Selasa, 20 Januari 2009

Faktor-faktor yang mendorong campur tangan kuasa-kuasa Barat di negara-negara Asia menjelang abad ke-19.(Excel 1)

Sejak abad ke-15 hingga abad ke-17 lagi kuasa-kuasa barat seperti Portugal, Sepanyol, Belanda, British, Perancis dan Amerika Syarikat telah menjelajah dan meneroka negara-negara di benua Asia. Menjelang abad ke-19 kuasa-kuasa barat ini telah campur tangan di negara-negara Asia melalui dasar imperialisme masing-masing.
Terdapat banyak faktor yang mendorong campur tangan kuasa-kuasa barat di Asia yang merangkumi faktor ekonomi, politik dan sosial.

Faktor Ekonomi.
Kepentingan ekonomi telah mendorong kuasa-kuasa barat untuk campur tangan di negara-negara Asia Tenggara, Asia Timur dan Asia Selatan. Bermula pada abab ke-15 kuasa-kuasa barat berminat untuk menguasai kekayaan dan bahan mentah yang terdapat di Asia seperti rempah, teh dan sutera. Keinginan ini semakin berkembang selepas meletusnya Revolusi Perindustrian di Britain.
Kuasa barat berlumba-lumba untuk mencari kawasan yang kaya dengan bahan mentah untuk memenuhi keperluan industri negara masing-masing. Kawasan-kawasan ini juga dijadikan sebagai pasaran bagi pelbagai hasil keluaran industri mereka.
Kepesatan industri mengetin makanan dan pembuatan kenderaan mendorong Britain untuk campur tangan di negara-negara Asia Tenggara yang kaya dengan bijih timah, petroleum dan getah. British juga turut meluaskan pengaruh politiknya di India dan China.
Perancis meluaskan kuasanya ke Vietnam kerana ingin menguasai perdagangan di China melalui Sungai Mekong dan Wilayah Tongking. Belanda pula ingin monopoli perdagangan rempah di Kepulauan Indonesia dengan menguasai kepualauan Maluku, Tidore dan Ternate. Manakala Amerika Syarikat memerlukan tempat persingahan kapal-kapal nelayan dan menjaga kepentingan perdagangannya dengan China. Oleh itu Amerika Syarikat menguasai Pelabuhan Hakodate dan Shimoda di Jepun.

Faktor Politik.
Kuasa-kuasa barat berhasrat untuk meluaskan empayar masing-masing bagi meningkatkan imej sebagai kuasa hegemoni di mata dunia. Kuasa barat yang mempunyai tanah jajahan yang luas akan disanjungi dan di hormati.
Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Belanda dan Sepanyol berlumba-lumba untuk meluaskan empayar masing-masing. Jerman dan Itali juga tidak ketinggalan dalam persaingan ini.
Persaingan di kalangan kuasa-kuasa barat ini telah mempercepatkan lagi proses campur tangan mereka di Asia. British memerangi Burma kerana kebimbangan terhadap perluasan kuasa Perancis. Desakan kerajaan dan golongan kapitalis turut mempengaruhi campur tangan British di China, India dan Myanmar.
British dan Belanda menggunakan slogan “beban orang putih” manakala Perancis menggunakan slogan “tugas menyebarkan tamadun”. Mereka mendakwa lebih bertamadun dan bertanggungjawab untuk mentamadunkan masyarakat di Asia.
Pergolakan politik di negara-negara Asia mengundang campur tangan kuasa barat dalam pemerintahan dan pentadbiran. Pemerintah tempatan gagal menjaga keamanan dan keselamatan lantas memaksa kuasa-kuasa barat untuk memberi bantuan seperti penglibatan Belanda dalam membenteras masalah perlanunan di Kepulauan Rempah di Indonesia.

Faktor Agama.
Tugas menyebarkan agama dianggap suci. Oleh itu Perancis menyebarkan agama Kristian di Vietnam, Sepanyol di Filipina dan Belanda di Indonesia.
Lanjutan daripada Perang Salib mendorong kuasa barat mengkristiankan masyarakat tempatan di negara-negara Asia Tenggara bagi menyaingi pengaruh agama Islam yang kukuh bertapak di Asia. Kesannya ramai masyarakat tempatan di Vietnam, Filipina dan Indonesia menganut agama Kristian.

Lain-lain Faktor.
Perkembangan dalam bidang sains dan teknologi, perhubungan dan pengangkutan serta revolusi dalam ilmu pengetahuan menjadi pemangkin kepada campur tangan kuasa-kuasa barat di Asia.
Kemampuan bidang perkapalan dan pelayaran membolehkan kuasa-kuasa barat menghasilkan kapal berkuasa wap untuk mengharungai lautan yang luas.
Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 telah memendekkan perjalanan dan menjimatkan kos pengangkutan antara barat dan timur.
Selain itu penghasilan telegraf dalam bidang telekomunikasi mempercepatkan penyebaran maklumat terutama dalam urusan perniagaan dan perdagangan.

Penutup.
Abad ke-19 dianggap sebagai zaman perluasan kuasa-kuasa barat kerana dorongan dari pelbagai faktor. Kepentingan ekonomi dilihat sebagai faktor utama yang membawa kepada campur tangan kuasa-kuasa barat dan dibantu oleh faktor-faktor lain.
Campur tangan ini telah memberi implikasi yang dalam sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat tempatan di Asia Tenggara, Asia Timur dan Asia Selatan.
Kesemua negara-negara di Asia telah jatuh ke tangan kuasa-kuasa barat kecuali Thailand. Jepun dijajah secara tidak langsung oleh Amerika Syarikat manakala negara China diibaratkan sebagai sebiji tembikai yang dibahagi-bahagikan oleh kuasa-kuasa barat.

1 ulasan:

student kuantan berkata...

tq sir....

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...