Sabtu, 28 Februari 2009

Perjuangan Kemerdekaan Indonesia

Setelah Jepun menyerahkan dan meninggalkan Indonesia, pada 29 September 1945, tentera British di bawah perintah Jeneral Christison mendarat di Jakarta. Pasukan itu merupakan unit pertama mewakili tentera berikat terutamanya bagi pihak Belanda. Tujuan unit tersebut ialah untuk membantu pentadbir-pentadbir Belanda bagi memulihkan pemerintahan Belanda di Indonesia. Tidak lama selepas mendarat, ia diikuti oleh unit tentera Belanda.
Sementara itu pihak Belanda telah cuba mengadakan perundingan dengan Republik Indonesia pimpinan Sukarno. Dr. Van Mook sebagai wakil Kerajaan Belanda tidak menerima Sukarno sebagai wakil Indonesia kerana dianggap bersuhabat dengan Jepun. Sebagai jalan tengah maka Sutan Shahrir yang disifat lebih sederhana ditugaskan berunding dengan pihak Belanda. Perundingan menghadapi jalan buntu kerana Sutan Shahrir menuntut supaya pihak Belanda mengiktiraf Republik Indonesia.
Kemaraan tentera British telah disalahertikan oleh orang Indonesia akibatnya tentera British menerima tentangan. Apabila tentera Belanda pula mengambil bahagian menyebabkan orang Indonesia mengambil keputusan akan menentang tentera British dan Belanda demi mempertahankan kemerdekaan Indonesia yang telah diumumkan itu. Dengan penentangan itu, maka bermula Zaman Revolusi Indonesia.
Pada awal Oktober 1945, berlaku pertempuran yang sengit antara tentera British dengan tentera revolusi. Pemerintah tentera British iaitu Jeneral Mallaby telah terkorban setelah berjaya menduduki Surabaya. Kematian Jeneral Mallaby merupakan satu tamparan hebat kepada Inggeris. Tentera British menghadapi tindak balas dari tentera Revolusi Indonesia. Hanya dengan campur tangan Sukarno, kemusnahan yang lebih buruk yang mungkin dihadapi oleh tentera British dapat dielakkan. Pihak Inggeris sedar selama ini mereka menerima keterangan yang tidak betul mengenai kedudukan Indonesia. Apa yang dilihat bahawa seluruh rakyat Indonesia bersama-sama dengan kerajaan dan turut berjuang dalam revolusi walaupun mereka kekurangan dalam serba-serbi. Sebelum tercebur lebih jauh dalam revolusi Indonesia maka tentera British akan ditarik keluar dari Indonesia yang dijadualkan pada 10 November 1946.
Republik Indonesia pimpinan Sukarno terus berusaha agar perundingan dapat diadakan dengan Belanda supaya dihentikan pertempuran yang menumpahkan darah. Oleh itu, Sutan Shahrir sebagai Perdana Menteri terus mengadakan perbincangan dengan Van Mook kemudian dengan Kerajaan Belanda di Holland. Dalam bulan April 1946, perundingan itu gagal kerana Sutan Shahrir tidak dapat menerima syarat Belanda yang hanya mengakui kekuasaan Republik Indonesia ke atas Jawa dan Madura.
Repulik Indonesia ketika ini dalam keadaan tidak mentap kerana selain tidak mendapat pengiktirafan Belanda juga disebabkan oleh ancaman dari pertubuhan-pertubuhan yang tidak begitu bersetuju dengan sikap republik yang mengadakan perundingan dengan Belanda. Dalam bulan Jun 1946, golongan komunis pimpinan Tan Malaka telah melakukan satu percubaan rampasan kuasa. Mereka telah mencuba menculik Shahrir dan beberapa rakannya yang lain. Percubaan Tan Malaka itu telah dipatahkan oleh republik. Selain komunis terdapat pula pertubuhan persatuan perjuangan, gabungan beberapa buah parti politik, turut menentang tindakan republik itu.
Sebelum tentera British meninggalkan Indonesia satu perjanjian telah ditandatangani antara Republik Indonesia dengan Belanda pada 15 November 1946, dinamakan Perjanjian Ligardjati. Antara syarat-syarat perjanjian ialah:
1. Belanda mengakui Repulik Indonesia sebagai kuasa de facto di daerah Madura, Jawa dan Sumatera.
2. Pembentukan Republik Persekutuan Negeri-negeri Bersatu Indonesia yang merangkumi Hindia Timur Belanda.
3. Republik Indonesia dikehendaki bersama-sama dengan negeri Belanda dan negeri lain jajahan Belanda di Laut Caribean menjadi satu pakatan dengan memakai nama Persatuan Indonesia Belanda.
4. Pemulangan semula harta-benda Belanda kepada yang punya.
Selain perkra-perkara di atas, terdapat beberapa perkara yang lain dipersetujui antara dua pihak. Antaranya negara baru Republik Indonesia hendaklah membuat jaminan kepada pelabur-pelabur Belanda di Indonesia dan kaki tangan Belanda, terus mengadakan hubungan baik dengan negeri Belanda dan mengambil alih hutang-hutang Belanda yang berjumlah 4300 juta guilders. Dari jumlah itu, 1291 juta merupakan hutang luar negeri yang mesti dibayar dengan mata wang asing.
Tidak lama selepas itu iaitu pada bulan Disember 1946, pemerintah Belanda menubuhkan satu negara “Persekutuan” yang menyatukan wilayah-wilayah Timur termasuk Bali dan Sulawesi.
Perjanjian Linggardjati telah menjejaskan kedudukan Perdana Menteri Shahrir yang menerima perjanjian itu. Hal ini disebabkan oleh perjanjian itu tidak mendapat persetujuan penuh dari orang Indonesia malah mendapat tentangan hebat dari Parti Masjumi, PNI dan golongan komunis. Selain itu, pihak Belanda sendiri telah mengenakan tekanan-tekanan politik dan tuntutan-tuntutan yang sukar untuk dilaksanakan oleh Shahrir. Oleh sebab masalah-masalah tersebut menyebabkan Shahrir meletakkan jawatan dan dengan ini memberi peluang kepada Amir Syarifuddin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kabinet pada 3 Julai 1947.
Kabinet Amir juga tidak dapat bertahan lama kerana adanya tentangan dari Parti Masjumi dan menghadapi banyak krisis terutama dengan Belanda. Keadaan ini akhirnya melemahkan kedudukan Amir sendiri. Ketika ini hubungan Belanda-Republik Indonesia dalam keadaan genting terutama sifat Sukarno yang tidak percaya kepada janji-janji Belanda. Oleh sebab dipengaruhi oleh perasaan bimbang menyebabkan pada Julai 1947 pihak Belanda telah melancarkan “Tindakan Tentera” terhadap Republik Indonesia yang telah menampakkan sikap tidak mahu bekerjasama. Pihak Belanda memberi alasan bahawa tindakannya itu disebabkan adanya ancaman komunis dan keadaan kacau-bilau dalam negeri. Belanda telah berjaya menawan bahagian Barat dan Timur Jawa serta bahagian Timur dan Selatan Sumatera yang kaya dengan minyak.
Tindakan tentera oleh Belanda telah mendapat perhatian antarabangsa. Oleh sebab itu, pada Ogos 1947, Majlis Keselamatan PBB telah mengesyorkan satu gejatan senjata. Seterusnya atas dya usaha Belgium, Australia dan Amerika Syarikat telah diadakan perundingan antara Republik Indonesia dengan Belanda pada 17 Januari 1948 di atas kapal perang Amerika bernama Renville. Wakil Belgium telah diamanahkan mewakili pihak Belanda sementara wakil Australia mewakili Republik Indonesia. Mengikut perjanjian tersebut, Republik Indonesia hanya dihadkan kepada Jawa Tengah dan beberapa bahagian Sumatera. Belanda dan Republik Indonesia bersetuju bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan lain di Indonesia iaitu Persekutuan Negeri-negeri Bersatu.
Seperti Perjanjian Linggardjati, perjanjian yang baru itu juga tidak memberi apa-apa erti kepada Indonesia. Pihak “Persekutuan” tetap menentang Republik Indonesia kerana mereka bimbang orang Jawa yang merupakan setengah dari jumlah penduduk seluruh Indonesia, akan lebih berkuasa. Pihak Belanda yang mengetahui hal ini terus menakut-nakutkan pihak “Persekutuan” akan keburukan yang akan diterima jika mereka bersatu atau bekerjasama dengan pihak republik. Belanda memang mencari jalan untuk memecahkan perpaduan di kalangan orang Indonesia.
Bagi pihak Belanda halangan besar ialah pihak Republik. Belanda sedar bahawa mereka tidak akan dapat kerjasama dan tolak ansur dari Sukarno dan pemimpin nasionalis yang lain terutama dari golongan komunis. Keadaan ini mempengaruhi pihak Belanda bersiap sedia untuk melancarkan tindakan tentera sekali lagi.
Ketika ini pemimpin PKI secara sulit telah merancang untuk mengadakan satu revolusi yang bertujuan untuk menumbangkan Perdana Menteri Muhammad Hatta. Mereka menentang Hatta kerana beliau cuba melaksanakan persetujuan yang telah dicapai dalam Perjanjian Renville terutama mengenai pengunduran tentera Republik Indonesi dari kawasan Belanda. Hatta cuba mengadakan perundingan dengan Fronk Demokratik Rakyat (FDR) pimpinan Amir yang terdiri daripada anggota PKI dan sosialis tetapi gagal.
Akhirnya pada 18 September 1948, meletus pemberontakan komunis di Mediun tetapi pemberontakan ini dapat dipatahkan oleh Hatta. Beberapa pemimpin termasuk Musso telah terbunuh. Peristiwa percubaan pihak komunis untuk merampas kuasa telah mempengaruhi pihak Belanda melancarkan “Tindakan Tentera II” pada bulan Disember 1948. Belanda telah membatalkan Perjanjian Renville. Sukarno dan pemimpin Republik Indonesia yang lain telah ditangkap dan menawan beberapa wilayah Republik. Tetapi Syarifuddin Prawinegoro telah berjaya melarikan diri lalu menubuhkan Pemerintahan Darurat Republik Indonesia berpusat di Sumatera.
Tindakan Tentera oleh Belanda sekali lagi tidak disetujui oleh dunia malah India dan Australia menganggap tindakan Belanda itu satu perkara yang berat. Kedua-dua negara tersebut telah menyeru kepada Setiausaha Agung PBB supaya campur tangan. Dengan adanya tekanan antarabangsa terutama dari Amerika Syarikat menyebabkan Belanda menghentikan tindakan tenteranya. Pada bulan Mei 1949, persetujuan dicapai antara Belanda dan Indonesia. Kerajaan Belanda bersetuju membebaskan pemimpin Indonesia dan ini membolehkan Sukarno dan Hatta berkuasa semula menjelang bulan Julai 1949.
Kemudian satu perundingan antara pihak Republik Indonesia dan Negara Persekutuan diadakan dalam bulan Julai dan Ogos. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju terhadap pembentukan sebuah negara Persekutuan Negara-negara Bersatu.
Di samping itu, satu jawatankuasa telah ditubuhkan yang dianggotai oleh wakil-wakil dari Australia, Belgium dan Amerika Syarikat. Jawatankuasa tersebut telah berjaya mengatur satu persidangan antara Indonesia dengan Belanda di Hague, ibu negeri Belanda, pada 2 Disember 1949. Satu perjanjian telah ditandatangani dan antara syarat-syarat perjanjian ialah:
1. Penyerahan kuasa sepenuhnya dari Kerajaan Belanda kepada Kerajaan Indonesia yang baru akan dilaksanakan sebelum akhir tahun 1949.
2. Penyerahan kuasa itu tidak termasuk wilayah Irian Barat. Perkara ini akan dibincangkan semula dalam jangka waktu satu tahun.
3. Kerajaan Belanda dan Negara Persekutuan bersetuju bekerjasma di dalam Persatuan Indonesia Belanda dan Kerajaan Indonesia bersetuju memikul segala hutang piutang Kerajaan Hindia Belanda.
4. Pihak Belanda dibenarkan menjalankan kepentingan-kepentingan ekonomi yang mereka punya di Indonesia.
Pada 27 Disember 1949, berlangsung upacara pemindahan kuasa di istana diraja di Amsterdam, negeri Belanda. Negeri Belanda diwakili oleh Queen dan Perdana Menteri. Republik Indonesia diwakili oleh Perdana Menteri Hatta dan Negara Persekutuan diwakili oleh Sultan Abdul Hamid (Sultan Pontianak).
Hasil dari Perjanjian Hague itu maka lahirlah dengan rasminya negara yang berdaulat dan merdeka iaitu Republik Persekutuan Negeri-negeri Bersekutu Indonesia yang merangkumi seluruh wilayah Indonesia kecuali Irian Barat. Sukarno telah dilantik menjadi Presiden sementara Hatta sebagai Naib Presiden.
Sungguhpun Indonesia telah merdeka namun politik dalam negeri belum lagi stabil sebab adanya curiga antara golongan republik dan persekutuan. Dalam bulan Jun 1950, seorang pegawai Belanda iaitu Westerling telah cuba menggulingkan Kerajaan Indonesia dengan menakluki Selatan Bandung. Percubaan itu dapat dipatahkan dan beliau melarikan diri ke Singapura. Sultan Abdul Hamid pula terlibat dalam komplot untuk membunuh Sukarno dan pemimpin Indonesia, dan baginda ditangkap dan negaranya disatukan dengan republik. Tentangan dan percubaan Sukarno untuk menguasai negara-negara persekutuan telah menimbulkan tentangan. Tindakan itu telah mencetuskan pemberontakan di Jawa Barat, Sulawesi Selatan dan Maluku. Sungguhpun demikian, akhirnya satu persetujuan telah dicapai untuk membentuk negara Republik Indonesia yang tunggal. Pada 17 Ogos 1950, Presiden Sukarno telah mengisytiharkan wujudnya sebuah negara tunggal Republik Indonesia.

Kesan Pendudukan Jepun Terhadap Nasionalisme Indonesia

Pengenalan
Jepun mula menyerang Indonesia pada 14 Februari 1942 dan berjaya menguasainya pada 9 Mac 1942 apabila ketua turus tentera Berikat Leftenan Jeneral Ter Poorten menyerah kalah kepada panglima tentera Jepun, Immamura Hitoshi. Selepas menguasai Indonesia, Jepun membahagikan pentadbiran kepada 3 unit iaitu Sumatera, Jawa dan Madura, Kalimantan dan Indonesia Timur. Jepun mengekalkan pentadbiran asas Belanda dan memerintah melalui elit-elit yang berpengaruh seperti golongan priyayi di Jawa. Dalam menjalankan pentadbiran, Jepun mempunyai matlamatnya iaitu menghapuskan pengaruh Barat di kalangan rakyat Indonesia dan mengeksploitasikan penduduk dan sumber Indonesia untuk kepentingan negeri Jepun. Jepun memerintah Indonesia sehingga 15 Ogos 1945. Walaupun pendudukan Jepun berlangsung hanya 3 ½ tahun, tetapi ianya telah meninggalkan pelbagai kesan terutamanya terhadap perkembangan nasionalisme Indonesia. J.M. Kahin dalam bukunya “Nationalism dan Revolution In Indonesia” mendakwa pendudukan Jepun telah mengukuhkan semangat nasionalisme dan mempercepatkan proses pencapaian kemerdekaan.

Kesan-kesan
1. Kekalahan Belanda
Kekalahan Beland begitu mudah telah menjatuhkan maruah Belanda, lebih-lebih lagi Belanda tidak memperlihatkan semangat untuk menentang Jepun. Cara mereka diusir oleh Jepun dan cara orang tawanan dilayan oleh Jepun telah menjatuhkan lagi maruah Belanda. Dalam tempoh 6 bulan selepas menduduki Indonesia, semua orang Belanda yang masih berada di Indonesia telah dipenjarakan. Kekalahan ini telah melenyapkan “mitos superioriti” yang dianggap kuasa Barat sukar dikalahkan. Kekalahan Belanda juga menghilangkan keyakinan rakyat tempatan terhadap kebolehan Belanda kerana Belanda gagal melindungi Indonesia. Perkembangan ini menyedarkan rakyat Indonesia bahawa mereka juga mampu mengalahkan Belanda. Akibatnya, perasaan anti penjajah khususnya anti-Belanda bertambah di kalangan rakyat Indonesia.
2. Pembebasan nasionalis
Selepas menguasai Indonesia, Jepun telah membebaskan nasionalis-nasionalis yang telah dipenjarakan oleh Belanda. Antara mereka ialah Sukarno, Hatta, Shahrir, Amir Syarifuddin, Sartono dan lain-lain lagi. Pembebasan nasionalis membolehkan perjuangan ke arah kemerdekaan diteruskan sama ada melalui kerjasama dengan Jepun seperti Sukarno atau Hatta atau melalui gerakan bawah tanah seperti Shahrir dan Amir Syarifuddin. Walaupun tindakan Jepun membebaskan nasionalis bertujuan mendapat sokongan nasionalis dalam usaha untuk mengekal dan mengukuhkan kedudukan Jepun tetapi langkah tersebut telah menguntungkan perjuangan nasionalisme Indonesia.
3. Kerjasama Jepun dengan nasionalis
Dalam menjalankan pentadbiran, Jepun bekerjasama dengan nasionalis dengan tujuan untuk mendapat sokongan nasionalis dalam usaha untuk mengeksploitasikan penduduk serta sumber Indonesia bagi kepentingan negeri Jepun. Nasionalis seperti Sukarno dan Hatta telah diberi kebebasan bergerak dan berpidato ke seluruh Indonesia. Kesempatan ini digunakan oleh nasionalis untuk menanamkan semangat kebangsaan di kalangan rakyat Indonesia, khususnya perasaan anti penjajah iaitu anti-Jepun dan anti-Belanda.
4. Peluang pentadbiran
Kekalahan Belanda telah meninggalkan kekosngan jawatan dalam pentadbiran. Oleh sebab Jepun kekurangan pegawai pentadbir, maka rakyat Indonesia yang terpelajar telah dilantik memegang jawatan-jawatan dalam pentadbiran. Pengalaman dalam pentadbiran telah memberi keyakinan diri serta kesedaran terhadap kemampuan mereka untuk mentadbir negeri sendiri. Selain itu, terdapat pegawai-pegawai Indonesia yang berselindung di sebalik jawatan mereka dalam memperjuangkan nasionalisme Indonesia.
5. Bahasa, bendera dan lagu
Dalam usaha untuk menghapuskan pengaruh Barat, Jepun telah mengharamkan penggunaan bahasa Barat khususnya Bahasa Inggeris dan Bahasa Belanda. Penggunaan Bahasa Jepun digalakkan. Oleh sebab Bahasa Jepun tidak difahami oleh kebanyakan rakyat Indonesia, maka penggunaan Bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan dipertingkatkan. Langkah tersebut telah mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat seluruh Indonesia. Tindakan Jepun membenarkan kibaran bendera merah-putih sebagai bendera kebangsaan dan nyanyian lagu “Indonesia Raya” sebagai lagu kebangsaan telah mengukuhkan lagu semangat nasionalisme rakyat Indoensia.
6. Penderitaan
Pendudukan Jepun telah menimbulkan pelbagai penderitaan kepada rakyat Indonesia terutamanya golongan petani. Semasa pendudukan Jepun, rakyat Indonesia menghadapi kebuluran barangan pengguna, penyakit, inflasi, kezaliman Jepun dan sebagainya. Petani Indonesia telah dipaksa menjual padi mereka kepada pihak Jepun dengan harga yang terlalu rendah dari harga pasaran. Semasa pendudukan Jepun, ramai rakyat Indonesia dijadikan buruh paksa. Sekurang-kurangnya 200 ribu orang buruh paksa dihantar ke sempadan Siam-Myanmar dan New Guinea. Kekurangan makanan dan penyakit telah menyebabkan ramai buruh paksa meninggal dunia. Ekonomi Indonesia mengalami kemelesetan. Peredaran wang kertas yang tidak terkawal dan kekurangan barangan pengguna telah mengakibatkan berlakunya inflasi. Pada tahun 1945, nilai mata wang Jepun hanya 2.5% nilai mukanya. Eksport Indonesia mengalami kemerosotan kerana terputus dengan pasaran antarabangsa. Jepun mengharamkan eksport kecuali ke negeri Jepun. Pengeluaran hasil juga semakin merosot semasa pendudukan Jepun. Sebagai contoh, pengeluaran getah tahun 1943 hanya 1/3 pengeluaran tahun 1941. Pengeluaran teh pada tahun 1943 hanya 1/3 pengeluaran tahun 1941. Pada mulanya kedatangan Jepun dianggap sebagai kedatangan pembebas yang akan membebaskan Indonesia daripada penjajahan Belanda. Apa yang berlaku sebenarnya ialah penjajahan Belanda di gantikan dengan penjajahan Jepun. Malah penjajahan Jepun lebih kejam daripada penjajahan Belanda terutamanya kezaliman polis rahsia Jepun Kempetai, Tekkikan dan Toko. Perkembangan ini menjejaskan rakyat Indonesia untuk bangun menghapuskan semula bentuk penjajahan mereka sama ada penjajahan Barat ataupu Timur. Kezaliman Jepun dan kemerosotan taraf hidup telah menguatkan keazaman rakyat Indonesia untuk bangun memperjuangkan kemerdekaan.
7. Anti-Belanda
Pendudukan Jepun telah mengakibatkan bertambahnya perasaan anti-Belanda di kalangan rakyat Indonesia. Buktinya rakyat Indonesia telah menentang pemerintahan semula Belanda selepas kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945. Selama 5 tahun berlaku revolusi iaitu kebangkitan Indonesia menentang Belanda.
8. Janji Jepun
Pada 7 September 1944, Perdana Menteri Jepun Koiso telah berjanji akan memberi kemerdekaan kepada Indonesia pada tempoh yang singkat. Janji Jepun telah menambahkan lagi semangat nasionalisme kerana sebelumnya Belanda tidak pernah berjanji akan memberi kemerdekaan kepada rakyat Indonesia. Pada 1 Mac 1945, Badan Penyelidikan Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI) ditubuhkan untuk merancang kemerdekaan Indonesia. Pada 1 Jun 1945, Sukarno telah menyampaikan pidatonya kepada badan-badan ini dan pidato tersebut mengandungi 5 pancasila iaitu nasionalisme, internasionalisme, demokrasi, keadilan sosial dan ketuhanan. Pada 7 Ogos 1945, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan Indonesia ditubuhkan bagi menggantikan BPUPKI. Pada 8 Ogos 1945, Sukarno dan Hatta telah berangkat ke Saigon untuk merundingkan kemerdekaan Indonesia dengan panglima tentera Jepun bagi Asia Tenggara – Marshall Terauchi. Pada 11 Ogos 1945, Jepun bersetuju memberi kemerdekaan kepada Indonesia pada 24 Ogos 1945. Perkembangan ini sudah tenti memberi sumbangan terhadap perkembangan nasionalisme Indonesia.
9. Pertubuhan
Pertubuhan-pertubuhan yang wujud semasa pendudukan Jepun telah beri sumbangan terhadap perkembangan nasionalisme Indonesia.
a. Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA)
PUTERA ditubuhkan pada 9 Mac 1943. PUTERA dipimpin oleh Sukarno sebagai Presiden dan Hatta sebagai Timbalan Presiden. PUTERA merupakan gabungan nasionalis Indonesia. Jepun menubuhkan PUTERA dengan tujuan untuk mengawal nasionalis supaya tidak menjalankan kegiatan anti-Jepun. Walau bagaiamanapun, penubuhannya telah mewujudkan perpaduan di kalangan nasionalis dalam memperjuangkan kemerdekaan Indonesia. G.M. Kakin dalam bukunya “Nationalism and Revolution In Indonesia” mendakwa penubuhan PUTERA telah menambahkan kesedaran politik dan mengukuhkan keazaman rakyat Indonesia untuk capai kemerdekaan.
b. PETA
Tentera Sukarela Pembela Tanahair (PETA) ditubuhkan pada September 1943. PETA dipimpin oleh pegawai-pegawai Indonesia tetapi menerima latihan tentera daripada pihak Jepun. Jepun menubuhkan PETA dengan tujuan menggunakan anggota PETA bagi menentang kemaraan tentera Berikat kerana Jepun menyedari kekuatan tenteranya tidak mencukupi untuk mempertahankan Indonesua. Menjelang Jun 1945, terdapat 120 ribu anggota PETA. Mereka telah menjadi tulang belakang Tentera Revolusi Indonesia yang menentang pemerintahan semula selepas kekalahan Jepun pada 15 Ogos 1945. Anggota-anggota PETA telah ditanam semangat anti penjajahan khususnya anti-Belanda dan Jepun akibat propaganda nasionalis-nasionalis.
c. Pertubuhan Belia dan Pelajar
Dalam usaha untuk mengawal belia-belia serta pelajar-pelajar daripada menjalankan kegiatan anti-Jepun, beberapa pertubuhan belia dan pelajar telah ditubuhkan oleh pihak Jepun. Antaranya ialah Seinendan, Gakutotai, Barisan Pelopor dan Angkatan Muda. Belia-belia dan pelajar-pelajar dalam pertubuhan-pertubuhan telah diberi Indoktrinasi politik dan latihan tentera. Pada September 1944, Jepun menubuhkan Asrama Indonesia mereka di Jakarta dan Surabayau. Nasionalis-nasionalis seperti Sukarno dan Hatta telah dijemput untuk memberi ceramah kepada pelajar-pelajar Asrama Indonesia merdeka serta ahli-ahli Pertubuhan Belia dan Pelajar. Kesempatan ini digunakan oleh nasionalis-nasionalis untuk menanamkan semangat nasionalisme di kalangan belia dan pelajar.
d. Masjumi
Majlis Seluruh Muslimin Indonesia (Masjumi) telah ditubuhkan pada Oktober 1943. Masjumi merupakan gabungan badan-badan Islam seperti Muhammadiah, Nahdatul Ulama dan Parti Sarekat Islam. Jepun menubuhkan Masjumi dengan tujuan untuk dapat sokongan orang-orang Islam serta menyebarkan semangat anti-Belanda di kalangan rakyat Indonesia melalui agama. Di bawah Masjumi, Jepun berjanji akan bantu orang-orang Islam menunaikan fardu Haji, mencetak al-Quran, mendirikan universiti Islam dan sebagainya. Penubuhan Masjumi mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Indonesia lebih-lebih lagi majoriti rakyat Indonesia terdiri daripada orang Islam.

Kesimpulan
Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 berikutan dengan peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Nasionalis-nasionalis muda seperti Adam Malik, Pandu Wiguine dan Chairil Salleh bimbang Belanda yang akan kembali memerintah Indonesia tidak akan mengiktiraf kemerdekaan yang telah dipersetujui oleh Jepun. Akibatnya, mereka telah “menculik” Sukarno dan mendakwa beliau mengisytiharkan kemerdekaan di Rengas Dengkelok pada 17 Ogos 1945. Belanda yang kembali memerintah Indonesia tidak mengiktiraf kemerdekaan tersebut. Akibatnya berlaku zaman revolusi iaitu kebangkitan rakyat Indonesia menentang Belanda hampir 5 tahun. Campur tangan PBB telah memaksa Belanda mengiktiraf kemerdekaan Indonesia pada 27 Disember 1949.

Pembahagian dalam Pergerakan Nasionalisme Indonesia (1908-1942)

Pengenalan
Ahli-ahli sejarah bersetuju kebangkitan nasionalisme Indonesia bermula pada awal abad ke-20 serentak dengan perlaksanaan Dasar Etika. Kebangkitan nasionalisme berpunca dari faktor-faktor luar dan faktor dalam. Perkembangan pelajaran Barat telah melahirkan elit-elit politik yang telah terpengaruh dengan idea Barat. Penubuhan majlis-majlis terutamanya Volskraad dan kemajuan sistem perhubungan memberi sumbangan terhadap kebangkitan nasionalisme. Penderitaan yang dialami di bawah pemerintahan Belanda menyedarkan rakyat Indonesia untuk bangun memperjuangkan kemerdekaan. Kejayaan Jepun dalam Perang Rusia-Jepun (1904-1905) membangkitkan semangat nasionalisme Indonesia. Perjuangan nasionalisme di negara-negara Asia terutamanya Kongres Kebangsaan India di bawah Mahatma Gandhi telah mempengaruhi kebangkitan nasionalisme. J.D. Legga dalam bukunya “Indonesia” menegaskan pembahagian dan pertandingan merupakan ciri utama nasionalisme Indonesia 1908-1942.

Parti-parti
1. Budi Utomo
· 20 Mei 1908
· Dr. Wahidin Sudiro Usodo
· Raden Soetomo, Raden Gunawan, Mangoenkusomo
· Terbuka kepada golongan intelek, pegawai kerajaan dan bangsawan Jawa.
· Memajukan kebudayaan dan pendidikan Jawa.
· Dianggap sebagai Jawa Centric dan tidak mempunyai tujuan politik sehingga tahun 1917.
· Sederhana.
· Tidak mendapat sokongan ramai kerana
a. Bukan parti orang ramai;
b. Kemunculan parti yang berorientasikan politik terutamanya Sarekat Islam.
· Pada tahun 1909, hanya 10 ribu orang ahli. Pada tahun 1917, Budi Utomo mencadangkan kerajaan berparlimen, sistem perundangan yang seragam dan pengecualian agama serta hak dan peluang yang sama kepada seluruh rakyat Indonesia dalam ekonomi dan sosial. Pada tahun 1935, Budi Utomo menyertai Persatuan Bangsa Indonesia untuk menubuhkan Parti Indonesia Raya (PARINDRA).
2. Sarekat Islam
· September 1912
· Omar Said Tjokroaminato
· Haji Abbass Salim, Abdul Muis
· Terbuka kepada semua orang Islam.
· Dari segi politik, memperjuangkan berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. Dari segi ekonomi, bertujuan untuk meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Dari segi agama, bertujuan menyebarkan ajaran Islam dan menyekat perkembangan ajaran Kristian.
· Pada mulanya sederhana tetapi menjadi radikal selepas penyertaan ISDV.
· Mendapat sokongan sehingga tahun 1920. Keanggotaan pada tahun 1912: 60 ribu orang; 1916: 366 ribu orang; 1917: 800 ribu orang dan 1919: 2.5 juta orang. Namun sokongan mulai merosot sejak tahun 1920. Buktinya keanggotaannya telah merosot menjadi 12 ribu orang sahaja pada tahun 1928.
3. Indische Partij (Parti Nasional Hindia)
· September 1912
· E.F.E. Douwes Dekker
· Tjipto Mangoenkusomo, Ki Hadjar Dewantoro
· Terbuka kepada semua tetapi yang menyertai majoriti daripada orang Indo-Belanda.
· Untuk mencapai kemerdekaan penuh Indonesia dalam tempoh yang singkat dan jika perlu melalui kekerasan.
· Radikal.
· Pada tahun 1913, ahlinya 1300 Indonesia dan 10000 orang Indo-Belanda. Tidak mencapai kejayaan kerana parti ini diharamkan pada tahun 1913 dan pemimpinnya dibuang negeri ke Belanda.
4. Muhammadiah
· 18 November 1912
· Kijai Haji Ahmad Dahlan
· Kijai Haji Rasul
· Terbuka kepada semua orang Islam tetapi yang menyertai majoriti terdiri daripada golongan reformis yang terpengaruh dengan gerakan pembaharuan Islam di Timur Tengah.
· Untuk menyebarkan ajaran Islam sejati dan menyekat perkembangan agama Kristian serta sekularisme Barat. Muhammadiah menjalankan kerja-kerja kebajikan serta pendidikan. Mereka menguruskan masjid-masjid, sekolah-sekolah, perpustakaan dan klinik.
· Sederhana.
· Pada mulanya tidak mendapat sokongan kerana populariti Sarekat Islam. Sarekat Islam merosot sejak tahun 1920-an telah menyebabkan perkembangan Muhammadiah. Pada tahun 1925 – 4000 ahli; 1930 – 24000 ahli; 1935 – 43000 ahli dan 1938 – 250000 ahli. Pada tahun 1938, Muhammadiah menguruskan 834 masjid, 31 perpustakaan, 1774 sekolah dan mempunyai mubaligh seramai 7630 orang.
5. Indische Social Democratische Vereeniging (ISDV)
· 5 Mei 1914
· Hendrick Sneevliet
· Bergsma, Brandstender, Semaun, Darsono
· Terbuka kepada semua rakyat Indonesia.
· Pada mulanya sosialisme, kemudiannya komunisme.
· Radikal.
· Tidak mendapat sokongan ramai. Pada tahun 1916, ISDV menyertai Sarekat Islam dan bertanggungjawab membawa aliran radikal dan komunisme ke dalam Sarekat Islam. Pada tahun 1918, Hendrick Sneevliet dibuang negeri ke Belanda menyebabkan pimpinan ISDV jatuh ke tangan Semaun dan Darsono.
6. Parti Komunis Indonesia (PKI)
· 10 Oktober 1920
· Semaun
· Darsono, Alimin, Musso, Tan Malaka
· Terbuka kepada semua rakyat Indonesia.
· Komunisme serta pembentukan sebuah negara Komunis yang akan dikenali sebagai Republik Komunis Soviet Indonesia.
· Radikal, militan dan revolusioner.
· Dasar anti-Belanda PKI menarik sokongan ramai. Di kawasan bandar, mereka menubuhkan cawangan PKI dan di kawasan luar bandar, mereka menubuhkan Sarekat Islam Merah. Sejak tahun 1923 dikenali sebagai Sarekat Rakyat. Antara tahun 1923-1926, PKI menganjurkan permogokan bagi melumpuhkan ekonomi dan politik supaya PKI mudah rampas kuasa. Pada tahun 1926-1927, PKI menganjurkan pemberontakan di Jawa Barat dan Sumatera Tengah. Pihak Belanda berjaya menghancurkan pemberontakan tersebut dan 13000 orang ditangkap. Beberapa orang dihukum bunuh, 4500 dipenjarakan dan selebihnya dibebaskan. PKI diharamkan.
7. Nahdatul Ulama
· September 1926
· Kijai Hasjim Asjari
· Kijai Haji Abdul Wahab Hasbullah, Kajai Haji Bisri
· Anggota: terbula kepada semua orang Islam tetapi yang menyertai majoriti terdiri daripada ulama-ulama luar bandar.
· Untuk menyebarkan ajaran Islam ortodoks dan menggalakkan pengikutnya mengikut salah satu daripada 4 mazhab dalam Islam.
· Sederhana.
· Nahdatul Ulama menjalankan kerja-kerja kebajikan dan pendidikan. Mereka menguruskan masjid-masjid, sekolah-sekolah ortodoks, membantu balu, anak yatim dan sebagainya. Parti ini terlibat dalam perdagangan. Pada tahun 1942, terdapat 120 cawangan Nahdatul Ulama di Kalimantan dan Jawa.
8. Parti Nasional Indonesia (PNI)
· 4 Jun 1927
· Sukarno
· Sartono, Hatta, Sjahrir, Anwari
· Terbuka kepada semua rakyat Indonesia.
· Untuk mencapai kemerdekaan melalui perpaduan seluruh rakyat Indonesia.
· Radikal dan mengamalkan dasar tidak kerjasama.
· PNI berusaha untuk mengukuhkan kesatuan sekerja, memajukan syarikat kerjasama dan membantu pendidikan nasional. Program PNI dan ketokohan Sukarno telah menarik sokongan ramai. Sejak tahun 1927, PNI telah mengambilalih kepimpinan gerakan nasionalisme Indonesia. Pada 17 Disember 1927, PNI telah berjaya mewujudkan satu gabungan nasionalis yang dikenali sebagai Pemuafakatan Perhimpunan Politik Kebangsaan Indonesia (PPPKI). Pada Mei 1929, PNI mempunyai ahli seramai 10000 orang. Dasar anti-Belanda dan populariti PNI membimbangkan Belanda. Pada 24 Disember 1929, 7 orang pemimpin termasuk Sukarno ditangkap dan PNI diharamkan. Ahli-ahlinya menyertai parti-parti lain yang wujud pada tahun 1930-an seperti Parti Rakyat Indonesia, Parti Indonesia dan PNI Baru.
9. Parti Rakyat Indonesia (PRI)
· 14 September 1930
· Muhammad Thabrani
· Raden Soetomo
· Terbuka kepada semua rakyat Indonesia.
· Untuk mencapai kemerdekaan Indonesia.
· Sederhana dan mengamalkan dasar kerjasama.
· Tidak dapat sokongan ramai kerana sikapnya yang sederhana sedangkan aliran nasionalisme masa itu radikal.
10. Parti Indonesia (PARTIDO)
· April 1931
· Sartono
· Sukarno
· Terbuka kepada semua rakyat Indonesia.
· Sama dengan PNI.
· Radikal dan tidak kerjasama dengan Belanda.
· Pada Jun 1933, terdapat 20 ribu orang ahli. Pada Ogos 1933, PARTIDO diharamkan dan pemimpinnya dipenjarakan.
11. Kelab Pendidikan Nasional Indonesia (PNI – Baru)
· Februari 1932
· Hatta
· Sjahrir
· Hanya terbuka kepada golongan intelek.
· Radikal dan tidak bekerjasama dengan Belanda.
· Tidak banyak mencapai kejayaan kerana diharamkan pada tahun 1934 dan pemimpinnya dibuang ke Belanda.
12. Parti Indonesia Raya (PARINDRA)
· Mei 1935
· Raden Soetomo
· Muhammad Husni Thamrin
· Terbuka kepada semua rakyat Indonesia.
· Mencapai kemerdekaan Indonesia.
· Sederhana dan mengamalkan kerjasama dengan Belanda.
· Perkembangan: Parti ini memajukan Syarikat Kerjasama Petani, menubuhkan sebuah bank untuk membekalkan kredit dengan syarat-syarat berpatutan, menubuhkan asrama untuk golongan pekerja dan mengambil langkah untuk membasmi buta huruf. Parti ini dapat sokongan ramai akibat tindakan Belanda yang menekan parti-parti radikal yang tidak bekerjama dengan Belanda tetapi membenarkan kegiatan parti-parti sederhana yang bekerjasama dengan Belanda.
13. Gerakan Rakyat Indonesia (GERINDO)
· April 1937
· Amir Syarifuddin
· Muhammad Yamin
· Terbuka kepada semua rakyat.
· Untuk mencapai kemerdekaan Indonesia.
· Radikal dan pura-pura memberi kerjasama.
· GERINDO ditubuhkan selepas kegagalan Rayuan Suetardjo pada tahun 1937. Suetardjo Kartohadikusomo, seorang ahli Volksraad, tidak puas hati denga diskriminasi Belanda dan perkembangan perlembagaan yang lembap. Pada Julai 1936, beliau telah mengemukakan rayuan untuk mengadakan satu persidangan Volksraad bagi membincangkan autonomi Indonesia dalam Kesatuan Indonesia Belanda. Rayuan beliau diluluskan oleh Volksraad. Pada September 1936, Kerajaan Belanda membatalkan kelulusan tersebut.
14. Gabungan Politik Indonesia (GAPI)
· Mei 1939
· Amir Syarifuddin dari GERINDO, Muhammad Husni Thamrin dari PARINDRA, Abi Kusno dari Parti Sarekat Islam
· Anggota: anggota parti yang menyertai GAPI
· Perjuangan:
- Menuntut hak, menentukan nasib sendiri bagi Indonesia.
- Perpaduan nasional berdasarkan demokrasi politik, ekonomi dan sosial.
- Menuntut sebuah parlimen yang dipilih secara demokratik.
- Perpaduan erat Indonesia-Belanda bagi menghadapi ancaman Fascist Dunia.
· Perkembangan:
Pada Disember 1939, GAPI berjaya menganjurkan Kongres Rakyat Indonesia I di Jakarta yang dihadiri oleh 90 pertubuhan nasionalis. Kongres tersebut mencapai beberapa persetujuan:
- Perpaduan di antara semua pertubuhan nasionalis dititikberatkan.
- Bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi.
- Bendera merah-putih sebagai bendera kebangsaan dan lagu “Indonesia Raya” sebagai lagu kebangsaan.
15. Majlis Rakyat Indonesia
Kegagalan rayuan Wiwoho yang mengulangi rayuan Soetardjo untuk menuntut kuasa Indonesia telah mengecewakan nasionalis-nasionalis. Pada 13 dan 14 September 1941, Kongres Rakyat Indonesia II diadakan di Jogjakarta. Kongres tersebut telah mencapai keputusan untuk menubuhkan Majlis Rakyat Indonesia yang akan diwakili oleh seluruh Indonesia. Walau bagaimanapun, majlis ini tidak mencapai kejayaan akibat serangan Jepun sejak tahun 1942.

Sebab-sebab
1. Perbezaan ideologi
Perbezaan ideologi merupakan faktor utama yang mengakibatkan perpecahan dalam pergerakan nasionalisme Indonesia 1908-1942. Dalam pergerakan nasionalisme, terdapat 3 aliran utama iaitu Islam, Komunis dan sekular. Parti-parti seperti Sarekat Islam dan Muhammadiah memperjuangkan pembaharuan Islam kerana terpengaruh dengan gerakan reformasi Islam di Timur Tengah yang dipelopori oleh Muhammad Abdul. Parti-parti memperjuangkan Islam serta penubuhan negara yang berlandaskan undang-undang Islam. Nahdatul Ulama yang dianggotai oleh ulama ortodoks memperjuangkan Islam tradisional. Indische Partij dan ISDV memperjuangkan sosialisme serta pembentukan negara sosialis. PKI pula memperjuangkan Komunisme serta pembentukan negara Komunis yang dikenali sebagai Republik Komunis Soviet Indonesia. Parti-parti yang wujud sejak tahun 1927 seperti PNI, PARTIDO dan PARINDRA memperjuangkan sekularisme. Parti-parti ini mengamalkan pendekatan Indonesia Centric dan menolak perjuangan Islam serta Komunis. Perbezaan ideologi memecahbelahkan gerakan nasionalisme Indonesia. Contoh yang jelas ialah persaingan antara Komunis dan Islam telah mengakibatkan perpecahan Srekat Islam.
2. Bentuk perjuangan
Bentuk perjuangan/cara-cara mengusir Belanda berbeza antara parti-parti Indonesia. PKI menggunakan taktik militan, radikal dan revolusioner. Pada tahun 1926-1927, PKI menganjurkan pemberontakan di Jawa Barat dan Sumatera Tengah. Parti-parti radikal seperti PNI, PARTIDO, ISDV dan sebagainya; parti-parti sederhana seperti GERINDO, PARINDRA, Nahdatul Ulama, Parti Rakyat Indonesia dan sebagainya; parti yang mengamalkan dasar tidak kerjasama dengan Belanda seperti PNI, PNI-Baru, PARTIDO dan sebagainya; parti yang mengamalkan dasar bekerjasama dengan Belanda seperti PARINDRA. Walaupun corak perjuangan berbeza, tetapi matlamat parti-parti ini adakan sama, iaitu mmperjuangkan kemerdekaan Indonesia.
3. Apa yang diperjuangkan
Apa yang diperjuangkan oleh setiap parti juga mengakibatkan perpecahan dalam pergerakan nasionalisme Indonesia. Terdapat parti yang memperjuangkan kebudayaan dan pendidikan seperti Budi Utomo. Terdapat juga parti yang hanya memperjuangkan Islam seperti Sarekat Islam, Muhammadiah dan Nahdatul Ulama. PKI pula memperjuangkan ideologi Komunis manakala ISDV memperjuangkan ideologi sosialisme pada peringkat awal. Terdapat juga parti-parti yang memperjuangkan kepentingan dari segi politik misalnya ISDV, PKI dan Indische Partij. Malah, parti-parti seperti PNI dan GAPI juga memperjuangkan kepentingan dari segi ekonomi dan sosial selain dari politik.
4. Keanggotaan
Bukan semua parti terbuka kepada semua rakyat Indonesia. Terdapat parti-parti yang hanya terbuka kepada golongan tertentu. Sebagai contoh, Budi Utomo terbuka kepada golongan intelek, pegawia kerajaan dan bangsawan Jawa. Sarekat Islam, Muhammadiah dan Nahdatul Ulama pula terbuka kepada golongan Islam. PNI-Baru pula terbuka kepada golongan intelek. Terdapat juga parti yang terbuka kepada semua golongan lapisan masyarakat seperti PKI, PNI, PRI, PARIDRA, GERINDO.
5. Perbezaan etnik
Indonesia terdiri daripada 13667 buah pulau dengan 366 suku kaum. Perbezaan etnik juga mengakibatkan perpecahan dalam gerakan nasionalisme Indonesia. Parti yang awal ditubuhkan iaitu Budi Utomo dianggap sebagai Jawa Centric kerana parti ini hanya terbuka kepada golongan intelek, pegawai kerajaan dan bangsawan Jawa. Antara lain, parti ini memperjuangkan kebudayaan dan pendidikan Jawa. Penduduk-penduduk di pulau luar mahu mengekalkan identiti etnik dan kebudayaan mereka. Mereka tidak mahu nasionalisme Indonesia dikuasai oleh orang Jawa. J.F. Cady dalam bukunya “South East Asia: It’s Historical Development” menegaskan penduduk pulau luar sememangnya anti Jawa sejak turun-temurun. Akibatnya, lahirnya pertubuhan tempatan seperti Sarekat Ambun (1920), Sarekat Sunda (1914) dan Sarekat Sumatera (1918).
6. Konflik pemimpin
Konflik yang berlaku antara pemimpin mengakibatkan perpecahan nasionalisme Indonesia. Biasanya, pengikut-pengikut akan mengikut tindakan pemimpin-pemimpin mereka. Sebagai contoh, konflik antara Semaun dan Darsono dengan Haji Agoes Salim dan Abdul Muis telah menyebabkan perpecahan dalam Sarekat Islam. Semaun dan Darsono serta penyokong mereka keluar dari Sarekat Islam dan meneruskan perjuangan dalam PKI. Konflik antara pemimpin juga mengakibatkan wujudnya parti-parti baru. Sebagai contoh, konflik antara Sukarno dan Hatta menyebabkan Hatta menubuhkan Kelab Pendidikan Nasional Indonesia (PNI-Baru) manakala Sukarno menyertai PARTIDO yang ditubuhkan oleh Sartono.
7. Dasar Belanda
Dasar Belanda yang tidak konsisten antara tahun 1908-1942 juga merupakan faktor yang mengakibatkan perpecahan dalam nasionalisme Indonesia. Antara tahun 1904-1926, Belanda bertoleransi terhadap pergerakan nasionalisme Indonesia. Langkah ini diambil selaras dengan perlaksanaan Dasar Etika yang bertujuan untuk memberi latihan dan pengalaman pentadbiran kepada rakyat Indonesia. Pemberontakan PKI 1926-1927 telah mengakibatkan penubuhan dasar Belanda terhadap gerakan nasionalisme. Antara tahun 1927-1934, Belanda menekan parti-parti politik. Selepas tahun 1934, dasar Belanda ialah menekan parti-parti radikal yang tidak bekerjasama dengan Belanda tetapi membenarkan kegiatan parti-parti yang bekerjasama dengan Belanda.
8. Pengaruh luar
Pengaruh luar yang diterima oleh parti-parti Indonesia telah mencorak perjuangan mereka. Sarekat Islam dan Muhammadiah mendapat pengaruh dari gerakan reformis Islam di Timur Tengah dan Muhammad Abduh. Indische Partij dan ISDV pula mendapat pengaruh dari Parti Komunis Rusia. PNI dapat pengaruh daripada perjuangan Kongres Kebangsaan India pemimpin Mahatma Gandhi, terutamanya dasar tidak bekerjasama dengan penjajah.
9. Pendidikan pemimpin
Pendidikan yang diterima oleh pemimpin juga mencorakan parti mereka. Misalnya Abdul Muis dan Kijai Ahmad Dahlan menerima pendidikan bercorak agama Islam. Maka perjuangan mereka lebih cenderung ke arah Islam. Sementara Hatta dan Sukarno pula menerima pendidikan yang berbentuk sekular. Oleh itu, perjuangan mereka lebih berbentuk sekularisme.

Sarekat Islam

Pengenalan
Pada tahun 1905, ditubuhkan Sarekat Pedagang Batik Arab Indonesia di bawah pimpinan Raden Mas Tirtoadisurdjo. Pada tahun 1911, pertubuhan ini dikenali sebagai Sarekat Dagangan Islamiyah di bawah pimpinan Haji Samanhudi. Pada tahun 1912, pertubuhan ini ditukarkan menjadi Sarekat Islam di bawah pimpinan Omar Said Tjokroaminato. Pada tahun 1923, pertubuhan ini dikenali sebagai Partai Sarekat Islam di bawah pimpinan Haji Agoes Salim.

Tujuan
Dari segi politik, Sarekat Islam ditubuhkan dengan tujuan untuk memperjuangkan berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. Dari segi ekonomi dan sosial, tujuannya ialah meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Dari segi agama, tujuannya ialah menyebarkan ajaran Islam dan menyekat perkembangan agama Kristian yang dijalankan oleh Gerakan Mission dan Zending dan Mazhab Katolik dan Protestant. Ahli Sarekat Islam pada tahun 1912 ialah 60000 orang; 1916 – 366 ribu; 1917 – 800 ribu dan 1919 – 2.5 juta.

Perkembangan sehingga 1920
1. Islam
Sarekat Islam menggunakan agama Islam sebagai lambing penyatuan orang Indonesia dalam usaha untuk menentang orang asing, serta mengukuhkan kedudukan mereka di Indonesia. Pendekatan ini telah menarik sokongan ramai orang Islam terutamanya golongan reformis yang terpengaruh dengan gerakan pembaharuan Islam di Timur Tengah yang dipelopori oleh Muhammad Abduh. Malah orang-orang Islam di Kalimantan dan Sulawesi menganggap penubuhan Sarekat Islam sebagai langkah pertama ke arah melancarkan perang suci terhadap orang asing.
2. Program sosioekonomi
Program sosioekonomi Sarekat Islam yang bertujuan untuk meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia telah mendapat sokongan orang ramai. Ahli-ahli biasa dalam Sarekat Islam menganggap penyertaan mereka sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah sosioekonomi mereka. Program sosioekonomi Sarekat Islam mendapat sokongan ramai kerana kehidupan rakyat Indonesia amat terhimpit pada tahun-tahun 1913-1923 akibat Perang Dunia Pertama. Pada tahun 1916, Sarekat Islam telah mengkritik Belanda kerana gagal meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Keberanian Sarekat Islam telah menambahkan populariti parti tersebut. Dalam bidang pendidikan, Sarekat Islam mendesak Belanda menghapuskan langkah-langkah diskriminasi terhadap kemasukan pelajar-pelajar ke sekolah. Selain itu, Sarekat Islam mendesak Belanda melaksanakan program pelajaran wajib bagi mereka yang berumur 15 tahun ke bawah. Kerajaan Belanda juga didesak supaya mengadakan lebih banyak biasiswa untuk membolehkan lebih ramai belia Indonesia melanjutkan pelajaran ke seberang laut. Dalam bidang ekonomi, kerajaan didesak supaya memiliknegarakan industri-industri penting seperti besi, tekstil dan kertas. Sarekat Islam telah menuntut supaya dihapuskan buruh kanak-kanak serta buruh paksa dan mengadakan lebih banyak klinik yang memberi rawatan percuma kepada rakyat Indonesia. Idea nasionalisme yang diperjuangkan telah menarik sokongan ramai. Pada tahun 1918, Sarekat Islam mendesak Belanda menetapkan gaji minima dan tempoh masa kerja yang maksima bagi pekerja.
3. Program politik
Program politik Sarekat Islam telah menarik sokongan ramai terutamanya nasionalis-nasionalis yang sememangnya memperjuangkan kemerdekaan Indonesia. Sarekat Islam merupakan parti pertama yang memperjuangkan berkerajaan sendiri pada tahun 1916 dan menuntut kemerdekaan pada tahun 1917. Dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan, Sarekat Islam akan menggunakan kekerasan sekiranya perlu. Sarekat Islam juga mendesak Belanda mengadakan lebih banyak Majlis Daerah dan meluaskan kuasa majlis terutamanya Volksraad.
4. Ketokohan pemimpin
Ahli-ahli sejarah seperti Stainberg dan Penders mengatakan populariti Sarekat Islam berpunca daripada ketokohan pemimpin, khususnya Omar Said Tjokroaminato. Beliau merupakan orang yang lantang berpidato dan berkarisma. Beliau telah mendedahkan beberapa ketidakadilan di bawah pemerintahan Belanda yang perlu dihapuskan. Keberanian beliau telah menarik sokongan ramai. Malah beliau dianggap sebagai Ratu Adil iaitu kemunculan pemimpin yang akan menghapuskan penderitaan dan menghalau orang asing dari Indonesia. Selain itu, Sarekat Islam juga mempunyai pemimpin yang berkebolehan seperti Haji Agoes Salim, Abdul Muis, Semaun, Darsono dan lain-lain lagi.
5. Tolak ansur Belanda
Di bawah Dasar Etika, Belanda bertoleransi terhadap pergerakan nasionalisme Indonesia sehingga tahun 1926. Toleransi Belanda membolehkan Sarekat Islam berkembang dengan pesat. Pada tahun 1913, Belanda mengiktiraf cawangan-cawangan Sarekat Islam dan pada tahun 1916, Belanda mengiktiraf Sarekat Islam pusat sebagai pertubuhan nasional. Sebelum tahun 1926, Belanda tidak mempunyai pengalaman dan keupayaan dalam menghadapi parti-parti politik semasa perkembangan Sarekat Islam.
6. Parti pertama
Sarekat Islam merupakan parti pertama yang terbuka kepada semua lapisan rakyat Indonesia. Walaupun Budi Utomo ditubuhkan lebih awal iaitu 20 Mei 1908, tetapi parti tersebut hanya terbuka kepada golongan intelek, pegawai kerajaan dan bangsawan Jawa.
7. Penyertaan ISDV
Kelab Sosial Demokratik Hindia (Indischa Social Democratischa Vereeninginp – ISDV) telah ditubuhkan pada 5 Mei 1914 oleh Hendrick Sneeuliet. Pada tahun 1916, ISDV menyertai Sarekat Islam. Penyertaan ISDV telah menambahkan bilangan anggota Sarekat Islam lebih-lebih lagi ISDV menguasai kesatuan sekerja.

Kemerosotan selepas tahun 1920
Walaupun ahli Sarekat Islam berjumlah 2.5 juta orang pada tahun 1919, tetapi keahliannya merosot menjelang 1920-an. Pada tahun 1928, ahlinya hanya tinggal 12 ribu orang.
1. Persaingan dengan Komunis
Dalam Sarekat Islam terdapat 2 golongan iaitu golongan yang berorientasikan Islam dan golongan yang berorientasikan Komunis. Fahaman Komunis telah dibawa ke Indonesia oleh orang Belanda selepas penubuhan ISDV oleh Henderick Sneevliet pada 5 Mei 1914. Pada tahun 1916, ISDV menyertai Sarekat Islam. Ramai ahli Sarekat Islam terpengaruh dengan fahaman Komunis termasuk Semaun dan Darsono. Menjelang tahun 1916, banyak cawangan Sarekat Islam telah diresapi fahaman Komunis. Semaun dan Darsono telah berusaha untuk membawa aliran radikal ke dalam Sarekat Islam. Mereka mendapat tentangan daripada pemimpin yang berorientasikan Islam iaitu Haji Agoes Salim dan Abdul Muis. Persaingan ini telah mengakibatkan perpecahan dalam Sarekat Islam. Pada 10 Oktober 1920, Semaun dan Darsono telah menubuhkan Parti Komunis Indonesia (PKI). Mereka menjadikan Sarekat Islam cawangan Semarang sebagai pusat kegiatan PKI. Dalam kongres Sarekat Islam pada tahun 1921, Agoes Salim melarang ahli Sarekat Islam menjadi ahli parti ini. Arahan ini mengakibatkan golongan Komunis dan yang pro-Komunis keluar dari Sarekat Islam dan menyertai PKI. Di kawasan bandar mereka menubuhkan cawangan PKI dan di kawasan luar bandar, mereka menubuhkan Sarekat Islam Merah dan sejak tahun 1923 dikenali sebagai Sarekat Rakyat. PKI menjalankan propaganda memburukkan pemimpin Sarekat Islam di mana mereka dituduh menyalahgunakan wang parti. Selain itu, Sarekat Islam juga dituduh sebagai parti golongan kapitalis memandangkan majoriti pemimpinnya terdiri daripada kapitalis. Propaganda PKI telah menghilangkan keyakinan pengikut terhadap pemimpin Sarekat Islam. Fahaman Komunis semakin merebak dan PKI telah mengambil alih kepimpinan gerakan nasionalisme Indonesia sedangkan Sarekat Islam semakin merosot dari segi anggota dan pengaruh.
2. Pertentangan reformis/ortodoks
Pada tahun 1920-an, berlaku pertentangan antara golongan reformis dengan golongan ortodoks dalam Sarekat Islam. Golongan ortodoks tidak mahu Sarekat Islam memperjuangkan politik, mereka mahukan Sarekat Islam memperjuangkan agama, ekonomi dan sosial. Akibat pertentangan ini, golongan ortodoks keluar dari Sarekat Islam dan menyertai Nahdatul Ulama yang ditubuhkan pada September 1926. Selain itu, terdapat sebahagian dari golongan reformis yang tidak mahu Sarekat Islam menumpukan perjuangan dalam politik. Sejak tahun 1922, ramai antara mereka keluar dari Sarekat Islam dan menyertai Muhammadiah yang ditubuhkan pada 18 November 1912.
3. Cawangan B Sarekat Islam
Cawangan B Sarekat Islam yang radikal ditubuhkan di Jawa Barat pada tahun 1917 di bawah pimpinan Sosrokardono dan Haji Israel. Pada tahun 1919, mereka melancarkan pemberontakan terhadap Belanda di Jawa Barat. Walau bagaimanapun, pemberontakan tersebut berjaya dihancurkan oleh Belanda dan pemimpinnya ditangkap. Kegiatan cawangan B Sarekat Islam membimbangkan ahli-ahli sederhana dalam Sarekat Islam. Mereka mula menganggap keahlian Sarekat Islam sebagai paspot ke arah kekacauan. Bagi mengelakkan kekacauan dan tindakan Belanda, ramai antara mereka keluar dari Sarekat Islam.
4. Penubuhan Parti Nasional Indonesia (PNI)
Nasionalis-nasionalis sekular dalam Islam telah hilang keyakinan terhadap kemampuan Sarekat Islam dalam memperjuangkan kemerdekaan. Akibatnya ramai antara mereka keluar dari Sarekat Islam menyertai PNI yang ditubuhkan pada 4 Jun 1927 oleh Sukarno. Ketokohan Sukarno seperti program PNI telah menarik sokongan ramai. Sejak tahun 1927, PNI telah mengambilalih kepimpinan gerakan nasionalisme Indonesia.
5. Tekanan Belanda
Sebelum tahun 1926, Belanda bertoleransi terhadap pergerakan nasionalisme Indonesia. Pemberontakan PKI pada 1926-1927 di Jawa Barat dan Sumatera Tengah telah menyedarkan Belanda terhadap bahayanya parti politik ke atas pemerintahan Belanda. Akibatnya sejak tahun 1926, Belanda mula menekan parti-parti politik. Tindakan Belanda sudah tentu menjejaskan perkembangan Sarekat Islam.
6. Perpecahan tahun 1930-an
Perpecahan yang berlaku dalam Sarekat Islam pada tahun 1930-an telah menambahkan kemerosotan parti tersebut. Pada tahun 1932, seorang pemimpin Sarekat Islam, iaitu Dr. Sukirman telah keluar dari parti tersebut dan menubuhkan Parti Sarekat Islam Indonesia I. Pada tahun 1937, Dr. Sukirman menyertai semula Sarekat Islam. Pada tahun 1938, beliau sekali lagi keluar dari Sarekat Islam dan memperjuangkan Parti Sarekat Islam Indonesia I. Pada tahun 1940, sebarang pemimpin lagi keluar dari Sarekat Islam iaitu Kurtosuwirdjo dan menubuhkan Parti Sarekat Islam Indonesia II.

Kesimpulan
Sungguhpun pengaruh Sarekat Islam telah pudar dalam tahun-tahun 1920-an, namun tidak dapat diragukan bahawa Sarekat Islam telah memainkan peranan penting di peringkat awal pergerakan nasionalisme. Juga tidak dapat dinafikan bahawa Sarekat Islam menjadi popular kepada penubuhan parti-parti politik yang lain di Indonesia.

Nasionalisme di Indonesia

Pengenalan
Kebangkitan pergerakan nasionalisme di Indonesia bermula pada akhir abad ke-19 dan permulaan abad ke-20. Pergerakan nasionalisme Indonesia berlaku dikatakan sesudah orang Filipina berjuang menentang penjajah Sepanyol yang bermula pada tahun 1896 dan kemudian menentang penjajah Amerika pada tahun 1898 apabila didapati Amerika belum bersedia memberi kemerdekaan kepada mereka seperti yang dijanjikan apabila orang Filipina membantu Amerika. Sebenarnya, perjuangan mereka telahpun bermula sejak awal lagi, contohnya Perang Padri (1821) di Sumatera dan Perang Jawa (1825-1830). Para sarjana menyifatkan pergerakan ini bersifat sederhana. Ia tidak melibatkan seluruh rakyat. Maka ini tidak digolongkan sebagai gerakan nasionalisme. Walau bagaimanapun, memang tidak dapat dinafikan kegiatan pemberontak ini memberi inspirasi kepada generasi muda untuk bangun menentang penjajah Belanda.

Faktor-faktor kebangkitan nasionalisme
1. Kesamaan agama
Menurut G.M. Kahin, kesamaan agama merupakan faktor yang penting bagi perkembangan semangat nasionalisme di Indonesia. Lebih daripada 90% penduduk Indonesia beragama Islam. Agama Islam telah menyatukan segala lapisan rakyat Indonesia. Agama Islam membolehkan rakyat Indonesia melupakan perbezaan-perbezaan kebudayaan dan keturunan serta semangat kewilayahan mereka.
2. Bahasa Melayu
Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Indonesia telah membantu menyatukan penduduk Indonesia dan memupuk semangat kebangsaan di kalangan mereka. Malahan, Kerajaan Belanda telah menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan pentadbiran Indonesia. Bahasa Melayu muncul sebagai satu faktor integrasi yang penting.
3. Golongan intelektual
Pada mulanya, tujuan pemerintah Belanda mendirikan sekolah-sekolah bercorak Barat untuk anak-anak Eropah dan anak-anak Indonesia dari golongan “ningrat” dan “priyai”. Dengan pendidikan yang diberikan, pemerintah Belanda berharap anak-anak ningrat dan priyai itu akan menjadi golongan yang akan mengagung-agungkan dan membantu pihak Belanda.
Sungguhpun bilangan anak Indonesia dari golongan ningrat dan priyai serta anak-anak dari golongan biasa terhad dalam sekolah Eropah tetapi lama-kelamaan bilangan itu telah meningkat berlipat-ganda. Hakikat ini terpaksa diterima oleh Belanda dan sukar bagi mereka untuk menghalangnya. Malah, ada di antara mereka telah dihantar ke luar negeri terutamanya Belanda untuk melanjutkan pelajaran.
Ketika mereka berada di luar negeri, tidak sahaja dapat menambahkan pengetahuan mereka malah pengalaman dan pandangan mereka semakin luas. Semangat nasionalisme mereka semakin kuat melihat negara-negara Barat telah mencapai kemajuan yang pesat sedangkan Indonesia, negara ibunda mereka, masih dalam keadaan mundur dan ketinggalan dalam semua bidang. Oleh sebab itu, mereka mula bergiat dalam persatuan-persatuan bersifat sosial untuk membincangkan nasib masa depan Indonesia. Untuk tujuan itu, beberapa pertubuhan telah didirikan sama ada di Indonesia mahupun di negeri Belanda sendiri. Antara persatuan yang terkenal di negeri Belanda ialah Perhimpunan Indonesia yang mana anggotanya terdiri dari pelajar-pelajar seperti Sukarno, Muhammad Hatta, Sutan Syahrir dan lain-lain lagi. Mereka inilah kemudiannya menjadi tokoh nasionalis yang ulung.
Peranan mereka dalam gerakan nasionalisme Indonesia adalah besar. Setelah pengaruh Sarekat Islam mulai merosot dalam tahun-tahun 1920-an, golongan pendidikan Barat mulai mengambilalih tugas itu. Dengan semangat yang gigih seperti Sukarno maka ditubuhkan beberapa buah parti politik seperti Parti Nasional Indonesia pada tahun 1927.
4. Pengaruh luar
Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 telah berlaku beberapa pergerakan politik di negara-negara Asia. Pergerakan itu sedikit sebanyak mempengaruhi kebangkitan nasionalisme di Indonesia. Di antaranya ialah:
a. Penentangan orang Filipina terhadap penjajah
Orang Filipina telah bangun membenrontak terhadap Sepanyol dalam tahun 1896. Dalam tahun 1898, mereka telah bersatu dengan Amerika dan berjaya menggulingkan kekuasaan Sepanyol di Manila. Buat sementara waktu, Amerika telah mengambil alih kekuasaan di Filipina. Tetapi apabila orang-orang Filipina sedar bahawa orangAmerika tidak bermaksud untuk memberi kemerdekaan kepada Filipina, mereka telah menentang Amerika. Mereka menganggap Amerika sebagai penjajah dan dengan ini meletuslah Perang Kemerdekaan yang bermula pada 10 Oktober 1898. Sungguhpun Amerika Syarikat berjaya mematahkan pemberontakan orang Filipina tetapi akhirnya Amerika sendiri terpaksa tunduk dan memenuhi beberapa permintaan rakyat Filipina yang mahukan kepentingan negara mereka terjamin.
b. Revolusi China, 1911
Pada 10 Oktober 1911 telah bermula satu revolusi di negeri China untuk menggulingkan Dinasti Manchu. Orang Cina mensifatkan orang Manchu sebagai pendatang dan telah menjajah negeri China apabila mereka berjaya menggulingkan Dinasti Ming dan mengambil kekuasaan di negeri China pada tahun 1644. Sentimen anti-Manchu semakin kuat disebabkan sifat kejam orang Manchu terhadap orang Cina. Pihak revolusiner pimpinan Dr. Sun Yat Sen berjaya mendirikan sebuah republik di negeri China. Selain Manchu, Dr. Sun juga mempunyai satu matlamat iaitu menghapuskan tekanan Barat terhadap China.
c. Gerakan Kebangsaan India
Gerakan nasionalisme di India telah bermula dalam tahun 1885 dipelopori oleh Parti Kongres India. Penubuhan Parti Kongres India itu telah diputuskan dalam Kongres Nasional India di Bombay pada tahun 1885. Parti Kongres dengan pimpinan Surendranath Baneriji, Ghokala, Tilak dna Mahatma Gandhi telah memperjuangkan dengan gigihnya kemerdekaan India hingga India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947. Pengaruh perjuangan Parti Kongres juga besar terutama dalam gerakan nasionalisme Indonesia. Taktik yang digunakan oleh Parti Kongres seperti tidak bekerjasama telah menjadi ikutan beberapa buah parti di Indonesia seperti Sarekat Islam dan Parti Nasional Indonesia.
d. Perang Rusia-Jepun, 1904-1905
Perang Rusia-Jepun merupakan perang yang paling bersejarah kepada bangsa Asia. Perang ini ialah perang antara kuasa Barat dengan kuasa Asia. Dalam peperangan itu, Jepun dianggap negara kecil telah berjaya mengalahkan Rusia dengan kemenangan yang paling menakjubkan. Rusia akhirnya bersedia menandatangani Perjanjian Portsmouth. Kekalahan Rusia dianggap telah memalukan imej kuasa Barat dan sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan Rusia di mata dunia antarabangsa terutama kepada bangsa-bangsa Asia. Dengan kekalahan Rusia itu maka hancurlah anggapan “bangsa Barat adalah bangsa yang kuat dan tidak dapat dikalahkan oleh orang Asia”. Ini membuktikan kemanangan Jepun telah memberi perangsang yang kuat kepada bangsa Indonesia dan bangsa lainya untuk melakukan penentangan terhadap penjajah dan mereka boleh mencapai kejayaan jika mereka mempunyai keyakinan dan kesungguhan seperti yang dibuktikan oleh bangsa Jepun.
e. Gerakan Reformis Islam di Timur Tengah
Menurut Deliar Noer, nasionalisme di Indonesia telah bermula dengan nasionalisme Islam. Sebilangan orang Indonesia telah dipengaruhi oleh Gerakan Reformis Islam yang dipelopori oleh Sheikh Muhammad Abduh dan golongan al-Manar di Kaherah. Gerakan ini memperjuangkan konsep pan-Islamisme dan membebaskan agama Islam daripada kepercayaan kuno yang tiada kaitan dengan ajaran Islam. Gerakan Reformis Islam turut telah memberi inspirasi kepada orang Islam Indonesia untuk menghadapi ancaman sekularisme Barat dan agama Kristian. Parti-parti seperti Muhammadiah dan Sarekat Islam dipimpin oleh reformis-reformis Islam. Mereka menganggap Islam sebagai alat tunggal untuk memajukan kepentingan-kepentingan sosioekonomi penduduk Indonesia.
5. Penubuhan Volksraad
Pada tahun 1916, Kerajaan Belanda telah meluluskan penubuhan Volksraad (Majlis Rakyat) yang telah juga menyumbangkan kepada perkembangan nasionalisme Indonesia. Penubuhan Volksraad memungkinkan penemuan nasionalis-nasionalis dari seluruh Indonesia. Mereka dapat membincangkan masalah-masalah nasional Indonesia dan cara-cara mengatasinya. Hal ini telah mengukuhkan semangat perjuangan mereka.
6. Pemerintahan Belanda yang menekan
Sejak orang Belanda datang ke Indonesia, mereka terkenal dengan sifat menindas rakyat. Dari segi ekonomi, orang Indonesia terutama petani telah ditindas. Bukti yang paling jelas ialah perlaksanaan Sistem Kultur. Petani-petani dipaksa menyediakan sebahagian dari tanah sawahnya untuk ditanam tanaman kerajaan, bekerja di kilang-kilang kerajaan dengan mendapat upah yang rendah. Tenaga rakyat telah diperah sehabis-habisnya tetapi keuntungan yang diperolehi di bawa pulang ke Belanda. Nasib orang Indonesia diabaikan.
Kemudian pada tahun 1860, pemerintah Belanda mula melaksanakan Dasar Liberal. Perlaksanaan dasar ini bertujuan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat yang telah diabaikan. Tetapi malangnya dengan sistem ini, rakyat tidak dapat menikmati hasil keuntungan. Pengusaha-pengusaha persendirian yang mendapat faedahnya kerana memonopoli kegiatan ekonomi. Orang Indonesia tidak dapat bersaing dengan pengusaha asing kerana tiada modal dan kurang pengetahuan.
Dalam bidang sosial, timbul tidak puas hati terhadap tindakan Belanda yang tidak memberi pelajaran yang sempurna. Dalam perkhidmatan kerajaan terdapat sikap pilih kasih. Walaupun orang Indonesia mempunyai kelayakan dan berkebolehan tetapi mereka sukar mendapat pekerjaan. Jika dapat, gajinya pula rendah.
7. Kemajuan dalam sistem perhubungan
Kemajuan dalam sistem perhubungan seperti akhbar vernakular, radio dan kemudahan pengangkutan telah memudahkan pengaliran idea-idea kebangsaan di kalangan penduduk Indonesia. Hal ini menolong mengambangkan nasionalisme Indonesia.

Penerimaan dan Pengubahsuaian di Indonesia

Pengenalan
Menjelang akhir abad ke-18, Belanda telah menguasai Pulau Jawa melalui Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) yang ditubuhkan pada tahun 1602. Kehadiran Belanda di Jawa telah membawa kepada banyak perubahan sama ada dari segi pentadbiran, ekonomi ataupun sosial. Semua perubahan yang dibuat ini adalah semata-mata untuk memperkukuhkan kedudukan mereka.

Dari segi pentadbiran
Pentadbiran Belanda di Indonesia adalah diletakkan di bawah seorang Gabenor Jeneral. Pihak Belanda telah mewujudkan undang-undang pembahagian kuasa. Di bawah undang-undang ini, majlis perbandaran dan daerah telah ditubuhkan. Majlis-majlis ini dianggotai oleh orang-orang Belanda, orang-orang Indonesia dan orang-orang Cina. Pada tahun 1906, undang-undang desa dikuatkuasakan. Tujuan undang-undang ini adalah untuk memperbaiki kebajikan rakyat Indonesia. Satu Majlis Desa telah diwujudkan di bawah undang-undang ini dan ia diketuai oleh Penghulu. Pada tahun 1916, Majlis Volksraad (Dewan Rakyat) telah ditubuhkan dan ia dianggotai oleh semua rakyat.

Dari segi ekonomi
Sejak tahun 1830, sistem tanaman komersil menjadi kegiatan yang penting. Di bawah Sistem Tanaman Paksa (Kultur), rakyat dipaksa menanam tanaman kerajaan seperti kopi dan nila. Sistem ini kemudian digantikan dengan Sistem Liberal dan kemudiannya Sistem Etika. Kapitalis yang lain juga melibatkan diri dalam perlombongan, perhutanan dan perikanan. Perlombongan yang dijalankan ialah perlombongan minyak dan logam. Ia telah membawa kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan landasan keretapi.

Dari segi sosial
Pihak Belanda mengutamakan pelajaran rendah. Begitu juga bagi pendidikan tinggi. Orang-orang kaya telah menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris. Bahasa Belanda tidak digunakan dengan meluas. Selain itu, terdapat sekolah umum yang diwujudkan kesan daripada Dasar Etika. Pada tahun 1919, Sekolah Menengah Umum ditubuhkan. Pada tahun 1924, Maktab Undang-undang ditubuhkan. Pihak Belanda turut menubuhkan Maktab Perubatan (1926) dan Universiti Betawi (1941). Selain pendidikan, undang-undang perlindungan buruh turut diperkenalkan oleh pihak Belanda untuk melindungi buruh-buruh Indonesia.

Dasar Etika

Pengenalan
Dasar Liberal seperti Sistem Kultur gagal meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Mengikut Geertz, Dasar Liberal merupakan cara yang berlainan untuk mencapai matlamat yang sama, iaitu mengangkut hasil Indonesia ke Belanda. Akibatnya, Dasar Liberal bukan sahaja ditentang oleh rakyat Indonesia, tetapi juga orang-orang Belanda, terutamanya golongan sosialis yang memperjuangkan konsep “Hindia Timur untuk Hindia Timur”. Mereka mahukan segala keuntungan di Indonesia dibelanjakan untuk kebajikan rakyat Indonesia. Golongan ini mendakwa Belanda mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga kebajikan rakyat Indonesia. Penentangan terhadap Dasar Liberal bertambah selepas terbitnya risalah “Ons Program” oleh Dr. Abraham Kayper dan “A Debt of Hanour” oleh Van Deventer. Apabla parti campuran Neo Calvinist dan Katholik yang dapat sokongan sosialis memerintah di Belanda di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr. Abraham Kayper dan Menteri Tanah Jajahan Alexander Idenberg, maka Dasar Liberal dihapuskan dan digantikan dengan Dasar Etika mulai tahun 1901. Dasar Etika mempunyai 3 prinsip utama, iaitu pendidikan, penghijrahan dan pengairan.

Sebab-sebab
1. Keburukan Dasar Liberal
Dasar Liberal gagal meninggikan taraf hidup Indonesia dan dasar ini tidak mengutamakan kebajikan rakyat Indonesia. Kemudahan-kemudahan sosial amat terhad dan mempunyai tujuan ekonomi. Dasar Liberal hanya menuntungkan kapitalis-kapitalis Belanda dan Cina. Sistem ekonomi bebas di bawah Dasar Liberal menyebabkan rakyat tempatan tidak dapat bersaing dengan kapitalis kerana kekurangan modal dan pengetahuan. Fungsi ekonomi mereka hanya sebagai buruh bergaji di ladang-ladang dan lombong-lombong milik kapitalis. Mereka dibayar gaji yang rendah dan bekerja dalam suasana yang menyedihkan. Daya pembelian rakyat Indonesia merosot. Selain itu, mereka telah dibebankan dengan pelbagai cukai terutamanya cukai tanah. Akibatnya, Dasar Liberal bukan sahaja ditentang oleh rakyat Indonesia tetapi juga orang Belanda. Di negeri Belanda, kritikan terhadap Dasar Liberal bermula pada tahun 1880-an diketuai oleh golongan sosialis. Golongan ini memperjuangkan konsep-konsep “Hindia Timur untuk Hindia Timur”. Mereka mahukan segala keuntungan di Hindia Timur dibelanjakan untuk kepentingan rakyat Hindia Timur. Golongan ini juga mendakwa Belanda bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat Hindia Timur.
2. Pengaruh Van Deventer dan Dr. Abraham Kayper
Ahli-ahli Sejarah mendakwa pengaruh Van Deventer dan Dr. Abraham Kayper juga bertanggungjawab terhadap perlaksanaan Dasar Etika. Van Deventer merupakan seorang peguam dan reformis kolonial. Pada tahun 1899, beliau menerbitkan sebuah artikel berjudul “A Debt of Honour” dalam Journal Belanda “De Gids”. Beliau mendakwa segala keuntungan yang diperolehi oleh Belanda dari Hindia Timur sebagai hutang kehormat yang perlu dijelaskan dengan cara meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Beliau mendesak sekurang-kurangnya 187 juta guilders yang diperolehi oleh Belanda dari Indonesia sejak tahun 1867 perlu dibayar balik. Pembayaran balik tersebut dianggap sebagai menjelaskan hutang kehormat. Van Deventer juga mendesak Belanda melaksanakan dasar pengagihan kuasa pusat, iaitu memindahkan kuasa pentadbiran Indonesia dari Belanda ke Indonesia. Beliau juga mahukan kerajaan menambahkan bilangan pegawai-pegawai Indonesia dalam perkhidmatan kerajaan di Indonesia. J.S. Farnival dalam bukunya “Netherlands India: A Study of Plural Economy” menegaskan artikel Van Deventer “was a thunderbolt which cleared the atmosphere and in the fresher air colonial problems assumed a new aspect”. Pada tahun 1880, Dr. Abraham Kayper menerbitkan risalah berjudul “Ons Program”. Dalam risalah tersebut, beliau mendakwa Belanda mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga kebajikan rakyat Hindia Timur khususnya meninggikan taraf sosial dan ekonomi mereka. Idea-idea Van Deventer dan Dr. Abraham Kayper telah membangkitkan sentimen orang Belanda terhadap Dasar Liberal. Selain itu, terdapat kepercayaan umum bahawa Belanda bertanggungjawab untuk meninggikan taraf hidup Indonesia lebih-lebih lagi Indonesia telah banyak membantu Belanda menyelesaikan masalah ekonomi.
3. Tuntutan pengagihan kuasa
Kapitalis-kapitalis dan pegawai-pegawai Belanda di Indonesia menuntut autonomi yang lebih daripada Kerajaan Belanda. Mereka mahukan kuasa pentadbiran Indonesia dipindahkan dar negeri Belanda ke Indonesia. Tuntutan-tuntutan mereka disokong oleh Parti Sosialis pimpinan Van Kohl. Golongan sosialis dalam Parlimen Belanda mengutuk Dasar Liberal dan memperjuangkan kondep “Hindia Timur untuk Hindia Timur”

Kesan-kesan
1. Politik
a. Majlis
Di bawah Dasar Etika, langkah-langkah yang dijalankan bertujuan untuk memberi latihan dan pengalaman dalam pentadbiran kepada rakyat Hindia Timur sebagai persiapan ke arah berkerajaan sendiri. Pada tahun 1903, Kerajaan Belanda melaksanakan dasar pengagihan kuasa pusat, iaitu memindahkan kuasa pentadbiran Hindia Timur dan negeri Belanda ke Hindia Timur. Pada tahun 1905, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Awam Belanda De Graaf telah mengemukakan cadangan untuk “mengindonesiakan” jawatan-jawatan kerajaan. Walau bagaimanapun, tidak banyak langkah tegas diambil ke arah melaksanakannya. Sejak tahun 1905, Belanda menubuhkan majlis-majlis bandaran, kampung dan daerah yang dianggotai oleh orang Belanda, Indonesia dan Cina. Majlis Bandaran (Tempatan) yang pertama ditubuhkan pada tahun 1905 di Bandung, Betawi dan Jati Negara. Peraturan kampung De Graaf tahun 1906 telah membuka kepada penubuhan majlis kampung yang tediri daripada ketua kampung, pembesar-pembesar kampung serta satu perhimpunan kampung. Majlis daerah yang pertama ditubuhkan pada tahun 1909 di kawasan penanaman tembakau di Sumatera Timur. Menjelang tahun 1918, sudah terdapat 32 majlis bandaran, 25 majlis daerah. Walau bagaimanapun, majlis-majlis ni gagal mencapai matlamatnya akibat campur tangan Belanda. Selain itu, Belanda mempunyai kuasa mutlak ke atas keputusan majlis. 2/3 dari ahlinya dicalonkan dan hanya ahli-ahli Belanda yang dipilih. Akibatnya, majlis-majlis ini hanya bertindak sebagai badan penasihat yang mempunyai kuasa amat terhad. Majlis-majlis ini hanya berkuasa ke atas perkara-perkara yang kurang penting seperti jalan raya, kerja raya, taman dan sebagainya. Perkara-perkara penting seperti polis, kewangan, kesihatan, pelajaran dan sebagainya masih lagi di bawah kekuasaan Belanda.
b. Volksraad
Pada tahun 1916, Belanda menubuhkan majlis rakyat yang dikenali sebagai “Volksraad”. Persidangan pertama telah diadakan pada Mei 1918. Walau bagaimanapun, Volksraad juga gagal mencapai matlamatnya akibat campur tangan Belanda. Pihak Belanda masih lagi mempunyai kuasa mutlak ke atas keputusan Volksraad. Sehingga tahun 1928, majoriti anggota Volksraad terdiri daripada orang-orang Belanda. Buktinya pada tahun 1928, anggota Volksraad ialah 30 orang Belanda, 25 orang Indonesia dan 5 bangsa lain (Cina). J.S. Farnival dalam bukunya. “Netherlands India: A Study of Plural Economy” menegaskan apa yang dilakukan oleh Belanda sebagai “let me help you, let me show you how to do it, and let me do it for you”.
c. Nasionalisme
Perlaksanaan Dasar Etika telah mengakibatkan kebangkitan dan perkembangan nasionalisme Indonesia. Perkembangan pelajaran Barat telah melahirkan elit-elit politik yang telah terpengaruh dengan idea liberal Barat seperti demokrasi, sosialisme, komunisme dan sebagainya. Golongan ini tidak berpuas hati dengan pentadbiran Belanda yang mengamalkan diskriminasi dan gagal menyediakan pekerjaan yang sesuai untuk mereka. Golongan ini telah membekalkan pimpinan dalam gerakan nasionalisme Indonesia. Antara mereka ialah Sukarno, Hatta, Syahrir, Amir Syarifuddin dan Semaun. Di bawah Dasar Etika, Belanda bertoleransi terhadap pergerakan nasionalisme Indonesia. Toleransi Belanda telah membolehkan nasionalis-nasionalis mengatur kegiatan mereka. Akibatnya lahirlah parti-parti politik seperti Budi Utomo di bawah Dr. Wahidin Sudiro Usodo, Sarekat Islam di bawah Omar Said Tjokroaminoto, Parti Komunis Indonesia (PKI) di bawah Semaun. Kemajuan sistem perhubungan telah memudahkan perhubungan dan penyebaran idea-idea nasionalisme ke seluruh Indonesia.
2. Ekonomi
a. Langkah meninggikan taraf hidup
Dalam bidang ekonomi, langkah-langkah yang dijalankan bertujuan untuk meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia yang tertindas akibat perlaksanaan Sistem Kultur dan Dasar Etika. Pada tahun 1905, Belanda menubuhkan Jabatan Pertanian di Betawi. Penubuhan Jabatan Pertanian telah menubuhkan hasil tanaman tempatan khususnya tanaman makanan. Walau bagaimanapun, pertambahan hasil tanaman tersebut tidak seimbang dengan pertambahan penduduk, terutamanya di Jawa. Sebagai contoh, penduduk Jawa yang berjumlah 29.9 juta orang pada tahun 1905 telah meningkat kepada 40.9 juta orang pada tahun 1930. Kerajaan juga menggalakkan perhutanan, perikanan, tanaman baru dan menambahkan kemudahan pengairan. Antara tahun 1900-1940, sebanyak 270 juta guilders dibelanjakan untuk kemudahan pengairan di seluruh Indonesia. Kerajaan juga menggalakkan pembukaan tanah baru untuk pertanian. Langkah tersebut telah menambahkan kawasan pertanian di Indonesia. Sebagai contoh, pada tahun 1900, terdapat sawah padi seluas 2.7 juta hektar dan pada tahun 1940, keluasannya meningkat 3.4 juta hektar. Pada tahun 1905, 40 juta guiders dibelanjakan untuk memajukan ekonomi Jawa san Madura. Banyak jalan raya dan jalan keretapi dibina di seluruh Indonesia untuk kepentingan ekonomi khususnya untuk membuka kawasan ladang serta perlombongan dan mengangkut hasil. Pada tahun 1903, Akta Perkilangan dilaksanakan dengan tujuan untuk melindungi industri tempatan. Pada tahun 1904, dilaksanakan Akta Buruh bertujuan untuk mengelakkan penindasan majikan. Pada tahun 1909, Akta Pengambilan Buruh dilaksanakan dengan tujuan untuk mengelakkan penipuan, percukaian dan sebagainya.
b. Perkembangan ekonomi
Perlaksanaan Dasar Etika telah mengakibatkan perkembangan ekonomi terutamanya sektor peladangan dan perlombongan di pulau-pulau luar. Perkembangan ekonomi berlaku akibat penglibatan modal kerajaan dan kapitalis. Dasar Etika telah mengakibatkan pertambahan hasil Indonesia. Sebaagi contoh, pada tahun 1922, Indonesia menghasilkan 25% getah dunia dan pada tahun 1928, Indonesia mengeluarkan 40% getah dunia. J.F. Cady dalam bukunya “South-East Asia: It’s Historical Development” menegaskan Indonesia mencapai kemakmuran ekonomi yang tiada tolok bandingnya semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918). Walau bagaimanapun, kemakmuran ekonomi hanya dinikmati oleh kapitalis-kapitalis Belanda dan Cina yang menguasai ekonomi Indonesia.
c. Kemudahan kredit
Sejak tahun 1904, Kerajaan Belanda menyediakan kemudahan kredit dengan menubuhkan Bank Padi dan Bank Tunai Desa. Tujuannya ialah untuk mengelakkan rakyat Indonesia daripada dieksploitasikan oleh peminjam-peminjam wang Cina serta kedai pajak orang Cina. Menjelang tahun 1912, terdapat 12 ribu wang padi dan 1161 Bank Tunai Desa. Kerajaan juga mengarahkan kedai pajak Cina menurunkan kadar bunga yang dikenakan. Selain itu, kerajaan telah mengambil alih beberapa kedai pajak Cina dan menubuhkan kedai pajak kerajaan di seluruh Indonesia. Walau bagaimanapun, kemudahan kredit tersebut mencapai kejayaan yang terhad. Sehingga 1940, hanya terdapat 500 kedai pajak kerajaan di seluruh Indonesia. Masalah pentadbiran dan jarak yang jauh menyebabkan rakyat Indonesia mendapati sukar untuk mendapat kemudahan kredit kerajaan. Akibatnya, mereka masih berurusan dengan peminjam-peminjam wang Cina dan kedai pajak Cina.
d. Kedudukan rakyat Indonesia
Dasar Etika seperti dasar-dasar sebelumnya gagal meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Dasar ini hanya menguntungkan kapitalis-kapitalis Belanda dan Cina. Sistem ekonomi bebas menyebabkan rakyat tempatan tidak dapat bersaing dengan kapitalis kerana kekurangan modal dan pengetahuan. Fungsi ekonomi mereka hanya sebagai buruh di ladang-ladang dan lombong-lombong milik kapitalis. Ahli-ahli Sejarah mendakwa Belanda tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan revolusi teknik, perindustrian secara besar-besaran yang dapat meninggikan taraf hidup Indonesia. J.M. Kahin dalam bukunya “Nationalism and Revolution in Indonesia” menegaskan kehidupan rakyat Indonesia amat terhimpit pada tahun-tahun 1913-1923 dan 1926-1932.
3. Sosial
a. Pelajaran
Perkembangan pelajaran merupakan kesan sosial yang penting akibat perlaksanaan Dasar Etika. Pada tahun 1913, terdapat 7 ribu buah sekolah dengan jumlah pelajar seramai 227 ribu orang. J.F. Cady dalam bukunya “South-East Asia: It’s Historical Development” menegaskan perkembangan pelajaran di desa telah meningkat 3.5 kali ganda pada tahun 1909-1912. Pelajaran tinggi yang berkembang di Indonesia sejak 1920-an bercorak teknikal seperti penubuhan maktab pertanian, perubatan, kejuruteraan dan undang-undang. Peluang pelajaran tinggi amat terhad kerana bilangan sekolah menengah agak kecil. Selain itu, Belanda lebih mengutamakan orang-orang Belanda dan Indo-Belanda. Peluang melanjutkan pelajaran ke seberang laut juga terhad akibat diskriminasi Belanda.
b. Kesihatan
Di bawah Dasar Etika, kemudahan kesihatan bukan sahaja diadakan di bandar tetapi juga di luar bandar. Kemudahan kesihatan yang disediakan dapat mengawal beberapa jenis penyakit teknikal seperti beri-beri, malaria dan kolera.
c. Penghijrahan
Sejak perlaksanaan Dasar Etika, Belanda menggalakkan penghijrahan rakyat Jawa ke pulau-pulau luar. Tujuannya ialah untuk mengatasi masalah kepadatan penduduk Jawa dan kekurangan tenaga buruh di pulau-pulau luar. Usaha ini hanya berjaya dilaksanakan sejak tahun 1930-an akibat propaganda Belanda, cara-cara pemilihan dan langkah persediaan awal yang berkesan. Perangkaan berikut menunjukkan bilangan penduduk Jawa yang berhijrah ke pulau-pulau luar antara tahun 1936-1940:
1936 13152
1937 19152
1938 32259
1939 45339
1940 50622
d. Masyarakat majmuk
Perlaksanaan Dasar Etika telah mengakibatkan wujudnya masyarakat majmuk yang ditentukan oleh faktor ras dan ekonomi. J.S. Farnival dalam bukunya “Netherlands India: A Study of Plural Economy” mendefinasikan masyarakat majmuk sebagai “a society or social comprising two or more elements or social orders which live side by side, yet without mingling in one political unit”. Orang-orang Belanda sebagai pentadbiran dan menguasai ekonomi moden yang dibina melalui modal mereka sendiri. Orang-orang Cina sebagai peniaga, orang tengah dan peminjam wang. Orang-orang Indonesia pula menjadi petani, nelayan dan buruh. Masyarakat majmuk telah mengakibatkan berlakunya pengeseran terutamanya di antara masyarakat Indonesia dengan orang Cina.

Kesimpulan
Dsar Etika memberi sumbangan yang besar kepada kebangkitan dan pergerakan gerakan nasionalisme di Indonesia. Ia juga bertanggungjawab kepada pembahagian dalam gerakan nasionalisme kepada beberapa golonga, misalnya nasionalisme Islam, golongan Komunis dan golongan Sekular. Golongan berpendidikan Barat hasil dari Dasar Etika telah memainkan peranan penting dalam gerakan nasionalisme selepas tahun-tahun 1920-an sedangkan tahun sebelumnya dipegang oleh golongan berpendidikan Islam di Timur Tengah.

Dasar Liberal

Pengenalan
Dasar Liberal bukan merupakan sistem ekonomi seperti Sistem Kultur. Ianya merupakan dasar pentadbiran dan perlaksanaannya merupakan langkah ke arah menghapuskan Sistem Kultur. Keburukan Sistem Kultur telah mendapat tentangan daripada rakyat Jawa dan juga orang-orang Belanda. Dasar Liberal dilaksanakan dengan tujuan untuk meninggikan taraf ekonomi dan sosial rekyat Hindia Timur terutamanya rakyat Jawa yang tertindas akibat perlaksanaan Sistem Kultur. Selain itu, Dasar Liberal bertujuan untuk memberi peluang kepada kapitalis-kapitalis melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Hindia Timur. Apabila Parti Liberal memerintah di Belanda pada tahun 1863, Dasar Liberal mula dilaksanakan di Hindia Timur.

Sebab-sebab
1. Keburukan Sistem Kultur
Perlaksanaan Sistem Kultur telah menyebabkan kedudukan rakyat Jawa terutamanya di Jawa Tengah seperti Tegal, Cheribon dan Priangan mengalami kemerosotan akibat penyelewengan dalam perlaksanaan sistem tersebut sejak tahun 1836. Petani-petani telah dipaksa untuk bekerja lebih dari 66 hari setahun untuk tanaman eksport. Mengikut Van de Kolf, terdapat petani-petani yang dipaksa bekerja untuk tanaman eksport sehingga 240 hari setahun. Selain itu, petani-petani juga dipaksa memperuntukkan lebih 1/5 tanah mereka untuk tanaman eksport. Mengikut Van de Kolf, terdapat petani-petani yang dipaksa memperuntukkan ¼, 1/3, ½ dan ¾ dan sebagainya untuk tanaman eksport. Malah terdapat petani-petani di beberapa kawasan Jawa Tengah yang dipaksa memperuntukkan semua tanah mereka untuk tanaman eksport. Keadaan bertambah buruk kerana adanya komisen berdasarkan sistem peratus yang dibayar kepada pembesar dan penyelia Belanda. Hal ini menyebabkan pembesar dan penyelia Belanda memaksa petani-petani memperuntukkan lebih masa dan tanah bagi menanam tanaman eksport untuk menambahkan pengeluaran. Petani-petani juga dipaksa melakukan kerja-kerja lain seperti membina jalan raya, jambatan, terusan dan sebagainya. Pada tahun 1830-an, arahan telah dikeluarkan oleh Kerajaan Belanda supaya petani-petani Jawa menjual hasil tanaman mereka kepada Kerajaan Belanda dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran sebagai sumbangan rakyat Jawa untuk membantu ekonomi Belanda. Sebagai contoh, pada tahun 1833, rakyat Jawa dipaksa menjual hasil kopi mereka kepada Kerajaan Belanda dengan harga yang lebih rendah dari harga pasaran. Pelbagai penyelewengan telah berlaku dalam perlaksanaan Sistem Kultur. Tanah yang diperuntukkan untuk tanaman eksport juga dikenakan cukai. Pengkhususan kerja tidak dilaksanakan menyebabkan petani-petani terpaksa bekerja untuk eksport untuk sepanjang tahun. Badan pelindung yang diharapkan dapat menjaga kebajikan petani tidak pernah ditubuhkan. J.S. Farnival dalam bukunya “Netherlands India: A Study of Plural Economy” menegaskan Sistem Kultur tidak memberi peluang pada wujudnya kelas perdagangan tempatan. Fungsi ekonomi rakyat Jawa hanya sebagai buruh pertanian kepada Belanda. Mereka tidak mempunyai pengalaman perdagangan dan terputus dari pasaran antarabangsa.
Perlaksanaan Sistem Kultur telah mengakibatkan berlakunya kebuluran di Jawa Tengah, terutamanya di Cheribon, Tegal dan Priangan. Pada tahun 1840-an, terutamanya 1843-1850. Kebuluran pertama berlaku di Cheribon pada tahun 1843. Kebuluran yang dashyat berlaku di Jawa Tengah pada 1849-1850 di mana 300 ribu nyawa terkorban. Punca utama berlakunya kebuluran ialah kekurangan pengeluaran tanaman makanan, iaitu padi akibat tumpuan yang lebih dalam tanaman eksport. Petani-petani telah dipaksa untuk memperuntukkan lebih masa dan tanah untuk tanaman eksport
Sistem Kultur gagal meninggikan taraf hidup rakyat Jawa dan sistem ini hanya menguntungkan Belanda. Kerajaan Belanda telah mengabaikan kebajikan umum rakyat Jawa. Tidak ada langkah-langkah yang diambil bagi meningikan taraf sosial terutamanya kesihatan dan pendidikan rakyat Jawa.
2. Kebangkitan fahaman Liberal
Sejak pertengahan abad ke-19, fahaman liberal telah merebak di Eropah termasuk di Belanda. Golongan liberal di bawah pimpinan Van Hoeval telah mengecam hebak Sistem Kultur dan menganggapnya sebagai sistem pemerasan dan ½ perhambaan. Mereka mendesak Belanda melaksanakan dasar yang lebih bertanggungjawab yang dapat meninggikan taraf ekonomi dan sosial rakyat Hindia Timur dan bukannya menindas mereka. Mereka juga menegaskan tanggungjawab penjajah ialah menjaga kebajikan rakyat yang dijajah. Sistem Kultur yang merupakan monopoli kerajaan dalam kegiatan ekonomi di Jawa amat bertentangan dengan prinsip ekonomi golongan liberal. Mereka mahukan kerajaan melaksanakan dasar ekonomi bebas/laissez faire yang membuka peluang kepada kapitalis melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Hindia Timur. Mereka menegaskan langkah ini akan menyebabkan perkembangan ekonomi yang pasti menguntungkan Belanda dan rakyat Hindia Timur. Apabila Parti Liberal memerintah Belanda pada tahun 1863, Dasar Liberal mula dilaksanakan di Hindia Timur. Antara tokoh golongan liberal ialah Van Hoeval, Van de Putte, Thorbecke dan Douwas Dekken.
3. Pindaan perlembagaan
Pindaan perlembagaan 1848 telah menetapkan raja Belanda melalui Menteri Tanah Jajahan mesti melaporkan hal ehwal tanah jajahan kepada Parlimen tiap-tiap tahun. Pindaan perlembagaan tersebut juga telah memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan kewangan tanah jajahan. Akta Akaun 1864 telah memberi kuasa kepada Parlimen untuk meluluskan belanjawan tanah jajahan. Akta tersebut juga telah menamatkan hak mutlak raja ke atas tanah jajahan. Tanggungjawab ke atas tanah jajahan telah diserahkan kepada Parlimen Belanda. Perkembangan ini membolehkan ahli-ahli liberal dalam Parlimen mengecam Sistem Kultur dan melaksanakan Dasar Liberal.
4. Desakan kapitalis
Kapitalis-kapitalis Belanda telah mengecam Sistem Kultur kerana ianya merupakan monopoli kerajaan dalam kegiatan ekonomi. Kapitalis-kapitalis tidak berpeluang untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di bawah Sistem Kultur. Mereka mendesak Kerajaan Belanda melaksanakan dasar ekonomi bebas/laissez faire yang membuka peluang kepada kapitalis melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Hindia Timur. Kapitalis-kapitalis yang terdiri daripada pedagang-pedagang, pengusaha-pengusaha industri, pemilik bank dan sebagainya mahu melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi bukan sahaja di Jawa, tetapi di seluruh Hindia Timur dan bukan sahaja dalam pertanian tetapi juga dalam kegiatan ekonomi lain. Mereka mahu memperolehi sebahagian keuntungan di Hindia Timur yang selama ini hanya dinikmati oleh kerajaan. Apabila Parti Liberal yang disokong kuat oleh golongan kapitalis memerintah Belanda sejak tahun 1863, maka dasar yang menguntungkan kapitalis, iaitu Dasar Liberal dilaksanakan di Hindia Timur. Desakan kapitalis juga menyebabkan Kerajaan Belanda melaksanakan undang-undang pertanian 1870 di Hindia Timur yang membolehkan kapitalis menyewa tanah rakyat tempatan dalam tempoh maksimum 35 tahun dan tanah kerajaan 75 tahun.
5. Faktor kemanusiaan
Faktor kemanusiaan juga bertanggungjawab terhadap perlaksanaan Dasar Liberal di Hindia Timur. Penderitaan rakyat Jawa tanah mendapat simpati orang-orang Belanda. Mereka mengutuk Sistem Kultur dan mendesak Belanda melaksanakan dasar yang lebih bertanggungjawab yang dapat meninggikan taraf ekonomi dan sosial rakyat Hindia Timur. Golongan ini menegaskan tanggungjawab Kerajaan Belanda ialah menjaga kebajikan mereka dan bukannya menindas mereka. Faktor kemanusiaan kemuncak dengan terbitnya novel “Max Havelaar” oleh Douwes Dukker pada tahun 1860. Novel tersebut telah mendedahkan penderitaan serta penyelewengan dalam perlaksanaan Sistem Kultur. C.L.M. Penders dalam bukunya “Indonesia: Selected Documents on Colonialism and Nationalism 1830-1842” dan D.G.E. Hall dalam bukunya “A History of South East Asia” menegaskan novel “Max Havelaar” telah membangkitkan penentangan rakyat Belanda terhadap Sistem Kultur. Faktor kemanusiaan diperkukuhkan lagi dengan terbitnya kisah “Regulation of Sugar Contract in Jawa” oleh Van de Putte pada tahun 1862. Risalah tersebut telah mendedahkan keterlaluan-keterlaluan dalam perlaksanaan Sistem Kultur.

Kesan-kesan
1. Ekonomi
a. Perkembangan ekonomi
Perlaksanaan Dasar Liberal telah mengakibatkan perkembangan ekonomi di seluruh Hindia Timur akibat penglibatan modal kerajaan dan kapitalis. Perkembangan ekonomi terbukti dengan pertambahan nilai eksport dan import. Antara tahun 1870-1900, eksport Hindia Timur meningkat 2 kali ganda dan import meningkat 4 kali ganda. Buktinya eksport Hindia Timur bernilai 107 juta guilders pada tahun 1870 telah meningkat 258 juta guilders pada tahun 1900, manakala import yang bernilai 44 juta guilders pada tahun 1870 telah meningkat 176 juta guilders pada tahun 1900. Tanaman baru seperti getah, kelapa sawit, kelapa dan koko diperkenalkan. Banyak kilang didirikan dan syarikat-syarikat perdagangan serta bank ditubuhkan. Satu sistem ekonomi yang berorientasikan pertanian ladang dan perlombongan mula dijalankan di Hindia Timur. J.F. Cady dalam bukunya, “South East Asia: Its Historical Development” menegaskan hasil pertanian ladang telah meningkat 10 kali ganda antara 1860-1885. Perlombongan bijih timah juga dijalankan di Bangka dan Belitung. Sebagai contoh, pengeluaran bijih timah Bangka sebanyak 2200 tan pada tahun 1870 telah meningkat 10 ribu tan pada tahun 1900
b. Ekonomi seluruh Hindia Timur
Di bawah Dasar Liberal, kegiatan ekonomi dijalankan di Jawa dan juga pulau-pulau luar yang sebelumnya diabaikan. Sebagai contoh, pengusaha-pengusaha Belanda telah membuka ladang tembakau di Sumatera Timur dan Selatan. Selain itu, kegiatan ekonomi bukan sahaja tertumpu dalam bidang pertanian, tetapi juga dalam bidang ekonomi lain. Sebagai contoh, pengeluaran arang dijalankan di Kalimantan Selatan dan Sumatera Barat. Pengeluaran minyak dijalankan di Sumatera dan Kalimantan mulai tahun 1883.
c. Kedudukan ekonomi rakyat Hindia Timur
Dasar Liberal meninggikan taraf ekonomi rakyat Hindia Timur dan dasar ini hanya menguntungkan kapitalis-kapitalis Belanda dan Cina. Sistem ekonomi bebas di bawah Dasar Liberal menyebabkan rakyat tempatan tidak dapat bersaing dengan kapitalis kerana kekurangan modal dan pengetahuan. Fungsi ekonomi mereka hanya sebagai buruh di ladang-ladang dan lombong-lombong milik kapitalis. Mereka dibayar gaji yang rendah dan bekerja dalam suasana yang menyedihkan. Daya pembelian rakyat Hindia Timur semakin merosot. Selain itu, mereka juga dibebankan dengan pelbagai cukai terutamanya cukai tanah. Sebagai contoh, 80% daripada hasil cukai di Jawa dibayar oleh orang-orang Jawa.
d. Merugikan kerajaan
Perlaksanaan Dasar Liberal menyebabkan kapitalis mengambil alih penguasaan kerajaan dalam kegiatan ekonomi di Hindia Timur. Kekuatan modal mereka telah membolehkan kapitalis membuka lebih banyak ladang dan lombong di seluruh Hindia Timur. Perangkaan berikut menunjukkan perbezaan keuntungan yang diperolehi oleh kerajaan dan kapitalis antara tahun 1865-1885:
Tahun Kerajaan (juta guilders) Kapitalis (juta guilders)
1865 64 34
1870 46 68
1875 41 130
1885 16 168
Perkembangan ini telah memberi bebanan ekonomi pada Kerajaan Belanda sedangkan sebelum ini masalah ekonomi telah dapat diatasi akibat perlaksanaan Sistem Kultur. Pada tahun 1897, Kerajaan Belanda berhutang sebanyak 18 juta guilders.
2. Sosial
a. Meruntuhkan sistem sosial tradisional
Perlaksanaan Dasar Liberal telah meruntuhkan sistem sosial tradisional akibat pengambilan rakyat Indonesia sebagai buruh bergaji di ladang-ladang dan lombong-lombong milik kapitalis. Peluasan kuasa dan perkhidmatan Kerajaan Belanda telah mempercepatkan proses keruntuhan sistem sosial tradisional. Kawalan sosial semakin merosot dan hubungan kekeluargaan semakin renggang.
b. Sistem perhubungan
Kemajuan sistem perhubungan merupakan kesan sosial yang penting akibat perlaksanaan Dasar Liberal. Banyak jalan raya dan jalan keretapi telah dibina di seluruh Hindia Timur. Tujuannya ialah untuk memudahkan usaha membuka kawasan pertanian dan perlombongan. Sebagai contoh, jalan keretapi sejauh 1600 km pada tahun 1890 telah meningkat 3500 km pada tahun 1900. Perkhidmatan telegraf kawasan pedalaman yang pertama telah diadakan pada tahun 1856. Perkhidmatan pos kawasan pedalaman yang pertama telah diadakan pada tahun 1866. Perkhidmatan telefon semakin berkembang dan syarikat telefon yang petama ditubuhkan pada tahun 1882.
c. Pelajaran
Di bawah Dasar Liberal, Belanda mula membina sekolah-sekolah untuk rakyat tempatan. Pada tahun 1871, terdapat 263 sekolah dan pada tahun 1898, jumlah sekolah meningkat menjadi 516 buah. Selain itu, maktab-maktab latihan perguruan dan institut-institut latihan khas telah ditubuhkan. Sebagai contoh, penubuhan Sekolah Latihan Doktor di Jawa pada tahun 1897.
d. Kelas menengah
Perlaksanaan Dasar Liberal telah melahirkan satu kelas baru dalam masyarakat Indonesia, iaitu kelas menengah yang ditentukan oleh faktor ras dan ekonomi. Majoriti kelas menengah terdiri daripada orang-orang Belanda, Indo-Belanda dan sebilangan kecil orang Indonesia.
e. Penghijrahan
Perkembangan ekonomi di bawah Dasar Liberal telah menggalakkan penghijrahan ramai orang Belanda ke Indonesia. Kebanyakan orang Belanda yang berhijrah ke Indonesia terdiri daripada golongan professional dan peniaga. Selepas tahun 1870, kebanyakan orang Belanda yang berada di Indonesia bukan lagi terdiri daripada pegawai kerajaan seperti sebelumnya. Pada tahun 1900, terdapat 67 ribu orang Belanda di Indonesia. Bilangan orang Cina yang berhijrah ke Indonesia juga meningkat. Sebagai contoh, bilangan orang Cina di Jawa seramai 150 ribu orang pada tahun 1850 telah meningkat menjadi 277 ribu orang pada tahun 1900. Kebanyakan orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar dan menjado pekedai runcit, orang tengah dan peminjam wang. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian orang Cina yang terlibat dalam pertanian komersil.
3. Politik
Perkembangan ekonomi di bawah Dasar Liberal yang berlaku di seluruh Indonesia telah menyebabkan Belanda mulai mengambil langkah untuk mengelakkan pulau-pulau luar jatuh ke tangan kuasa-kuasa Barat lain. Kepentingan ekonomi juga menyebabkan Belanda berusaha untuk menghapuskan kegiatan-kegiatan yang boleh mengancam kegiatan ekonomi seperti pelanunan, perang saudara serta kekacauan-kekacauan lain. Akibatnya, Belanda mula campur tangan dalam hal-ehwal pulau-pulau luar. Sebagai contoh, campur tangan Belanda di Bali dan Sumatera Utara.

Kesimpulan
Dasar Liberal seperti Sistem Kultur gagal meninggikan taraf hidup rakyat Indonesia. Mengikut Goertz, Dasar Liberal merupakan cara yang berlainan untuk mencapai matlamat yang sama, iaitu mengangkut hasil Indonesia ke Belanda. Akibatnya, Dasar Liberal bukan sahaja ditentang oleh rakyat Indonesia, tetapi juga orang-orang Belanda, terutamanya golongan sosialis yang memperjuangkan konsep-konsep “Hindia Timur untuk Hindia Timur”. Mereka mahukan segala keuntungan di Indonesia dibelanjakan untuk kebajikan rakyat Indonesia. Golongan ini mendakwa Belanda mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga kebajikan rakyat Indonesia. Penentangan terhadap Dasar Liberal bertambah selepas terbitnya risalah “Ons Program” oleh Dr. Abraham Kayper dan “A Debt of Honour” oleh Ven Deventer. Apanila parti campuran Neo Calvinist dan Katholik yang dapat sokongan sosialis memerintah di Belanda di bawah Perdana Menteri Dr. Abraham Kayper dan Menteri Tanah Jajahan Alexander Idenberg, maka Dasar Liberal dihapuskan dan digantikan dengan Dasar Etika mulai tahun 1901. Dasar Etika mempunyai 3 prinsip utama, iaitu pendidikan, penghijrahan dan pengairan.

Sistem Kultur

Pengenalan
Sistem Kultur mula dilaksanakan di Jawa pada tahun 1830 oleh Van de Bosch. Beliau merupakan seorang ahli sosio ekonomi yang telah berjaya dalam rancangan untuk membantu petani-petani miskin di Belanda. Van de Bosch telah diarahkan oleh Raja Belanda untuk merangka satu rancangan bagaimana Indonesia dapat digunakan untuk membantu ekonomi Belanda. Beliau mengemukakan rancangannya pada tahun 1828 yang dikenali sebagai Sistem Kultur. Bagi memudahkan perlaksanaannya, Van de Bosch telah dilantik sebagai Gabenor Jeneral Jawa pada Januari 1830. Sistem Kultur mempunyai kesamaan dengan Sistem Tanaman Paksa yang dilaksanakan oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada abad ke-18. J.M. Kahim dalam bukunya “Nationalism And Revolution in Indoensia” menegaskan secara menyeluruh, Sistem Kultur dilaksanakan sehingga 1877 dan dihapuskan sama sekali pada tahun 1915.

Sebab-sebab
Sistem Kultur dilaksanakan dengan tujuan untuk mengatasi masalah ekonomi Belanda yang hampir muflis kerana beberapa sebab:
1. Perang Napoleon
Penglibatan Belanda dalam Perang Napoleon 1795-1815 telah membebankan ekonomi Belanda. Kerajaan Belanda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi menghadapi serangan Perancis. Bila Belanda dikuasai oleh Perancis pada tahun 1795, segala hasil Belanda telah dibolot oleh Perancis. Semasa Perang Napoleon juga, Belanda kehilangan hasil tanah jajahannya yang terpaksa diserahkan kepada British mengikut Surat Kew 1795. Hutang Belanda yang berjumlah 600 juta guilders pada tahun 1815 telah meningkat 900 juta guilders pada tahun 1830. Faedah tahunan ke atas hutang tersebut yang berjumlah 15 juta guilders pada tahun 1815 telah meningkat 25 juta guilders pada tahun 1830.
2. Perang Jawa
Penglibatan Belanda dalam Perang Jawa 1825-1830 membebankan lagi ekonomi Belanda. Peperangan tersebut telah menelan perbelanjaan antara 20-25 juta guilders yang sebahagian besarnya dibiayai oleh pinjaman.
3. Pemberontakan Belgium
Kesatuan Netherlands yang menggabungkan Holand dan Belgium telah hancur akibat pemberontakan Belgium sejak tahun 1830. Belanda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi menghadapi pemberontakan tersebut. Kemerdekaan Belgium pada tahun 1839 telah menyebabkan Belanda kehilangan hasil penting dari Belgium.
4. Kemelesetan ekonomi
Kemelesetan ekonomi 1820-an telah membebankan ekonomi Belanda. Kejatuhan harga kopi pada tahun 1822 menjejaskan pendapatan Belanda yang banyak bergantung kepada hasil kopi dari Jawa.
5. Singapura
Pendudukan British di Singapura sejak tahun 1819 telah menjejaskan ekonomi Belanda kerana Singapura menjadi saingan Betawi. Taraf pelabuhan bebas dan dasar perdagangan bebas yang diamalkan British dapat menarik pedagang-pedagang dari Betawi ke Singapura.
6. Kegagalan rancangan ekonomi
Kegagalan rancangan ekonomi di Jawa telah menjejaskan ekonomi mereka. Kegagalan rancangan ekonomi Van der Capellen telah membangkitkan penentangan rakyat Jawa sehingga meletusnya Perang Jawa 1825-1830.
7. Perjanjian British-Belanda 1824
Perjanjian British-Belanda 1824, sedikit sebanyak telah menjejaskan ekonomi Belanda. Pertukaran Melaka dengan Bengkulan merugikan Belanda kerana Bengkulan terkeluar dari jalan perdagangan Timur-Barat. Mengikut perjanjian tersebut juga, Belanda terpaksa menjelaskan semua hutangnya kepada British.
8. VOC
VOC menjadi muflis dan terpaksa dibubarkan pada tahun 1799. Pembubaran VOC membebankan ekonomi Kerajaan Belanda yang terpaksa menanggung hutang VOC sebanyak 144 juta guilders.
9. Pemberontakan lain
Pemberontakan-pemberontakan lain yang berlaku di Hindia Timur juga menjejaskan ekonomi Belanda. Belanda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bagi menghapuskan pemberontakan-pemberontakan tersebut. Antaranya ialah Pemberontakan Ambun dan Pemberontakan Sumatera.
10. Pedagang Bugis dan Cina
Dasar liberal Stamford Raffles semasa mentadbir Jawa 1811-1816 telah menyebabkan orang-orang Bugis dan Cina muncul sebagai pedagang-pdagang penting di Hindia Timur. Apabila Belanda kembali memerintah Jawa sejak tahun 1816, mereka terpaksa menghadapi saingan pedagang-pedagang Bugis dan Cina.

Ciri-ciri Sistem Kultur
1. Petani-petani dkehendaki memperuntukkan 1/5 daripada tanah mereka untuk tanaman eksport yang ditetapkan oleh kerajaan seperti tebu, kopi, tembakau, cengkih, kayu manis, teh, kina, nila dan sebagainya.
2. Tanah yang diperuntukkan untuk tanaman eksport dikecualikan dari cukai.
3. Sekiranya tanaman eksport musnah disebabkan oleh bencana alam seperti banjir dan kemarau dan bukannya kecuaian petani, maka kerugiannya akan ditanggung kerajaan.
4. Tanaman padi mesti diutamakan. Petani-petani akan mengerjakan tanaman eksport selepas selesai mengerjakan tanaman padi.
5. Masa yang ditetapkan untuk tanaman eksport ialah 66 hari setahun.
6. Petani-petani akan bekerja di arah arahan pembesar-pembesar tempatan yang diawasi oleh penyelia-penyelia Belanda. Pembesar dan penyelia Belanda akan dibayar komisen berdasarkan sistem peratus daripada hasil pengeluaran kawasan masing-masing.
7. Pengkhususan kerja akan dilaksanakan di mana petani-petani ditetapkan sama ada untuk membajak, menanam, menjaga tanaman, menuai, memungut hasil dan sebagainya.
8. Tugas mengeksport hasil pertanian menjadi tanggungjawab Belanda. Syarikat perkapalan Belanda yang ditubuhkan pada tahun 1824 diberi monopoli untuk membeli, mengangkut dan menjual hasil pertanian Jawa di pasaran Eropah.
9. Semua hasil tanaman eksport akan dihantar ke pusat pengumpul. Sekiranya ditafsirkan lebih, maka lebihan hasil akan dipulangkan kepada petani.
10. Petani-petani yang tidak mempunyai tanah dikehendaki bekerja untuk tanaman eksport 66 hari setahun.
11. Sebuah badan pelindung akan ditubuhkan untuk menjaga kebajikan petani-petani di Jawa.
12. Dari segi teorinya, semua pihak, iaitu Kerajaan Belanda dan petani Jawa akan menikmati faedah dari sistem perlaksanaan Kultur.

Kesan-kesan
1. Ekonomi
a. Menguntungkan Belanda
Sistem Kultur menguntungkan Belanda dari segi ekonomi. Keuntungan tahunan dianggarkan 20 juta guilders. Antara tahun 1830-1877, Belanda memperolehi keuntungan 832.4 juta guilders. Keuntungan ini dapat digunakan oleh Belanda untuk mengatasi masalah ekonominya seperti menjelaskan hutang, menggantikan wang yang digunakan dalam Pemberontakan Belgium, membangunkan Belanda dengan membina jalan raya, jalan keretapi, membiayai pusat dan sebagainya. J.S. Fainival dalam bukunya “Netherlands India: A Study of Plural Economy” menegaskan Sistem Kultur sebagai “life belt which kept Netherlands of loat”.
b. Meruntuhkan sistem ekonomi sara diri
Sistem Kultur meruntuhkan sistem ekonomi sara diri. Belanda telah memperkenalkan tanaman jualan seperti tebu, kopi, tembakau, cengkih, kayu manis dan sebagainya. Akibat tumpuan yang lebih dalam tanaman eksport menyebabkan tanaman sara diri khususnya padi mengalami kemerosotan.
c. Kedudukan ekonomi rakyat Jawa
Perlaksanaan Sistem Kultur telah menyebabkan kedudukan ekonomi rakyat Jawa terutamanya di Jawa Tengah seperti Tegal, Cheribon dan Priangan mengalami kemerosotan akibat penyelewengan dalam perlaksanaan sistem tersebut sejak tahun 1836. Petani-petani telah dipaksa untuk bekerja lebih dari 66 hari setahun untuk tanaman eksport. Mengikut Van de Kolf, terdapat petani-petani yang dipaksa bekerja untuk tanaman eksport sehingga 240 hari setahun. Selain itu, petani-petani juga dipaksa memperuntukkan lebih 1/5 tanah mereka untuk tanaman eksport. Mengikut Van de Kolf, terdapat petani-petani yang dipaksa memperuntukkan ¼, 1/3, ½, ¾ dan sebagainya untuk tanaman eksport. Malah terdapat petani-petani di beberapa kawasan Jawa Tengah yang dipaksa memperuntukkan semua tanah mereka untuk tanaman eksport. Keadaan bertambah buruk kerana adanya komisen berdasar sistem peratus yang dibayar kepada pembesar dan penyewa Belanda. Hal ini menyebabkan pembesar dan penyelia Belanda memaksa petani-petani memperuntukkan lebih masa dan tanah bagi menanam tanaman eksport untuk menambahkan pengeluaran supaya mereka mendapat komisen yang lebih. Petani-petani juga dipaksa melakukan kerja-kerja lain seperti membina jalan raya, jambatan, terusan dan sebagainya. Pada tahun 1830-an, arahan telah dikeluarkan oleh Kerajaan Belanda supaya petani-petani Jawa menjual hasil tanaman mereka kepada Kerajaan Belanda dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran sebagai sumbangan kepada rakyat Jawa untuk membantu ekonomi Belanda. Sebagai contoh, pada tahun 1833, rakyat Jawa dipaksa menjual hasil kopi mereka kepada kerajaan dengan harga yang lebih rendah dari pasaran. Pelbagai penyelewengan telah berlaku dalam perlaksanaan Sistem Kultur. Tanah yang diperuntukkan untuk tanaman eksport juga dikenakan cukai. Pengkhususan kerja tidak dilaksanakan menyebabkan petani-petani terpaksa bekerja untuk tanaman eksport sepanjang tahun. Badan pelindung yang diharapkan dapat menjaga kebajikan petani tidak pernah ditubuhkan oleh Belanda. J.S. Farnival dalam bukunya “Netherlands India: A Study of Plural Economy” menegaskan Sistem Kultur tidak memberi peluang pada wujudnya kelas perdagangan tempatan. Fungsi ekonomi rakyat Jawa hanya sebagai buruh pertanian kepada Kerajaan Belanda. Mereka tidak mempunyai pengalaman perdagangan dan terputus dari pasaran antarabangsa.
d. Keuntungan terhad
Sistem Kultur memberi keuntungan terhad kepada Jawa. Sistem ini hanya menguntungkan petani-petani di Probolingo, Passoren dan daerah-daerah lain di Jawa Timur kerana di kawasan ini Sistem Kultur dilaksanakan sebagaimana yang dirancang oleh Van de Bosch. Pembesar-pembesar dan penyelia-penyelia Belanda di kawasan ini lebih mengutamakan kebajikan petani. Di kawasan ini, tanaman padi tidak diabaikan. Untuk memudahkan pengakutan hasil pertanian dan kawasan pengeluaran pelaburan, banyak jalan raya telah dibina di Jawa. Akibatnya, seluruh Jawa dapat dihubungi kerana adanya sistem jalan raya yang baik. Lebih banyak tanah dibuka untuk pertanian menyebabkan Jawa muncul sebagai negeri pertanian dan lebih maju daripada pulau-pulau luar. Dalam melaksanakan Sistem Kultur, Belanda telah mempelbagainya pertanian. Dalam jangka masa panjang, ianya memberi manfaat ekonomi yang berorientasikan pertanian eksport.
e. Sistem ekonomi bebas
Sistem Kultur meruntuhkan sistem ekonomi bebas kerana sistem ini merupakan monopoli kerajaan dalam kegiatan ekonomi di Jawa. Kapitalis-kapitalis tidak berpeluang untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Jawa.
f. Betawi
Perlaksanaan Sistem Kultur telah menyebabkan Betawi muncul sebagai pelabuhan penting pengeksport hasil pertanian Jawa.
g. Negeri Belanda
Negeri Belanda telah menjadi pasaran penting di Eropah yang menjual hasil pertanian Jawa.
h. Syarikat Perkapalan Belanda
Syarikat Perkapalan Belanda yang ditubuhkan pada tahun 1824 telah muncul sebagai syarikat perkapalan yang ke-3 terbesar di Eropah. Syarikat ini telah diberi monopoli untuk membeli, mengangkut dan menjual hasil pertanian Jawa di pasaran Eropah.
i. Jawa
Sistem Kultur hanya dilaksanakan di Jawa sedangkan pulau-pulau luar diabaikan. Selain itu, di bawah Sistem Kultur, kegiatan ekonomi hanya tertumpu dalam bidang pertanian sedangkan ekonomi lain tidak dijalankan.
2. Sosial
a. Petambahan penduduk
Perlaksanaan Sistem Kultur telah mengakibatkan berlakunya pertambaha penduduk di Jawa. Penduduk Jawa telah meningkat 50% semasa perlaksanaan Sistem Kultur pada tahun 1830-1877. Buktinya: penduduk Jawa yang berjumlah 6 juta pada tahun 1830 telah meningkat 9.5 juta pada tahun 1877. Pertambahan berlaku kerana wujudnya keamanan semasa perlaksanaan Sistem Kultur. Belanda telah mengambil langkah untuk menjamin wujudnya keamanan bagi menjayakan Sistem Kultur.
b. Kebuluran
Perlaksanaan Sistem Kultur telah mengakibatkan berlakunya kebuluran di Jawa Tengah, terutamanya di Tegal, Cheribon dan Priangan, pada tahun 1840-an, terutamanya antara 1843-1850. Kebuluran I berlaku di Cheribon pada tahun 1843. Kebuluran yang dashyat berlaku di Jawa Tengah pada tahun 1849-1850 di mana 300 ribu orang terkorban. Punca utama berlakunya kebuluran disebabkan kurangnya pengeluaran tanaman makanan iaitu padi akibat tumpuan yang lebih dalam tanaman eksport. Petani-petani telah dipaksa untuk memperuntukkan lebih masa dan tanah untuk tanaman eksport.
c. Merenggang hubungan petani-pembesar
Sistem Kultur merenggangkan hubungan antara petani dengan pembesar kerana pembesar telah bekerjasama dengan Belanda dalam menjayakan Sistem Kultur. Rakyat Jawa tidak lagi menganggap pembesar sebagai pelindung kerana mereka bersama-sama dengan Belanda telah menindas rakyat semasa perlaksanaan Sistem Kultur.
d. Mengukuhkan kuasa pembesar
Sistem Kultur telah mengukuhkan kuasa pembesar-pembesar kerana mereka diperlukan oleh Belanda bagi menjayakan Sistem Kultur. Untuk mendapat sokongan, mereka telah diberi geran tanah dan jawatan-jawatan mereka dijadikan turun-temurun. Malah mereka juga dianggap sebagai pemangku raja. Selain itu, pembesar-pembesar juga dibayar komisen dalam perlaksanaan Sistem Kultur.
e. Penghijrahan
C.L.M. Penders dalam bukunya “Indonesia: Selected Documents on Colonialism and Nationalism 1830-1942” menegaskan perlaksanaan Sistem Kultur telah mengakibatkan penghijrahan rakyat Jawa ke pulau-pulau luar. Rakyat Jawa berhijrah dengan tujuan untuk mengelakkan penindasan dan kerja paksa di bawah Sistem Kultur.
f. Sistem perhubungan
Semasa perlaksanaan Sistem Kultur, banyak jalan raya telah dibina di Jawa. Langkah tersebut sedikit sebanyak telah memberi kemudahan perhubungan kepada rakyat Jawa. Walau bagaimanapun, sistem perhubungan diwujudkan untuk kepentingan ekonomi khususnya untuk mengangkut hasil pertanian dari kawasan pengeluaran ke pelabuhan.

Kesimpulan
Sistem Kultur telah membawa pelbagai penderitaan kepada rakyat Jawa. Akibatnya, sistem ini bukan sahaja ditentang oleh rakyat Jawa tetapi juga orang-orang Belanda, terutamanya golongan liberal di negeri Belanda. Mereka mendakwa Sistem Kultur merupakan sistem pemerasan dan ½ perhambaan. Mereka mendesak Belanda melaksanakan dasar yang lebih bertanggungjawab yang dapat menjaga kebajikan rakyat Jawa. Penentangan terhadap Sistem Kultur semakin hebat selepas terbitnya novel “Max Havelaar” oleh Douwes Dehken dan risalah Regulation of Sugar Contracts in Java oleh Van de Dutte. Apabila Parti Liberal memerintah Belanda sejak tahun 1863, Dasar Liberal mula dilaksanakan di Hindia Timur bagi menggantikan Sistem Kultur.

MYGBIT Fasiliti Mining Ethereum Terbesar

  MYGBIT telah bermula pada penghujung 2015 oleh pengasasnya yang bernama Cengiz Isbilir. Sudah tentu terdapat perbahasan mengenai sama ada ...