5. Rakyat British di Siam diberi “Hak Wilayah Asingan”.
6. Rakyat British dibenarkan membeli atau menyewa tanah dalam lingkungan 4 batu atau 6 km di sekitar Bangkok.
7. Pedagang-pedagang British dibenarkan bawa masuk candu tetapi tertakluk di bawah peraturan-peraturan yang ketat.
8. Rakyat British dibenarkan meneroka kawasan pedalaman Siam dalam jarak satu hari perjalanan dari Bangkok.
9. Mubaligh-mubaligh diberi kebenaran untuk menyebarkan agama Kristian.
10. Sebarang pindaan ke atas syarat perjanjian perlu dipersetujui oleh semua pihak.

Kesan-kesan
1. Ekonomi
a. Perkembangan ekonomi
Perjanjian Bowring buat pertama kalinya telah membuka Siam kepada perdagangan antarabangsa. D.J. Stainberg dalam bukunya “In Search of Southeast Asia” menegaskan bilangan kapal dagangan yang berlabuh di Siam telah meningkat 10 kali ganda dalam tempoh yang singkat selepas Perjanjian Bowring. Rong Syamananda dalam bukunya “A History of Thailand” mendakwa pada tahun 1852, hanya terdapat 3 orang pedagang Eropah di Bangkok. Pada tahun 1850, terdapat 200 kapal dagang asing yang berlabuh di Siam. Perkembangan ekonomi selepas Perjanjian Bowring telah meruntuhkan sistem ekonomi sara diri dan membawa kepada wujudnya sistem ekonomi komersil. Selain itu, sistem ekonomi tukar barang telah digantikan dengan sistem ekonomi wang. Beras, gula dan kayu jati menjadi eksport utama Siam. Eksport beras sebanyak 5% pengeluaran pada tahun 1850 telah meningkat 50% pada tahun 1905. Gula yang menjadi eksport utama Siam ke Eropah telah meningkat 2 kali ganda dari segi pengeluaran dan kawasan tanaman. menjelang tahun 1865. Selain itu, nilai import terutamanya tekstil juga telah meningkat. Perkembangan ekonomi berlaku akibat daripada penetapan cukai import sebanyak 3% dan cukai eksport sebanyak 5%. Dalam tempoh yang singkat, Siam telah menikmati imbangan pembayaran yang memuaskan. Sebagai contoh, eksport Siam bernilai 5.5 juta bath pada tahun 1850 telah meningkat 11 juta bath pada tahun 1870. Manakala nilai import yang berjumlah 4.3 juta bath pada tahun 1850 telah meningkat 8 juta bath pada tahun 1870. Anna Leonowens dalam bukunya “The English Governess at the Siamese Court” menegaskan pedagang-pedagang Barat berkerumun ke Bangkok untuk mendirikan kilang beras, gula dan kayu.
b. British sebagai pelabur utama
Selepas Perjanjian Bowring, pedagang-pedagang British telah menguasai perdagangan asing Siam dan muncul sebagai pelabur utama di Siam. Pedagang-pedagang British mula mengadakan hubungan perdagangan yang menguntungkan dengan Siam. Pelabuhan-pelabuhan British terutamanya Hong Kong dan Singapura telah mengadakan hubungan perdagangan dengan Siam. Sehingga tahun 1941, 70% daripada eksport Siam ialah dengan Empayar British. D.J.M. Tate dalam bukunya “The Making of Modern South East Asia” menegaskan Siam merupakan “satelit ekonomi” kepada British selepas Perjanjian Bowring.
c. Perubahan susunan kewangan Siam
Perjanjian Bowring mengakibatkan perubahan dalam susunan kewangan Kerajaan Siam. Perjanjian tersebut telah mengubah sistem cukai dan menamatkan monopoli perdagangan yang dipegang oleh golongan bangsawan dan Kerajaan Siam. Penamatan monopoli perdagangan dan pembatasan kuasa untuk memungut cukai telah menghadkan pendapatan Kerajaan Siam. Akibatnya satu perubahan telah dijalankan dalam susunan kewangan Kerajaan Siam dalam usaha untuk membiayai kewangan kerajaan.
d. Penguasaan orang Cina
Perjanjian Bowring telah menamatkan monopoli perdagangan asing yang dikuasai oleh orang-orang Cina. Perdagangan asing mula dikuasai oleh orang-orang Eropah terutamanya British. Penamatan monopoli perdagangan orang Cina telah mewujudkan hubungan ekonomi yang baru antara orang Cina dengan Kerajaan Siam. Orang-orang Cina telah diberi monopoli eksais ke atas perjudian, loteri, minuman keras dan ganja.
e. Perjanjian lain
Perjanjian Bowring telah menarik perhatian negara-negara lain untuk menandatangani perjanjian yang serupa dengan Siam. Akibatnya, Perjanjian Bowring menjadi model kepada lebih 20 perjanjian yang ditandatangani antara Siam dengan kuasa-kuasa Barat pada tahun-tahun berikutnya. Sebagai contoh, perjanjian dengan Amerika (1856), Perancis (1856), Denmark (1858), Portugal (1859), Holand (1860), Prussia (1862), Belgium, Norway, Itali, Sweden (1868), Jerman (1872), Perancis (1893), British (1909) dan sebagainya. Mengikut perjanjian-perjanjian tersebut, kuasa-kuasa Barat telah diberi pelbagai keistimewaan di Siam. Selain kebenaran berdagang, kuasa-kuasa Barat dibenarkan mendirikan konsul, menyebarkan agama Kristian, mendapat hak wilayah asingan, membeli/menyewa tanah dis ekitar Bangkok, berlabuh di pelabuhan Siam dan sebagainya.
2. Politik
a. Mengeratkan hubungan dengan British
Perjanjian Bowring telah mengeratkan hubungan antara Siam dan British. Rakyat British di Siam dibenarkan berdagang dan diberi keistimewaan-keistimewaan lain. Pada tahun 1856, Siam menerima perwakilan British yang diketuai oleh Harry Parkes. Pada Ogos 1857, Siam telah menghantar satu perwakilan ke Eropah yang diketuai oleh Chao Phraya Montri Sri Istimewa. Selain itu, ramai pegawai British telah dilantik dalam pentadbiran Siam.
b. Mengekalkan kemerdekaan Siam
Perjanjian Bowring merupakan faktor penting yang dapat mengekalkan kemerdekaan Siam. Dasar buka pintu dan keistimewaan-keistimewaan yang diberi telah mengurangkan campur tangan asing dalam hal-ehwal Siam. Selain itu, berlaku proses pembaratan dalam politik, ekonomi dan sosial. Selain itu, ramai golongan professional, mubaligh-mubaligh, tukang-tukang dan sebagainya datang ke Siam. Mereka bertanggungjawab memberi sumbangan dalam pembangunan Siam yang merupakan salah satu faktor yang menjamin kemerdekaan Siam.
3. Sosial
a. Pelajaran
Selepas Perjanjian Bowring, pelajaran Barat mula diperkenalkan di Siam. Guru-guru dari Barat terutamanya British telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pelajaran Barat di Siam. Semasa Mongkut, pelajaran Barat diadakan di istana dan hanya terbuka kepada anak-anak golongan bangsawan, terutamanya anak-anak raja. Semasa Chulalongkorn, pelajaran Barat bukan sahaja diadakan di istana, tetapi juga di luar istana dan bukan sahaja untuk anak-anak golongan bangsawan tetapi juga untuk anak-anak rakyat biasa selepas penubuhan sekolah harian sejak tahun 1884. Selain itu, semasa Chulalongkorn, pelajar-pelajar Siam bukan sahaja mendapat pelajaran Barat di Siam, tetapi juga di seberang laut.
b. Buruh paksa, perhambaan dan kanak-kanak
Selepas Perjanjian Bowring, sistem buruh paksa yang dikenali sebagai “corvee” mula dihapuskan dan digantikan dengan sistem buruh bergaji. Sistem corvee dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1873. Sistem penghambaan mula dihapuskan pada tahun 1874 dan dihapuskan sepenuhnya pada tahun 1905. Usaha-usaha juga dijalankan bagi meninggikan taraf wanita dan kanak-kanak di mana undang-undang dikeluarkan melarang penindasan ke atas wanita dan kanak-kanak.
c. Adat
Adat-adat yang dianggap boleh menghalang kemajuan Siam telah dihapuskan selepas Perjanjian Bowring. Rakyat dilarang melarikan diri apabila bertembung dengan raja. Adat yang melarang rakyat melihat muka raja juga dihapuskan. Semasa Mongkut, orang-orang tidak dipaksa untuk sujud di hadapan raja. Mereka diberi kebebasan untuk menghormati raja mengikut cara mereka sendiri. Semasa Chulalongkorn, adat sujud di hadapan raja dihapuskan.
d. Agama
Perkembangan agama Kristian berlaku selepas Perjanjian Bowring kerana mubaligh-mubaligh telah diberi kebebasan untuk menyebarkan agama Kristian. Banyak sekolah Kristian dan gereja mula didirikan di Siam.
e. Sistem perhubungan
Selepas Perjanjian Bowring, banyak jalan raya, jambatan dan terusan telah dibina terutamanya untuk menghubungkan kawasan pertanian dengan Menam Chao Phraya. Empat terusan utama yang menghubungkan wilayah-wilayah telah dibina selepas Perjanjian Bowring. Jalan raya utama di Bangkok yang dikenali sebagai Charun Krung telah dibina pada tahun 1862. Jalan keretapi yang pertama dibina pada tahun 1893 untuk menghubungkan Bangkok dengan Paknam. Kemudahan telegraf bermula pada tahun 1875 dan perkhidmatan pos serta telefon bermula pada tahun 1881.

Kesimpulan
Mongkut merupakan seorang pemerintah yang bijak dan berpandangan jauh. Baginda telah dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan politik yang berlaku di Asia Tenggara pada pertengahan abad ke-19. Mongkut telah berjaya menyelamatkan kemerdekaan Siam dalam zaman imperialisme kuasa-kuasa Barat yang berlumba-lumba untuk mendapatkan tanah jajahan di Asia terutamanya di Asia Tenggara. Baginda juga telah dapat membuktikan Siam merupakan sebuah negara progresif dan liberal sehingga dapat mengurangkan campur tangan asing dalam hal ehwal Siam. Dasar tolak ansur baginda juga menguntungkan Siam terutamanya dalam usaha untuk mengekalkan kemerdekaan Siam. D.E.G. Hall dalam bukunya “A History of South East Asia” menegaskan Siam terhutang budi kepada Mongkut daripada raja-raja lain kerana dasar yang dimulainya telah berjaya menyelamarkan kemerdekaan Siam. Mongkut meninggal dunia pada 1 Oktober 1868 dan digantikan oleh Raja Chulalongkorn sebagai Raja Rama V.

Tiada ulasan: