Sabtu, 28 Februari 2009

Perjuangan Kemerdekaan Indonesia

Setelah Jepun menyerahkan dan meninggalkan Indonesia, pada 29 September 1945, tentera British di bawah perintah Jeneral Christison mendarat di Jakarta. Pasukan itu merupakan unit pertama mewakili tentera berikat terutamanya bagi pihak Belanda. Tujuan unit tersebut ialah untuk membantu pentadbir-pentadbir Belanda bagi memulihkan pemerintahan Belanda di Indonesia. Tidak lama selepas mendarat, ia diikuti oleh unit tentera Belanda.
Sementara itu pihak Belanda telah cuba mengadakan perundingan dengan Republik Indonesia pimpinan Sukarno. Dr. Van Mook sebagai wakil Kerajaan Belanda tidak menerima Sukarno sebagai wakil Indonesia kerana dianggap bersuhabat dengan Jepun. Sebagai jalan tengah maka Sutan Shahrir yang disifat lebih sederhana ditugaskan berunding dengan pihak Belanda. Perundingan menghadapi jalan buntu kerana Sutan Shahrir menuntut supaya pihak Belanda mengiktiraf Republik Indonesia.
Kemaraan tentera British telah disalahertikan oleh orang Indonesia akibatnya tentera British menerima tentangan. Apabila tentera Belanda pula mengambil bahagian menyebabkan orang Indonesia mengambil keputusan akan menentang tentera British dan Belanda demi mempertahankan kemerdekaan Indonesia yang telah diumumkan itu. Dengan penentangan itu, maka bermula Zaman Revolusi Indonesia.
Pada awal Oktober 1945, berlaku pertempuran yang sengit antara tentera British dengan tentera revolusi. Pemerintah tentera British iaitu Jeneral Mallaby telah terkorban setelah berjaya menduduki Surabaya. Kematian Jeneral Mallaby merupakan satu tamparan hebat kepada Inggeris. Tentera British menghadapi tindak balas dari tentera Revolusi Indonesia. Hanya dengan campur tangan Sukarno, kemusnahan yang lebih buruk yang mungkin dihadapi oleh tentera British dapat dielakkan. Pihak Inggeris sedar selama ini mereka menerima keterangan yang tidak betul mengenai kedudukan Indonesia. Apa yang dilihat bahawa seluruh rakyat Indonesia bersama-sama dengan kerajaan dan turut berjuang dalam revolusi walaupun mereka kekurangan dalam serba-serbi. Sebelum tercebur lebih jauh dalam revolusi Indonesia maka tentera British akan ditarik keluar dari Indonesia yang dijadualkan pada 10 November 1946.
Republik Indonesia pimpinan Sukarno terus berusaha agar perundingan dapat diadakan dengan Belanda supaya dihentikan pertempuran yang menumpahkan darah. Oleh itu, Sutan Shahrir sebagai Perdana Menteri terus mengadakan perbincangan dengan Van Mook kemudian dengan Kerajaan Belanda di Holland. Dalam bulan April 1946, perundingan itu gagal kerana Sutan Shahrir tidak dapat menerima syarat Belanda yang hanya mengakui kekuasaan Republik Indonesia ke atas Jawa dan Madura.
Repulik Indonesia ketika ini dalam keadaan tidak mentap kerana selain tidak mendapat pengiktirafan Belanda juga disebabkan oleh ancaman dari pertubuhan-pertubuhan yang tidak begitu bersetuju dengan sikap republik yang mengadakan perundingan dengan Belanda. Dalam bulan Jun 1946, golongan komunis pimpinan Tan Malaka telah melakukan satu percubaan rampasan kuasa. Mereka telah mencuba menculik Shahrir dan beberapa rakannya yang lain. Percubaan Tan Malaka itu telah dipatahkan oleh republik. Selain komunis terdapat pula pertubuhan persatuan perjuangan, gabungan beberapa buah parti politik, turut menentang tindakan republik itu.
Sebelum tentera British meninggalkan Indonesia satu perjanjian telah ditandatangani antara Republik Indonesia dengan Belanda pada 15 November 1946, dinamakan Perjanjian Ligardjati. Antara syarat-syarat perjanjian ialah:
1. Belanda mengakui Repulik Indonesia sebagai kuasa de facto di daerah Madura, Jawa dan Sumatera.
2. Pembentukan Republik Persekutuan Negeri-negeri Bersatu Indonesia yang merangkumi Hindia Timur Belanda.
3. Republik Indonesia dikehendaki bersama-sama dengan negeri Belanda dan negeri lain jajahan Belanda di Laut Caribean menjadi satu pakatan dengan memakai nama Persatuan Indonesia Belanda.
4. Pemulangan semula harta-benda Belanda kepada yang punya.
Selain perkra-perkara di atas, terdapat beberapa perkara yang lain dipersetujui antara dua pihak. Antaranya negara baru Republik Indonesia hendaklah membuat jaminan kepada pelabur-pelabur Belanda di Indonesia dan kaki tangan Belanda, terus mengadakan hubungan baik dengan negeri Belanda dan mengambil alih hutang-hutang Belanda yang berjumlah 4300 juta guilders. Dari jumlah itu, 1291 juta merupakan hutang luar negeri yang mesti dibayar dengan mata wang asing.
Tidak lama selepas itu iaitu pada bulan Disember 1946, pemerintah Belanda menubuhkan satu negara “Persekutuan” yang menyatukan wilayah-wilayah Timur termasuk Bali dan Sulawesi.
Perjanjian Linggardjati telah menjejaskan kedudukan Perdana Menteri Shahrir yang menerima perjanjian itu. Hal ini disebabkan oleh perjanjian itu tidak mendapat persetujuan penuh dari orang Indonesia malah mendapat tentangan hebat dari Parti Masjumi, PNI dan golongan komunis. Selain itu, pihak Belanda sendiri telah mengenakan tekanan-tekanan politik dan tuntutan-tuntutan yang sukar untuk dilaksanakan oleh Shahrir. Oleh sebab masalah-masalah tersebut menyebabkan Shahrir meletakkan jawatan dan dengan ini memberi peluang kepada Amir Syarifuddin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kabinet pada 3 Julai 1947.
Kabinet Amir juga tidak dapat bertahan lama kerana adanya tentangan dari Parti Masjumi dan menghadapi banyak krisis terutama dengan Belanda. Keadaan ini akhirnya melemahkan kedudukan Amir sendiri. Ketika ini hubungan Belanda-Republik Indonesia dalam keadaan genting terutama sifat Sukarno yang tidak percaya kepada janji-janji Belanda. Oleh sebab dipengaruhi oleh perasaan bimbang menyebabkan pada Julai 1947 pihak Belanda telah melancarkan “Tindakan Tentera” terhadap Republik Indonesia yang telah menampakkan sikap tidak mahu bekerjasama. Pihak Belanda memberi alasan bahawa tindakannya itu disebabkan adanya ancaman komunis dan keadaan kacau-bilau dalam negeri. Belanda telah berjaya menawan bahagian Barat dan Timur Jawa serta bahagian Timur dan Selatan Sumatera yang kaya dengan minyak.
Tindakan tentera oleh Belanda telah mendapat perhatian antarabangsa. Oleh sebab itu, pada Ogos 1947, Majlis Keselamatan PBB telah mengesyorkan satu gejatan senjata. Seterusnya atas dya usaha Belgium, Australia dan Amerika Syarikat telah diadakan perundingan antara Republik Indonesia dengan Belanda pada 17 Januari 1948 di atas kapal perang Amerika bernama Renville. Wakil Belgium telah diamanahkan mewakili pihak Belanda sementara wakil Australia mewakili Republik Indonesia. Mengikut perjanjian tersebut, Republik Indonesia hanya dihadkan kepada Jawa Tengah dan beberapa bahagian Sumatera. Belanda dan Republik Indonesia bersetuju bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan lain di Indonesia iaitu Persekutuan Negeri-negeri Bersatu.
Seperti Perjanjian Linggardjati, perjanjian yang baru itu juga tidak memberi apa-apa erti kepada Indonesia. Pihak “Persekutuan” tetap menentang Republik Indonesia kerana mereka bimbang orang Jawa yang merupakan setengah dari jumlah penduduk seluruh Indonesia, akan lebih berkuasa. Pihak Belanda yang mengetahui hal ini terus menakut-nakutkan pihak “Persekutuan” akan keburukan yang akan diterima jika mereka bersatu atau bekerjasama dengan pihak republik. Belanda memang mencari jalan untuk memecahkan perpaduan di kalangan orang Indonesia.
Bagi pihak Belanda halangan besar ialah pihak Republik. Belanda sedar bahawa mereka tidak akan dapat kerjasama dan tolak ansur dari Sukarno dan pemimpin nasionalis yang lain terutama dari golongan komunis. Keadaan ini mempengaruhi pihak Belanda bersiap sedia untuk melancarkan tindakan tentera sekali lagi.
Ketika ini pemimpin PKI secara sulit telah merancang untuk mengadakan satu revolusi yang bertujuan untuk menumbangkan Perdana Menteri Muhammad Hatta. Mereka menentang Hatta kerana beliau cuba melaksanakan persetujuan yang telah dicapai dalam Perjanjian Renville terutama mengenai pengunduran tentera Republik Indonesi dari kawasan Belanda. Hatta cuba mengadakan perundingan dengan Fronk Demokratik Rakyat (FDR) pimpinan Amir yang terdiri daripada anggota PKI dan sosialis tetapi gagal.
Akhirnya pada 18 September 1948, meletus pemberontakan komunis di Mediun tetapi pemberontakan ini dapat dipatahkan oleh Hatta. Beberapa pemimpin termasuk Musso telah terbunuh. Peristiwa percubaan pihak komunis untuk merampas kuasa telah mempengaruhi pihak Belanda melancarkan “Tindakan Tentera II” pada bulan Disember 1948. Belanda telah membatalkan Perjanjian Renville. Sukarno dan pemimpin Republik Indonesia yang lain telah ditangkap dan menawan beberapa wilayah Republik. Tetapi Syarifuddin Prawinegoro telah berjaya melarikan diri lalu menubuhkan Pemerintahan Darurat Republik Indonesia berpusat di Sumatera.
Tindakan Tentera oleh Belanda sekali lagi tidak disetujui oleh dunia malah India dan Australia menganggap tindakan Belanda itu satu perkara yang berat. Kedua-dua negara tersebut telah menyeru kepada Setiausaha Agung PBB supaya campur tangan. Dengan adanya tekanan antarabangsa terutama dari Amerika Syarikat menyebabkan Belanda menghentikan tindakan tenteranya. Pada bulan Mei 1949, persetujuan dicapai antara Belanda dan Indonesia. Kerajaan Belanda bersetuju membebaskan pemimpin Indonesia dan ini membolehkan Sukarno dan Hatta berkuasa semula menjelang bulan Julai 1949.
Kemudian satu perundingan antara pihak Republik Indonesia dan Negara Persekutuan diadakan dalam bulan Julai dan Ogos. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju terhadap pembentukan sebuah negara Persekutuan Negara-negara Bersatu.
Di samping itu, satu jawatankuasa telah ditubuhkan yang dianggotai oleh wakil-wakil dari Australia, Belgium dan Amerika Syarikat. Jawatankuasa tersebut telah berjaya mengatur satu persidangan antara Indonesia dengan Belanda di Hague, ibu negeri Belanda, pada 2 Disember 1949. Satu perjanjian telah ditandatangani dan antara syarat-syarat perjanjian ialah:
1. Penyerahan kuasa sepenuhnya dari Kerajaan Belanda kepada Kerajaan Indonesia yang baru akan dilaksanakan sebelum akhir tahun 1949.
2. Penyerahan kuasa itu tidak termasuk wilayah Irian Barat. Perkara ini akan dibincangkan semula dalam jangka waktu satu tahun.
3. Kerajaan Belanda dan Negara Persekutuan bersetuju bekerjasma di dalam Persatuan Indonesia Belanda dan Kerajaan Indonesia bersetuju memikul segala hutang piutang Kerajaan Hindia Belanda.
4. Pihak Belanda dibenarkan menjalankan kepentingan-kepentingan ekonomi yang mereka punya di Indonesia.
Pada 27 Disember 1949, berlangsung upacara pemindahan kuasa di istana diraja di Amsterdam, negeri Belanda. Negeri Belanda diwakili oleh Queen dan Perdana Menteri. Republik Indonesia diwakili oleh Perdana Menteri Hatta dan Negara Persekutuan diwakili oleh Sultan Abdul Hamid (Sultan Pontianak).
Hasil dari Perjanjian Hague itu maka lahirlah dengan rasminya negara yang berdaulat dan merdeka iaitu Republik Persekutuan Negeri-negeri Bersekutu Indonesia yang merangkumi seluruh wilayah Indonesia kecuali Irian Barat. Sukarno telah dilantik menjadi Presiden sementara Hatta sebagai Naib Presiden.
Sungguhpun Indonesia telah merdeka namun politik dalam negeri belum lagi stabil sebab adanya curiga antara golongan republik dan persekutuan. Dalam bulan Jun 1950, seorang pegawai Belanda iaitu Westerling telah cuba menggulingkan Kerajaan Indonesia dengan menakluki Selatan Bandung. Percubaan itu dapat dipatahkan dan beliau melarikan diri ke Singapura. Sultan Abdul Hamid pula terlibat dalam komplot untuk membunuh Sukarno dan pemimpin Indonesia, dan baginda ditangkap dan negaranya disatukan dengan republik. Tentangan dan percubaan Sukarno untuk menguasai negara-negara persekutuan telah menimbulkan tentangan. Tindakan itu telah mencetuskan pemberontakan di Jawa Barat, Sulawesi Selatan dan Maluku. Sungguhpun demikian, akhirnya satu persetujuan telah dicapai untuk membentuk negara Republik Indonesia yang tunggal. Pada 17 Ogos 1950, Presiden Sukarno telah mengisytiharkan wujudnya sebuah negara tunggal Republik Indonesia.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...