Sabtu, 28 Februari 2009

Faktor Kemunculan Imperialisme di Rantau Asia

Pengenalan
Imperialisme bermaksud kegiatan sesebuah negara untuk meluaskan wilayahnya dengan menguasai dan menjajah negara lain dari segi ekonomi, politik dan sosial. Zaman ini bermula hasil daripada usaha penjelajahan dan penerokaan kawasan baru di dunia pada kurun ke-15 dan ke-16 oleh kuasa Barat seperti Portugis dan Sepanyol. Mereka telah menemui jalan laut ke Timur. Apabila mereka sampai ke Timur, mereka mendapati kawasan ini kaya dengan pelbagai benda yang dikehendaki lalu bercita-cita untuk menguasainya. Selain untuk memperolehi benda yang dikehendaki, mereka juga mempunyai tujuan yang khas untuk menjajah negara Asia.

Faktor-faktor
1. Bahan mentah
Faktor utama yang membawa kepada kemunculan kuasa imperialis di Asia ialah bahan mentah. Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah telah membawa kepada perkembangan teknologi. Perkembangan teknologi ini menyebabkan beberapa jenis bahan mentah yang tidak pernah dikehendaki pada masa dahulu diperlukan pada masa kini. Sebagai contoh: pengenalan proses mengetin mewujudkan permintaan yang tinggi bagi bijih timah. Keadaan ini menyebabkan pengeluar bijih timah tidak berupaya menampung permintaan yang dikehendaki, lalu mereka pun pergi ke kawasan lain untuk memperolehi sumber baru. Selain itu, mereka juga memerlukan getah asli untuk menyalut dawai elektrik, membuat tayar dan sebagainya. Kelapa sawit dan kelapa pula diperlukan untuk membuat sabun, lilin, mentega, minyak sayur dan sebagainya. Ciptaan kenderaan bermotor yang memerlukan petroleum juga menyebabkan kuasa Barat berusaha memperolehi sumber ini dari kuasa lain. Memandangkan rantau Asia yang mempunyai pelbagai bahan mentah seperti petroleum dan bijih timah dan iklim di kawasan sesuai bagi penanaman getah, kelapa sawit dan sebagainya, lalu mereka datang ke kawasan Asia dan berusaha untuk menguasai negara Asia.
2. Pasaran
Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah menyebabkan barang-barang dapat dikeluarkan secara besar-besaran. Pengeluaran secara besar-besaran memerlukan pasaran yang besar supaya barang-barang tersebut dapat dijual. Akibatnya, mereka telah datang ke Asia dan mereka mendapati kawasan ini mempunyai potensi yang tinggi bagi memasarkan barang keluaran mereka. Dengan itu, mereka pun bertindak untuk menjajah negara tersebut.
3. Kemajuan dalam pengangkutan dan perhubungan
Perkembangan perhubungan laut terutamanya penciptaan kapal berkuasa wap telah mendorong dan mempercepatkan imperialisme di rantau Asia. Penciptaan kapal berkuasa wap telah menjadikan perjalanan laut di antara Barat dan Asia lebih cepat dan selamat. Selain itu, kapal berkuasa wap juga dapat membawa muatan yang banyak. Keadaan ini telah mendorong kuasa Barat menguasai ekonomi Asia. Seterusnya, pembukaan Terusan Suez turut menambahkan lagi minat kuasa Barat untuk menjajah negara Asia. Ciptaan telegraf turut menyebabkan imperialis di rantau Asia. Kuasa Barat semakin berminat untuk menjajah Asia yang jauh dari negara asal mereka. Walaupun jauh, tetapi tidak menjadi masalah untuk berhubung kerana adanya telegraf.
4. Politik
Kuasa-kuasa Eropah ingin membentuk empayar yang lebih luas untuk memperbaiki imej mereka sebagai kuasa besar dunia. British sebagai pelopor Revolusi Perindustrian ingin memeproleh tanah jajahan yang lebih luas kerana ini bukan sahaja menunjukkan ia sebagai kuasa yang besar, malah ia juga dapat menjamin kepentingan ekonomi mereka. Begitu juga bagi Sepanyol, Belanda, Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat. Dengan itu, mereka telah berlumba-lumba ke rantau Asia yang begitu luas yang masih terdapat negara yang belum dijajah oleh mana-mana kuasa dan dengan menguasai negara itu, maka mereka akan memperolehi bahan mentah dan pasaran di samping memperluaskan wilayahnya.
5. Tanggungjawab orang putih
Orang putih yakin bahawa kebudayaan dan peradaban mereka lebih tinggi daripada bangsa lain. Keyakinan ini digunakan oleh mereka untuk menjajah seluruh dunia. Orang Eropah terutamanya Inggeris dan Amerika menganggap mereka bertanggungjawab untuk mengubah kebudayaan dunia kepada sistem kebudayaan Barat yang lebih baik. Mereka mengistilahkan tugas mereka sebagai “White Man Burden”. Orang Perancis pula menggunakan dasar “tugas menyebarkan tamadun” kerana menganggap penduduk yang bukan Eropah adalah mundur.
6. Agama
Agama juga menjadi salah satu faktor bagi kuasa Barat untuk menjajah negara Asia. Mereka menyebarkan agama Kristian di kalangan penduduk pribumi di luar Eropah. Mereka menganggap tugas ini sebagai satu misi suci. Untuk menyenangkan proses penyebaran agama Kristian, mereka telah menjajahi negara-negara yang menjadi sasaran.

Tiada ulasan:

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...