Ahad, 12 April 2009

Campur Tangan Kuasa Asing di Thailand

Pengenalan
Abad ke-19 merupakan zaman peluasan wilayah kuasa Barat. Mereka berlumba-lumba mencari tanah jajahan terutama di sebelah Timur. Hal ini disebabkan mereka memerlukan bahan-bahan mentah untuk keperluan perusahaan di negara mereka akibat revolusi perusahaan. Selain itu, mereka memerlukan pasaran bagi barang-barang kilang mereka. Selanjutnya, sebagai kuasa tentera, kuasa-kuasa Barat memerlukan pangkalan angkatan laut untuk menjamin kedudukan mereka. Akibatnya, banyak negeri di Asia Tenggara yang telah jatuh ke tangan kuasa-kuasa Barat. British bertapak di Myanmar dan Tanah Melayu, Balanda di Indonesia dan Sepanyol di Filipina.

Wilayah yang hilang kepada British dan kepentingannya
Hubungan Chulalongkorn dengan British dalam keadaan yang tidak memuaskan. Hal ini disebabkan adanya campur tangan British di Negeri-negeri Melayu Utara. Memandangkan pengaruh Siam yang mengalami kejatuhan di Negeri-negeri Melayu tersebut dan Siam memerlukan bantuan dari pihak British menyebabkan Raja Chulalongkorn menandatangani satu perjanjian iaitu Perjanjian Bangkok pada tahun 1909. Berdasarkan perjanjian itu, pihak berkuasa Siam menyerahkan 4 negeri Melayu Utara iaitu, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada pengawalan British. Sebagai balasan, pihak British berjanji tidak akan campur tangan di wilayah-wilayah Siam yang lain dan memberi pinjaman untuk pembinaan jalan keretapi.
Bagi pihak British, British ingin menggabungkan 4 negeri Melayu tersebut dengan Negeri-negeri Melayu yang telah diletakkan di bawah pengawalan British iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Dengan gabungan ini bermakna lengkaplah penubuhan Tanah Melayu. Dengan pengambilan 4 negeri Melayu itu bermakna British dapat menghalang campur tangan asing di negeri-negeri tersebut. Ketika ini, kuasa Barat yang menjadi ancaman kepada British ialah Jerman. Sejak penyatuan Jerman pada tahun 1871, negara tersebut telah berusaha untuk menandingi British dalam penguasaan angkatan laut. Selanjutnya, Jerman telah berusaha mendapat wilayah di Asia Tenggara untuk dijadikan pangkalan angkatan laut. Pada tahun 1899, terdengar berita mengatakan bahawa Jerman telah cuba mendapatkan Pulau Langkawi dari pemerintahan Siam. Keadaan ini juga mempengaruhi British mengadakan persahabatan dengan Perancis pada tahun 1904 (Ententi Cordiale) yang mana pihak British membenarkan Perancis bertindak di Kampuchea.

Wilayah yang hilang kepada Perancis dan kepentingannya
Sungguhpun ketika Raja Chulalongkorn menjadi raja (1868-1910) menjalankan dasar “buka pintu” dengan mengadakan persahabatan dengan Barat, Negeri Siam masih mendapat tekanan dari Perancis. Perancis telah bergiat di Indo-China dengan mengadakan tuntutan wilayah. Oleh sebab hubungan Siam dengan Perancis dalam keadaan yang genting maka Chulalongkorn telah menyerahkan wilayah-wilayah yang dituntut oleh Perancis. Misalnya, wilayah tebing Sungai Mekong (1886), wilayah di Tongking Utara (1888), wilayah sebelah Timur Sungai Mekong termasuk Luang Prabang (1893), wilayah sepanjang sempadan Laos-Siam (1904) dan wilayah Battambang dan Siemreap (1907). Dengan ini bermakna seluruh Indo-China jatuh ke tangan Perancis.
Perancis menuntut wilayah di Indo-China dari negeri Siam kerana ingin menubuhkan Empayar Perancis di Indo-China. Tujuan ini perlu dilaksanakan memandangkan adanya persaingan pengaruh British yang kuat terutama di negeri Siam. Hal ini bermakna pengaruh British boleh berkembang di mana-mana bahagian Indo-China. Oleh itu, dengan penaklukan Indo-China bermakna pihak Perancis dapat menghalang kemungkinan merebaknya pengaruh British itu. Selain itu, ia juga menjamin perjalanan darat ke Yunnan yang terletak di Selatan China. Perjalanan darat ini dianggap penting kerana Perancis boleh mengadakan hubungan perdagangan dengan China. Pihak Perancis menganggap negeri China mempunyai potensi yang baik untuk menjadi pasaran bagi barang-barang buatan Perancis.

Kesimpulan
Dengan penyerahan wilayah-wilayah kepada Perancis dan British, negeri Siam telah kehilangan wilayah seluas kira-kira 90000 batu persegi. Namun demikian, tindakan itu merupakan satu tindakan bijak untuk menghalang ancaman dari kedua-dua kuasa Barat itu. Ternyata tindakan ini dapat menyelamatkan Siam dari ditawan oleh Perancis atau British. Negeri Siam kekal sebagai negara yang berdaulat dan merdeka di tengah-tengah dasar perluasan wilayah kuasa-kuasa Barat.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...